ISLAM ANTI-KRISTIAN? -PART 2 (AKHIR)

ISLAM ANTI-KRISTIAN? -PART 2 (AKHIR)

ISLAM DAN KEMAJMUKAN
 
Peranan Islam sebagai agama seiring dengan peranan Muhammad s.a.w sebagai Rasul yang diutus oleh Allah kepada segenap manusia, tanpa sempadan kebangsaan, geografi dan batas-batas waktu. Bahkan Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. sendiri dikurniakan oleh Allah Taala kepada segenap alam dan manusia, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
 
Dan tiadalah Kami utus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam?
 
Islam tidak membezakan suku bangsa dan warna kulit manusia kerana semuanya ialah hamba Allah, bahkan perbezaan bangsa dan warna kulit itu juga merupakan suatu rahmat daripada Allah kepada hamba-Nya, agar mereka dapat saling kenal mengenal san bantu-membantu dalam menempuh kehidupan.
 
Selain menghormati manusia lain dari segi keturunan, bangsa dan budayanya, Islam juga menganjurkan agar umatnya memelihara hubungan dengan penganut agama lain yang tidak memusuhi Islam, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya, menerusi surah Muntahanah, ayat 8, yang bermaksud:
 
Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. 
 
Firman Allah ini dengan tegas menunjukkan bahawa umat Islam dikehendaki berlaku baik dan bersikap adil kepada penganut agama lain. Ayat ini juga tidak melarang umat Islam untuk bergaul secara baik serta bersikap jujur terhadap penganut agama lain, sama ada mereka penganut agama samawi (Yahudi, Nasrani) mahupun agama wadi atau agama yang timbul daripada hasil manusia, selama mereka tidak memerangi Islam dan tidak mengusir umat Islam dari kampung halamannya. Dalam nas yang sama, seorang Muslim hendaklah mampu membezakan antara kepercayaan dengan pergaulan sehari-hari.
 
Ini membuktikan bahawa sistem masyarakat dalam Islam adalah amat terbuka, dan dapat diterima oleh semua bansa dan agama, kerana Islam juga tidak pernah memaksa penganut agama lain untuk menganut agamanya. Bahkan Islam juga tidak secara terperinci dan kritis menghalang agama lain berkembang di negaranya, dengan prinsip dan etika tertentu, kerana prinsip ini telah dianut oleh Nabi Muhammad s.a.w.
 
Sebagai agama terakhir, Islam adalah agama yang menghormati prinsip orang lain dan kemajmukan yang wujud di dalam sesuatu kelompok masyarakat atau bangsa. Kerana tiada suatu bangsa pun di dunia ini yang benar-benar tunggal tanpa wujudnya suatu perbezaan di dalamnya, baik perbezaan itu dari sudut budaya mahupun dari sudut kepercayaan.
 
Al-Quran sebagai kitab suci terakhir yang diturunkan oleh Allah untuk umat manusia mengandungi beberapa petunjuk yang tegas mengenai kemajmukan dan menyatakan bahawa kemajmukan itu ialah suatu ketentuan Ilahi (takdir). Oleh yang demikian, umat Islam wajib menerima kemajmukan itu dan kemudian berusaha untuk mewujudkan sikap kebersamaan bagi memperkukuhnya. Secara amnya, dapat dikatakan bahawa kemajmukan itu adalah Sunnatullah yang tiada seorang manusia pun sanggup mengubahnya, kecuali Allah Taala, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
 
Sekiranya Tuhanmu menghendaki,sudah tentu Dia akan menjadikan manusia ini umat yang satu,tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. (Surah Hud: 118)
 
Dalam nada yang lebih tegas lagi, Allah berfirman yang bermaksud:
 
Dan jika Tuhanmu menghendaki, nescaya akan beriman seluruh penduduk bumi. (Surah Yunus: 99)
 
