PERJUANGAN DAN SUMBANGAN BADI'UZZAMAN SAID NURSI

PERJUANGAN DAN SUMBANGAN BADI'UZZAMAN SAID NURSI

Said Nursi (1876-1960) merupakan sarjana Islam abad ke 20 berasal dari Turki. Beliau menulis tafsir al-Quran melebihi enam ribu muka surat yang dinamakan sebagai Risale-i Nur. Berdasarkan cabaran semasa dan kebolehan yang dipamerkan beliau mendapat gelaran Badi'uzzaman, yang bermaksud "keajaiban zaman."  Menurut kajian Said Nursi dianggap sebagai "penyelamat yang Islam di Turki  dar serangan golongan materialis atiesme dan nasionalis Kemalisme; ... dan merupakan pengasas Nurculuk, komuniti iman berasaskan teks yang paling berpengaruh dalam sejarah Turki" (Turner & Korkuc).

Sumbangan Said Nursi dalam Tiga Tempoh Kehidupan

Sejarah perjuangan dan Sumbangan Said Nursi kepada Islam biasa dibahagikan kepada tiga tempoh berdasarkan kehidupannya. Tempoh pertama digelar sebagai Said Lama (Old Said) dari masa kelahirannya pada tahun 1876 sehingga 1918. Seterusnya tempoh kedua dipanggil sebagai Said Baru (New Said) bermula dari tahun 1920 sehingga 1950. Ia diberi sempena perubahan pegangan beliau yang meletakkan al-Quran sebagai Pemimpin Tunggal (Sole Master). Tempoh ketiga dan terakhir dalam kehidupan Said Nursi bermula dari 1950 sehingga akhir hayatnya 1960. Masa ini beliau dianggap sebagai pemimpin kepada gerakan Nur di Turki.

1. 'Old Said' (1876-1918): Zaman Kanak-kanak dan Remaja

Said Nursi dilahirkan pada 1876 di sebuah perkampungan kecil, iaitu Nurs dalam Wilayah Bitlis di Turki Timur (Eastern Anatolia). Beliau berasal dari keturunan keluarga Kurdish dan mempunyai tujuh orang beradik dan merupakan anak yang keempat. Bapanya bernama Mirza, seorang yang alim atau dikenali sebagai mullah’ kampungnya. Manakala ibunya bernama Nuriye. 
Said Nursi mendapat pendidikan awal bermula pada usia sembilan tahun sekitar tahun 1885. Untuk menuntut ilmu beliau terpaksa tinggal di sebuah madrasah di Tag di bawah bimbingan Molla Mehmed Emin Efendi. Selepas itu beliau meneruskan pendidikan di Permit  dan belajar di bawah bimbingan Seyyid Nur Muhammad Efendi, seorang pengamal tarekat Naqshbandi. Tidak lama selepas itu beliau bersama abangnya, Abdullah menyambung pelajaran di Nursing, Turki.

Selepas tiga tahun melalui alam persekolahan beliau pulang ke Nurs pada musim sejuk sekitar tahun 1888. Semasa berada di rumah beliau bermimpi melihat Rasulullah (S.A.W). Mimpi tersebut menguatkan keinginannya untuk meneruskan pendidikannya.  Beliau terus mengambil keputusan untuk meninggalkan kampungnya dan bertolak menuju ke Arvas. Selepas itu beliau ke Bitlis untuk memasuki madrasah Syaikh Emin Efendi. Tidak berpuas hati dengan pendidikan yang diterima beliau berpindah lagi ke madrasah Mir Hasan Velu di Mukus di bawah pengetua yang bernama Molla Abdulkerim. Seterusnya Said Nursi menuju ke Vastan (Gevaş), berhampiran Van. Selepas sebulan di sana beliau berpindah ke Doğubeyazıt, sebuah bandar kecil di wilayah Erzurum.

