WASATIYYAH MEREDAKAN HUBUNGAN ANTARA KAUM & AGAMA

WASATIYYAH MEREDAKAN HUBUNGAN ANTARA KAUM & AGAMA

MASALAH kerapuhan perpaduan kaum sama ada inter-etnik atau intra-etnik berupaya menjejaskan generasi, bangsa, dan agama kita. Perpaduan yang dimaksudkan bukan sahaja di kalangan sesama Muslim, bahkan juga dengan non-Muslim. Di sini dapat dilihat bahawa negara ingin mengelakkan kemudaratan dan mengambil kira manfaat yang dapat menjamin keutuhan masyarakat dan negara.
 
Rentetan sejarah yang panjang menggambarkan bahawa Islam muncul sebagai agama penyelamat bagi suatu masyarakat serta sebagai obor yang menerangi setiap sudut pemikiran masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa. 
 
Jalinan persaudaraan dan perhubungan antara seorang Muslim dengan non-Muslim sama sekali tidak dilarang oleh Islam selagi pihak lain menghormati hak-hak kaum Muslim, sebagaimana ditegaskan oleh Allah s.w.t menerusi firman-Nya yang bermaksud:
 
Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berbuat adil (memberikan sebahagian hartamu) kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (al-Mumtahanah: 8)
 
Manhaj wasatiyyah yang didukung Islam turut memberikan ruang yang aktif dalam menghormati dan menghargai prinsip hidup dan keyakinan orang lain. Aktif dan sentiasa bersedia mencari titik persamaan antara pelbagai perbezaan, bahkan Islam sedia bersatu dalam perbezaan.
 
Kebebasan beragama sememangnya tidak dihalang oleh Islam dan menjadi hak setiap orang. Cuma yang berbeza ialah Islam tidak memberikan ruang kepada setiap Muslim untuk menukarkan agamanya, kerana agama Islam sendiri telah lengkap dan sempurna.
 
Ini membuktikan bahawa sistem masyarakat dalam Islam adalah amat terbuka dan dapat diterima oleh semua bangsa dan agama, kerana Islam juga tidak pernah memaksa penganut agama lain untuk membuat pilihannya sendiri berdasarkan keyakinan dan kepercayaan masing-masing. Islam juga tidak menghalang agama lain berkembang bersama-sama berdasarkan prinsip dan etika tertentu seperti yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w melalui Piagam Madinah.
 
Terdapat tidak kurang daripada 12 ayat dari Piagam Madinah yang mengatur kehidupan bersama dengan kaum Yahudi, iaitu fasal 24 dan 25 serta fasal 27 hingga 35. Piagam tersebut dikembangkan lagi dengan peraturan hidup bersama dengan kaum nasrani, iaitu fasal 25 hingga 35. Demikian juga dengan pencapaian dan kecemerlangan Andalusia dalam pelbagai bidang kerana Islam, Yahudi dan Nasrani dapat tidur sebantal. Jadi, apa bezanya di negara kita yang memiliki pelbagai kaum dan agama ini?
 
Manusia perlu berkongsi aspirasi dan keperluan, dan sebahagian keperluan itu tidak terdapat pada semua orang. Maka dari situlah proses perkenalan, perundingan dan persefahaman berlangsung bagi menentu menentukan arah yang perlu ditujukan dan tindakan yang dilaksanakan. 
 
Terdapat beberapa ayat al-Quran yang menggambarkan unsur pluralisme, yang mana apabila kita mengkajinya secara teliti, ia memanglah mengharapkan terbentuknya hubungan antara manusia yang berbeza itu dalam suatu bentuk kesatuan. Inilah lambang sebuah kehidupan yang harmoni dan bermakna dalam tamadun sejagat.
 
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
 
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan dan bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu. (al-Hujurat: 13)
 
Puncak daripada sikap wasatiyyah terhadap orang yang berbeza agama yang ditegaskan oleh al-Quran adalah ketika mewajibkan kita berlaku adil terhadap seluruh manusia. Baik orang yang dicinta, dibenci, jauh, dekat, beriman atau sebagainya. Prinsip ini jugalah yang menjadi tunjang kepada pembentukan Rukun Negara yang menyanjung tinggi kepada Tuhan, asalkan tidak melanggar institusi-institusi yang ditetapkan (menghormati undang-undang, Raja, negara, tatasusila, dan amalan budaya).
 
Konsep wasatiyyah yang pada umumnya bertiangkan kesederhanaan sikap dan tindakan telah meletakkan Malaysia sebagai negara contoh tentang perpaduan. Perpaduan antara kaum dilambangkan melalui institusi Raja yang dianggap sebagai payung pentadbiran negara. Hak dan prinsip ini terus dikekalkan meskipun akhir-akhir ini terdapat usaha sesetengah pihak yang cuba mengeruhkan kejernihan itu. Situasi ini harus dilihat sebagai cabaran untuk merapatkan jurang perbezaan bagi meneruskan agenda pembinaan bangsa Malaysia.
 
