FAHAM “AL-WASAT” DALAM ISLAM: MENANGANI ISU DAN CABARAN UMAT ISLAM SEMASA

FAHAM “AL-WASAT” DALAM ISLAM: MENANGANI ISU DAN CABARAN UMAT ISLAM SEMASA

ISLAM adalah agama yang bercirikan “wasatiyyah” atau kesederhanaan dan kepertengahan. Ramai sarjana Islam seperti Profesor Dr. Yusuf al-Qardhawi dan Dr. Wahbah al-Zuhayli membincangkan ciri-ciri keistimewaan Islam ini. Identiti sebegini menarik masyarakat dunia untuk menjadikan Islam sebagai agama pilihan mereka. Umat Islam sekarang ini sudah mencapai jumlah melebih 1.5 bilion, menduduki tempat kedua dunia selepas penganut Kristian.

Menurut Dr. Wahbah al-Zuhayli dalam buku Qadaya al-Fiqh wa al-Fikr al-Mu‘asir (2008) ciri wasatiyah merangkumi keseluruhan aspek ajaran Islam termasuk daripada aspek akidah, ibadah, muamalah kewangan, hubungan sosial dan hubungan dengan masyarakat lain merangkumi aspek rahmat dan kasih sayang  dan pengajaran berguna dan dakwah. Bagaimanapun, berbanding dengan agama Islam yang mempunyai ciri utama, umat Islam sekarang masih terkapai-kapai dalam arena antarabangsa dan domestik walaupun mempunyai bilangan yang ramai. Mereka menghadapi pelbagai cabaran sama ada dalaman atau luaran. Kemunduran dalam bidang pemikiran dan pembangunan fizikal dan material berbanding dengan kemajuan di Barat.

Banyak pemikir Islam dahulu dan sekarang mencuba untuk mengatasi kemelut tersebut. Antaranya seperti Imam al-Ghazali, Ibn Taymiyyah, Ahmad Sirhindi, Shah Wali al-Dihlawi, Muhammad Abd al-Wahhab, Jamal al-Din, Muhammad Abduh, Muhammad Iqbal, al-Mawdudi, Burhanuddin al-Helmy, Ismail al-Faruqi, Syed Muhammad Naquib al-Attas dan banyak lagi. Secara umumnya mereka melihat kelemahan masyarakat dan pemerintah Islam sebagainya punca kepada kegagalan dan kemunduran umat Islam.

Bagi para pemikir Islam ini, umat Islam mesti kembali mempraktikkan Islam secara betul dan komprehensif sama ada dalam pemikiran dan tindakan. Cabaran luar dan campurtangan asing menambah kegawatan dalam dunia Islam. Umat Islam hilang punca dan tidak dapat mengatasi kemelut semasa, contohnya krisis di Libya, Syria dan Yaman sehingga berlaku campurtangan asing. Sebelum ini umat Islam juga menghadapi krisis di Palestin, Afghanistan, peperangan antara Iran-Iraq dan pencerobohan asing di Iraq dan banyak lagi.

Sebagai percubaan dan buat permulaan, adalah baik untuk kita meneliti faham agama dalam bentuk yang ideal, iaitu Islam sebagai worldview (pandangan hidup) dan satu cara hidup (al-din) yang sempurna secara bandingan dengan keadaan semasa umat Islam. Ini boleh dianggap sebagai sebahagian daripada usaha intelektual untuk memahami konsep-konsep asas dalam Islam dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Dalam artikel ini, kita akan menumpu kepada faham tentang “al-wasat” dalam Islam. Dengan memahami konsep al-wasat, diharapkan ia dapat mencorak pemikiran dan tindakan dalam menangani isu semasa. Seterusnya faham al-wasat ini membawa implikasi positif kepada tindakan setiap individu Muslim baik kepada diri, masyarakat dan negara.  

Dengan mempraktikkan konsep al-wasat, kejadian seperti di Amerika pada 20 Mac lalu di mana  seorang padri Kristian bernama Terry Jones membakar al-Quran tidak sepatutnya berlaku.  Ini kerana kejadian ini berlaku akibat dari sikap ekstrem dan ia pula mengakibatkan sikap ekstrem pihak yang lain pula sebagai tindak balas. Umpamanya, apabila tersebar kejadian membakar al-Quran, beribu-ribu penunjuk perasaan di Bandar utara Afghanistan menceroboh kawasan Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu menyebabkan 12 kematian. 

