HANIF: TAUHID MENGESAKAN ALLAH SWT

HANIF: TAUHID MENGESAKAN ALLAH SWT

Kata Hanif dalam bahasa arab secara harfiah beerti “kecondongan” atau “kecenderungan” dan mengikut istilah agama bermaksud “kecenderungan kepada yang benar” atau “bersikap ikhlas kepada Allah S.W.T., Tuhan Yang Maha Esa.” Sikap cenderung kepada yang benar merupakan fitrah atau sifat pembawaan manusia sejak lahir sebagai makhluk ciptaan Allah S.W.T. Namun dalam perjalanan hidupnya, manusia sering kali menyimpang daripada fitrah tersebut. Oleh sebab itu, manusia diperintahkan supaya selalu bersikap hanif agar tetap berada fitrahnya.

ORANG YANG IKHLAS
Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa Nabi Ibrahim a.s. tidak terikat kepada salah satu agama formal. Baginda seorang pencari kebenaran yang ikhlas atau hanif dan pasrah (muslim) kepada kebenaran, iaitu Allah S.W.T. Dalam firman-Nya dinyatakan, “Bukankah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar  tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah dari orang-orang yang musyrik” (Q.3:67). Kata hanif dirangkaikan dengan kata “muslim” yang bererti “tetap di atas dasar tauhid” dan dilawan dengan kata “musyrik”, iaitu “sikap” atau perbuatan menyekutukan Allah S.W.T. untuk mengikuti serta mencontohi agama Nabi Ibrahim a.s. yang hanif dan tidak musyrik (Q.16:123)

Ajaran agama menjadi panduan dalam kehidupan manusia agar beliau sentiasa mengikuti jalan yang lurus dan diredai oleh Allah S.W.T. dan supaya beliau menjadi orang yang ikhlas, jujur dan hanif. Solat atau doa dapat mendidik manusia supaya sentiasa merasakan kehadiran Allah S.W.T. serta hatinya sentiasa menghala kepada Allah S.W.T.

FITRAH DAN HANIF
Dalam al-Quran, pengertian dasar fitrah dan hanif dinyatakan dalam firman, “(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutilah terus) “agama Allah” –iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” (Q.30:30). Ayat tersebut, menerangkan bahawa condong kepada kebenaran atau bersikap ikhlas (hanif) merupakan kecenderungan dasar manusia.

PENCARIAN KEBENARAN
Kata hanif juga pernah digunakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam pengertian “beragama secara lapang”. Suatu hari, Rasulullah s.a.w. diberitahu tentang seorang sahabat yang selalu beribadat siang dan malam sehingga mengabaikan keluarganya. Mendengar cerita itu, Nabi Muhammad s.a.w. mengatakan bahawa Islam melarang umatnya mengingkari apa yang wajib. Berkaitan dengan kes tersebut, baginda menegaskan bahawa sebaik-baik agama di sisi Allah S.W.T. ialah al-hanifiyyah as-samhah (semangat pencarian kebenaran yang lapang) (H.R. Bukhari, al-Tarmizi dan Ahmad bin Hanbal).

AGAMA HANIF
Agama Islam disebut juga sebagai al-din al-hanif (agama hanif) kerana bersih daripada segala bentuk syirik. Dalam salah satu hadis disebutkan: “Aku (Muhammad) diutus membawa al-hanafiyyah al-samhah (agama hanif yang mudah)” (H.R. Ahmad). Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. merupakan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s. Dalam al-Quran ditegaskan: “Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan agama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan bukanlah dia daripada orang-orang musyrik” (Q.3:95).

CIRI-CIRI
Orang yang ikhlas atau hanif mempunyai ciri-ciri: beriman kepada Allah S.W.T. dan apa yang diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada nabi lain sejak Nabi Ibrahim a.s. sehingga Nabi Musa a.s. dan Nabi Isa a.s. (Q.2:136). Pada hakikatnya, semua nabi mengajar perkara yang sama, iaitu tauhid, yang mengesakan Allah S.W.T.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

040872
Hari ini: 52
Minggu Ini: 309
Bulan Ini: 5,154
Tahun Ini: 40,872
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.