Bangsa Malaysia bukan bermakna bercirikan kekhusuan fizikal. Ia berbetuk kesatuan dalam pemikiran, tindakan, dan psikologi. Saling bantu membantu dan bekerjasama dalam setiap aspek, sebagaimana misalan, apabila melihat satu kemalangan berlaku, apakah kita akan bertanya mangsanya adalah Melayu, Cina atau India? Kita perlu menghulurkan bantuan dengan melupakan sempadan kaum dan agama. Kita menghulurkan bantuan kerana kita adalah sesama manusia, satu bangsa, iaitu bangsa Malaysia.
 
Penegasan mengenai gasasan 1Malaysia misalnya, memberikan kita satu semangat baru dalam menempuh dugaan, mengharungi kegelojohan globalisasi dan serangan liberalisasi. Kita perlu menghayati apa yang dititahkan oleh Raja Dr. Nazrin Shah: ... rakyat perlu diinsafkan supaya jangan cepat membuang pelita kerana riang melihatkan fajar yang akan menyinsing kerana siang hari juga akan berakhir, jangan nanti bila malam mendakap senja, warga dan bangsa akan hidup teraba-raba.
 
Oleh hal yang demikian, kita tidak perlu menolak sesuatu sistem yang telah sekian lama memberikan kita manfaat secara keseluruhannya. Jika ia mempunyai kelemahan, kita sama-sama memperbaikinya. Kita bergandingan memenuhi tuntutan hidup bersama sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu dan mengamalkan sikap wasatiyyah. Kita tinggalkan perbezaan yang boleh meruntuhkan sistem yang telah menjadikan kita kuat dan membangun sehingga banyak pihak yang cuba meruntuhkan nilai hidup dan budaya masyarakat Malaysia.
 
Berasaskan kesan psikologi yang masih kedapatan dalam masyarakat Malaysia, maka gagasan Malaysia Madani diharap akan menjadi pemangkin kepada pewujuduan negara bangsa yang dapat melahirkan rakyat yang mempunyai sikap kebersamaan dan kekitaan dalam acuan wasatiyyah.  Manakalah keupayaan membina negara bangsa pula bergantung kepada perkongsian nilai-nilai integriti, kebolehan, dedikasi, dan kesetiaan. Berteraskan hasrat membentuk satu rupa bangsa Malaysia, gagasan Madani terus mengorak langkah memperkukuhkan perpaduan nasional melalui tiga prinsip utama, iaitu prinsip penerimaan, prinsip kenegaraan, dan prinsip keadilan sosial.
 
Konsep penerimaan adalah berbeza dengan makna toleransi. Toleransi lebih menekankan prinsip keperluan untuk mengambil sesuatu nilai dengan sedikit pengorbanan terpaksa dilakukan ke atas nilai yang menjadi amalan biasa. Prinsip penerimaan tidak memerlukan seseorang itu terpaksa berkorban nilai-nilai yang sedia dipertahakan sekian lama, tetapi ikut menerima nilai-nilai baru dengan cuba memahami perbezaan itu sebagai suatu kekuatan dan perkongsian bersama.
 
Prinsip kenegaraan tentunya mempunyai hubungan dengan perpaduan, semangat sayangkan tanah air, dan patriotik terus dipupuk melalui pelbagai kaedah, pendekatan dan aktiviti. Ini bermakna prinsip-prinsip asas yang sudah diterima dan telah diinstitusikan tidak akan diubah bagi memenuhi tuntutan baru oleh kelompok yang mula mempersoalkan kontrak sosial dan mendesak pemugaran ideologi dan realiti baru politik Malaysia.
 
Prinsip keadilan sosial yang berakar umbi daripada sikap wasatiyyah, meletakkan setiap orang diterima sebagai sama dan diberikan hak yang tidak boleh dilanggar atau diceroboh oleh orang lain secara paksa. Maka, tanpa mengira fahaman politik atau asal-usul keturunan, rakyat berhak mendapat layanan yang terbaik daripada kerajaan. Meskipun demikian, ini tidak pula membayangkan bahawa rakyat boleh membuat tuntutan yang keterlaluan dan melampau kedudukannya daripada kerajaan. Kerajaan masih mempunyai hak untuk menyekat sebarang tindakan yang keterlaluan dan mengetepikan permohonan atau tuntutan yang melampaui prinsip keadilan sosial.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019366
Hari ini: 216
Minggu Ini: 1,961
Bulan Ini: 4,507
Tahun Ini: 19,366
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.