Firman Ilahi ini menegaskan, bahawa sekiranya Dia menghendaki, nescaya tidak akan wujud lagi perbezaan kepercayaan di kalangan masyarakat sesuatu bangsa. Demikian juga dengan perbezaan suku, bangsa, bahasa, warna kulit, kebudayaan dan sebagainya. Tetapi Allah tidak melakukannya demikian, malahan Dia memberi kebebasan kepada manusia untuk memilih jalan akan mereka lalui, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
 
Katakan bahawa kebenaran itu datang dari Tuhanmu,maka barangsiapa yang ingin beriman,hendaklah dia beriman, dan barang siapa yang ingin kafir biarlah dia kafir. Sesungguhnya telah kami sediakan bagi orang-orang yang zalim itu neraka yang mengepung mereka dengan gejolaknya. ( Surah Al-Kahfi: 29)
 
Petikan firman Allah di atas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w sendiri tidak berupaya untuk menyuruh semua penduduk Madinah beriman kepada Allah, bahkan Allah menegur baginda dengan pertanyaan: Apakah engkau hendak memaksa supaya mereka menjadiorang yang beriman Hal ini demikian kerana tugas baginda hanyalah menyampaikan (rasul), sedangkan yang memberi hidayah kepada manusia adalah Allah Taala. Ini menunjukkan bahawa Islam menerima wujudnya kemajmukan ini, baik dalam bentuk sikap, budaya, warna kulit, bangsa, mahupun agama. Dengan demikian dapat dikatakan bahawa kemajmukan dan keanekaragaman manusia itu adalah sebagai suatu sunnah-Nya terhadap makhluk-Nya, yang kesemuanya itu mengandungi hikmah tertentu.
 
Kemajmukan ini bukan hanya berada pada peringkat global, tetapi juga wujud dalam kelompok masyarakat yang lebih kecil daripada itu, seperti peringkat nasional, wilayah, daerah, bahkan sampai ke peringkat mukim dan kampung. Bagaimanpun, kemajmukan yang dimaksudkan di sini tidak boleh diertikan sebagai suatu pengakuan dan kebenaran semua agama dalam bentuknya yang nyata sehari-hari. Ajaran kemajmukan keagamaan dalam Islam membawa pengertian, bahawa semua agama diberi kebebasan untuk hidup, sementara aqkibat perbuatan mereka itu akan ditanggung oleh mereka sendiri.
 
Sebagaimana yang sudah disentuh terdahulu, bahawa kemajmukan dalam Islam ini telah wujud semenjak wujudnya Islam di permukaan bumi, tepatnya semenjak Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah ke Madinah hinggalah pemerintahan Islam bertapak di Andalus yang menjadikan Andalus sebagai pusat kebudayaan, ilmu dan peradaban dunia selama lebih kurang tujuh abad.

Bagi menimbulkan kesedaran serta kefahaman mengenai kemajmukan antara para penganut agama, sepanjang yang pernah dilalui oleh Islam dalam masa perkembangannya, maka sejarah Islam perlu diteliti untuk memperoleh gambaran yang sederhana dan jelas, terutama kemunculan dan peranan yang dimainkan oleh tokoh-tokoh tertentu dalam sejarah pertumbuhan dan perkembangan Islam.

Fasa pertama yang dapat dijadikan perbandingan dalam kesediaan Islam menerima kemajmukan ini dapat dilihat dalam sejarah perkembangan Islam di Madinah Al-Munawwarah. Sebagai seorang Rasulullah, Nabi Muhammad s.a.w. telah mampu membaca serta mempelajari struktur dan potret masyarakat Madinah sebelum Piagam Madinah dirumuskan, kemudian baginda menjadikannya asas dalam perumusan Piagam Madinah.

Piagam Madinah itu mengandungi 36 fasal yang meliputi pelbagai persoalan, termasuk hubungan sesama Islam, hubungan Islam dengan penganut agama lain, kewajipan kedua-dua belah pihak dalam masa aman dan dalam masa perang, serta hubungan luar negeri.

