PENGHAPUSAN ETNIK MUSLIM ROHINGNYA: KEJAM DAN TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN

PENGHAPUSAN ETNIK MUSLIM ROHINGNYA: KEJAM DAN TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN

Peristiwa penindasan musuh-musuh Islam terhadap umat Islam telah lama berlaku. Ia bermula dengan peristiwa pemulauan ekonomi oleh golongan kafir Quraisy terhadap Rasulullah SAW dan sesiapa sahaja yang bersama baginda termasuk Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib yang mempertahankan baginda. Bagi menjayakan pemulauan ini mereka telah menandatangani satu perjanjian bertulis. Dalam perjanjian tersebut tercatat bahawa golongan kafir Quraisy tidak akan berjual beli, menyekat sumber-sumber rezeki, dan tidak akan berkasihan belas terhadap umat Islam, kecuali setelah Bani Abdul Mutalib menyerahkan Rasulullah SAW kepada mereka untuk dibunuh. Dengan itu, seluruh kafir Quraisy berpegang kepada perjanjian itu selama tiga tahun, mulai dari bulan Muharram tahun ketujuh hingga kesepuluh kebangkitan baginda sebagai Rasulullah SAW.

Penindasan yang seumpama ini, malah lebih dahsyat lagi terus menerus menimpa umat Islam, terutamanya golongan umat Islam yang hidup sebagai kumpulan minoriti dalam negara-negara yang diperintah oleh golongan bukan Islam. Misalnya, kekejaman zionis di bawah pimpinan Ariel Sharon dengan penglibatan Militia Falangis dan anggota-anggota Tentera Bebas  Lubnan pimpinan Saad Haddad terhadap pelarian Palestin di kem Sabra dan Shatila di Beirut, Lubnan pada 15-18 September 1982; kekejaman tentera Serbia terhadap umat Islam Bosnia di bekas jajahan Yugoslavia sepanjang tiga tahun bermula dari 6 April 1992 hingga Disember 1995; Rusia menceroboh Chechnya pada tanggal 2 Oktober 1999 dan melakukan siri pembunuhan yang sangat kejam terhadap umat Islam Chechnya, tanpa mengira wanita, kanak-kanak ataupun orang tua; kaum Han Cina yang bertindak menghapuskan kumpulan minoriti umat Islam Uighur di wilayah Xinjiang, Cina pada Jun 2009 yang memaksa majoriti umat Islam keluar meninggalkan wilayah tersebut agar tidak disakiti dan dibunuh; kekejaman beberapa puak Kristian daripada kumpulan anti-Balaka yang melancarkan kempen pembersihan etnik Islam di bahagian Barat Republik Afrika Tengah sejak awal Januari 2014; keganasan yang dilakukan terhadap umat Islam di Selatan Thailand; penjajah Israel yang melakukan penghapusan etnik umat Islam Palestin sejak sekian lama; dan peristiwa yang sedang hangat berlaku sekarang ini ialah penyeksaan, penindasan dan pembunuhan etnik Rohingnya yang beragama Islam di Arakan, Myanmar.

Arakan merupakan antara 14 daerah dalam wilayah Myanmar. Di Arakan inilah etnik Rohingnya yang beragama Islam diami. Terdapat dua kelompok kaum besar yang mendiami di bumi Arakan, iaitu etnik Rohingya yang beragama Islam dan Rakhines ataupun Maghs yang beragama Buddha. Hampir separuh daripada 7 juta umat Islam di Myanmar berada di Arakan.  

Arakan yang berkeluasan 36,778.0 kilometer persegi mempunyai populasi penduduk melebihi 3 juta. Ia tidak termasuk 1.5 juta etnik Rohingya yang dibunuh dan diusir dari Myanmar sejak tahun 1942. Sehingga kini, majoriti etnik Rohingya telah menyamai etnik Maghs. Seawal tahun 1942 juga, terdapat lebih kurang 200,000 etnik di Myanmar, tetapi kini hanyalah tinggal sekitar separuh daripada jumlah itu.

Sebenarnya, peristiwa penindasan dan kekejaman terhadap umat Islam Rohingnya ini bukanlah suatu isu baru. Sejak 1948 lagi, umat Islam Rohingya sudah menjadi mangsa penghapusan etnik oleh kerajaan Myanmar. Sejak Mynmar mendapat kemerdekaan daripada kolonial British, hidup etnik Muslim Rohingya tidak lagi aman. Masjid-masjid dibakar, kediaman dimusnahkan, tanah dirampas, anak-anak kecil dibunuh, dan para wanita dirogol dengan sesuka hati. Biarpun memakan masa puluhan tahun, umat Islam Rohingya tidak pernah dibela. Tragedi-tragedi terbaru yang menumpahkan darah di Arakan kebelakangan ini telah menyebabkan lebih 2 juta etnik Rohingnya yang beragama Islam keluar melarikan diri meninggalkan Myanmar.

