KITA LEBIH MENGUTAMAKAN NAFSU

KITA LEBIH MENGUTAMAKAN NAFSU

Tahun ini, Ramadhan yang sedang kita hayati akan banyak dugaan dan godaan. Godaan yang tidak kalah hebatnya ialah  cuaca panas. Kita amat risau akan lebih tergoda 'berqiyamullail'  dengan handphone di tangan berbanding qiyamullail dan menyambut kedatangan lailatul Qadar yang amat dinanti-nantikan pada bulan Ramadhan ini. Hakikatnya semua orang-orang Islam mengetahui malam itu disebut dengan lailatulqadar, suatu malam yang dinilai oleh al-Quran malam yang penuh barakah dan malam yang lebih baik dari seribu bulan. Lailatulqadar sangat dimuliakan oleh umat Islam kerana pada malam tersebut turun rahmat dan kebaikan dari Allah s.w.t kepada umat-Nya.Maknanya sudah tentu kualiti peribadatan kita dalam mengejar lailatul qadar akan terganggu apabila kita berkongsi perhatian dengan aktiviti   peristiwa lain.

Tidak lama lagi, umat Islam juga akan berada dalam suasana memperingati Nuzul Quran (turunnya al-Quran). Peringatan ini bagi kita kaum Muslimin amat penting kerana kita memperingati peristiwa besar yang terjadi pada sekitar 14 abad yang lalu.

Kita memperingati Nuzul Quran kerana kita berkeyakinan bahawa al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu-satunya rahmat yang sebesar-besarnya kepada umat manusia di seluruh alam.

Kalau kita sekarang ini sedang berbicara tentang Nuzul Quran, sangat wajarlah bagi kita sebagai hamba Allah s.w.t. secara khusyuk dan rendah hati menghayati suasana malam diturunkannya al-Quran sebagaimana yang tersebut dalam surah al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud;

Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran ini pada malam Lailatul qadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul qadar? Malam Lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut; Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar!

Penghormatan ini berlangsung satu malam suntuk dengan tenang dan aman damai sehingga terbitnya fajar pagi. Sengaja digambarkan oleh Allah s.w.t. dengan kata `salam' akan ketenangan malam yang semalaman itu sebagai kiasan daripada mesej dan isi yang dibawa oleh kitab suci iaitu perdamaian.

Inilah satu penghormatan yang begitu besar yang pernah terjadi dalam coretan seluruh sejarah kemanusiaan. Justeru Lailatul qadar sentiasa segar dan hidup setiap tahun sepanjang perjalanan sejarah manusia untuk memperingati peristiwa turunnya wahyu Allah s.w.t.

Bermain game atau internet  boleh, namun solat malam dan zikir dilaksanakan. Kedua-duanya iaitu unsur duniawi dan ukhrawi perlu berjalan seiring. Pada kebiasaannya, terjaga di waktu malam hari adalah waktu yang paling sukar bagi kita untuk bangun, apatah lagi untuk melaksanakan solat tahajud.

Demikianlah tabiat jiwa itu cenderung mengikut hawa nafsu, bersifat malas dan suka mencari alasan. Akan halnya bila kita terjaga kerana hendak menyaksikan bola sepak yang pada hari-hari tertentu telah menyibukkan masyarakat kita untuk menggunakan tenaga dan waktu kita untuk bola.

Lantaran itu, bagi memperoleh keperluan dan mendapatkan keberkatan duniawi dan ukhrawi, alangkah baiknya sekiranya peminat bola menyusun satu pendekatan yang boleh merangkumi kedua dimensi itu. Niat pertama terjaga malam hari adalah diniatkan untuk melakukan ibadah pada malam hari seperti melaksanakan solat tahajud. Baru kemudian menyaksikan perlawanan bola.

Hakikatnya, kita sebenarnya sudah biasa terjaga pada waktu malam hari. Akan tetapi malangnya kita terjaga dari tidur semata-mata untuk menyiapkan kerja pejabat yang tidak siap, menonton filem, berborak atau menyaksikan perlawanan bola sepak.

Dalam usaha kita untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah, kita digalakkan untuk mengerjakan solat tahajud dan solat malam yang lain (qiyamullail). Kita perlu mempunyai azam yang kuat untuk mengerjakan solat tahajud seperti mana azam kuat yang kita tanam untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Eropah.

Bagi memperoleh pahala terjaga malam hari, kita perlu kuatkan dengan niat untuk beribadah dulu.

Ingatlah firman Allah yang bermaksud: "Dan pada sebahagian malam hari bersolat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji." (al-Isra’: 79).

Untuk mengekalkan momentum peribadatan kita sepanjang Ramadan ini jangan sesekali kita dikalahkan oleh nafsu yang bersifat keduniawian mahupun nafsu syahwat seks. Sesungguhnya graf puasa nabi dan sahabat-sahabat meningkat berterusan sejak puasa pertama hingga hari puasa terakhir. Dan graf itu mengalami peningkatan yang amat ketara pada saat-saat akhir bulan Ramadan.

Tetapi bukan sedikit di antara kita yang grafnya terbalik. Semakin menjelang berlabuhnya Ramadan, semakin banyak masa dihabiskan dengan perkara-perkara yang tidak ada hubungan sama sekali dengan kesucian bulan Ramadan. Kita lebih sibuk dengan baju baru, sibuk memikirkan pulang kampung dan sibuk membeli belah di pusat-pusat perbelanjaan yang banyak menawarkan potongan harga.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

028450
Hari ini: 309
Minggu Ini: 309
Bulan Ini: 4,380
Tahun Ini: 28,450
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.