Perkataan dialog ialah istilah bahasa Inggeris, dialogue. Maksud perkataan tersebut ialah: (1)perbicaraan, perbualan, percakapan (2)pertukaran pendapat, dan (3)tanya jawab. Berasaskan maksud tersebut, dialog boleh diertikan sebagai suatu percubaan antara dua belah pihak yang berlainan pendapat, kepercayaan atau pandangan untuk melakukan satu aktiviti pertukaran pendapat, dengan tujuan menambahkan pengetahuan, meningkatkan kefahaman dan seterusnya membolehkan wujudnya sikap saling memahami antara kedua-dua belah pihak.
Dialog sering juga disebut dengan perkataan mujadalah, muzakarah, bertukar fikiran dan lain-lain. Melalui dialog mereka juga mungkin dapat mempelajari sesuatu kebaikan yang terdapat antara kedua-dua belah pehak pihak serta melenyapkan sebanyak mungkin keraguan yang timbul sebelumnya.
Percubaan untuk memahami hubungan antara agama khususnya antara Islam dan Keristian bukanlah merupakan sesuatu yang baru dalam sejarah peradaban dunia. Sejarah Islam itu sendiri memberi satu bentuk hubungan yang akrab antara penganut bukan Islam dan ini dapat diperhatikan melalui kehidupan masyarakat bukan Islam dalam Piagam Madinah.
Dunia telah lama mengalami kesengsaraan akibat peperangan yang memusnahkan manusia dan kemanusiaan dan tidak lagi kuat untuk menanggung beban serta penderitaan peperangan yang lain. Salah satu alternatif kepada pertembungan peradaban adalah dengan cara berinteraksi dan berdialog dalam mencari sesuatu yang dapat memberi kebaikan dan kebahagiaan kepada manusia sejagat.
Usaha ke arah kedamaian ini akan memberi ruang yang luas bagi umat Islam mengenali dan memahami peradaban Barat (Kristian) dengan mengambil manfaat daripada sumbangan-sumbangan mereka tanpa mengabai ataupun menggadai agama dan metodologi sendiri. Peluang baik Islam untuk menyuntik peradaban dengan dasar-dasar akhlak serta menjaga peradaban manusia daripada kejahatan, kerosakan dan keruntuhan nilai-nilai murni.
Sejarah Peradaban Islam juga pernah mencatat bahawa keinginan untuk mempereratkan hubungan Islam dan Kristian jelas terserlah ketika dunia Kristian Barat mulai melihat bahawa cara kekerasan dalam Perang Salib tidak efektif untuk menghentikan perluasan kuasa khalifah Islam, terutama ketika Constantinople jatuh ke tangan tentera Muslim pada tahun 1453.
Beberapa tokoh Kristian mulai mempertimbangkan idea untuk berdialog secara intelektual bagi mempereratkan hubungan Islam dan Kristian. Tokoh Kristian ini terdiri daripada paderi-paderi seperti Yohannes dari Segovia, paderi Kristian Sepanyol Nicholas dari Cusa dan Aeneas Silvius dari Jerman.
Kejatuhan Constantinople antara 1450-1460 Masihi dilihat oleh sejarawan R.W. Southern sebagai `moment of vision' dalam sejarah persepsi Barat tentang Islam. Menurut Southern, pengaruh Renaissance sudah terasa dalam konteks untuk memperakui sumber keagamaan Islam dan agama-agama lain secara tepat dan kristis.
Paderi Katolik Louis Massignon yang juga merupakan seorang sarjana Perancis pernah memberi pandangan peribadinya secara positif mengenai Islam. Beliau percaya bahawa Islam merupakan ekspresi daripada keyakinan monoteisme yang asli lagi unggul dan mempunyai misi spiritual yang positif dan jelas.