Disebabkan Bangladesh tidak menerima penghijrahan umat Islam Rohingnya ini, mereka terpaksa bergadai nyawa meredah lautan menuju ke Asia Tenggara dengan menjadikan tiga buah Negara iaitu Thailand, Malaysia dan Indonesia sebagai tempat yang dituju.

Sebahagian pemerhati dan penganalisis melihat kejadian ini sebagai konflik agama antara masyarakat Buddha dengan umat Islam. Namun, yang lebih jelas ia seolah-olah usaha penghapusan etnik (ethnic cleansing) Rohingya yang beragama Islam oleh kerajaan Myanmar.
 
Persoalannya, siapakah di sebalik kerajaan Myanmar yang menjalankan penghapusan etnik ke atas umat Islam Rohingya ini? Setelah diselidiki, didapati majoriti daripada kerajaan dan tentera Myanmar adalah terdiri daripada etnik Maghs. Etnik Maghs ini bukan merupakan penduduk asal Myanmar. Mereka ini berhijrah ke Myanmar sekitar 1200-1500 tahun yang lepas. Asal usul bahasa mereka adalah Sino-tibetan dan merupakan susur galur daripada keturunan Yunnan yang bermigrasi dari China. Etnik Maghs telah menduduki tanah Arakan sehingga berjaya memerintah tanah tesebut.

Pada tahun 1982, etnik Maghs telah melakukan proses Burmanization. Proses Burmanization ini bertujuan menghasilkan satu asimilasi agama, etnik, budaya, masyarakat dan sejarah etnik-etnik Myanmar ini sebagai satu kaum dengan satu bahasa dan agama. Antara slogan terkenal adalah to be Burmese is to be a Buddhist dan slogan ini dicanang-canangkan kepada seluruh etnik. Proses ini secara tidak langsung menetapkan satu pemaksaan prinsip-prinsip de-muslimazation kepada etnik Rohingya. Dalam perkataan lain, kalau ingin kekal di Myanmar, umat Islam Rohingnya perlu murtad. 

Jelas di ini wujud pemaksaan identiti ke atas umat Islam Rohingnya yang mendorong mereka untuk murtad. Oleh sebab itu, umat Islam Rohingnya menolak proses Burmanization dan de-Muslimization. Sebagai akibat daripada penolakan ini, kerajaan Myanmar mengambil tindakan-tindakan tertentu dalam usaha mereka menghapuskan etnik Rohingnya yang beragama Islam.

Menurut Mohd Aiman Mohd Faudzi, Penganalisis di Institut IRIS (Interdisciplinary Research and International Strategy), terdapat banyak tindakan yang diguna pakai oleh kerajaan Myanmar dalam usaha mereka menghapuskan etnik Rohingnya. Kesemua tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan mereka telah berjaya dikesan dari semasa ke semasa sejak kerajaan Myanmar bertindak menghapuskan etnik Rohingnya pada tahun 1942 lagi.

Antara tindakan yang pernah dilakukan ialah Tentera State Law and Order Restoration Council (SLORC) telah menyediakan statistical genocide dengan tujuan mengaburi mata dunia dari segala bentuk kekejaman tentera dan kerajaan Myanmar dengan menunjukkan angka penduduk Rohingya yang telah digelapkan. Dengan ini mereka dapat menunjukkan kepada dunia luar bahawa tiada berlaku pembunuhan dan paksaan migrasi kepada etnik Rohingya yang beragama Islam di Arakan. Segala usaha jahat seperti pembunuhan, rogol, pukul, rampasan, pembakaran dan sebagainya dapat dilakukan dengan selesa. Jika diperhatikan, jumlah penduduk Rohingya yang ditunjukkan kini adalah lebih rendah berbanding jumlah yang pernah dikeluarkan oleh Burma Socialist Programme Party (BSPP) lebih kurang 30 tahun yang lalu. Mana mungkin setelah siri-siri pembunuhan dan paksaan migrasi besar-besaran tidak menunjukkan sebarang pengecilan drastik jumlah populasi etnik Rohingya? Pada masa yang sama statistical genocide ini bertujuan tidak mengiktiraf status majoriti etnik Rohingya dan sekali gus menafikan hak kerakyatan mereka.

