Salah seorang tokoh baru dan ahli sufi terkemuka dari India adalah Syah Waliyullah. Nama sebenarnya adalah Qutubuddin Ahmad Syah Waliyullah bin Abdurrahim ad-Dihlawi. Beliau di lahirkan di Delhi dan digelar ‘Dihlawi’ (orang Delhi). Syah Waliyullah berasal dari keluarga terkenal. Salasilah keluarganya sampai kepada Umar bin Khattab dari garis ayahnya dan Ali bin Abi Talib dari garis ibunya. Beliau memperolehi pendidikan dari ayahnya sendiri, Abdurrahim, seorang sufi dan ulama pendiri Madrasah Rahimiah di Delhi. Di madrasah itulah beliau belajar ilmu keagamaan, termasuk tasawuf.
Syah Waliyullah bermukim di Mekah dan Madinah selama dua tahun. Beliau banyak memperolehi ilmu keagamaan, terutama tentang hadis dan tasawuf, dari ulama-ulama terkemuka di kedua kota suci tersebut. Gurunya yang paling penting di Tanah Suci itu adalah Syekh Abu Tahir al-Madani, seorang ulama Syafi’I dan sufi terkemuka di Hijaz pada saat itu,. Beliau juga menerima ijazah untuk mengajar dan meriwayatkan hadis.
Syah Waliyullah berusaha mendamaikan doktrin wahdatul wujud (kesatuan wujud) Ibnu Arabi dengan doktrin wahdat asy-syuhud (kesatuan kesaksian) oleh Ahmad Sirhind. Beliau meyakini bahawa keduanya benar. Beliau mengatakan bahawa selama ini wahdat al-wujud sering difahami sebagai doktrin yang menghilangkan perbezaan antara Tuhan dan alam. Ini pemahaman yang keliru. Sebenarnya, wahdat al-wujud tetap mempertahankan perbezaan antara Tuhan dan alam. Oleh hal yang demikian, mempertahankan perbezaan itu bermakna wahdat al-wujud tidak bertentangan dengan wahdat asy-syuhud.
Pemikiran Syah Waliyullah memiliki pengaruh besar di dunia Islam. Di India sendiri, pengaruhnya disebarkan kepada murid-murid dan anak-anaknya, terutama anaknya yang pertama, Syah Abdul Aziz. Melalui Abdul Aziz pemurnian alam ajarannya menjadi lebih domminan, namun tetap tidak menghilangkan sufi ortodoksnya. Gerakan ini semakin kuat di tangan murid-muridnya Syah Abdul Aziz yang kemudian mengubah menjadi sebuah gerakan jihad.
Syah Waliyullah menyampaikan pemikirannya melalui karya-karya yang dihasilkannya. Melalui hasil-hasil karya itu, beliau berjuang untuk memperbaiki keadaan umat Islam India yang saat itu sedang dalam krisis politik, sosial, intelektual dan keagamaan. Salah satu karyanya yang terkenal adalah kitab al-Fauz al-Kabir fi Usul at-Tafsir (Kemenangan Besar dalam Usul Tafsir). Syah Waliyullah mengemukakan secara berani pendapatnya yang asli dalam bidang ilmu-ilmu Al-Quran.