Oleh kerana itu menurutnya orang Kristian terhutang budi kepada kaum Muslim. Sikap keterbukaan Barat ke atas Islam telah menarik beberapa sarjana Muslim berhijrah dan mengajar di beberapa universiti di Barat pada dekad 1960-an. Tokoh-tokoh seperti Fazlur Rahman (Pakistan) di Universiti Chicago, Ismail Raji al-Faruqi (Palestin) di Universiti Temple (Amerika Syarikat) dan Sayyid Husein Nasr (Iran) di Universiti George Washington.
Di kalangan sarjana Barat yang sangat menonjol dan giat menyuarakan pandangan yang positif terhadap Islam ialah John L. Esposito. Beliau yang pernah berguru dengan al-Faruqi menyatakan bahawa gerakan-gerakan Islam tidaklah menakutkan seperti yang digambarkan menerusi media-media Barat.
Menurut Esposito apa yang harus segera dikembangkan dalam hubungan Islam dan Barat ialah dialog antara peradaban iaitu antara agama untuk menyingkap ketertutupan yang selama ini menyelimuti hubungan antara agama. Dalam tahun 1976, telah diadakan satu persidangan antarabangsa mengenai misi gerakan Kristian dan Dakwah Islamiah di Chambessy.
Persidangan ini diatur oleh Dewan Gereja Dunia di Geneva dan dengan kerjasama Yayasan Islam Lancaster dan Oak Coleges Birmingham yang bertujuan mencari titik-titik persamaan dan persefahaman antara kedua-dua agama ini. Sudah sampai masanya kita kembali kepada metodologi peradaban Islam lampau yang menjadikan `dialog antara peradaban' dan `dialog antara agama' sebagai jalan penyelamat umat manusia dan dunia kini yang seolah-olah tidak tentu hala tujunya
Sejarah mencatat bahawa pada pertengahan kedua abad ke-20 setelah tamat Perang Dunia II, dialog antara agama telah menjadi satu pokok persoalan yang penting di kalangan agama-agama di dunia. Dan ia lebih bersifat dialogue of life atau dialog hidup bersama. Namun melihat perkembangan akhir tahun 1992 agama-agama di dunia masih berada dalam ketegangan yang jauh dari sifat toleransi.
Di kalangan agama Kristian dialog antara agama secara mendalam mula dibicarakan oleh Konsul Vatikan II dalam tahun 1961. Dialog antara agama oleh Dewan Gereja-Gereja Sedunia tahun 1971. Demikian juga agama Islam di mana satu Kongres Islam Sedunia pernah diadakan di Karachi. Agama Kristian telah menjalinkan hubungan dengan agama Islam selama lebih dari 14 abad.
Rentang waktu yang begitu panjang dan terus-menerus dalam hubungan itu telah menjadi saksi dan berbagai perubahan dan naik turunnya batas-batas kebudayaan antara keduanya. Ia juga diikuti zaman panjang konfrontasi sekali gus kerjasama yang produktif. Dari sejak permulaan sejarah mereka, Islam dan Kristian memang mempunyai suatu bentuk hubungan yang seimbang yang pada sisi lain memiliki potensi untuk saling konflik dan sekali gus juga saling mengadakan dialog yang lebih konstruktif.
Sebahagian besar aspek negatif dan positif dari hubungan itu berakar dari penekanan yang disengaja terhadap teks-teks tertentu dari kitab Injil dan al-Quran yang dianuti oleh masing-masing umat Islam dan Kristian. Sebab utama berlaku konflik ialah penganut kedua agama (Islam dan Kristian) masing-masing mendakwa diri sebagai pengikut agama yang lebih unggul dan beranggapan agama merekalah yang benar.
