PENYATUAN UMMAH: IMPIAN ATAU ANGAN-ANGAN?

PENYATUAN UMMAH: IMPIAN ATAU ANGAN-ANGAN?

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”. - (An-Nisa' 4:59)

Keunikan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan agama, sambil mengangkat Islam menjadi agama persekutuan negara diakui dan dihormati oleh seluruh dunia. Dalam perbezaan pendapat, ideologi, fahaman politik dan kepercayaan, rakyat dan pemimpin berjaya mencorak satu budaya yang mementingkan toleransi dan keamanan. Masyarakat kita seharusnya mengakui dan bersyukur dengan apa yang kita sudah capai.

Prinsip perpaduan ini dipelihara dengan perasaan muhibah dan harmoni. Namun disebabkan perbezaan pegangan aqidah, mazhab dan politik, seringkali menjadi punca kepada perpecahan pada hari ini. Perkara ini merupakan suatu cabaran besar yang perlu dihadapi oleh para pemimpin, bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin.

Sekiranya negara berada dalam keadaan tidak stabil, maka akan muncul pihak-pihak luaran mahupun dalaman yang akan mengambil kesempatan dengan niat untuk terus menggugat perpaduan yang telah terjalin sejak sekian lama. Pada ketika ini umat Islam dalam negara sedang mengalami suatu macam kekalutan yang ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin politik, ulama-ulama, baik dari parti pemerintah maupun pembangkang.

Secara fitrah, ummah kita sebenarnya inginkan keamanan dan perpaduan bukan persengketaan. Fitrah semula jadi manusia inginkan kehidupan yang aman damai kerana di situ letaknya kebahagiaan dan keharmonian yang diidamkan oleh semua manusia. Tetapi secara realistik juga, fitrah manusia adalah untuk menegakkan apa yang dia percaya, apa yang dia sokong sepenuh hatinya. Sama ada pegangan politiknya, atau manhaj yang dia senangi. Dan dari itu lahirnya perbezaan pendapat menjurus kepada tafarruq, mengakibatkan umat Islam semakin lemah.

Tambah lagi dengan adanya platform media sosial, di mana perselisihan membuka ruang kepada kutukan, sifat mengherdik orang tidak sependapat dan sebagainya. Ini menghiris lagi luka di hati pihak-pihak yang sedang berbeza fahaman.

Maka apakah jalan penyelesaian yang boleh kita terokai supaya menguatkan kembali perpaduan sesama muslim, dan di dalam masyarakat kita secara amnya?

Sejujurnya, persatuan-persatuan NGO Islam dalam negara, perlu memainkan peranan besar supaya menjadi contoh yang baik kepada umat Islam dalam negara kita. Berasaskan perspektif ini, sudah sewajarnya segala bentuk perbincangan sama ada digelar dengan halaqah, debat, mujadalah, muzakarah, mabahis dan sebagainya, perlu dalam kerangka mengelakkan elemen pergaduhan dan perpecahan.

Biarlah kita mulakan dialog perbincangan, secara fizikal ataupun online melalui media sosial, untuk tonjolkan isu-isu yang boleh menyatukan ummah. Contohnya seperti bersama-sama menghalang pemikiran liberalisme, dan melawan Ateisme dengan hujah.
“Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya - apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya.” - (Asy-Syuura 42:13)

Justeru manusia sangat inginkan kepada perpaduan. Lebih penting daripada itu umat Islam inginkan amalan yang sebenar bukan berbaur dengan kepentingan politik, peribadi atau sebagainya. Umat Islam perlukan kematangan untuk menghadapi situasi hari ini dengan tenang supaya segala faktor negatif tidak memerangkap dan menjatuhkan kita sekali lagi dalam fitnah kekacauan seperti yang berlaku di zaman sahabat (Khalifah Ali dan Othman) dahulu.

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. - (Al-Hujurat 49:10)

Memang tidak dinafikan, untuk berpendapat dan berfikiran sama tidak mungkin tetapi untuk bersatu pasti tiada halangan, asalkan semua pihak bersikap jujur pada diri sendiri dan menghormati orang lain. Nabi Muhammad SAW telah membuktikan hakikat tersebut dalam setiap tingkah laku, khususnya dalam hubungan sesama manusia.

Sikap jujur, toleransi dan menghormati orang lain merupakan sikap yang berupaya membawa kepada kejernihan hubungan, sekaligus memantapkan penyatuan ummah bagi menangani segala macam bentuk permasalahan yang datangnya sama ada daripada kalangan ummah itu sendiri mahupun dari dunia luar.

Rasulullah SAW menyedari bahawa keabadian umatnya bergantung kepada keeratan ikatan hati masyarakat yang saling kasih-mengasihi kerana Allah. Sedangkan kehancuran dan perpecahan umat Islam berkait rapat dengan keretakan ikatan batin Muslim. Untuk menghindari hal itu, baginda sangat mengharapkan agar umatnya menghindari perselisihan (ikhtilaf) di antara mereka. Dalam hal ini beliau bersabda yang bermaksud: “Kamu sekalian jangan berselisih, sebab perselisihan akan menimbulkan keretakan di dalam hati kamu.- (Hadis riwayat Bukhari)

Sebagai seseorang yang diberi amanah ilmu dan pengetahuan agama yang memadai oleh Allah SWT, jangan pula kita selaku persatuan, mendongak ke langit dan hanya mahukan ego kita dibelai. Persatuan dan NGO muslim sepatutnya menjadi barisan pertama dan utama untuk mencontohi adab Rasulullah SAW, dan menanggalkan ego dan unsur ananiyah dalam diri, sekiranya ingin menyatukan ummah di dalam negara tercinta.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019394
Hari ini: 244
Minggu Ini: 1,989
Bulan Ini: 4,535
Tahun Ini: 19,394
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.