DALAM buku Sejarah Melayu edisi Shellabear halaman 138, dicatatkan wasiat keramat Sultan Alauddin Riayat Shah kepada Sultan Mahmud Shah dan raja lain yang mewarisi kuasa pemerintahannya, hendaklah mengutamakan pekerjaan Allah dan mengetepikan kepentingan dunia serta tidak melakukan kezaliman kepada anak Melayu seperti membunuh mereka yang tidak berdosa kerana perbuatan itu boleh mendatangkan kebinasaan kepada kerajaan.
Secara luarannya, tampak kata-kata yang dihemburkan oleh Sultan Alauddin seperti wasiat biasa seorang pemimpin. Namun, sekiranya ditelusuri secara halus, akan didapati kata itu ungkapan keramat yang besar maknanya terhadap survival dan masa depan kuasa politik Melayu berabad-abad lamanya.
Rupa-rupanya ungkapan ini jugalah yang banyak menzahirkan pelbagai sentimen dan polemik dalam iklim politik Melayu sejak dulu hinggalah ke hari ini. Jika ditelaah sejarah, kita akan dapat melihat kecapaian politik Melayu bagaikan putaran roda. Ada kalanya naik dan berada di puncak kegemilangan. Ada ketikanya pula tersungkur jatuh di lembah kehinaan.
Apabila pemimpinnya berpegang teguh kepada syariat, berlaku adil, tidak meletakkan nafsu dan kepentingan diri melebihi kepentingan rakyat yang dipimpin, pada waktu itu suasana negara dan masyarakat turut berada dalam suasana harmonis dan penuh gemilang.
Sebaliknya, kekuasaan dan kegemilangan pasti punah apabila kuasa dilihat sebagai wahana memuaskan nafsu hingga tergamak melakukan perbuatan di luar batasan syarak dan norma akhlak seperti rasuah, fitnah-memfitnah, bunuh-membunuh serta pemerasan pihak kerajaan ke atas pedagang dan saudagar asing.
Bagaikan mengiyakan telahan Sultan Alauddin inilah, sejarah mempertontonkan kepada kita bagaimana keadaan kekuasaan Empayar Melayu Melaka.
Satu ketika apabila prinsip dan etika agama dijunjung oleh pemerintah dan rakyat terbanyak, kita melihat betapa Melaka begitu gah di persada kekuasaannya sehingga bukan saja mampu menangkis serangan luar, malah berjaya mengembangkan sayapnya dengan menakluk dan melebarkan jajahan merangkumi seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan sebahagian besar Sumatera Timur.
Bagaimanapun, apabila etika moral dan akhlak telah dinodai, maruah bangsa dicabuli, apa lagi prinsip agama sudah tidak lagi dinobati, Melaka termasuklah juga kerajaan Melayu lain selepasnya seperti Acheh dan Johor mengalami nasib yang begitu buruk hinggakan terpaksa melepaskan kekuasaan kepada kuasa asing beratus-ratus tahun.
Sejarah lampau yang begitu menyakitkan dan menggoris hati dan perasaan ini seharusnya diambil pengajaran dan iktibar oleh kita sebagai generasi pelanjut perjuangan bangsa dan agama. Inilah yang disebutkan oleh Allah di dalam Surah Ali Imran ayat 140 yang bermaksud: "Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pengajaran)."
Kuasa sememangnya menjadi topik penting hari ini. Sama ada disedari ataupun tidak, kita sedang mengalami suatu polemik pemikiran dan sikap yang cukup kritikal apabila membicarakan soal kuasa. Dalam membicarakan soal kuasa, pasti ramai akan menanggapinya sebagai suatu bentuk kemasyhuran yang boleh mengangkat seseorang ke satu tahap yang menyebabkannya dihormati dan sentiasa mendapat pengiktirafan masyarakat.
Malah, tidak kurang juga yang melihatnya sebagai satu lesen besar untuk memenuhi nafsu yang tidak pernah kenal erti puas. Bertitik tolak daripada persepsi inilah, kita akan dapat lihat manusia kadangkala seperti paranoid apabila kuasa menjadi matlamat hidup atau lebih mudah lagi diistilahkan sebagai mempertuhankan kuasa.