Antara kandungan Piagam itu ialah:

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
…bahawa barangsiapa dari kalangan Yahudi yang mengikuti kami, maka baginya pertolongan dan hak persamaan (dalam muamalah), mereka tidak dianiaya dan musuh mereka tidak dibantu.
…bahawa orang-orang Yahudi harus mengeluarkan belanja bersama-sama orang mukmin selama mereka masih dalam keadaan berperang.
…bahawa orang-orang Yahudi Banu Auf merupakan satu umat bersama orang-orang beriman. Bagi orang Yahudi agama mereka dan bagi kaum Muslimin agama mereka. Termasuk para pengikut mereka dan diri mereka sendiri, kecuali bagi orang yang melakukan penganiayaan dan durhaka. Orang ini hanya akan menghancurkan dirinya dan keluarganya sendiri.
…bahawa terhadap orang-orang Yahudi dari Banu Najjar, Banu Harits, Banu Saidah, Banu Jusyam, Banu Aus, Banu Tslabah, Banu Jafnah dan Banu Syutaibah juga berlaku pula hak-hak yang sama seperti Yahudi Banu Auf. Keluarga dari Bani Tsalabah memiliki hak-hak dan kewajipan yang sama seperti halnya anggota suku mereka.
…bahawa tiada seorang pun daripada mereka yang dapat pergi berperang, kecuali dengan izin Muhammad s.a.w, tetapi tidak boleh dihalangi untuk menuntuu balas bagi kejahatan luka atas dirinya.
…bahawa orang Yahudi berkewajiban menanggung nafkah mereka sendiri dan kaum Muslimin pun berkewajipan menanggung nafkah mereka. Dan di antara mereka hendaklah wujud sikap tolong-menolong dalam menghadapi orang yang hendak menyerang pihak yang mengadakan piagam perjanjian ini.
…bahawa mereka sama-sama berkewajipan, saling nasihat-menasihati dan saling berbuat kebaikan dan menjauhi perbuatan dosa.
…bahawa seseorang tidak dibenarkan melakukan perbuatan salah terhadap sekutunya dan yang mesti ditolong ialah orang yang teraniaya.
…bahawa kota Yathrib (Madinah al-Munawwarah) adalah kota yang dihormati bagi orang-orang yang mengakui perjanjian ini. 
…bahawa orang Yahudi Aus, baik diri mereka sendiri mahupun para pengikut mereka mempunyai kewajipan seperti mereka yang sudah menyetujui naskah perjanjian ini dan dengan segala kewajipan sepenuhnya dari mereka yang menyetujui naskhah perjanjian ini.

Demikian antara kandungan dokumen politik yang dikenali dengan Piagam Madinah, yang telah diperkenalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w sejak lebih 1400 tahun yang lalu. Piagam ini telah menetapkan adanya kebebasan beragama, kebebasan menyatakan pendapat, baik mengenai keselamatan harta benda mahupun larangan melakukan kejahatan. Perjanjian yang bersejarah ini telah membuka mata dunia pada masa itu.

Melalui Piagam Madinah yang dirumuskan pada awal abad ke-7 Masihi ini, dunia diperkenalkan kepada gagasan politik yang sangat revolusioner, beretika dan berwibawa. Piagam ini jelas mempunyai tujuan perancangan bagi terciptanya keserasian politik dengan mengembangkan toleransi sosioagama dan budaya seluas-luasnya.

Piagam Madinah disifatkan revolusioner kerana semua penduduk Madinah bersama kaum pendatang, yakni kaum muhajirin dari Makkah dikategorikan sebagai suatu umat yang berhadapan dengan umat. Piagam ini ditulis atas gagasan Muhammad, yang ketika itu dapat dikatakan sebagai pemimpin kaum pendatang yang sedang diburu kaumnya sendiri.