Di Doğubeyazıt  sekitar tahun 1891, Said Nursi mula belajar di madrasah Bayazit di bawah pimpinan Shaykh Mehmed Jalali. Di sini beliau berjaya mendapat Ijazah (diploma) dalam masa yang singkat, iaitu hnya dalam masa tiga bulan ketika berusia awal empat belas tahun. Menurut sumber, beliau menguasai semua teks yang diajar di madrasah tersebut pada masa itu dalam masa yang singkat. Apabila ditanya oleh gurunya beliau menjawab: "Saya tidak dapat membaca dan memahami semua buku-buku ini. Tetapi saya tahu bahawa semuanya adalah kotak mutiara: dipenuh harta dan merupakan kunci utama yang menjadi pegangan. Apa yang saya perlukan adalah petunjuk kepada kandungan. Apabila saya tahu tajuk-tajuk dalam teks tersebut, saya akan memilih mana-mana yang bersesuaian dengan ciri peribadi saya." (Turner & Horkuc, 6)

Sejak itu beliau mula dikenali sebagai Molla Said’. Beliau membuat keputusan untuk mengembara ke Baghdad untuk menambah ilmu di dada.  Dalam perjalanan ke Baghdad beliau melalui daerah Bitlis. Semasa di sana beliau menghadiri ceramah yang disampaikan oleh Shaykh Mehmed Efendi selama dua hari berturut-turut. Timbul kesedaran baru kepadanya menyebabkan beliau membatalkan niat ke Baghdad. Beliau memilih untuk bergerak dari kampung ke kampung dan bandar ke Bandar untuk menemui menuntut ilmu dengan cara talaqqi dengan bertemu para ulama Turki. Beliau banyak menghabiskan masa dengan ahli ulama tempatan dan merasa puas.

Pada tahun 1892 semasa di Mardin, kesedaran politik mula timbul dalam dirinya apabila isu-isu semaa dunia Islam dapat beliau tahu melalui pertemuannya dengan pengembara tertentu yang melalui Bandar tersebut. Orang yang pertama ialah pengikut Jamal al-Din al-Afghani dan yang kedua adalah seorang ahli Tarekat Sanusi dari Afrika Utara. Selepas mendapat kesedaran politik Said Nursi mencuba untuk mengubah suasana politik semasa di Turki. Aktiviti yang berbentuk politik yang cuba diambil menyebabkan Gabenor Mardin  merasa tidak puas hati. Beliau mengambil keputusan menghantar Said Nursi ke Bitlis diiringi dengan kawalan rapi.

Semasa di Bitlis, Said Nursi bernasib baik apabila gabenor Bitlis, Omer Pasha, begitu kagum dengan keupayaan beliau. Beliau meminta Said Nursi tinggal bersama untuk mengajar anak-anaknya. Semasa berada di rumah gabenor tersebut, beliau berpeluang mengkaji teks Islam klasik yang penting bagi meningkatkan pengetahuan dalam bidang ilmu-ilmu Islam sepanjang dua tahun di Bitlis. Selain itu beliau berminat mendalami kajian sains tabie (natural science).  

Seterusnya dalam tahun 1894, beliau  berpindah ke Van dari Bitlis. Di Van beliau menetap lama selama lima belas tahun, mulanya atas jemputan Gabenor Hasan Pasha dan selepas pelantikan penggantinya Tahir Pasha, Said Nursi diminta untuk tinggal bersama di rumah gabenor tersebut. Di sini Said Nursi meneruskan kajian dalam bidang ilmu-ilmu Islam secara lebih mendalam. Cara yang diambil ialah dengan menghafal teks-teks Islam klasik dalam semua bidang. Setelah menghafal teks tersebut sebanyak kira-kira sembilan puluh, beliau membuat kesimpulan dengan suatu pengisytiharan bahawa "Saya tidak memerlukan apa-apa lagi. Al-Quran sahaja sudah memadai." Said Nursi mula menyedari bahawa teologi Muslim tradisional semata-mata tidak mampu menjawab keraguan mengenai Islam yang dibangkitkan dalam masyarakat kerana aliran materialisme yang lebih sistematik. Menurutnya kajian sains moden perlu dalam Islam dalam menangani cabaran umat Islam semasa.

