ALLAH SWT BENCI UMAT BERPECAH

ALLAH SWT BENCI UMAT BERPECAH

Syeikh Mahmud Syaltut menyatakan agama merupakan ketentuan Ilahi yang menetapkan prinsip-prinsip umum untuk membimbing urusan manusia bagi mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Di samping itu, agama juga memberi petunjuk kepada kebaikan, kebenaran dan keindahan, serta memantapkan kedamaian dan ketenteraman bagi manusia seluruhnya.

Perpaduan dan persatuan sesama muslim merupakan kewajipan syariah. Dengan wujudnya persatuan itu merupakan nikmat Ilahi yang sangat besar.  Suatu perintah yang tegas dari Allah SWT agar kaum Muslimin bersatu padu dalam tali atau wadah yang satu iaitu Islam.

Ibnu Jarir di dalam kitab tafsirnya meriwayatkan keterangan dari Qatalah tentang maksud firman Allah tersebut. Ia berkata: "Sesungguh Allah membenci kamu berpecah belah dan melarang kamu mendekatinya, memperingatkan dan mencegah kamu daripada perbuatan demikian, tetapi Allah menyenangi kamu taat, mendengar perintahnya dan bersatu padu. Kerana hendaknya kamu menyenangi apa yang disenangi oleh Allah untuk kamu."

Dalam usaha memantapkan ukhuwah Islamiah ini, ia bukan sekadar penjelasan dari segi persamaan pandangan agama atau sekadar toleransi mengenai perbezaan pandangan melainkan yang lebih penting lagi adalah langkah-langkah bersama umat Islam sehingga dapat merasakan nikmatnya persaudaraan satu iman itu.

Salah satu hadis yang masyhur, menyentuh aspek ukhuwah adalah sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada sahabat Ibnu Umar, yang bermaksud: “Seorang Muslim bersaudara dengan Muslim yang lain. Ia tidak menganiayanya, tidak pula menyerahkannya (kepada musuhnya). Barangsiapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi pula keperluannya. Siapa yang melapangkan suatu kesulitan seorang Muslim, Allah akan melapangkan baginya satu kesulitan pula dari kesulitan-kesulitan yang dihadapi di hari kemudian.

Persaudaraan dalam Islam berlandaskan iman kepada Allah, cinta kerana Allah dan benci kerana Allah, dan seseorang mukmin yang merupakan saudara bagi mukmin yang lain mempunyai pertalian persaudaraan yang lebih kuat daripada pertalian darah di kalangan adik-beradik kandung.

Pertalian keimanan inilah yang memperkukuh hubungan sesama individu dalam masyarakat, dan yang menjadikan masyarakat satu unit sosial yang tersusun rapi dan utuh. Untuk memantapkan ukhuwah Islamiah yang diperlukan bukan sekadar penjelasan segi-segi persamaan pandangan agama atau sekadar tolerensi mengenai perbezaan pandangan. Malah yang lebih penting lagi adalah langkah-langkah bersama yang dilaksanakan oleh umat sehingga seluruh umat merasakan nikmatnya.

Justeru, kita mengakui al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup, seharusnya kita berusaha mencipta kebaikan dalam kehidupan ini. Kita harus memperbaiki hubungan persaudaraan sesama Islam dan mencipta perdamaian di antara pihak-pihak yang bermusuhan.

Jalan yang besar dan lebih utama ialah bagaimana untuk menjaga akidah umat Islam dan menyatukan mereka dalam barisan ukhuwah Islamiah dalam menghadapi penyelewengan akidah seperti aliran-aliran fikiran bebas serta gejala-gejala kemungkaran yang bermaharajalela dalam kehidupan harian kita. Inilah yang perlu ditangani bersama terlebih dahulu daripada perkara yang remeh-temeh dalam masalah khilafiah.

Sehubungan dengan ini, dapatlah kita amati dan insafi penegasan Allah s.w.t menerusi firman-Nya yang bermaksud: Bertakwalah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, jika benar kamu orang-orang yang beriman. (Al-Anfal: 1)

Kekuatan ukhwah Islamiah dan perpaduan inilah yang masih tinggal yang perlu dipertahankan oleh seluruh umat Islam. Sekiranya ikatan ukhwah Islamiah dan kekuatan perpaduan ini turut roboh maka tunggulah kehancuran dan malapetaka yang akan menimpa umat Islam.  Hujatul Islam Imam Al-Ghazali menegaskan, Bersatulah seperti dua tangan ini. Jangan bercerai seperti dua telinga ini. Ketika tangan kanan ke depan, tangan kiri ke belakang. Ketika tangan kiri ke depan, tangan kanan ke belakang. Akhirnya kita selesa jalan berlenggang. Tapi kalau kedua-duanya ke depan..atau kedua-duanya ke belakang...?