Baik al-Quran mahupun Injil, Perjanjian Baru mengandungi ajaran-ajaran yang dapat ditafsirkan sebagai perintah untuk melaksanakan usaha dakwah di kalangan pihak Muslim dan penginjilan di pihak Kristian. Islam tetap menganggap bahawa setiap manusia berhak memilih jalan hidup dan kepercayaan masing-masing sebagaimana resam manusia itu sendiri yang diciptakan secara berpuak-puak. Tujuannya ialah untuk saling kenal mengenali dan menjalinkan hubungan baik bukannya serang menyerang atau fitnah menfitnah
Kewujudan masyarakat majmuk adalah suatu sunnah llahiah yang merupakan manifestasi kekuasaan dan kehendak Tuhan yang tidak boleh dijadikan alasan oleh manusia untuk tidak memikirkan satu bentuk hubungan yang harmoni. Sebagai manusia yang beragama, diwajibkan antara kedua-dua golongan masyarakat seperti Islam dan Kristian yang berbeza itu untuk saling kenal mengenal sebagai memenuhi
tuntutan kehidupan.
Dialog tersebut bertujuan untuk cuba memahami beberapa persamaan yang terdapat pada kedua-dua agama kerana dengan cara itu hubungan antara kedua-dua belah pihak menjadi lebih akrab. Dialog ini adalah suatu perbincangan yang dilakukan oleh dua pihak atau lebih, yang mempunyai pandangan yang berbeza. Tujuan utamanya adalah untuk saling belajar antara satu sama lain sehingga pihak masing-masing dapat mengubah pandangannya dan meningkatkan kefahaman agamanya.
Dalam dialog ini kejujuran amat penting dalam menghadapi perbezaan-perbezaan asas dan bersama-sama mencari suatu kebenaran yang tidak sepenuhnya dimiliki oleh mana-mana kelompok, kerana kebenaran yang hakiki itu hanya ada di sisi Allah s.w.t.
Disebabkan perbezaan intelektual dan keagamaan, tradisi intelektual manusia turut berbeza. Proses pemahaman agama juga kadangkala mengundang masalah dan konflik. Masalah yang dihadapi bukan hanya mencakupi isu sosial atau masyarakat tetapi lebih berpihak kepada masalah teologi yang turut disempitkan oleh fahaman tradisi dan ikatan primodial.
Sungguhpun begitu, titik temu antara agama boleh dilakukan bagi membendung permusuhan dan peperangan yang berpanjangan. Timbulnya konflik ini disebabkan oleh kejahilan yang disertai dengan rasa kesangsian dan permusuhan terhadap satu sama lain yang telah menghalang mereka daripada menjalinkan hubungan yang berkekalan dan berkembang maju.
Memandangkan keganasan kaum semakin memuncak dalam keadaan masyarakat pelbagai kaum dan di merata-rata tempat, maka perlu ditekankan betapa pentingnya dialog antara kaum, agama, antara budaya atau peradaban diadakan pada masa ini.
Contohnya ketegangan antara Islam-Kristian berakar umbi daripada interaksi yang berasaskan sikap yang beranggapan pihak masing-masinglah yang paling benar. Masing-masing menganggap merekalah pengikut agama yang unggul. Mereka bersaing untuk menyebarkan dakwah. Saingan ini kadang-kadang membawa ketegangan dan menyukarkan kewujudan situasi yang saling memahami dan menghormati antara Islam dan Kristian. Kadang-kadang kesukaran semakin bertambah kerana didorong oleh kepentingan politik mahupun teologi.
Oleh itu, dialog harus difokuskan kepada titik-titik persamaan antara kedua-dua agama. Perbezaan yang boleh menimbulkan perselisihan harus dihindari. Antara titik persamaan yang boleh diketengahkan ialah penciptaan suatu kehidupan bermoral yang mengunjung tinggi nilai-nilai keagamaan dalam segala aspek kehidupan dan peradaban manusia.
Setiap pemeluk agama bertanggungjawab untuk membudayakan sikap keterbukaan, menerima perbezaan dan menghormati kemajmukan, disertai oleh ketaatan dan komitmen terhadap agama masing-masing. Islam bukan hanya bertujuan mempertahankan kewujudannya sebagai agama, tetapi juga mengakui kewujudan agama-agama lain dan memberikannya hak untuk hidup berdampingan sambil menghormati penganut agama lain.
