Dalam Islam, hutang adalah tanggung jawab yang sangat serius dan wajib diselesaikan oleh setiap Muslim. Malah jika hutang seseorang tidak dijelaskan sebelum meninggal dunia, roh hamba itu akan ‘tergantung’ selepas kematiannya. Islam mengajar tentang betapa pentingnya seorang Muslim menjelaskan hutang, atau sekurang-kurangnya memasang niat ikhlas untuk menjelaskannya.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sampai dilunasi.” - (HR. Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahwa hutang adalah tanggungjawab yang sangat besar sebagai orang Islam, bahkan jiwa seorang mukmin akan tergantung dengan hutangnya, hingga hutang itu dilunaskan oleh warisnya. Hutang sebenarnya satu perkara yang diharuskan dalam Islam, apabila seseorang itu sangat memerlukan sejumlah wang, bagi memenuhi kehidupan seharian. Begitupun, keutamaan perlu diberikan kepada perkara dharuriyat berbanding hajiat.
Namun pada zaman ini pula, seorang muslim sanggup berhutang kerana ingin dipandang tinggi oleh masyarakat. Ramai yang kini berhutang hanya untuk memiliki telefon pintar terbaharu, membeli televisyen atau perkakas rumah yang tidak diperlukan dan sebagainya.
Adapun mereka yang bersikap boros dan menunjuk-nunjuk, lalu ia menyumbang kepada hutang yang tidak terkawal. Sebilangan daripada masyarakat kita meletakkan kebahagiaan di mata, justeru, kesanggupan bergolok-bergadai untuk memuaskan mata orang lain telah mendorong kepada pertambahan hutang.
Al-Quran dengan jelas menyatakan dalam Surah al-Israa’ ayat 27 yang bermaksud: “Sesungguhnya membazir adalah saudara syaitan dan syaitan sangat ingkar kepada Tuhannya.” - (Surah al-Isra’, ayat 27)
Selain itu, isu hutang terkait dengan sikap amanah dan kebijaksanaan untuk menguruskan hutang. Hal ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud: “Kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah SWT Tuhannya.” - (Surah al-Baqarah, ayat 283)
Michael Mihalik, seorang penulis terkenal berkaitan kewangan pernah menyebut, “Hutang boleh mengubah personaliti seseorang yang bebas dan gembira kepada seorang yang keras dan kasar.” Perubahan ini boleh merosakkan keharmonian bermasyarakat. Justeru, sikap bertanggungjawab perlu ditunaikan oleh penghutang.
Sudah menjadi satu budaya dalam kalangan masyarakat kini untuk berbelanja mengikut gaya hidup serta trend terkini dan bukannya berdasarkan kemampuan kewangan. Keadaan itu menyebabkan ramai yang terjebak dalam ketagihan hutang. Kadangkala belum habis membayar pinjaman lama, ditambah pula hutang baharu.
Pelbagai masalah yang timbul daripada amalan berhutang sebenarnya berpunca daripada sikap individu sendiri. Apakah orang Islam khususnya bangsa Melayu tidak khuatir jika budaya tidak membayar hutang ini semakin meluas, sehingga mengundang kehancuran sebagaimana ancaman Allah SWT. Hatta tidak disangka, wujudnya di kalangan masyarakat Melayu Islam yang menunaikan Haji dan Umrah secara berhutang. Bagaimana untuk membangun tamadun Islam di Timur ini, jika bangsa kita mengambil ringan tentang lilitan hutang?
Kira-kira 10 hingga 13 peratus daripada kes kebankrapan baharu yang didaftarkan antara 2021 hingga tahun ini melibatkan penjawat awam. Lebih membimbangkan, data itu menunjukkan tren peningkatan dari tahun ke tahun.
Berdasarkan data terbuka Kegagalan pegawai awam menguruskan kewangan dengan baik bukan sahaja memberi kesan kepada individu dan keluarga, malah kepada ekosistem perkhidmatan awam negara, dan membuka ruang kepada amalan rasuah demi menutup hutang peribadi. Ia akan menjadi barah dalam masyarakat dan melemahkan kepercayaan rakyat kepada pengurusan negara dan perkhidmatan awam.
