Perspektif Perundangan Islam - Dalil-Dalil Berkaitan Hukuman Homoseksual
Sesungguhnya tiada perbezaan dalam kalangan ulamak Islam mengenai pengharaman perbuatan homoseksual. Homoseksual ini dimaksudkan sebagai “orang yang tertarik nafsu syahwatnya kepada orang yang sejenis dengannya, terutamanya antara dengan lelaki”. Saya dapati tafsiran ini daripada Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka. Sekiranya di lihat kepada tafsiran ini, homoseksual bukan bermaksud hubungan seksual antara lelaki dan lelaki, tetapi, ia hanya merujuk kepada tarikan seksual. Sekiranya mahu dihujahkan, sekiranya “tertarik nafsu syahwat…” adalah sesuatu yang diharamkan, maka perbuatan seksual itu juga adalah diharamkan.
Ulamak menggunakan istilah liwat untuk hubungan seksual antara lelaki dan lelaki dan musahaqah untuk hubungan antara perempuan dan perempuan. Kedua-dua hukumnya adalah haram.
Walaupun berbeza mengenai hukumannya, ulamak mencapai kata sepakat tentang haramnya homoseksual secara ijma’; iaitu secara persetujuan sebulat suara dalam kalangan ulamak Islam. Sebagai sumber hukum Islam, ijma’ adalah antara sumber ketiga yang paling tinggi dalam sistem perundangan Islam selepas al-Quran dan Sunnah.
Sekiranya berlaku liwat majoriti ulamak Islam meletakkan hukumannya sama seperti hukuman kepada penzina, kecuali pandangan Imam Abu Hanifah. Asas kepada hukum pengharaman ini ialah al-Quran dan hadith. Antara ayat-ayat al-Quran yang berkaitan ialah, surah al-A’raf (7) ayat-ayat 80 hingga 84; surah ash-Shu’ara’ (26), ayat-ayat 165 hingga 174, surah Hudd (11) ayat-ayat 80 hingga 81, surah al-Hijr (15), ayat-ayat 51 hingga 60. Ayat-ayat suci ini menceritakan mengenai kaum Nabi Lut yang telah dihukum Allah dengan seksaan yang dahsyat sehingga mereka dihapuskan dari dunia ini.
Antara ayat-ayat suci al-Quran ini menggunakan istilah mujrimin kepada mereka yang tertarik kepada kaum sejenis. Perkataan mujrimin ini ditafsirkan sebagai orang-orang yang berdosa. Dalam konteks undang-undang jenayah perkataan ini boleh ditafsirkan sebagai yang melakukan jenayah kerana kata asal kepada perkataan mujrimin ini alah jurm iaitu antara perkataan yang ditafsirkan sebagai jenayah dan boleh dihukum melalui proses perundangan. Ada antara ayat-ayat suci ini yang menyebut mengenai status homoseksual sebagai orang-orang yang melampaui batas.
Selain daripada ayat-ayat suci al-Quran, terdapat juga hadith-hadith Rasulullah berkaitan homoseksual dan perbuatan liwat. Antaranya, terdapat hadis yang menyatakan mereka yang melakukan perbuatan ini dalam kemurkaan Allah.
Walaupun kedudukan ini jelas, banyak perbahasan semasa cuba membawa pandangan baharu dalam hal ini. Terdapat pendapat yang menyatakan ‘homoseksual’ tidak disebut secara harfiah dalam al-Quran. Ini benar kerana perkataan homoseksual itu hanya diperkenalkan pada akhir-akhir kurun ke-18. Walaupun perkataan homoseksual itu tidak disebut dengan nyata di dalam al-Quran, ini tidak bermakna al-Quran tidak mempunyai hukum mengenainya. Ayat-ayat suci al-Quran dengan jelas memberikan penerangan tentang perlakuan tersebut. Perlu diingat bahawa, adakalanya dalam konteks undang-undang jenayah, sesuatu perbuatan jenayah tidak semestinya mempunyai nama tertentu – adakalanya memadai sekiranya perbuatan itu diperjelaskan menerusi perbuatan. Sekiranya berlaku pertuduhan, adakalanya nama yang diberikan kepada sesuatu kesalahan tidak dapat memberi faham kepada tertuduh, maka cara perlakuan jenayah adalah lebih penting daripada nama kesalahan itu.
Ada juga kalangan penyokong homoseksual yang menyatakan tentang hukuman homoseksual adalah hanya kecenderungan para alim ulamak. Sesungguhnya pendapat ini tidak benar. Sekiranya dilihat kepada ayat-ayat al-Quran di atas, sangat jelas, hukuman yang dinyatakan dalam al-Quran itu begitu terperinci. Ia bukan kecenderungan ulamak. Ia adalah peringatan yang jelas.
Dengan perincian mengenai seksaan yang dihadapi oleh kaum Lut itu, ia menjadikan perbuatan mereka (kaum Lut) itu boleh dijadikan satu jenayah yang dihukum di dunia ini sebagi peringatan dan pengajaran. Sesungguhnya, seksaan Allah itu benar; seksaan Allah itu menyakitkan. Sama-samalah kita berpesan-pesan tentang seksaan Allah, semoga dengan berpesan-pesan begini, kita dapat menegakkan hukum Allah dan seterusnya dapat menyelamatkan orang-orang Islam daripada seksaan Allah yang benar dan dahsyat itu.
Dari sudut agama, ia amat terang kemungkarannya. Masalah akan timbul sekiranya ajaran agama diketepikan. LGBT dalam konteks agama bukan sesuatu yang moden, ia adalah perbuatan kuno dan mereka merupakan kaum-kaum yang telah dipupuskan Allah, The Perished Nation. Kita lihat ayat-ayat suci al-Quran berkaitan ini. Dari sudut budaya dan amalan masyarakat, ia juga begitu terserlah terpesong. Ia songsang. Begitu juga dari sudut undang-undang. Terdapat pelbagai peruntukan yang menjadikan perbuatan LGBT sebagai kesalahan. Mungkin mendedahkan diri sebagai pengamal seks songsang ini juga adalah kesalahan.
Jadi, mungkin ada yang ingin memberi pandangan, apakah alasan yang paling jitu untuk kita mengiktiraf LGBT di sini? Mungkin tiada jawapan lain, kecuali kebebasan peribadi tanpa sempadan.
Bukan Semata Menghukum, Tapi Mengubat
Sebagai manusia, saya percaya, perasaan simpati kepada mereka yang benar-benar mengalami masalah psikologi dalam menentukan status seksualiti tidak dapat dinafikan. Mereka ini adalah pesakit yang memerlukan bantuan. Mereka berhak untuk mendapat perkhidmatan kesihatan bagi memulihkan penyakit tersebut. Kita harus berbuat sesuatu untuk golongan ini. Namun begitu, ini tidak bermakna kita harus mengiktiraf keadaan ini dan ia tidak harus dijadikan alasan untuk membenarkan perbuatan tersebut dengan memberi pengiktirafan melalui pendekatan perundagan dan memaksa prinsip agama diubah. Bagi mereka yang semata-mata memperjuangkan LGBT atas dasar hak kebebasan, mungkin mekanisme undang-undang perlu mengambil tempat; tetapu bukan dengan semata-mata menghukum dalam bentuk punitive, tetapi pendekatan takdib atau pendekatan pendidikan dalam penghukuman; dan lebih utama, mengubati.