Seperti kata Alwi Shihab dalam bukunya Islam Inklusif, soal mana yang paling benar atau salah bukan tujuan dialog. Semua itu urusan Allah. Yang menjadi fokus utama dalam setiap dialog antara agama ialah mencari titik temu.
Sejarah Islam juga mencatat seperti yang dinyatakan dalam sirah Ibnu Ishaq bahawa Nabi Muhammad s.a.w. pernah dikunjungi serombongan delegasi Kristian Najran (penganut Katholik) yang dipimpin oleh Abd. Al-Masih Al-Ayham berserta seorang paderi yang bernama Abu Harith bin Alqama. Nabi dikatakan telah mengizinkan mereka melakukan upacara sembahyang mengikut kepercayaan mereka di Masjid Nabawi.
Sikap bersahabat dengan Kristian (Nasrani) juga ditunjukkan melalui penerimaan dan perlindungan yang diberikan oleh penguasa Habsyah ketika umat Islam hijrah ke daerahnya dari penganiayaan kaum musyrikin Mekah.
Demikian juga ketika Rasulullah s.a.w mengirimkan surat dakwah kepada pemimpin Nasrani (di luar Semenanjung Arab) seperti Muqauqis dan Heraclius, walaupun tidak mengikut seruan Rasul, tetapi mereka menghormati utusan Nabi. Bahkan Muqauqis sendiri mengirim hadiah kepada Rasul yang juga diterima dengan baik oleh Rasulullah s.a.w. Oleh kerana sikap orang Nasrani yang lebih bersahabat terhadap umat Islam, maka umat Islam pun memperlihatkan hal yang serupa ke atas Kristian dibandingkan dengan orang Yahudi pada peringkat awal perkembangan Islam.
Sikap Nabi Muhammad SAW terhadap umat Kristian ini diteruskan oleh pemimpin Islam selepasnya. Khalifah Abu Bakar pernah berpesan kepada tentera Muslim agar tidak mengganggu kebebasan dan menodai kesucian agama lain. Demikian juga Khalifah Umar al-Khattab yang pernah membuat perjanjian dengan umat Kristian Kota Aelia (sekarang Jerusalem).
Baitul Hikmah, pusat ilmu pengetahuan yang didirikan ketika pemerintahan al-Makmun pernah dipimpin oleh sarjana Kristian, Hunain bin Ishak. Sikap toleransi juga ditunjukkan oleh penguasa Islam di seluruh Afrika Utara, Mesir dan Turki di mana umat Yahudi dapat menikmati kebebasan beragama dan ekonomi yang hampir sempurna selama beberapa abad.
Ini membuktikan bahawa sistem masyarakat dalam Islam adalah amat terbuka dan dapat diterima oleh semua bangsa dan agama, kerana Islam juga tidak pernah memaksa penganut lain untuk menganuti agamanya. Bahkan Islam juga tidak secara terperinci dan kritis menghalang agama lain dengan prinsip dan etika tertentu.
Islam sering menganjurkan prinsip toleransi, saling berhubung dan mementingkan moral serta kehidupan bermasyarakat. Islam tidak mengunjurkan perilaku negatif dan melancarkan tindakan ganas seperti membakar pusat-pusat ibadah agama lain, malah Islam menghormati agama lain dan tidak menakutkan penganut agama lain. Islam mementingkan perdamaian dan inti dasar Islam sebenarnya membentuk perilaku manusia yang baik, luhur, berbudi tinggi dan menghormati setiap makhluk sebagaimana tujuan sebenar manusia memerlukan agama.
M. Quraish Shihab dalam buku Wawasan al-Quran (Mizan, Bandung 1966) menyatakan: ``Para pendeta ketika itu relatif berhasil menanamkan ajaran moral yang bersumber dari ajaran Nabi Isa a.s. sedang para rahib yang mencerminkan sikap zuhud (menjauhkan diri dari kenikmatan duniawi dengan menumpukan kepada ibadah), berhasil pula menunjukkan contoh kehidupan yang baik. Keberhasilan itu didukung pula oleh tidak adanya kekuatan sosial politik dari kalangan mereka di Mekah dan Madinah, sehingga tidak ada faktor yang membawa kepada pergeseran antara kaum Muslim dengan mereka.''
