MALAM NISFU SYAABAN, MALAM ISTIMEWA

MALAM NISFU SYAABAN, MALAM ISTIMEWA

Para ibubapa hari ini wajib menanamkan kesedaran pada anak-anak, agar mereka dapat menghormati bulan mulia dalam Islam dengan melatih mereka meningkatkan amal soleh dan mengajak mereka untuk mengikuti kuliah-kuliah dimasjid-masjid tentang keutamaan bulan Syaaban dan Nisfu Syaaban sehingga menambah ghairah meningkatkan amaliah ubudiyah seperti puasa-puasa sunat dan lain-lainnya.

Sesungguhnya kita bertanggungjawab terhadap baik buruknya pendidikan anak-anak kita. Kerana itu, betapa kecewa hati kita apabila melihat kenyataan pahit, di mana anak-anak sudah tidak mengenal lagi bulan-bulan Islam yang harus dihormati dan dihayati.

Allah s.w.t. telah memberi peringatan kepada kita selaku orang tua, agar hendaknya kita merasa prihatin jika melihat anak keturunan yang lemah, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
Hendaklah mereka takut jangan sampai meninggalkan anak keturunan yang di belakangnya, dikhuatirkan akan sengsara, sebab itu hendaklah mereka patuh kepada Allah dan hendaklah mereka berkata dengan perkataan yang betul. (An-Nisa: 9)

Hidup kita adalah berbilang hari, bulan dan tahun. Semua itu telah diatur Allah, silih berganti. Allah Taala berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. (at-Taubah : 36)

Dari ayat tersebut kita memperoleh peringatan bahawa di antara waktu-waktu yang telah diatur Allah, terdapat waktu-waktu yang mulia; satu di antaranya adalah bulan Syaaban.Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh Sayidina Aisyah yang maksudnya, Saya belum pernah melihat Rasulullah Saw menyempurnakn puasa dalam sebulan penuh, melainkan dalam bulan Ramadhan dan saya belum pernah melihat beliau saw, banyak berpuasa dalam sesuatu bulan (tetapi tidak sebulan penuh) lebih dari bulan Syaaban,(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Sungguh berbahagia, kerana kita dapat memasuki bulan yang bersejarah ini. Kita mensyukuri nikmat Allah, sebab dengan datangnya bulan Syaaban ini, riwayat daripada Yahya bin Muadz, bahawa dia berkata: Sesungguhnya di dalam kata (Syaaban) terdapat lima huruf, di mana dengan setiap hurufnya kaum mukminin akan diberi suatu pemberian: dengan syin akan diberi syaraf (kehormatan) dan syafaat, dan dengan ain akan diberi izzah (kehebatan) dan kemuliaan, dan dengan baa akan diberi biir (kebaikan), dan dengan alif akan diberi ulfah (kemesraan), dan dengan nuun akan diberi nur (cahaya); dan oleh kerananya dikatakan: Bulan Rejab ialah untuk mensucikan hati dan bulan Ramadan ialah untuk mensucikan roh. Sesungguhnya orang yang mensucikan badannya pada bulan Rejab maka dia akan mensucikan hatinya pada bulan Syaaban, dan orang yang mensucikan hatinya pada bulan Syaaban akan mensucikan rohnya pada bulan Ramadan, maka jika dia tidak mensucikan badannya pada bulan Rejab dan hatinya pada bulan Syaaban, bilakah dia akan mensucikan rohnya pada bulan Ramadan?

Dan oleh kerananya berkata seorang ahli hikmat: Sesungguhnya bulan Rejab untuk memohon ampun daripada segala dosa, dan bulan Syaaban untuk memperbaiki hati daripada segala cacat, dan bulan Ramadan untuk memberi penerangan hati, sedang malam Qadar adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Barang siapa berpuasa tiga hari pada awal bulan Syaaban, dan tiga hari pada tengahnya, dan tiga hari pada akhirnya, maka Allah akan menuliskan baginya pahala daripada tujuh puluh orang nabi, dan adalah seperti orang beribadah kepada Allah selama tujuh puluh tahun, dan jika dia mati pada tahun itu, dia mati sebagai pahlawan syahid.

Dan dalam hadis lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Barang siapa mengagungkan bulan Syaaban dan bertakwa kepada Allah Taala dan melakukan ketaatan kepada-Nya dan menahan diri dari berbuat maksiat, maka Allah Taala mengampuni dosa-dosanya, dan memberi keamanan kepadanya dari kemalangan-kemalangan mahupun penyakit-penyakit yang terjadi pada tahun itu seluruhnya.

Kita sentiasa mengharap rahmat dan fadhilat dari Allah s.w.t. Untuk itu kita harus meningkatkan amal soleh, memperbanyak ibadah terutama pada bulan-bulan mulia. Di dalam bulan mulia, terutama bulan Syaaban itulah segala amal akan memperoleh pahala yang berlipat ganda, dan orang yang menghidupkan malam pertengahan dari bulan Syaaban maka hatinya tidak akan mati manakala hati-hati (orang lain) telah mati.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Barangsiapa menghidupkan malam daripada dua hari raya dan malam pertengahan dari bulan Syaaban, maka hatinya tidak akan mati manakala hati-hati (orang lain) telah mati.

Dari hadis-hadis di atas, mungkin ia hadis-hadis dhaif tetapi ia boleh dipegang dalam fadhail amal (untuk kelebihan beribadat) dan nyatalah bahawasanya dalam bulan Syaaban ini kita dianjurkan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah dengan meningkatkan amal soleh dan memperbanyak ibadah. Kita gunakan bulan Syaaban untuk mencari bekal akhirat dengan tidak melupakan kemaslahatan hidup dunia.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

010738
Hari ini: 47
Minggu Ini: 2,140
Bulan Ini: 3,987
Tahun Ini: 10,738
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.