Beliau mula menekuni pelbagai jenis sains sosial dan sains tabie termasuk bidang sejarah, geografi, matematik, geologi, fizik, kimia, astronomi dan falsafah. Berikutan usaha beliau yang gigih sehingga dapat menguasa kedua bidang Islam dan sekular,  ulama semasa mengelarkan beliau sebagai 'Bediuzzaman' (Keajaiban masa). Sememangnya umat Islam terhutang dengan usaha Said Nursi terutamanya dengan kecepatannya memahami sains baru yang berbentuk sekular.

Pada tahun 1896, Yahya Nuzhet Pasha, salah seorang penasihat kepercayaan mencadangkan agar Said Nursi bertindak sebagai penasihat kepada Jawatankuasa Pemilihan di bawah Istana Sultan Abdulhamid II (1876-1909) di Istanbul. Said Nursi menerima jawatan tersebut dan menetap di Istanbul. Selepas menghabiskan masa selama setahun setengah di Istanbul, Nursi memilih untuk kembali ke Van dan menjadi tenaga pengajar di madrasah Horhor sekitar tahun 1898.

Setelah berada lama di bahagian Timur Turki, Said Nursi kembali ke Istanbul pada 1907. Tujuan beliau ialah untuk mendapatkan sokongan rasmi kerajaan untuk penubuhan Universiti Islam, yang diberi nama ‘Madrasa Zehra’ di Timur Anatolia. Semasa di Istanbul, beliau menetap rumah persinggahan (han) di Sekerci yang juga merupakan pusat di mana intelek Islam berkumpul. Di rumah tersebut Nursi menggantungkan tulisan di pintu biliknya, iaitu 'Di sini, semua soalan dijawab dan semua masalah diselesaikan, tetapi tidak ada soalan yang akan ditanya. Keilmuan luar biasa Nursi dihormati ulama Istanbul dan beliau menjadi begitu popular di kalangan penduduk.

Pada tahun 1908 Nursi bertolak ke Salonica (Macedonia) dan menjadi tetamu kepada Manyasizade Refik Bey, Pengerusi Jawatankuasa Kesatuan dan Kemajuan (CUP). Sekembalinya ke Istanbul beliau menyampaikan ucapan bertajuk 'Penyataan kepada Kebebasan' di Dataran Kebebasan (Freedom Square). Beliau mengulangi ucapan tersebut sekali lagi di Salonica tiga hari selepas berlaku rampasan kuasa tentera anggota Turki Muda (Young Turks) menentang Sultan Abdulhamid II pada 31 Mac 1908.

Tentu sahaja Said Nursi menerima tuduhan bersubahat untuk menjatuhkan sultan yang memerintah. Dengan sebab itu, pada tahun 1910 Said Nursi telah ditangkap dan dibicarakan oleh Mahkamah Tentera. Beliau hanya dibebaskan selepas memberi ucapan perbelaan yang panjang. Selepas perbicaraan tersebut, Said Nursi memilih untuk tidak kekal lama tingga di Istanbul dan kembali ke Van. Sekitar tahun 1911 iaitu selama dua tahun, Nursi mengembara di seluruh Wilayah-wilayah Timur bagi menjelaskan prinsip-prinsip yang mendasari gerakan kebebasan dan perlembagaan yang beliau perjuangkan.

