ORANG YANG TAKSUB SEBENARNYA BUTA

ORANG YANG TAKSUB SEBENARNYA BUTA

Apabila mereka sudah meyakini atau percaya, mereka kerap menjadi fanatik terhadap kepercayaan ini sehingga sukar bagi kita umat Islam membawa mereka kembali ke jalan yang benar dan dituntut oleh agama. Lebih dari itu mereka bersikap tertutup dalam menerima pendapat dan buah fikiran yang dilihatnya berasal daripada golongan lain. Mereka menilai antara benar dan salah itu berdasarkan atas perasaan persamaan suku, golongan dan aliran.

Syak wasangka, curiga mencurigai sesama Muslim, kekerasan dan pengkhianatan menjadi amalan mereka. Akibatnya mereka terasing, menjauhkan diri daripada percaturan dunia luar. Tuduhan bahawa kerajaan hari ini zalim, kafir, sekular, dan membandingkan pula kerajaan ini sama seperti kerajaan Firaun di zaman Nabi Musa memperlihatkan betapa taksubnya golongan tersebut sehingga menafikan semua kebaikan yang telah dilakukan oleh kerajaan. Meskipun Rasulullah s.a.w. telah memberikan garis-garis dalam membentuk pemikiran dengan anjuran ''agar melihat apa yang dibicarakan dan jangan melihat siapa yang berbicara'', namun kata-kata yang berharga itu tidaklah mempan bagi mereka yang dihinggapi penyakit fanatik melulu.

Keterbukaan yang boleh membawa manusia luas dalam mengharungi cakerawala pandangan, telah mereka singkirkan. Mereka menganalisis masalah dengan lebih mendahului ''siapa'' dan bukan ''apa''. Kita seharusnya bersikap kritis dalam menghadapi kemajuan. Justeru, Rasulullah s.a.w. sendiri lebih jauh menekankan ''terimalah kebenaran itu dari mana pun ia datang, walaupun dari seorang fasik atau seorang kafir''.

Ini adalah suatu petanda bahawa bagaimana kelemahan yang ada pada diri seseorang atau golongan, dari satu segi tertentu ia juga memiliki kelebihan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
''Bukan golongan umatku orang yang mengajak kepada fanatisisme, bukan termasuk umatku orang yang berperang kerana fanatisisme dan bukan tergolong umatku orang yang mati disebabkan fanatisisme''. (Riwayat Tarmizi).

Mereka yang taksub itu walau setinggi mana pun pengetahuan mereka, sebenarnya mereka buta. Sebahagian besar mereka adalah orang-orang yang tidak suka mempergunakan akalnya dengan baik dan tidak memahami makna dan isi ajaran Islam sebenar.

Secara lahiriah mereka beragama tetapi hakikatnya adalah kaum pengikut secara taklid yang tidak mengerti hendak dibawa ke mana oleh pemimpin-pemimpinnya, sekalipun ke arah kesesatan pasti mereka mengikutinya. Sifat seperti ini sememangnya telah diasuh sebegitu rupa, oleh pemimpin-pemimpin mereka supaya pengikutnya berfanatik secara membabi buta.

Sepatutnya, seseorang Muslim itu patut bersikap terbuka, ingin belajar dan mengubah sikap apabila mengetahui kesalahan sesuatu fahaman mereka tanpa rasa angkuh dan sombong. Dari hadis riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
''Barangsiapa yang terbunuh di bawah panji-panji kesesatan, ia menyeru 'asabiyah' atau menolong 'asabiyah', maka bangkainya itu adalah bangkai jahiliah''.

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa perasaan taksub dan asabiyah atau dengan kata lain fanatik adalah diharamkan dalam agama Islam. Punca fanatisisme melulu adalah disebabkan kejahilan ilmu pengetahuan. Kejahilan mempunyai implikasi buruk terhadap kehidupan. Ia boleh menyebabkan kebinasaan kepada seseorang individu, masyarakat dan negara.

Muaz bin Jabal pernah berkata:
''Pelajarilah ilmu pengetahuan, sebab mempelajarinya kerana Allah adalah tanda takut kepadanya, menuntutnya adalah ibadat, menelaahnya adalah tasbih, mencarinya adalah jihad, mengajarkannya kepada orang yang belum mengetahui adalah sedekah, memberikannya kepada ahlinya adalah kebaktian. Dialah kawan dalam masa kesepian dan teman pada masa kesunyian. Dialah penunjuk jalan kepada agama dan pendorong kesabaran pada masa kepayahan dan kesempitan. Allah mengangkat sesetengah kaum kerana ilmu pengetahuannya, maka dijadikannya pemimpin, penghulu dan penunjuk jalan kebaikan yang diikuti oleh orang ramai. Dengan ilmu pengetahuanlah manusia mentaati Allah Azza wajalla. Memperhambakan diri kepada-Nya, mengesakan-Nya dan membesarkan-Nya''.

Islam memerangi kejahilan kerana akibat buruknya ia melahirkan manusia yang bersifat taksub. Sifat taksub boleh menyebabkan sesuatu kaum tidak berlaku adil antara satu sama lain.

Ini juga akan memecahbelahkan umat Islam dan memutuskan hubungan silaturahim sesama sendiri. Malah kesan fanatisisme (secara membabi buta) juga boleh menjejaskan keutuhan pemerintahan negara Malaysia. Ia akan menakutkan orang-orang bukan Islam malah hak dan keupayaan kita untuk memerintah dengan adil akan terjejas dan segala usaha untuk melaksanakan pembangunan Islam juga turut tergencat.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

040871
Hari ini: 51
Minggu Ini: 308
Bulan Ini: 5,153
Tahun Ini: 40,871
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.