Sehubungan dengan itu, Muhammad Natsir, seorang ahli politik, birokrat dan pendakwah terkenal dan pernah dilantik sebagai Perdana Menteri pertama zaman Sukarno, menyatakan, bagi umat Islam, kemajmukan dan kebebasan memiliki keyakinan bergama itu bukan mesti dilandasi pernyataanpernyataan Hak Asasi Manusia dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tetapi Piagam Madinah itu ialah suatu jelmaan yang terangdaripada prinsip kemerdekaan beriktikad dan beragama menurut prinsip ajaran Islam. Bahkan Piagam Madinah juga telah berjaya meletakkan dasar-dasar bagi keanekaragaman hidup antara penganut agama, antara warganegara yang berbeza agama.

Prinsip kemajmukan ini diteruskan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w, iaitu Abu Bakar al-Siddiq r.a. (meninggal 12 H/634 M), Umar ibn al-Khattab r.a (meninggal 22 H/644 M), Uthman ibn Affan r.a (meninggal 35 H/656 M), Ali ibn Abi Talib k.w (meninggal 40 H/661 M). Kemudian prinsip ini dilanjutkan lagi oleh para khalifah Islam selepas mereka seperti Muawiyah ibn Abi Sufyan r.a (meninggal 60 H/680 M), Abd al-Malik ibn Marwan (meninggal 86 H/750 M), Umar ibn Abd al-Aziz (meninggal 101 H/720 M) yang dikenal sebagai Umar ke-2 yang memerintah selama tiga tahun. Masa pemerintahan Umar yang begitu singkat menjadi salah satu tonggak penting dalam sejarah Islam, kerana usahanya yang bersungguh-sungguh untuk mengembangkan sikap keterbukaan umat beragama dengan melarang meruntuhkan gereja dan memberi peluang mereka berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan.

Antara kegemilangan sejarah yang amat penting dari sudut tamadun dan kemajmukan serta toleransi beragama dalam Islam ialah penguasaan Islam terhadap Andalus, yang dilakukan oleh Musa ibn Nusair menjelang tahun 95H/714M. Setelah Islam bertapak di Andalus, maka datangnya orang-orang Yahudi dari Timur, menuju ke Cordova, yang merupakan pusat kegiatan ekonomi dan politik. Pemerintah Islam Andalus menerima kedatangan mereka dengan tangan terbuka, bahkan mereka diberi jawatan penting seperti doktor dan sebagainya. Pemerintah Islam Andalus tidak menghalang mereka mendirikan sebuah Sekolah Yahudi yang terkenal di Cordova dengan pengajian Kitab Talmud.

Islam berkembang dengan pesatnya di Andalus dan salah satu faktor penyebabnya ialah sikap kesediaan Islam untuk duduk semeja dengan penganut Kristian Andalus. Mereka tidak dipaksa memeluk Islam. Sikap kesediaan Islam secara pergaulan bebas dalam pengertian yang jujur antara penganut Islam dengan Kristian mengakibatkan berlakunya percampuran budaya Andalus Kristian dengan budaya Arab Islam, bahkan ramai penganut Kristian Andalus yang menukar nama mereka dengan nama-nama Arab.

Kemudian, Andalus atau kemudiannya dikenali dengan Sepanyol itu mampu mencipta satu tempat tidur untuk tiga agama, yakni Islam, Yahudi dan Kristian. Penganut Yahudi dan Kristian memperoleh kebebasan mutlak di negeri itu, bahkan sebahagian besar penganut Yahudi mengakui, bahawa mereka tidak pernah merasakan kebebasan beragama sebagaimana yang mereka alami di Sepanyol Islam atau di negeri-negeri Islam lainnya.

Di samping kemajmukan yang kukuh itu, Sepanyol juga muncul sebagai pusat ilmu dunia ketika itu, sehingga terdapat lebih kurang 100 sekolah dan institusi pengajian tinggi di Andalus, yang menyebabkan Sepanyol, khususnya Cordova menjadi tumpuan para ilmuwan dari Eropah, Asia dan Afrika.