Sebenarnya, tindakan kejam terhadap etnik Rohingnya yang beragama Islam ini sudah berlaku sebelum Myanmar mencapai kemerdekaan lagi. Disebabkan etnik Maghs berkeinginan terhadap tanah yang diduduki oleh etnik Rohingya, pada tahun 1942, sebanyak 10,000 etnik Rohingya telah dibunuh dengan kejam dan ribuan lagi diusir dari perkampungan mereka. Pada bulan April 1942 khususnya, ketika rusuhan dan peperangan sivil tercetus di Arakan dari kepulauan Akyab, etnik Maghs bersama-sama dengan para pemerintah Myanmar telah memanfaatkan situasai tersebut dengan menyembelih seramai 100,000 umat Islam Rohingya dan membakar lebih daripada 307 buah perkampungan umat Islam. Ketika itu hampir keseluruhan bahagian timur Arakan menjadi tanah perkampungan bukan Islam dan etnik Maghs yang beragama Buddha menduduki tanah tersebut. Namun begitu, setelah Myanmar mendapat kemerdekaan pada tahun 1948, etnik Rohingya telah merayu kepada kerajaan baru Myanmar untuk mendapatkan semula tanah mereka, tetapi permintaan ini telah ditolak. Hasilnya ribuan umat Islam Rohingya tidak mempunyai tempat tinggal.

Terdapat beberapa siri penafian hak pemilikan tanah oleh Kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya. Antara yang terpenting adalah pada tahun 1945. Ketika itu General Aung San sedang berusaha mendapatkan kemerdekaan daripada British. Syarat yang diberikan oleh British adalah agar beliau mendapat sokongan segala etnik baik majoriti dan minoriti di Myanmar. Justeru, pada tahun 1947 telah diadakan satu persidangan yang dinamakan Panlong Conference di Wilayah Shan. Setiap etnik minoriti seperti Shan, Kayah, Kachin, Karen dan etnik-etnik lain telah diberikan jaminan untuk mendapat autonomi kepada tanah mereka. Namun begitu, etnik Rohingya yang beragama Islam merupakan antara etnik majoriti tidak dipanggil. Bahkan, wakil bagi etnik di Arakan telah diwakili oleh etnik Maghs. Sebenarnya ini merupakan satu konspirasi kerajaan Myanmar untuk meletakkan Arakan iaitu tanah umat Islam Rohingya di bawah kekuasan mereka yang beragama Buddha. Secara tidak langsung hal ini telah menafikan hak pemilikan tanah kepada etnik Muslim Rohingya.

Selepas Myanmar mencapai kemerdekaan pada tanggal 4 januari 1948, 19 operasi ketenteraan di wilayah penempatan Rohingya dijalankan dengan alasan untuk mengawal rusuhan daripada berlaku. Namun pada hakikatnya, ia merupakan 19 operasi pembunuhan, pencerobohan masjid, pemusnahan sumber pendapatan, dan rampasan ladang-ladang serta tempat tinggal. Antara 19 operasi ini, operasi Burma Territorial Force (B.T.F) adalah yang paling kejam sekali. Kerajaan tentera tempatan yang dipenuhi oleh etnik Maghs telah membunuh, merogol, membuat kemusnahan dan melaksanakan undang-undang sesuka hati mereka. Akhirnya ia mengakibatkan ribuan penduduk Rohingya terpaksa lari meninggalkan tempat tinggal mereka. Antara operasi lain yang tidak berperikemanusian juga adalah operasi Nagamin (King Dragon) pada tahun 1978. Dalam operasi ketenteraan ini, seramai 300,000 etnik Muslim Rohingya diusir keluar dari kampung halaman mereka dan hampir 1/3 dibunuh. Lebih 200,000 orang pada kemudian harinya telah dikembalikan dengan jaminan keselamatan di bawah Bilateral Repartriation Agreement antara kerajaan Myanmar dengan kerajaan negara lain, tetapi jaminan tersebut hanyalah tipu daya tentera Myanmar. 

Lebih menyedihkan lagi, etnik Rohingya tidak dibenarkan mengamalkan ajaran Islam yang mereka anuti. Sebgai seorang Muslim mereka tidak dibenarkan menyimpan janggut, memakai pakaian yang menutup aurat ataupun memakai kopiah. Bagi para wanita pula, tudung dan hijab dilarang sama sekali ketika berada di luar rumah. Jika ada upacara kematian, kubur-kubur mereka tidak boleh diletakkan batu nisan kerana itu dikatakan sebagai satu syiar Islam. Di sekolah pula, ajaran Buddha adalah subjek wajib sejak di sekolah rendah lagi. Terdapat juga di beberapa buah kampung yang umat Islam di situ diharamkan untuk menunaikan Solat Maghrib, Isyak dan Subuh secara berjemaah di masjid-masjid. Selain itu, bagi meredakan sentimen etnik Rohingya, para ulama telah dipaksa untuk mengeluarkan fatwa palsu sebagai menghalalkan tindakan pemerintah Myanmar.