Ini membawa beliau ke Syria. Di awal 1911 beliau melawat Damsyik dan menyampaikan khutbah di Masjid Umawi yang lebih dikenali sebagai Khutbah Damsyik. Dalam khutbah tersebut beliau menerangkan 'enam penyakit yang utama yang menghinggapi umat Islam, iaitu:
1. Meningkatnya perasaan putus asa dalam diri dan masyarakat 
2. Matinya perjuangan untuk menegakkan kebenaran dalam kehidupan sosial dan politik.
3. Suka permusuhan berbanding perdamaian dan toleransi
4. Jahil tentang ikatan iman yang menghubungkan antara orang yang beriman sesama sendiri.
5. Lahir dan berkembangnya pemerintahan kuku besi seolah-olah ia adalah penyakit berjangkit.
6. Timbul usaha bagi menyekat apa perkara yang secara peribadinya berfaedah kepada diri dan masyarakat.

Said Nursi bukan sahaja mengenal-pasti penyakit tersebut, tetapi juga mengesyorkan ramuan dalam memulih krisis umat Islam, antaranya dengan menimbulkan semangat supaya tidak mudah berputus asa di samping usaha-usaha perlu dibuat supaya akhlak Islam dapat diamalkan.

Dalam usaha beliau untuk menubuhkan universiti (Medresetuz-zehra), Said Nursi kembali sekali lagi ke Istanbul dalam tahun 1911 dan dapat bertemu dengan Sultan Mehmed Rashad (1909-1918). Pihak sultan akhir bersetuju mengurniakan 19.000 liras emas untuk tujuan tersebut. Beliau terus kembali ke Van dan memilih tapak untuk penubuhan universiti tersebut. Hasrat tersebut terpaksa ditunda apabila Perang Balkan (1912-1913) tercetus. Pada masa yang sama penaung kepada usaha tersebut, iaitu Tahir Pasha juga meninggal pada 1913. 

Turki juga berperang dengan pihak Rusia. Ini menyebabkan Said Nursi bangkit menyokong pihak kerajaan dan bertindak sebagai ketua militia. Beliau memimpin pasukan yang terdiri daripada empat hingga lima ribu orang di perbatasan Kaukasia dalam tahun 1916. Beliau turut cedera dalam pertempuran dengan pihak Rusia dan selepas kejatuhan Bitlis, beliau telah ditangkap dan dihantar sebagai tawanan perang ke Kostroma dalam wilayah Rusia Tengah.

Selepas dua tahun dalam penjara, Said Nursi melarikan diri pada 1918. Beliau berjaya kembali ke Istanbul melalui Petersburg, Warsaw, Berlin dan Vienna sebelum sampai ke Istanbul. Atas sebab tersebut beliau dianugerahkan pingat untuk perkhidmatan perang. Selain itu atas kelebihan ilmu yang ada beliau menjadi ahli kepada Daru'l-Hikmeti'l-Islamiye (Akademi Pengajian Islam Tinggi), sebuah institusi tinggi Islam. Semasa itu beliau berjaya menulis sebahagian dari tafsir al-Qurannya dengan judul 'Ayat-ayat yang Menakjubkan.' 

2. ‘New Said’ (1920-1950)

Pada tahun 1920 Sultan Vahdettin melantik Said Nursi sebagai “mahrec” (Syaikh al-Islam). Beliau menulis rencana berkaiatan dengan punca-punca kemerosotan kerajaan Uthmaniyyah dan berjaya diterbitkan. Ini mungkin menimbulkan kemarahan pihak kerajaan dan menjadi bukti bagi penentang kerajaan. Atas sebab itu sewaktu Said Nursi ke Ankara pada 4 Ogos 1922, Mustafa Kemal (1881-1938) turun untik mengalu-alukan kedatangannya ke sana. Said Nursi bagaimanapun mula sedar golongan penentang kerajaan bercita-cita melaksana dasar sekularisasi berbanding dengan Islam. Beliau meninggalkan Ankara atas kesedaran tersebut. Pada tahun 1923 beliau kembali ke Van dan tinggal di situ selama hampir dua tahun. Beliau banyak mengabdikan dirinya sepenuhnya untuk berfikir dan tidak mengarang atau mengajar.

