Ulama besar dan tokoh tasawuf Acheh yang pertama kali membawa dan mengembangkan Tarekat Syattariah di Indonesia adalah Syekh Abdur Rauf Singkel. Beliau dikenali dengan nama Tengku Syah Kuala. Abdur Rauf belajar agama daripada ayahnya semasa kecil sebelum berguru dengan Syamsuddin as-Sumatrani. Ketika berusia 27 tahun, Abdur Rauf menimba ilmu agam di semenanjung Arab. Beliau antara lain pergi ke Yaman, Jeddah, Mekah dan Madinah. Setelah itu, beliau ke Acheh. Beliau dilantik sebagai mufti sultan ketika pemerintahan Sultanah Safiatuddin di Acheh menjadi mufti kesultanan. Bersama-sama dengan muridnya, Daud al-Jawi al-Fansuri, Abdur rauf telah membina dayah, lembaga pendidikan Islam Tradisional di Bandar Acheh. Beliau wafat kemudian di makamkan di sana. Sehingga kini, makamnya masih menjadi tempat ziarah penting di Acheh.
Di tanah suci, Abdur Rauf mempelajari Tarekat Syattariah, sebuah tarekat yang muncul pertama kali di India dan kemudian berkembang ke seluruh wilayah. Ketika pulang ke Acheh, Abdur Rauf membawa ajaran tarekat itu dan mengembangkannya di Acheh. Tarekat yang beliau ajarkan bertujuan untuk membangkitkan kesedaran terhadap Allah swt dalam batin manusia. Hal ini hanya dapat dicapai melalui pengalaman beberapa macam zikir.
Abdur Rauf merupakan lambing pencarian ilmu yang penuh kesabaran. Beliau menuntut dan memperdalam ilmu agama di tanah Arab selama hampir 19 tahun. Abdur Rauf berguru dengan banyak guru agama yang terkemuka antaranya Ahmad Qusasi, Syekh tarekat Syattariah dan Ibrahim al-Qur’ani, pengganti Qusasi. Ahmad Qusasi pula yang menunjuknya menjadi khalifah Tarekat Syattariah. Selama belajar di Arab, Abdur Rauf menguasai banyak ilmu, antara lain ilmu syariat, fikih, hadis, tasawuf, dan kalam.
Abdur Rauf Singkel menulis sebuah tafsir Al-Quran berjudul Terjuman al-Mustafid (Terjemahan Pemberi Faedah). Kitab tafsir ini diterbitkan antara lain di Acheh, Pulau Pinang, Jakarta, Kairo dan Mekah. Hampir tiga abad lamanya Turjuman al-Mustafid menjadi satu-satunya terjemahan lengkap Al-Quran di Tanah Melayu. 30 tahun kemudiannya, wilayah Melayu-Indonesia muncul dengan kitab tafsir-tafsir yang baru. Selama tinggal di Acheh, Abdur Rauf menulis sekitar 22 kitab tentang fikih, tafsir, kalam dan tasawuf dalam bahasa Melayu dan Arab. Karya utamanya adalah Mir’at at-Tullab fi Tahsil Ma’rifat Ahkam asy-Syari’yyah li al-Malik al-Wahhab (Cermin bagi penuntut Ilmu Fikih yang mempermudah penuntut mengenal segala Hukum Syarak Allah swt). Kitab ini ditulis atas permintaan dan arahan Sultanah Safiatuddin. Hasil karyanya ini menjadikan beliau terkenal sebagai ulama melayu pertama yang menulis fikih muamalah.
