SYEIKH DAUD BIN ABDULLAH AL-PATANI PENGARANG TERULUNG ASIA TENGGARA

SYEIKH DAUD BIN ABDULLAH AL-PATANI PENGARANG TERULUNG ASIA TENGGARA

Ulama yang dikenali sebagai penulis kitab yang cergas ini berasal dari Patani, di selatan Thailand. Jumlah kitab dan risalah tulisannya dikatakan melebihi karya yang dihasilkan oleh mana-mana ulama di rantau dunia Melayu. Tarikh lahirnya yang sebenar tidak dapat dipastikan sama ada pada 1133 H, 1153 H atau 1183 H. Beliau dilahirkan di Kerisik dalam persekitaran kawasan istana Sultan Patani. Rumah keluarga beliau berada dalam kawasan istana kerana keluarganya mempunyai peranan penting dalam urusan agama Islam, termasuk ayah beliau, Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris bin Syeikh Wan Senik al-Karisiqi al-Patani.

MENENTANG PENGUASAAN SIAM KE ATAS PATANI

Selepas beberapa tahun menuntut ilmu di Makkah, Syeikh Daud yang dianggap Pengarang Terulung di Asia Tenggara pulang ke kampung halamannya. Beliau membina sebuah rumah wakaf yang dijadikan tempat pengumpulan pelajar. Beliau juga aktif melibatkan diri dalam perang jihad, menentang kekejaman tentera Siam. Syeikh Daud kemudian berhijrah ke Terengganu dan selepas itu menetap di Makkah sehinggalah beliau meninggal dunia. Seluruh Patani dikatakan mendirikan solat ghaib untuk beliau. Diriwayatkan juga bahawa mayat beliau didapati tidak hancur, setelah dipindahkan dua kali untuk disemadikan berhampiran dengan kubur para sahabat Nabi s.a.w. atas perintah Raja Makkah ketika itu. Sekarang ini, jenazah beliau bersemadi di dalam Masjid Ibnu Abbas.

KELUARGA AL-FATANI

Syeikh Daud al-Patani mempunyai lima adik-beradik. Syeikh Muhammad bin Ismail al-Patani, pengarang kitab fikah Mathlaul al-Badrain yang amat terkenal di Nusantara, adalah cucu saudara kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Patani. Bahkan menurut riwayat yang boleh dipercayai, Syeikh Daud sendiri yang menyambut kelahiran cucu saudara beliau ini ketika beliau berada di Pulau Duyung Kecil, Terengganu. Syeikh Daud juga turut bertanggungjawab membawa Syeikh Muhammad ke Makkah. Selain Syeikh Muhammad, Syeikh Daud juga mempunyai seorang lagi cucu saudara yang turut menjadi ulama besar. Tokoh yang dimaksudkan ialah Syeikh Wan Abdul Kadir bin Abdul Rahman al-Patani.

PENGARANG TERULUNG DAN ULAMA BESAR

Syeikh Daud al-Patani mempunyai banyak gelaran. Antara yang diketahui ialah Syeikh Daud Waliullah dan Syeikh Daud Pengarang Kitab. Hasil karya beliau yang sebenarnya tidak diketahui, tetapi melebihi 60 kitab yang antaranya dicetak di Makkah, Mesir, Turki, Patani, Singapura, Kelantan dan Bombay. Terdapat juga manuskrip karya yang belum dicetak. Antara karya  beliau ialah Bughyatut Thullab li Muridi Marifati Ahkami bis Shawab yang dicetak tiga kali di Makkah, iaitu pada 1310 H/1892 M, 1321 H/1903 M dan 1328 H/1910 M; Al-Shaidu was Zabaih dicetak di Makkah, iaitu pada 1310 H/1892 M;Al-Bahjatus Saniyah fil Aqaidis Saniyah/Tah-shilu Nailil Maram Syarh Aqidatil Awam, cetakan keduanya pada 1306 H/1888 M. Kisah Nabi Yusuf Alaihis Salam pada 1329 H/1911 M di Makkah, Kasyfu I Ghummah pada 1303 H/1885 M di Makkah, Jamul Fawaid al Jawahirul Qalad, cetakan pertama di Makkah pada 1303 H/1885 dan seterusnya di Kaherah pada 1311 H/1893 M.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

040877
Hari ini: 57
Minggu Ini: 314
Bulan Ini: 5,159
Tahun Ini: 40,877
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.