Kota Cordova (Qurtubah) ketika itu adalah kota yang tercantik di dunia, yang penduduknya lebih kurang setengah juta orang dan mempunyai 600 buah masjid, 900 tempat pemandian (swimming pool) untuk umum, 50 buah rumah sakit dan lebih daripada 800 buah sekolah. Cordova juga mempunyai sebuah perpustakaan umum yang besar, memiliki 600,000 jilid buku, di samping 70 perpustakaan swasta, serta sebuah masjid jamek yang mempunyai 860 tiang yang besar dan cantik.

Minat, dorongan serta perhatian dan penglibatan para pemerintah Islam Andalus dalam kegiatan keilmuan, merupakan suatu dorongan yang tidak ternilai, yang membantu menyemarakkan kegiatan ilmu. Berkat dorongan dan penglibatan pemerintah itu, maka semua lapisan masyarakat Andalus, tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama sama-sama bergiat dalam memajukan berbagai-bagai lapangan dan disiplin ilmu pengetahuan di Andalus.

Pernah dikatakan, bahawa selama tiga ratus tahun Eropah belajar dan menuntut ilmu daripada muslim Sepanyol, sehingga muncullah beberapa nama di kalangan mereka, seperti Adelard dari Barh, John dari Seville, Joseph dari Cremon, Roger Bacon, Micheal Scotus, Gundisalvi, Petrus Alphonisine, William Ockham, Peter Abelard dan ribuan lagi sarjana Eropah yang begitu diagung-agungkan oleh masyarakat Barat (Kristian) itu sebenarnya adalah antara sekian ramai pelajar Eropah yang belajar di perguruan-perguruan tinggi yang diasaskan dan dikandalikan oleh sarjana Islam Andalusia.

Rentetan sejarah yang panjang itu menggambarkan bahawa Islam muncul sebagai agama penyelamat bagi suatu masyarakat yang sedang menuju kearah kehancuran. Sebagai obor yang menerangi setiap sudut pemikiran masyarakat, tanpa mengira agama dan bangsa, Islam juga adalah suatu agama yang menganut prinsip toleransi (tasamuh) dan agama pemersatu manusia di bawah panji-panji al-Quran dan al-Sunnah, yang diakui oleh penganut ahli al-Kitab mahupun penganut agama wadi atau culture religion seperti agama Buddha, Hindu, Shinto, Tao dan seumpamanya.

STRATEGI DAN CARA DIALOG

PERTAMA: Mewujudkan kemudahan bersama untuk menciptakan perdamaian dengan melahirkan satu kesedaran secara kolektif ke arah tersebut. 
KEDUA: Duduk secara bersama merumuskan idea-idea terbaik untuk mencipta perdamaian dengan meletakkan kepentingan bersama daripada kepentingan kelompok.
KETIGA: Bersama-sama menahan diri untuk tidak terlibat dalam konflik kepentingan yang boleh membawa kepada konfrontasi secara fizikal (peperangan).

Strategi-strategi lain yang boleh diambil oleh orang Islam dan bukan Islam ialah hendaklah dipatuhi sepenuhnya prinsip kebebasan beragama iaitu tiada paksaan dalam agama dan juga persetujuan untuk berbeza dalam agama yang amat ditekankan oleh al-Quran, seperti firman-Nya yang bermaksud: 
Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sudah nyata petunjuk kebenaran daripada kesesatan. Oleh itu, sesiapa yang tidak mempercayai Taghut (yang menyesatkan) dan percaya akan Allah maka ia telah berpegang kepada tali yang teguh yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui. (Al-Baqarah: 256)

Al-Quran secara jelas telah mengutuk dengan keras sikap ekstrem, fanatik, militan dan keganasan seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:
Sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membenarkan pembunuhan itu (seperti hukuman balasan bunuh atas kelakuannya membunuh orang lain) atau kesalahan melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia seluruhnya dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia. (Al-Maidah: 32)

Beberapa etika dialog atau adab berbeza pendapat (adab al-ikhtilaf) harus juga dipatuhi, iaitu seperti yang berikut:

i. Menerima pluralisme agama menghormati perbezaan pendapat sebagai satu lumrah di kalangan manusia  yang berbeza latar belakang budaya, agama, suku bangsa dan puak-puaknya.