Apa saja sanggup dilakukan demi mempertahankan mahupun merebut kekuasaan. Ini berlaku pada semua peringkat dalam masyarakat Melayu hari ini, sama ada di medan politik, institusi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, pertubuhan sosial, malah menjalar hingga ke kampung-kampung dan desa-desa terpencil.
Medan politik umpamanya cukup memberi gambaran jelas bagaimana sikap sesetengah pihak yang bermati-matian melakukan apa saja demi kuasa. Malah, harga jawatan parti kadangkala dilihat lebih berharga daripada menjadi wakil rakyat, apa lagi untuk berbakti kepada masyarakat.
Sogokan bersifat material turut dikreatifkan daripada mengadakan jamuan makan di hotel ternama, sagu hati berupa wang hinggalah sanggup mempertaruhkan etika dan prinsip agama dengan menghantar rombongan percuma ke Makkah atas nama mengerjakan umrah. Semuanya dilakukan demi kuasa yang menjadi rebutan dan matlamat duniawi.
Perlakuan kurang bermoral ini menjadi budaya baru yang menjalar pada peringkat akar umbi dalam politik Melayu kini. Kesannya ia turut mewujudkan perasaan cemuh generasi muda untuk turut sama membabitkan diri dalam arus kepemimpinan perdana.
Idea dan ungkapan perjuangan hanya sebagai gimik dan retorika paparan imej luaran semata-mata. Tidak ramai yang benar-benar menjiwai makna perjuangan walaupun berapi-rapi menghemburkan ungkapan perjuangan. Coretan perjuangan pejuang terdahulu hanya meniti di bibir ataupun sebagai nostalgia indah yang dijadikan bahan perencah ramuan ucapan yang hanya bertujuan menagih sokongan masyarakat.
Haluan dan garis besar perjuangan memartabatkan bangsa dan agama tidak mampu diterjemahkan sebaik-baiknya, apa lagi direalisasikan lantaran dikaburi dengan persepsi menyeleweng terhadap konsep kuasa yang tampak secara kasarnya begitu bernilai bagaikan fatamorgana di padang pasir.
Penyimpangan persepsi terhadap konsep kekuasaan inilah akhirnya menuntun kepada permasalahan sosial yang lebih parah. Batasan halal dan haram sudah tidak dikenali. Kealpaan terhadap kehidupan duniawi semakin mengakar bagaikan berada di alam kehidupan fantasi yang penuh dongengan dan tipu daya.
Dengan kuasa, kita sanggup melakukan apa saja asalkan yang dihajati tercapai. Dengan kuasa juga, kita rela menggadaikan prinsip dan etika akhlak hingga sanggup merampas hak orang lain, apatah lagi melakukan sesuatu yang tidak wajar seperti rasuah, menipu, memfitnah, memeras ugut, cantas mencantas, memaki hamun dan sebagainya. Kita sebenarnya lupa bahawa kuasa adalah amanah Allah atau taklif Rabbani yang akan dipertanggungjawabkan pada hari kiamat kelak.
Inilah yang disabdakan oleh Nabi Muhammad saw kepada Abu Dzar Al- Ghiffari ra berkenaan masalah kekuasaan atau kepemimpinan: "Sesungguhnya ia (kuasa itu) adalah amanah. Dan pada hari kiamat, ia adalah kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi yang mengambilnya sesuai dengan haknya dan melaksanakan apa yang menjadi tuntutannya." (Hadis Riwayat Muslim) Dalam hadis yang lain seperti yang terkandung di dalam Shahih Imam Bukhari, Nabi Muhammad bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah ra: "Apabila amanah itu dilenyapkan, maka tunggulah datangnya kiamat. Ditanya kepada baginda, Wahai Rasulullah, bagaimana melenyapkan amanah itu? Rasulullah saw bersabda, apabila perkara itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah datangnya kemusnahan!"