Maksud Istilah “al-Wasat” 
Perkataan Arab “al-wasat” berasal daripada kata kerja wasata-yasitu-yastan-wasitah-tawassata yang bermaksud, “diletakkan di tengah-tengah, berada pada pertengahan” dan “berada dalam jarak yang sama antara dua yang ekstrem.” Dalam konteks yang lain seperti dalam ayat “wasata qawma-hu wa fi-him wasaatah,” ia pula bermaksud “Dia berada dalam kedudukan yang tinggi di kalangan kaumnya.” Dengan itu perkataan wast dan wasat bermaksud “di tengah-tengah” dan “tengah” atau dalam istilah bahasa Inggeris, “midst” dan “middle.” Istilah “wasat” juga bermaksud “sedang, sederhana (middling), biasa atau purata (average), berpatutan (just), adil dan saksama (equitable), pertengahan (intermediate), dan sama jarak (equidistant)” (Hava, 2001: 868).

Secara lebih lanjut al-Zabidi dalam Taj al-Arus mendefinisikan wasat dalam setiap sesuatu atau perkara sebagai “yang paling adil dan saksama” (a‘dalu-hu).  Apabila dikatakan “suatu yang pertengahan” (shay’un wasatun), iaitu ia berada antara perkara baik dan buruk. Al-Zabidi memberi contoh maknanya bertepatan penggunaan “ummatan wasatan” dalam al-Quran. Memetik pendapat al-Zujaj, al-Zabidi mengatakan al-wasat ada dua maksud utama, iaitu “adil” (‘adl) dan “terbaik” (khiyar, kata majmuk dari perkataan khayr).  

Al-Zabidi merupakan sumber utama E. W. Lane pula dalam Arabic-English Lexicon dalam mendefiniskan al-wasat sebagai sebahagian daripada setiap sesuatu bermaksud “yang paling adil dan saksama” (a’dalu-hu), iaitu dengan memberi satu hukum yang betul dan juga “baik” (khayru-hu), iaitu dengan cara yang berpatutan dan sederhana. Ini maksud daripada ayat al-Quran, “Kami jadikan kamu sebagai satu umat, yang mengesahkan dan akur, patuh, ikut kepada kesederhanaan, keadilan, kesaksamaan atau kebaikan (to the just mean, just, equitable or good).” Ini juga bertepatan dengan hadith, “khayru al-umur awsaatu-ha, maksudnya “sebaik-baik perkara, tindakan dan kes adalah antara dua yang keterlaluan (ekstrem atau melampau) - (Lane, 2941f).

Sebagai perbandingan, menurut Kamus al-Marbawi, perkataan wasat (kata jamak, awsaat) bermaksud “tengah-tengah, pertengahan, sederhana.” Selain itu istilah berkaitan termasuk  “al-wusta” bererti “jari tengah atau jari hantu, ”wasit “orang tengah, pendamai,” dan mutawassit “yang pertengahan, yang sederhana.” (Marbawi, 1354 H: II, 388)

Seterus istilah al-wasat digunakan secara lebih teknikal. Ini jelas apabila al-Jurjani dalam Kitab al-Ta‘rifat mengemukakan definisi “al-wasat” sebagai “suatu yang dapat dikait dengan perkataan atau pendapat kita (ma yaqtarinu bi-qawli-na). Ini kerana ketika dikatakan “ia sedemikian,”contohnya apabila kita kata, “alam adalah baru kerana ia berubah.” Kaitan atau bandingan dengan perkataan kita kerana ia “berubah” ialah wasat.  (tt: 326, no. 1614).

Secara umum kita dapat simpulkan bahawa al-Jurjani melihat al-wasat sebagai rasionalisasi bagi setiap pendapat yang dikemukakan. Contohnya, pandangan Islam tentang alam sebagai benda baru berdasarkan bukti bahawa alam berubah. Perubahan merupakan kriteria benda baru.  Daripada sini, Islam berpegang bahawa ada Pencipta kepada alam kerana setiap benda baru tentu ada penciptanya. Pencipta alam adalah Allah. Dengan itu Islam mengakui kewujudan Allah berdasarkan bukti kewujudan alam ini.