ii. Mengelakkan cemuhan budaya dan agama lain dan menyerahkan kepada Tuhan untuk menentukan kebenaran yang muktamad, seperti juga yang dianjurkan oleh al-Quran dalam Surah Saba: 25-26, yang bermaksud: 
“Kamu tidak bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan. Katakanlah bahawa tuhan akan menghimpunkan kita semua (pada hari kiamat), kemudian memutuskan perselisihan antara kita dengan kebenaran. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Pengadil Yang Maha Mengetahui.

iii. Bersopan santun dan berbudi bahasa dalam berdialog seperti yang dimaksudkan oleh firman Allah dalam Surah al-Nahl ayat 25 dan Surah Taha ayat 24 yang bermaksud:
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.
“Maka hendaklah anda berkata kepadanya (para pendengar dengan kata-kata yang lemah lembut (layyina), moga dengan demikian ia akan sedar dan insaf.

iv. Mengelakkan relativisme dan sinkretisme dalam agama walaupun menerima pluralisme. Relativisme dalam agama ialah pendirian yang beranggapan bahawa kebenaran ialah relatif dan setiap agama mempunyai elemen kebenaran adalah sama. Bagi orang Islam kebenaran atau hak adalah mutlak iaitu Tuhan Yang Maha Esa (al-Haq) dan kebenaran terletak dalam ilmu dan hukum yang diturunkan oleh Tuhan Yang Maha Esa, iaitu al-Quran dan mesti dilaksanakan tanpa kompromi.

Oleh itu, dalam amalan dan pegangan agama khususnya berkaitan akidah, ibadah dan hukum, kita mesti bersetuju untuk berbeza, iaitu Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku. (Al-Kafirun: 6)

Akibat ketiadaan relativisme dalam agama yang berkaitan dengan akidah, ibadah dan hukum, maka tidak ada juga sinkretisme dalam agama iaitu sikap, pendirian dan aktiviti mengasimilasikan elemen-elemen agama yang lain khususnya dalam aspek-aspek tersebut.

Untuk mengelakkan perselisihan dan konflik yang berpanjangan dan tidak tercapainya titik pertemuan dan persetujuan, maka dialog perbezaan akidah, ibadah dan hukum yang berkaitan mestilah diketepikan.

v. Menekankan titik persamaan yang sepunya dan universal dalam agama dan budaya terutama dalam aspek moral, etika, kekeluargaan, kebajikan, pembangunan kemanusiaan, ekonomi, sains, teknologi dan prasarana.

ETIKA DAN SYARAT-SYARAT DIALOG DALAM ISLAM

Kaum Muslimin dituntut untuk sentiasa merendahkan diri dan bersedia berdialog dengan kebenaran (al-Haqq) dan kesabaran (al-Sabr) dalam setiap langkah perjalanan hidupnya. Peranan sejarah peradaban Islam masa lalu merealisasikan ajaran-ajaran etika keagamaan dapat menjadi alat pendukung dialog dan amat berharga bagi proses pencarian nilai-nilai keagamaan yang lebih dasar.

Umat Islam diperingatkan oleh al-Quran untuk tidak mengejek atau menghina golongan lain, kerana boleh jadi orang yang dihina itu lebih baik daripada orang yang menghina. Dengan demikian, sejak awal-awal lagi al-Quran telah menjangkakan akan munculnya bentuk pendakwaan kebenaran (truth claim) baik yang muncul dalam masyarakat satu agama, mahupun antara umat Islam dengan penganut agama lain.

Al-Quran menganjurkan agar umat Islam saling memperingatkan dan saling menasihati dalam proses pencarian kebenaran yang hakiki. Dengan demikian, dapat dikatakan bahawa al-Quran telah lebih dahulu berbicara mengenai etika, baik terhadap sesame umat Islam, mahupun terhadap penganut agama lain, baik dalam pergaulan, mahupun dalam bermujahadah (dialog).