Semasa berlaku pemberontakan yang diketuai oleh Syaikh Said Palu pada 1925, Said Nursi dituduh mempunyai kaitan dengan pemberontakan tersebut. Bagi Said Nursi beliau tidak akan mengangkat senjata menentang orang Islam dan pemerintannya. Beliau dibawa ke Istanbul untuk disiasat. Akhirnya dibuang daerah di Burdur, iatu sebuah bandar kecil di barat Anatolia. Ketibaan beliau di Burdur menandakan permulaan beberapa tempoh buangan dan tahanan rumah yang dikenakan kepada Nursi. Di sana beliau menetap di Masjid Haji Abdullah di daerah Degirmenler di bandar tersebut. Beliau masih diberi kebenaran untuk menulis dan mengajar.

Seterusnya pada tahun 1926 beliau dihantar ke Isparta, sebelahi barat daya Turki dari Burdur. Semasa di isparta beliau tinggal di perkampungan Barla, berdekatan dengan pantai barat Tasik Egirdir. Bermula dari sini Said Nursi melakukan perubahan mendadak dan berlaku perpindahan dari Nursi Lama kepada Nursi Baru. Ini jelas berdasarkan kata-kata beliau bahawa hanya mengambil al-Quran sebagai rujukan tunggal dan bukannya sumber yang lain. Said Nursi berada dalam buangan di Barla selama hampir lapan setengah tahun.  Di sana beliau menulis sebanyak seratus tiga puluh bahagian Risale-i Nur.

Dalam menilai apa yang berlaku Vahede menulis: "Oleh itu, kita boleh mengatakan bahawa berlaku pencerahan kepada Bediuzzaman dalam tiga peringkat. Pertama, dia sedar kekurangan yang ada dalam 'falsafah manusia' dengan meneliti dan bagaimana ia telah menjadi penghalang kepada pencerahan dan kemajuannya. Dan kedua, kerana Bediuzzaman sendiri mengakui 'ubat pahit' yang dirasakan oleh Syaikh 'Abd al-Qadir Geylani dalam Futuh al-ghayb: 'Saya faham kesalahan saya, luka saya yang dialami, dan ego saya menjadi hancur.' Kemudian untuk melengkapkan proses transformasi sebagai ‘New Said,’ beliau memahami melalui Mektubat Imam-i Rabbani bahawa beliau perlu mengambil al-Qur'an sebagai rujukan tunggalnya." (Vahide, 167 seperti yang dipetik oleh Turner, 25).

Seterusnya Said Nursi dipindah dari Barla ke Isparta pada akhir musim panas tahun 1934. Beliau menghabiskan sembilan bulan di Isparta. Pada tahun berikutnya Nursi ditahan selepas berlaku penangkapan 120 pelajar dari seluruh Turki sekitar tahun 1935. Beliau dijatuhi hukuman penjara sebelas bulan. Semasa di penjara, beliau menghabiskan masa untuk menulis sebuah risalah pendek menghuraikan beberapa ayat-ayat al-Quran tentang konsep berpakaian dalam Islam.

Beliau dibebaskan dari penjara Eskisehir pada musim bunga tahun 1936.  Beliau terus dihantar ke Kastamonu di kawasan Laut Hitam di Anatolia sebagai buangan. Masa itu juga beliau menulis salah satu daripada karya yang paling penting yang membentuk Risale-i Nur dalam tajuk Ayatul-Kubra (Tanda-tanda Besar).

Pada 31 Ogos 1943, Said Nursi bersama dua puluh dua daripada pelajar ditangkap dan ditahan di balai polis Kastamonu. Antara tuduhan ialah beliau cuba mewujudkan tarekat Sufi baru, membentuk parti politik, menentang pembaharuan pihak pemerintah dan mengeksploitasi perasaan agama, terutamanya dengan lahirnya risalah mengenai akhir zaman. Bagaimanapun, pada 16 Julai 1944, Mahkamah membersihkan semua tuduhan tersebut dengan arahan supaya mereka dikeluarkan dari penjara serta-merta. Said Nursi dibebaskan bersama tahanan lain.