Penggunaan “al-Wasat” dalam al-Quran

Seterusnya pula kita melihat penggunaan dalam al-Quran tentang perkataan wasat dan kata terbitan daripadanya. Al-Quran menggunakan pada lima tempat, iaitu

(1) "Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus) Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) ummatan wasata”, (wa-kadhalika ja‘alna-kum ummatan wasata …, al-Baqarah (2), 143).

(2) “Peliharalah kamu segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (Asar) [“hafizu ‘ala al-salawat wa al-salat al-wusta”], dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan khusyuk (al-Baqarah (2), 238).

(3) “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan, akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat. Maka dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu berikan kepada keluarga kamu, [… fa-kaffaratu-hu it‘amu asharati masakina min awsati ma tut‘imuna ahli-kum] atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat, maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda sumpahmu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya supaya kamu bersyukur.” (al-Ma’idah (5): 89).

(4) “Berkatalah orang yang bersikap adil di antara mereka: “Bukankah aku telah katakan kepada kamu (semasa kamu hendak menghampakan orang-orang fakir miskin dari habuannya): amatlah elok kiranya kamu mengingati Allah (serta membatalkan rancangan kamu yang jahat itu)?” “qala awsatu-hum a-lam aqul la-kum law la tusabbihun” (al-Qalam, (68): 28).

(5) “Lalu menggembur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh.” “fa-wasatna bi-hi jam’an” (al-‘Adiyat (100),

Berdasarkan kepada ayat-ayat, kita ambil penerangan yang dibuat oleh al-Raghib al-Isfahani dalam al-Mufradat fi gharib al-Qur’an (1998: 537-38) dalam membahaskan maksud al-wasat tersebut. Menurut al-Raghib, al-wasat mempunyai dua makna yang utama, iaitu: (1) suatu yang mempunyai dua tepi atau hujung yang sama kadarnya, dan (2) suatu yang ada dalamnya dua tepi atau hujung yang sama-sama tercela.

Bagi maksud yang pertama, perkataan al-wasat disebutkan suatu yang mempunyai dua hujung yang sama dalam kadar atau kuantiti yang ada hubungan, umpamanya badan yang satu. Bila sahaja disebut “tengahnya” (wasatu-hu), ia merujuk kepada tulang belakang (sulb). Manakala perkataan “wast” pula merujuk kepada kadar atau kuantiti yang berpisah seperti benda yang berpisah antara dua badan seperti kata “di kalangan kaum” (wast al-qawm) yang sedemikian.

Bagi maksud yang kedua pula, al-wasat ialah suatu yang ada dalamnya dua tepi atau hujung yang sama-sama tercela. Umpamanya, dikatakan “ini adalah yang pertengahannya” (hadha awsatu-hum) dengan mengambil kira kedudukan seseorang di kalangan kaumnya.  Kedudukanya adalah yang paling tinggi seperti ia bersifat pemurah, iaitu sifat antara bakhil dan boros. Ia digunakan dengan tujuan terpelihara daripada sifat yang melampau antara terlalu lebih dan terlalu kurang (ifrat wa tafrit). Wasat juga menunjukkan perkara yang dipuji dengan adanya, seperti kesamaan, keadilan dan pertengahan (nasafah). Menurut al-Raghib, kedua-dua maksud ini terkandung dalam pengertian dua ayat di atas, ayat dalam surah al-Baqarah dan surah al-Qalam.

Seterusnya al-Raghib menyatakan bahawa istilah wasat kadang-kadang merujuk kepada suatu benda yang mempunyai hujung sama ada hujung yang terpuji atau hujung yang tercela seperti perkara baik dan buruk. Ia diibaratkan kepada perkara yang tidak sempurna dan tidak betul (razila) seperti kata-kata mereka bahawa “seseorang itu setengah daripada lelaki” mengingatkan bahawa dia sudah keluar daripada batasan kebaikan.