Sebagai suatu agama yang lebih dahulu merintis jalan dialog, Islam mengemukakan beberapa etika dialog, sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud:
Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang yang zalim di antara mereka dan katakanlah: Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada kamu. Tuhan kami dan Tuhan kamu adalah satu, dan hanya kepada-Nya kami berserah diri . (Al-Ankabut: 46)

Yang dimaksudkan dengan orang yang zalim dalam ayat di atas ialah orang-orang yang setelah diberikan kepadanya keterangan dan penjelasan dengan cara yang baik tetapi mereka tetap membantah, membangkang dantetap menyatakan permusuhan.

Ayat di atas menyuruh umat Islam berakhlak sebaik-baiknya dalam perdebatan dengan golongan ahli kitab. Jika usaha itu menemui jalan buntu, atau mereka tetap mempertahankan pendapat mereka, maka langkah selanjutnya ialah mengatakan kepada mereka bahawa umat Islam juga beriman kepada kitab yang di turunkan kepada mereka dan Tuhan yang disembah oleh umat Islam adalah sama dengan Tuhan yang disembah oleh mereka.

Antara pengajaran ayat di atas, menurut Hamka, ialah bahawa jika suatu ketika umat Islam terpaksa berdialog dengan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani), hendaklah dialog itu dilakukan dengan cara yang paling baik, yakni mempergunakan timbangan akal yang murni, jangan memperturutkan kemurkaan hati jika terjadi perbezaan pendapat dan ajaklah mereka bertukar fikiran dengan akal yang sihat dan sedarkanlah mereka bahawa puncak kepercayaan Islam adalah sama dengan mereka, iaitu sama-sama percaya kepada Tuhan Yang Maha Esa, sama-sama berasal daripada manusia yang satu.

Persiapan untuk dialog yang sejati seharusnya meliputi tiga segi:
Pemahaman diri secara dalaman, pengenalan terhadap lawan dialog dan ketekunan untuk membaca tanda-tanda zaman supaya kita dapat melakukan komunikasi dan mengalami suatu dialog yang sejati.

Seseorang yang hendak menyertai dialog, mestilah melengkapkan pengetahuannya tentang agamanya sendiri, melengkapkan pengetahuannya tentang agama lawan dialognya serta memahami istilah-istilah teologi kedua-dua belah pihak dengan tepat. Jika perkara ini diabaikan, maka dialog yang hendak dilaksanakan itu tidak akan membuahkan hasil yang diingini.

Dialog juga hendaklah difokuskan kepada titik-titik persamaan yang ada pada kedua-dua agama, sebagaimana yang diajarkan oleh Allah kepada Rasul-Nya, yang bermaksud:
Katakanlah: Hai Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian), marilah kepada suatu kalimat (ketetapan), yang sama antara kami dengan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain daripada Allah. Jika mereka berpaling, katakanlah kepada mereka: Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang menyerahkan diri (kepada Allah). (Ali Imran: 64)

Firman Allah di atas membimbing Muhammad Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan dakwahnya kepada semua para pembesar negeri sekitar Jazirah Arab, seperti surat baginda kepada Hiraqlius, Muqauqis dan al-Najasyi. Kebijaksanaan menonjolkan persamaan yang ada pada kedua-dua komuniti adalah metodologi yang paling tepat dan sesuai untuk mengajak komuniti lain meneliti persamaan itu, Islam mempercayai bahawa agama semua Nabi itu adalah sama, iaitu Islam, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud.
Ibrahim bukanlah seorang Yahudi dan bukan pula seorang Nasrani, akan tetapi ia adalah seorang yang lurus lagi menyerahkan diri kepada Allah (muslim) dan sekali-kali bukanlah dia dari golongan orang yang mempersekutukan Allah. (Ali Imran: 67)

Ayat ini dengan tegas mengatakan bahawa Ibrahim ialah seorang muslim. Demikian juga agama nabi-nabi yang lain seperti agama Nabi Yusuf, agama Nabi Isa, bahkan al-Quran menyatakan bahawa semua nabi itu beragama Islam.