Dari sudut makroekonomi pula, hutang yang tidak terkawal mampu menjatuhkan sebuah empayar. Perang Dunia Pertama membawa kepada kejatuhan 4 empayar besar ketika itu - empayar Rusia pada tahun 1917, dan kemudian empayar Uthmaniyyah, Austro-Hungary, dan Jerman pada tahun 1918.
Sebelum itu lagi, Empayar Uthmaniyyah sudah berada dalam kedudukan kewangan yang tidak menentu, dan Perang Dunia Pertama memburukkan lagi kedudukan fiskalnya. Kerajaan Uthmaniyyah pada awalnya sentiasa berhati-hati untuk berhutang dengan kuasa Eropah yang lain, namun semasa Perang Krimea tahun 1853-1856, keperluan dana semakin meningkat, sehingga empayar itu mengalah dan menandatangani perjanjian pinjaman dengan sekutu Eropah-nya.
Antara 1854 dan 1874, Empayar Uthmaniyyah telah mencapai 15 perjanjian pinjaman dengan kuasa asing. Pinjaman itu diambil dengan tujuan untuk menyusun semula birokrasi yang tidak berfungsi empayar, memusatkan hasil dan perbelanjaan, dan memodenkan tentera.
Pada tahun 1856, Sultan Abdulmejid menyeru agar sistem perbankan moden ditubuhkan di Empayar Uthmaniyyah. Seruan ini disahut oleh kuasa perbankan Eropah yang berbondong-bondong ke Istanbul. Mengikut syarat yang dipersetujui, jawatan pengurus besar bank perlu diduduki oleh orang Eropah. Pihak Berkuasa Uthmaniyyah bersetuju untuk mempunyai pengaruh terhad ke atas tadbir urus bank. Bank Imperial Uthmaniyyah ditubuhkan dan berkhidmat sebagai bank pusat empayar.
Ekonomi empayar bertambah buruk pada tahun 1873 apabila pasaran saham Eropah jatuh. Kerajaan Uthmaniyyah tidak dapat membayar balik pinjaman tepat pada masanya.
Menjelang 1875, keadaan kewangan empayar tidak dapat lagi dipertahankan. Dua pertiga daripada hasil negara Uthmaniyyah digunakan hanya untuk membayar balik hutang. Penyelesaian yang dicadangkan melibatkan kerajaan menyerahkan hasil cukai untuk membayar balik pinjaman. Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan hasil daripada setem, minuman keras, cukai perikanan, sutera, garam, dan monopoli tembakau.
Kerajaan Uthmaniyyah menubuhkan Pentadbiran Hutang Awam Uthmaniyyah (OPDA). Badan baru itu akan dikendalikan oleh orang Eropah dan akan tertakluk kepada kawalan Uthmaniyyah yang minimum. Pada tahun-tahun selepas 1881, hasil cukai yang dinyatakan dalam Dekri Muharrem telah dibawa ke bawah kawalan OPDA. Fungsi utama institusi adalah memungut cukai dan mengagihkannya kepada pemegang bon asing.
Hasil cukai yang diserahkan kepada Pentadbiran Hutang Awam Uthmaniyyah meningkat selama bertahun-tahun. Menjelang tahun 1914, kira-kira satu pertiga daripada hasil negara Uthmaniyyah telah dikumpulkan oleh OPDA dan disalurkan kepada orang Eropah.
Dengan penubuhan Republik Turki pada tahun 1929, satu pertiga daripada hutang tertunggak telah diampunkan. Turki membayar ansuran terakhir hutangnya kepada OPDA pada 1954, tepat satu abad selepas Empayar Uthmaniyyah mengambil pinjaman asing pertamanya.
Ketagihan kepada belitan berhutang demi melayani nafsu amarah, tanpa niat dan perancangan untuk membayar hutang itu, tidak akan memajukan bangsa ini. Inilah Sunnatullah, dan bangsa ini tidak boleh marah dan menyalahkan pihak lain jika masih mundur. Sikap buruk mencari salah pihak lain akan menafikan diri seseorang untuk bermuhasabah, dan keluar dari belenggu kemunduran.