Al-Raghib menambah lagi tentang maksud firman Allah dalam al-Baqarah ayat 237, “Peliharalah kamu segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta.” Menurut al-Raghib, terdapat perselisihan dalam memahami maksud al-salat al-wusta. Ada yang menafsirkan ia sebagai solat Zuhur dengan mengambil kira bahawa perkataan wusta sebagai “tengahari”. Ada yang menafsirkan ia sebagai solat maghrib kerana bilangan rakaat solat maghrib adalah antara dua rakaat dan antara empat rakaat. Ada pula yang menafsirkan ia sebagai solat subuh kerana ia dilaksanakan antara solat malam dan siang.

Pendapat ini mengambil hujah daripada ayat al-Quran yang lain, iaitu ayat yang bermaksud: “Dirikanlah sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh [Quran al-fajr]; sesungguhnya solat subuh [Quran al-fajr] itu adalah disaksikan para Malaikat.” (al-Isra’ (17): 78). Menurut pendapat ini, alasan disebut solat subuh, iaitu diistilahkan sebagai “Quran al-fajr” secara khususnya dalam al-Quran, antaranya adalah kerana keadaan manusia yang tersangat malas untuk bangun daripada kesedapan tidur. Atas alasan itu azan subuh ditambah dengan seruan, “Solat lebih baik daripada tidur” atau “al-salat khayr min al-nawm.”

Pendapat seterusnya ialah ia bermaksud solat asar kerana waktunya ia didirikan ketika manusia tengah sibuk dengan pekerjaan masing berbanding dengan solat-solat lain yang ada masa kosong sama ada sebelum atau selepasnya. Rasulullah (s.a.w.) pernah memberi amaran tentang solat asar ini bahawa “barangsiapa yang luput dalam menunaikan solat asar ia seperti membahayakan keluarga dan hartanya.”

Al-Raghib bagaimanapun tidak mengulaskan dua ayat yang lain dalam al-Quran di atas kerana makna yang sudah jelas. Seterusnya terdapat hadis nabi (s.a.w.) yang bermaksud “Sebaik-baik perkara ialah yang pertengahannya.” (Khayr al-umur awasitu-ha). Selain itu terdapat juga pandangan Imam al-Ghazali (w. 505/1111) dalam Ihya’ ‘ulum al-din tentang doktrin al-wasat yang boleh diketengahkan di sini.

Pandangan al-Ghazali Dalam Ihya’ tentang  Doktrin al-Wasat (Pertengahan atau Mean) 
Menurut Imam al-Ghazali, setiap manusia perlu memiliki akhlak yang mulia. Al-Ghazali melihat akhlak bermula dari dalam diri manusia, bukan luaran. Akhlak ini kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Menurut al-Ghazali, akhlak atau tabiat dan perangai (khuluq) ialah “gambaran tentang suatu sifat yang tetap pada jiwa (di mana) tingkah laku perbuatan timbul dengan mudah dan cepat tanpa perlu berfikir dan menimbang terlebih dahulu. Sekiranya timbul keadaan di mana tingkah laku perbuatan itu baik menurut pertimbangan akal dan syariah dan ia lahir secara mudah, ia disebut perangai yang baik. Sebaliknya apabila timbul tingkah laku yang buruk, ia disebut perangai yang buruk.” (Ihya’ ‘ulum al-din, III: 52).

Al-Ghazali mengemukakan empat sifat keutamaan (fada’il) iaitu (1) kebijaksanaan (hikmah), (2) keberanian (shaja‘ah), (3) maruah diri (‘iffah), dan (4) keadilan atau keseimbangan (‘adalah). Kebijaksanaan, menurut al-Ghazali berpusat kepada kekuatan akal. Keberanian pula berpusat kepada kekuatan sifat marah, dan maruah diri berpusat kepada kekuatan syahwat. Manakala keadilan terjadi apabila ketiga-tiga kekuatan itu terjadi secara teratur dan sempurna.  