Dalam keghairahan Myanmar cuba mengejar modernisasi dan pertumbuhan rancak demokrasi sekitar tahun 1988, pada awal tahun 1991 satu kempen penghapusan etnik Rohingya dijalankan di bawah nama Pyi Thaya ataupun nama lainnya sebagai Prosperous Country Campaign. Kempen ini bertujuan menjadikan Myanmar terkehadapan dari sudut pembangunan dan keselesaan, tetapi dibeli dengan harga nyawa etnik Muslim Rohingya. Di bawah kempen ini, askar-askar SLORC yang rata-ratanya terdiri daripada etnik Maghs yang beragama Buddha telah dikerahkan ke Arakan untuk melakukan pogrom (penyembelihan dan penghapusan) ke atas etnik Rohingya. Akibatnya, 300,000 umat Islam telah melarikan diri ke Chittatong iaitu satu daerah di Bangladesh. Setelah dihalau, kerajaan tempatan telah melakukan jemputan khusus kepada penganut agama Buddha dari dalam dan luar negara untuk menetap dan membangun penempatan di tanah etnik Rohingya yang telah ditinggalkan di bawah program pembangunan kerajaan.

Bagi mengelakkan etnik Rohingya bangkit melawan segala tindakan ini, ramai dari kalangan elit, pelajar, dan golongan cerdik pandai diburu, dipenjara, dan dibunuh. Sejak dari tahun 1994, bahagian utara Arakan telah menjadi padang pembunuhan bagi golongan elit ini. Di bawah tuduhan jenayah yang tidak berasas, seramai 3000 orang yang tidak bersalah telah ditembak mati ataupun disembelih. Manakala, 1500 lagi orang telah masuk bersembunyi bagi mengelakkan ditangkap lantas dibunuh oleh SLORC.

Rentetan daripada Operasi Na-Sa-Ka pada tahun 1992, pemerintah berusaha untuk mengawal proses pengembangan etnik Rohingya supaya populasi mereka tidak berkembang. Atas dasar ini, pemerintah telah meletakkan syarat yang ketat bagi mana-mana pasangan Rohingya yang ingin berkahwin. Antara syarat tersebut adalah perlu mendapat surat pengesahan daripada ibu bapa; perkahwinan memerlukan surat sokongan daripada majlis tempatan yang menguruskan hal ehwal kampung; perkahwinan juga memerlukan sijil perubatan yang menunjukkan pasangan boleh berkahwin; pasangan juga perlu mendapat kelulusan dari pihak polis bahawa pasangan tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti jenayah; dan perkahwinan juga perlu mendapatkan sokongan daripada komander kawasan dan pegawai tentera SLORC. Kesemua syarat ini bertujuan menyusahkan perkahwinan bagi etnik Rohingya. Tidak cukup dengan itu, sering kali juga askar SLORC menangkap perempuan yang telah berkahwin dan menyuntik suntikan kemandulan secara paksa kepada mereka. Ia gara-gara untuk memandulkan ibu-ibu Rohingya dan mengelak kelahiran. Perkara bukan sahaja menghina agama Islam, tetapi turut sama menghalang populasi etnik Rohingya untuk berkembang lanjut.

Berdasarkan semua tindakan yang telah dikenakan ke atas etnik Rohingnya oleh Kerajaan Mynmar, kita boleh menilai apakah yang sebenarnya berlaku di Mynmar, khususnya di Arakan dan bagaimana etnik Rohingnya menghadapi ujian besar yang menimpa mereka. Tindakan-tindakan kejam tanpa berperikemanusiaan kerajaan Myanmar untuk mengapuskan etnik Muslim Rohingnya ini perlu dipandang serius oleh semua penduduk di negara-negara lain kerana isu etnik Rohingnya bukan lagi sekadar isu biasa. Ia telah memakan masa hampir 70 tahun. Dalam tempoh itu, mereka telah ditindas dan dinafikan hak. Justeru, isu ini tidak boleh dilihat sebagai isu pelarian yang boleh diselesaikan dengan derma, bantuan kemanusiaan, ataupun diberikan tempat perlindungan sementara sahaja.  

Perkara yang penting bagi mereka adalah apakah langkah yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan isu penghapusan etnik Rohingnya ini sekali gus mengembalikan segala hak mereka yang sudah berkurun lamanya telah dinafikan? Kenapa Myanmar seolah-olah kebal daripada sebarang tindakan dunia terhadap projek penghapusan etnik ini? Gesaan dan koalisi antarabangsa perlu dilaksanakan segera. Sikap membisu dan sekadar menjadi penonton adalah tanda sokongan institusi dunia terhadap kekejaman yang berlaku ini.

Sebagai rakyat Malaysia, kita juga perlu mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku di Arakan ini. Jika orang Melayu-Islam di Malaysia tidak bersatu padu dan bersungguh-sungguh menjaga kuasa dan keharmonian negara, maka tidak mustahil kejadian yang berlaku di Arakan akan berlaku juga di Malaysia.

Dr. Mohd Shukri Hanapi, Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

017896
Hari ini: 148
Minggu Ini: 491
Bulan Ini: 3,037
Tahun Ini: 17,896
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.