Dalam satu firman Allah yang bermaksud: Jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. (surah al-Maidah ayat 8).
Ayat ini bertujuan memperingatkan umat Islam menahan diri agar tidak menekan apa lagi menindas umat agama lain. Islam dengan jelas mengutuk perbuatan-perbuatan memusnahkan rumah-rumah ibadat.
Montgomery Watt tanpa ragu menulis dalam bukunya Prophet and Statesman (Nabi dan Negarawan): ``Saya menganggap Muhammad adalah benar-benar seorang nabi dan saya berpendapat bahawa kita (umat Kristian), harus mengakui hal ini berdasarkan prinsip agama Kristian yang menyatakan bahawa `Dari buahnya engkau akan mengetahui benar atau tidaknya sesuatu usaha'. Ini disebabkan sepanjang masa, Islam telah melahirkan banyak orang yang lurus dan suci.
Kegagalan dalam mengembangkan sikap toleransi seperti yang dituntut oleh agama akan membangkitkan sayap radikal Muslim atau Kristian. Namun fenomena untuk mencari titik temu demi keamanan sejagat agak sukar kerana dihalangi oleh sikap fanatik sesetengah penganut agama masing-masing.
Di Ireland Utara, penganut Katholik dan Proteston saling bermusuhan. Di Timur Tengah, ketiga-tiga cucu Nabi Ibrahim umat Yahudi, Kristian, dan Islam saling menggunakan bahasa kekerasan. Di Sri Lanka, kaum Buddha dan kelompok Hindu bercakaran. Yang paling menyayatkan hati, agama dijadikan elemen utama dalam mesin penghancuran manusia suatu kenyataan yang sangat bertentangan dengan ajaran semua agama di atas permukaan bumi ini.
Di samping untuk mengetahui sejauhmanakah perlunya sikap keterbukaan bagi memenuhi tuntutan kemasyarakatan antara penganut agama, terutamanya Islam dan Kristian di Malaysia. Pola pemikiran tersebut menjadi sangat penting bagi mengukur asas atau percubaan untuk mengadakan dialog antara agama bagi mendapatkan persefahaman dan kefahaman sikap penganut Islam terhadap agama-agama lain. Melalui kefahaman inilah dijangka dapat mengurangkan salah faham dan prasangka buruk terhadap penganut agama lain.
Apabila masyarakat Islam memahami bentuk dan sifat penganut agama lain, mereka dipercayai boleh menerima lain-lain agama sebagai pilihan penganutnya. Ini seterusnya dapat menbantu bukan Islam memahami gaya hidup dan falsafah kehidupan orang Islam dan hubungan yang komunikatif akan membolehkan imej Islam dapat diperbetulkan. Islam difahami secara lebih baik dan usaha untuk melabelkan para penganutnya sebagai negative dapat diperbetulkan.
Perbuatan negatif bukanlah hak eksklusif sebuah masyarakat atau hak orang Islam. Perilaku negatif merupakan perbuatan yang melampau sempadan dan pegangan agama. Perbuatan negatif ini berlaku di mana-mana, oleh sesiapa saja yang tidak mengikuti garis panduan kehidupan beragama, secara lebih praktikal dan mendalam.
Ini tidak boleh disamakan dengan anggapan bahawa dialog sebagai kaedah untuk menentukan agama mana yang paling benar. Kalau kata agama difahami secara konkrit, bukan secara metafizik, maka dialog antara agama bererti dialog antara orang yang beragama. Hal ini demikian kerana hanya di sinilah dialog mendapat tempat sebagai fungsi kritis yang tidak terlepas daripada kehendak setiap orang untuk mencari kebenaran terus-menerus.