Al-Ghazali menghubungkan doktrin al-wasat dengan keempat-empat sifat utama di atas. Menurutnya setiap sifat tersebut mempunyai terma tengah (hadd al-wasat), iaitu antara berlebih dan berkurang kecuali sifat keadilan yang tidak mempunyai kadar pertengahan. Umpamanya hikmah ialah sifat yang terletak di tengah-tengah atau pertengahan antara kebodohan dan kelicikan (cunning). Keberanian pula terletak di tengah-tengah antara sifat pengecut dan sifat terburu-buru atau terus meluru melakukan sesuat tanpa siasat. Manakala memelihara maruah diri adalah sifat pertengahan antara sifat yang tiada keinginan langsung dan yang sebaliknya hanya menurut hawa nafsu semata-mata.  

Menurut al-Ghazali lagi, ketetapan had wasat atau wasat yang hakiki dapat ditentukan apabila ia ditimbang melalui cara akal dan Syariah. Dengan kata lain, prinsip yang memandu ketetapan al-wasat ialah akal dan syariah. Bagi al-Ghazali, al-wasat sangat penting kerana ia berhubung rapat dengan kebahagiaan. Dengan mengambil kira sifat pertengahan (wasat) dalam pemikiran dan tindak tanduk, kebahagiaan di dunia dan akhirat dapat dicapai oleh setiap individu Muslim. Menurut al-Ghazali lain, al-wasat ialah al-sirat al-mustaqim (jalan yang lurus) yang dapat membebaskan manusia daripada belenggu hawa nafsu dan ikatan duniawi.  Secara praktikalnya, mematuhi syarat al-wasat sangat penting kerana ia menjadikan manusia benar-benar berfungsi secara baik. Manusia dapat mencari ilmu, melakukan amal soleh dan mengelak daripada kejahatan. Apabila manusia gagal mematuhi syarat al-wasat, kejahatan akan berlaku dan masyarakat menjadi tidak aman kerana manusia tidak lagi mementingkan ilmu, keberanian, maruah diri dan keadilan. Menurut al-Ghazali lagi, keadilan adalah kemuncak apabila terlaksana ketiga-tiga akhlak utama sebelumnya secara teratur dan sempurna (Abul Quasem, 1978: 79ff).

Pelaksanaan Faham al-Wasat Dalam “Ummatan Wasata” 
Konsep al-wasat di atas diterjemahkan dalam bentuk tindakan dalam al-Quran apabila umat Islam yang mempunyai ciri-ciri al-wasat bertindak sebagai saksi kepada manusia lain. Ini yang digambarkan al-Quran: "Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus) Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil [ummatan wasata], supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. Dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu, melainkan untuk pengetahuan Kami tentang siapakah yang mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah. Dan sesungguhnya (peralihan kiblat) itu amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah. Dan tidaklah Allah akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang (yang beriman)." (al-Baqarah: 143)

Apabila meneliti kepada tafsiran al-Quran dalam bahasa Melayu, pengarang Pimpinan ar-Rahman kepada Pengertian al-Qur’an menyatakan maksud “ummatan wasata” adalah seperti berikut:   
“Umat Islam dijadikan oleh Allah Taala sebagai “Ummatan wasata”.  “Ummatan wasata”: berma’na "umat yang pilihan lagi adil”, dan juga berma’na “umat yang pertengahan”, iaitu: pertengahan segala pembawaannya, tidak melampaui dan tidak keterlaluan di dalam menganut kepercayaannya, demikian juga akhlak dan amalannya, segala-segalanya berkeadaan di tengah-tengah − sama-sama dipandang, dipelajari dan diusahakan, meliputi soal-soal dunia dan akhirat. Tiap-tiap orang yang berdiri di tengah-tengah dengan mengambil tahu secara mendalam dan memandang berat kepada perkara-perkara yang berlaku di sekelilingnya, maka pertimbangannya serta pengetahuannya mengenai baik buruk perkara-perkara itu, adalah adil, benar dan sah. Dengan yang demikian, layaklah ia memberi keterangan kepada orang-orang yang keadaannya tidak seperti dia." (Tafsir Pimpinan ar-Rahman, 1995: 55-56 n. 54).

Oleh ABDUL SALAM MUHAMAD SHUKRI
Pensyarah di Jabatan Usuluddin, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

040874
Hari ini: 54
Minggu Ini: 311
Bulan Ini: 5,156
Tahun Ini: 40,874
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.