Ilustrasi tersebut menggambarkan betapa pentingnya kita semua yang berhimpun hari ini menjaga persaudaraan dan memupuk perpaduan  di antara kita kerana perbezaan yang muncul daripada keragaman (pemikiran, ideologi, dan sebagainya), tidak mustahil menjadi peledak lahirnya fanatisme buta, persaingan tidak sihat, perselisihan, kutuk mengutuk dan perpecahan yang berupaya meluluhlantakkan nilai  nilai kebersamaan, merapuhkan persaudaraan dan tidak mustahil pula membawa derita dan kehancuran ummah dan bangsa kita.

Kita sebenarnya menyedari hakikat bahawa umat Islam sedang menghadapi fasa perpecahan dan perbalahan yang kritikal. Perpecahan ini jika dibiarkan berterusan hanya akan merugikan umat Islam itu sendiri. 
Permusuhan selalunya dimulai dengan keinginan manusia atau sekumpulan manusia untuk memenuhi tuntutan nafsu. Dalam kes ini, jika ada halangan untuk memuaskan tuntutan nafsu, sesetengah manusia mengambil jalan mudah dan mengetepikan sifat kemanusiaannya.

”Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka.Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya)”. (Al-An'aam 6:159)

Bermula dengan sikap benci, berkembang menjadi perseteruan sementara dan seterusnya tanpa kawalan diri akan memuncak menjadi lebih buruk termasuk melibatkan pembunuhan dan pelbagai bentuk kezaliman. Rasa benci yang mula berakar menyebabkan manusia sanggup memutuskan perhubungan sebagai rakan atau saudara. Memutuskan ikatan persaudaraan seagama menjadi petanda bahawa berlakunya kekeruhan iman.
Perselisihan seperti ini harus diatasi dengan dakwah dan amar makruf nahi mungkar.

Apabila berlakunya sesuatu perselisihan, orang Islam diwajibkan untuk melupakan perbezaan dan kembali kepada dasar keimanan dengan jelas. Sebarang perbezaan pendapat perlu diselesaikan secara berhemah dan beretika. Tuduh-menuduh antara pihak yang berselisih pendapat perlu dielakkan.

Sehubungan ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat mengenai sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama dan lebih baik 

Fenomena IS
Begitu juga dengan fenomena Islamic State (IS) yang amat membimbangkan kita. Fahaman IS yang cuba dibawa masuk ke negara kita, tidak hanya bertentangan dengan fahaman Ahlu Sunnah wal Jamaah yang kita pegangi, akan tetapi ia juga membahayakan keselamatan negara kerana fahaman ekstrem yang dibawa IS berpotensi menghuru-harakan keharmonian dan ketenteraman. Pandangan ekstrem dan ganas IS juga bertentangan dengan cara yang digagas al Ghazali yang menekankan cara berdiplomasi dan menolak keganasan bagi menegur atau memperbaiki sikap penguasa.     

Ini kerana ia diasaskan kepada kehendak untuk melihat setiap orang dapat hidup dalam situasi aman, harmoni dan sejahtera tanpa ada prasangka serta pergeseran berasaskan kepentingan tertentu. Lebih penting  ini bukan sekadar laungan atau slogan 'menyelamatkan akidah ummah' tetapi lebih praktikal lagi bagaimana memikirkan cara-cara pengukuhannya nanti.

Ini kerana banyak lagi unsur-unsur lain yang perlu diketengahkan sebagai alat-alat pengukuhan akidah. Maknanya di samping kita menslogankan akidah, tidak patut pula diabaikan ajaran yang penting yang sering diistilahkan sebagai ibadah. Bahkan ibadah atau ilmu itu sendiri memainkan peranan penting bagi pengukuhkan akidah.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

017896
Hari ini: 148
Minggu Ini: 491
Bulan Ini: 3,037
Tahun Ini: 17,896
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.