TUJUAN DAN BENTUK DIALOG
Dialog ini bertujuan memperjuangkan masyarakat yang lebih adil, lebih merdeka, lebih manusiawi.
Bentuk dialog berdasarkan pengalaman keagamaan yang meletakkan peranan agama dalam setiap konteks persoalan global seperti alam sekitar, peperangan, moral, hak asasi manusia dan keadilan yang dihadapi oleh bangsa manusia pada abad ke-21.
Manakala perwatakan dialog merupakan suatu percakapan antara dua pihak atau lebih, yang mengandungi unsur keterbukaan, sikap kritis dan keupayaan untuk saling mendengar, saling belajar dan memahami antara satu sama lain secara mendalam.
Peserta dialog mestilah mempunyai sikap keterbukaan, iaitu kedua-dua belah pihak atau lebih yang terlibat dalam dialog tersebut mestilah bersedia untuk mendengar.
Keterbukaan dan kejujuran dalam dialog merupakan syarat yang amat penting. Perbezaan pendapat dalam dialog adalah wajar, malahan perbezaan itulah yang menimbulkan dialog. Tetapi perbezaan pendapat itu tidak boleh dianggap sebagai alasan untuk menempatkan suatu keputusan dan memberikan penilaian yang berat sebelah.
Tegasnya, dialog menuntut kedua-dua belah pihak memilih untuk bekerjasama daripada berkonfrontasi dan saling menyalahkan dan mengalahkan.
PANDANGAN ISLAM TENTANG DIALOG
Al-Quran mengajarkan bahawa umat Islam harus menghormati semua pengikut kitab suci (ahli kitab). Sama halnya dengan semua kelompok manusia termasuk umat Islam sendiri diantara kaum pengikut kitab suci itu ada yang lurus (benar) dan ada yang tidak. Daripada mereka ada memusuhi kaum beriman, tetapi ada juga yang menunjukan sikap persahabatan yang tulus.
Sejarah mencatat bahawa Nabi s.a.w dan para Khalifah al-Rasyidin tidak pernah memaksa golongan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) untuk meninggalkan agama mereka sebagai syarat untuk hidup bersama dengan kaum Muslim.
Pada hakikatnya dari awal lagi kelihatan sekali bahawa Nabi s.a.w tidak bermaksud untuk menbangun sebuah masyarakat Muslim yang eksklusif. Piagam Madinah yang yang menjadi landasan pembangunan masyarakat baru madinah menbuktikan bahawa Nabi s.a.w tidak ingin menyingkirkan umat-umat lain.
Piagam Madinah menggambarkan semangat hidup berdampingan secara rukun yang diikat oleh kesediaan untuk berkerjasama dan saling menbela. Dalam hal ini perlu dicatat bahawa tersingkirnya orang-orang Yahudi dari Madinah kerana pengkhianatan mereka sendiri terhadap piagam tersebut.
Daripada hakikat ini perbezaan dari segi doktrin kadang-kadang boleh menimbulkan pendebatan yang membawa kepada perseteruan, namun al-Quran memerintahkan supaya berlaku adil dalam perdebatan.
Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada al-Quran yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu ialah satu; dan kepada-Nyalah kami patuh dengan berserah diri. (Surah Al-Ankaabut: 46)
Prinsip-prinsip toleransi daripada ajaran Islam inilah yang menjadi panduan dan kefahaman mereka dalam menghadap pihak Kristian yang kadang-kadang terlalu mudah untuk tercetusnya konflik.
Walau bagaimanapun, permasalahan ini terletak kepada penafsiran orang Muslim ke atas ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan hubungan Muslim-Kristian. Apakah mereka akan mengambil ayat-ayat itu tadi secara literal atau terlepas dari konteksnya yang spesifik atau dengan menanggung risiko terjadinya kontradiksi terhadap prinsip-prinsip umum yang termaktub di dalam al-Quran?
Bersambung.. ISLAM ANTI-KRISTIAN? -PART 2 (AKHIR)
