Somalia berhadapan dengan konflik dan sengketa kaum semenjak 20 tahun lalu. Sejak tahun 1991, bumi Somalia tidak pernah aman, sentiasa berkonflik dan berlaku kematian disebabkan terkena tembakan sama ada peluru sesat ataupun sasaran puak-puak yang bersengketa.
Gambaran sedemikian, sebagaimana dinilai oleh seorang anak watan yang telah mengungsi selama lebih 22 tahun ke negara asing mencari kehidupan yang lebih baik, Abdi Salam Hussein, 52, jelas membuktikan betapa tidak aman lagi kehidupan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat di negara tersebut.
Menurut Abdi Salam, Mogadishu bukan lagi sebuah syurga tetapi neraka dan bandar berhantu. Ini sesuai dengan gambaran Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:
“Selain dari itu, tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang dahulu dari mereka (yang telah dibinasakan dengan sebab dosa-dosanya)?”
“Orang-orang itu lebih ramai dari mereka, dan lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Dalam pada itu apa yang telah diusahakan oleh orang-orang itu, tidak dapat menolongnya sedikit pun.” (Maksud al-Quran Surah Al-Mukmin ayat 82)
Rakyat Malaysia patut mempelajari dari kesukaran hidup rakyat Somalia. Demi mendapatkan sesuap nasi, rakyat Somalia sanggup keluar dari kampung halaman berhari-hari dan mengharungi batas-batas kepedihan dan kelaparan.
Malah, rumah dan apa yang dimiliki sebelumnya ditinggalkan kerana yang penting ialah perut mahu diisi, anak-anak sentiasa menangis kelaparan dan tidak sanggup lagi melihat kematian. Tragedi tersebut akan membuka mata hati dan fikiran orang yang berfikir kecuali mereka yang kering hatinya.
Kepedihan itu sepatutnya tidak beralun begitu panjang, kematian sebahagian besarnya mungkin boleh dikurangkan jika antara rakyat dan pemimpin bersatu iltizam untuk mengatasi apa sahaja masalah. Tetapi, kerana konflik kepentingan, sebahagian kumpulan rakyat atas nama perjuangan politik sanggup menyeksa rakan-rakan senegaranya dengan tidak membenarkan sebarang bentuk bantuan kemanusiaan tiba.
Sikap sedemikian adalah satu petunjuk bahawa manusia sudah hilang nilai-nilai kemanusiaan dalam dirinya.
Semenjak kejatuhan kerajaan pimpinan Mohammed Siad Bare pada tahun 1991, Somalia tidak pernah lekang daripada perebutan kuasa di mana beberapa suku kaum saling bertindak balas sesama mereka. Hakikat ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 251.
Laporan wartawan Malaysia turut memberikan kita gambaran betapa sukarnya menjalani hidup di Somalia sehingga penduduknya tidak mempunyai wang untuk membeli kain kafan.
Mereka yang mati sebahagian besarnya terpaksa dibungkus dengan kotak sebelum dikebumikan. Inilah realiti kehidupan yang tidak sanggup kita alami di Malaysia.
Realiti ini tentunya tidak sampai ke peringkat yang paling menyayat hati jika kita sentiasa mengingatkan diri kita agar hidup dalam suasana saling bersefahaman dan bersatu padu.
Pendedahan media mengenai apa yang berlaku di Somalia jelas menggambarkan satu suasana yang amat menakutkan: setelah bersengketa negara porak-peranda dan kemarau pun tiba. Betapa seksanya kalau setiap hari bergelumang dengan konflik dan peperangan ini.