Selepas dibebaskan, beliau diarahkan supaya tinggal di Emirdag, sebuah bandar wilayah kecil yang terletak di antara Afyon dan Eskisehir selama tujuh tahun. Beliau dilarang dari bergerak bebas. Peluang ini digunakan untuk terus menulis. Para pelajar beliau makin bertambah. Pada 23 Janauri 1948, Said Nursi sekali lagi ditangkap dan dipenjara di Penjara Afyon bersama dengan 54 tahanan lain. Pada 6 Disember tahun yang sama mahkamah Afyon menjatuhakan hukuman jenayah kepada Nursi dan beliau dihukum selama dua puluh bulan penjara. Kemudian pada 20 September 1949, beliau dibebaskan dari penjara dan kembali ke rumahnya di Emirdag. 

3. Third Said: Pemimpin Gerakan Nur di Turki

Perubahan mula berlaku di Turki pada tahun 1950 apabila Parti Demokrat pimpinan Adnan Menderes memenangi pilihanraya umum pada bulan Mei. Ia dikira serentak dengan kemunculan Said ketiga. Dalam tempuh ini, Said Nursi melakukan perubahan corak hidup, mengembangkan aktiviti yang berkaitan dengan Risale dan gerakan Nur dan menglibatkan diri dengan perkembangan sosial dan politik. Pada masa Said Nursi tidak dikawal dan boleh menyertai jemaah di Masjid Carsi. Beliau juga berkesempatan untuk menunaikan solat tarawih pada bulan Ramadan di masjid.

Pada tahun 1953, Said Nursi memilih untuk tinggal di Isparta. Beliau mula mengadakan sesi bacaan dan pembelajaran (ders) kepada kumpulan pelajar berdasarkan Risale-i nur. Pada tahun 1956 Mahkamah di Afyon mengeluarkan keputusan akhir mengenai Said Nursi magnum opus, Risale-i nur dan mengisytiharkan bahawa 'tidak ada yang menyalahi undang-undang dalam Risale-i' dan ia kemudiannya mengembali semua salinan yang dirampas. Pada tahun 1957 beliau turut sama menghadiri majlis untuk meletakkan asas bagi masjid askar Batalion ketiga di Isparta. Dalam tahun 1958, biografi tentang Said Nursi dibenarkan untuk ditulis dan Mustafa Sungur & Zubeyir Gunduzalp menerbitkannya.

Atas peluang yang ada Said Nuris memulakan siri lawatan ke bandar-bandar di Turki termasuk Ankara, Konya dan Istanbul sekitar tahun 1959. Pada tahun yang sama, iaitu 30 Disember, Said Nursi berjaya menarik perhatian banyak media massa sempena lawatan kali kedua ke Ankara. Beliau dikunjungi ramai orang termasuk ahli politik semasa berada di Ankara. Selepas meneruskan lawatan ke tempat lain, beliau mencuba untuk melawat bandar Angkara sekali lagi tetapi tidak tercapai. Said Nursi tidak dibenarkan masuk ke Ankara dan beliau dinasihat supaya berehat di Emirdag.

Pada 20 Mac 1960, Said Nursi dan beberapa pelajar yang paling rapat bertolak dari Isparta menuju ke Urfa. Ia merupakan perjalanan beliau yang terakhir. Ini kerana pada 23 Mac semasa berada di Hotel Ipek Palas beliau meninggal dunia setelah tiga hari di situ. Beliau telah dikebumikan di Halilurrahman Dergah, setempat dengan maqam Nabi Ibrahim (A.S.) menurut dakwaan orang Turki. Bagaimanapun, jenazah beliau telah dibawa ke tempat yang tidak diketahui di Anatolia atas arahan Jawatankuasa Perpaduan Negara. Ini berlaku selepas dua bulan rampasan kuasa tentera buat kali pertama di Turki pada 27 Mei 1960. 