Demikian juga persamaan seruan, para Nabi sama-sama menyeru umat mereka agar menyembah Allah, mentauhidkan-Nya dan tidak mempersekutukan-Nya, sebagaimana seruan para Rasul kepada umat mereka. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, lalu dia berkata: Wahai kaumku, sembahlah oleh kamu akan Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain Dia. (Al-Araaf: 59)

Firman-Nya lagi, yang bermaksud:
Dan kepada kaum Ad, (Kami utus) saudara mereka Hud, berkata dia: Wahai kaumku, sembahlah oleh kamu akan Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain Dia. (Al-Araaf: 65)

Allah berfirman lagi yang bermaksud:
Dan kepada kaum Thamud, (Kami utus) saudara mereka Shalih, berkata dia: Wahai kaumku, sembahlah oleh kamu akan Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain Dia. (Al-Araaf: 73)

Seterusnya, firman-Nya lagi yang bermaksud:
Dan kepada kaum Madyan, (Kami utus) saudara mereka Syuaib, berkata dia: Wahai  kaumku, sembahlah oleh kamu akan Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain Dia. (Al-Araaf: 85)

Demikian juga seruan Nabi Isa kepada Bani Israil. Dengan memperhatikan firman Allah di atas, diketahui bahawa semua Rasul yang diutuskan oleh Allah mulai Adam hingga Muhammad hanya menyerukan satu agama, iaitu Islam dan menyuruh umatnya menyembah satu Tuhan iaitu Allah. Kesatuan sembahan ini dikenal dengan tauhid, atau monoteisme mutlak.

Inilah titik temu yang perlu dicapai dalam dialog. Perlu diyakini bahawa penggantian Nabi dan pemansuhan sebahagian ajaran agama yang sebelumnya itu adalah atas kehendak Ilahi, bukan kehendak Isa untuk memansuhkan sebahagian ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa, dan bukan pula kehendak Muhammad untuk memansukhkan sebahagian ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. Kehadiran agama yang kemudian itu adalah sebagai penyempurna terhadap ajaran agama yang terdahulu.

KESIMPULAN

Masa depan hubungan Islam-Kristian bergantung pada kemahuan penganut masing-masing untuk membaiki kecacatan pada masa lalu dan memandang ke hadapan. Kedua-dua komuniti itu hendaklah mempunyai kesungguhan untuk membangunkan sebuah komuniti yang memiliki kesedaran sebagai orang mukmin, yang bertekad membangunkan pemahaman yang lebih baik antara satu sama lainnya, baik semangat Kristus bagi umat Kristian mahupun semangat al-Quran dan al-Sunnah bagi umat Islam. Jalan yang paling baik ke arah ini ialah melalui dialog, yakni melibatkan sikap jujur dalam menghadapi perbezaan-perbezaan asas dan bersama-sama mencari suatu kebenaran yang tidak sepenuhnya dimiliki oleh mana-mana kelompok, kerana kebenaran yang hakiki itu hanya ada di sisi Allah s.w.t.

Pemimpin agama kedua-dua komuniti mempunyai tanggungjawab moral untuk menjaga agama daripada penyalahgunaan atau dieksploitasi untuk kepentingan politik yang sempit. Semakin sederhana dan progresif orientasi mereka, semakin kecil kemungkinan hubungan mereka akan menjadi lebih buruk.

Kedua-dua komuniti hendaklah bersedia untuk melakukan kritik diri berkenan dengan kewujudan satu sama lain dan menjauhi sikap ofensif dalam menghadapi konflik dan realiti yang tidak menyenangkan. Oleh itu, kelompok yang representatif yang sentiasa bersedia untuk menjadi orang tengah dalam usaha meningkatkan sikap saling memahami adalah sangat diperlukan. 

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

017897
Hari ini: 149
Minggu Ini: 492
Bulan Ini: 3,038
Tahun Ini: 17,897
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.