Dalam konteks ini, mungkin ada baiknya untuk dipaparkan satu kisah masyhur berkenaan Khalifah Umar Abdul Aziz yang hanya berkesempatan memerintah Bani Abbasiyah selama dua setengah tahun. Satu ketika, seorang ulama mendatangi Khalifah Umar pada saat baginda dalam keadaan sakit yang cukup parah bagi menzahirkan keprihatinannya dan pembesar lain terhadap anak Umar yang semacam tidak diberikan peluang menikmati nikmat hasil kekuasaan ayahandanya yang masyhur itu.
Maka pada saat itu Khalifah Umar lantas memerintahkan pengawalnya mempersilakan keenam-enam anaknya yang masih kecil untuk menghadap. Lantas berkatalah beliau kepada anak-anaknya: "Wahai anakku! Demi Allah, aku tidak pernah menghalangi kalian untuk mendapatkan hak kalian. Namun, aku pun tidak akan pernah mengambil dan merampas harta (hak) orang lain untuk ku berikan kepada kalian. Sesungguhnya, kalian semua adalah termasuk satu di antara dua golongan, mungkin sebagai seorang soleh, dan Allah akan sentiasa membela orang-orang soleh. Maka ketahuilah bahawa aku tidak akan pernah meninggalkanmu bersama-sama sesuatu yang menjadikan dirimu bermaksiat kepada Allah. Mandirilah kalian sepeninggalanku!"
Demikianlah sikap tegas seorang penguasa atau pemerintah yang tidak melihat kuasa sebagai wahana kemasyhuran tetapi amanah berat daripada Allah yang akan dipertanggungjawabkan kelak. Walaupun tempoh pemerintahannya hanya selama dua setengah tahun, kekuasaan Umar yang diwarisinya meliputi wilayah dari hujung Timur sampai Turki, dari hujung Barat sampai negeri Sepanyol (Andalus). Dari Kepulauan Cyprus, Syam dan sekitarnya sampai hujung Yaman.
Namun demikian kehidupan peribadi dan keluarga Khalifah Umar cukup sederhana sehingga ada riwayat yang mengatakan sepeninggalan beliau, anak-anaknya hanya mewarisi tidak lebih daripada 20 dirham. Inilah contoh peribadi yang terbina apabila persepsi terhadap konsep kuasa dan amanah difahami secara jelas.
Apabila kuasa ditanggapi sebagai amanah atau tanggungjawab besar yang perlu ditunaikan dengan ikhlas dan jujur, maka bukan saja kehidupan peribadi menjadi lebih positif, malah yang lebih penting ia mampu menatijahkan suasana yang lebih konstruktif untuk pembangunan umat.
Justeru, penjernihan sikap dan pemulihan persepsi terhadap konsep kuasa perlu dilakukan segera. Perjuangan memartabatkan bangsa tidak akan membawa sebarang makna sekiranya masih wujud dalam kotak pemikiran kita yang terlalu mementingkan diri sendiri hingga hilang semangat perjuangan yang tulen.
Setiap kita harus kembali menjiwai dasar Islam sebagai teras pembinaan persepsi yang jernih dan peribadi unggul. Dasar yang digariskan oleh Islam inilah akhirnya mampu membentuk sikap dan kefahaman yang lebih jelas akan makna kehidupan yang sebenar. Dengan memahami hakikat hidup yang bukannya disasarkan kepada kehidupan duniwai semata-mata tetapi ukhrawi inilah, dengan sendirinya konsep kuasa akan lebih difahami dengan lebih bermakna.
Akhirnya kita akan sedari bahawa kuasa yang dikejar itu bukan sekadar wahana menempa kemasyhuran tetapi amanah besar membangunkan tamadun kegemilangan umat yang bakal dipertanggungjawabkan oleh Allah pada hari perhitungan kelak. Sekiranya kefahaman ini mampu dijernihkan, perjuangan untuk membina tamadun umat yang unggul pasti beroleh kejayaan yang hakiki dan abadi.