Risale-i Nur Koleksi sebagai Sumbangan Said Nursi

Risale-i Nur Koleksi dikenali di Turki sebagai “Risale-i Nur Külliyatı,” merupakan kitab tafsir yang ditulis dari 1910-1950-an. Ia bukan berdasarkan turutan ayat tetapi lebih bersifat tematik.  Tujuan utama ialah untuk mengembalikan kehidupan beragama di Turki selepas dasar sekularisme diterima Turki.

Ia juga dikenali sebagai tefsir mânevî, atau komentar yang menghuraikan makna kebenaran dalam al-Quran. Ini termasuk nama-nama Allah, sifat-sifat dan perbuatan Allah di alam semesta, kewujudan Allah, dan tawhid, hari kebangkitan, kenabian, takdir, dan tugas manusia untuk beribadat.

Dalam koleksi Risale-i Nur ini terbahagi kepada beberapa topic, antara Sozler (Kalimat), Mektûbat (Surat-surat), iaitu koleksi tiga puluh tiga surat yang berbeza-beza panjang dari Bediuzzaman kepada murid-muridnya, Lem'alar (Koleksi Kilasan), Şuâlar (Pancaran), İşârât-ül İ'caz (Ayat-Ayat Ajaib), Asa-yi Musa (Tongkat Nabi Musa) dan banyak lagi (lihat umpamanya, Http://en.wikipedia.org/wiki/Risale-i_Nur).

Kesimpulan dan Kajian Semasa

Ketokohan Said Nursi diakui umum lebih-lebih dengan perkembangan Islam semasa di Turki. Kajian membukti kehebatan Said Nursi. Berikutan ini disenaraikan kajian semasa tentang Said Nursi. Antaranya Serif Mardin, Religion and Social Change in Modern Turkey: The Case of Bediüzzaman Said Nursi (1989), Camilla T Nereid, In the Light of Said Nursi: Turkish Nationalism and the Religious Alternative (1998), Fred A. Reed, Anatolia Junction: A Journey into Hidden Turkey. Talonbooks (1999), Ibrahim M. Abu-Rabi, Islam at the Crossroads: On the Life and Thought of Bediuzzaman Said Nursi (2003) dan Spiritual Dimensions of Bediuzzaman Said Nursi's Risale-i Nur (2008), Ian Markham, A Theology of Engagement (2003), Globalization, Ethics and Islam: The Case of Bediuzzaman Said Nursi (2005), Engaging with Bediuzzaman Said Nursi, A Model of Interfaith Dialogue (2009) dan An Introduction to Said Nursi (2011), NecmettinSahiner, Son Şahitler 3 (2004), Ibrahim, Hassan Ahmed, “Bediuzzaman Said Nursi, an Overview of his Life and Position towards Globalization,” dalam  Zeenath Kausar (ed.), Contemporary Islamic Political Thought: A Study of Eleven Islamic Thinkers (2005), Thomas Michel, Said Nursi's Views on Muslim-Christian Understanding (2005), Colin Turner & Hasan Horkuc, Said Nursi (2009), Peter Barnett, Guardian of the Flame: In the Steps of Said Nursi, Fearless Defender of the Faith (2010) Ibrahim Kalın, Islam in Turkey (2010) dan Sukran Vahide, Bediuzzaman Said Nursi: Author of the Risale-i Nur (2011). Kajian Sukran Vahide diterbitkan semula di Malaysia.

Oleh: Prof. Madya Dr. Abdul Salam Muhamad Shukri (IIUM)

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

017024
Hari ini: 120
Minggu Ini: 1,829
Bulan Ini: 2,165
Tahun Ini: 17,024
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.