Pemahaman saya tentang al-Ghazali sedikit bertambah tentang sikapnya terhadap kepentingan ilmu dalam kehidupan manusia selepas membaca beberapa buku tulisannya yang cukup ilmiah dan mudah dicerna dengan melakukan rujukan silang (cross reference). Kalau hanya membuat kesimpulan berdasarkan sebuah buku yang ditulisnya, rumusan yang dibuat salah dan tersasar untuk melihat kedalaman dan sikap al-Ghazali terhadap bidang-bidang ilmu, antara mengenai falsafah – termasuk sebahagian di dalamnya ilmu lojik dan ilmu kalam.
Dalam semi-autobiografinya, al-Munqidz min al-Dhalal, dari naskhah yang diterjemahkan oleh IBDE, Penyelamat Daripada Kesesatan (PDK, 2017) ditemukan kritikan tajam dan pedas ke atas tiga daripada empat kelompok mencari kebenaran. Empat kelompok atau golongan yang mencari kebenaran ialah: al-Mutakallimun (orang-orang yang mengkaji ilmu kalam); al-Batiniyyah (mereka yang mendakwa memperolehi kebenaran (al-haq) daripada imam maksum (tidak ada silap); al-Falasifah (golongan ahli falsafah yang mendasarkan pemahaman mereka berdasarkan kaedah mantik (lojik) dan pembuktian rasional (burhan); dan, al-Suffiyyah (ahli sufi), iaitu golongan khusus yang hampir dengan ketuhanan (rububiyyah). (PDK, hal. 24-25).
Dalam perspektif tersebut, tidak ternampak dakwaan bahawa al-Ghazali menolak kaedah ilmu dan mekanisme (kerangka) keempat-empat ilmu tersebut. Al-Ghazali hanya menolak hasil daripada pemikiran dan sikap pengamal-pengamal atau mereka menggunakan ilmu tersebut dalam kerangka yang tidak menepati perncernaan pemikiran terhadap kedudukan wahyu. Bagi al-Ghazali, wahyu wajib diletakkan sebagai asas utama sebelum melakukan penerokaan fikiran dalam bingkai rasional, misalnya dalam amalan ahli falsafah. Ahli falsafah menolak kepentingan dan autentiknya wahyu sebagai penentu, kerana bagi mereka, fikiran rasional adalah segala-galanya sedangkan fikiran rasional ada kelemahan, kekurangan dan tersangat relatif atau subjektif. Itulah hebatnya al-Ghazali, beliau tidak terburu-buru menolak sebelum memahami dan membedahnya dengan tekun dan berhati-hati. Dari situlah al-Ghazali menyelami lautan ilmu pengetahuan sehingga menemui ‘tempat berpaut’.
Berkenaan ahli kalam, al-Ghazali menjelaskan: Golongan ini mendakwa mereka adalah Ahlu Riya’i dan al-Nazr, orang yang melahirkan pendapat dan menggunakan spekulasi intelek atau renungan akal. (PDK, hal.23). Mengenai ilmu kalam pula al-Ghazali menjelaskan: Aku selidiki semua kitab yang dikarang oleh ahli-ahlinya yang benar-benar menguasai ilmu ini, dan aku sendiri turut menulis beberapa kitab mengenai ilmu kalam dengan sekehendakku. Aku dapati ilmu kalam dapat memenuhi tujuannya, tetapi tidak memenuhi tujuanku. Tujuan ilmu kalam ialah menjaga akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di atas landasan Ahli Sunnah, dan memeliharanya dari serangan ahli bidaah.(KDP, hal.26).
Apa yang ditolak oleh al-Ghazali terhadap kelompok ahli ilmu kalam ialah kecenderungan mereka menggunakan kemahiran berbahas (berdebat) dengan segala kemahiran retorik (rhetorical atau discourse) untuk mencari kemenangan. Kemenangan yang didambakan bukan berasaskan ‘kebenaran fakta’ tetapi kaedah berhujah dan mematahkan hujah pihak lawan, Ia umpama majlis debat yang pernah kita saksikan, bukan apa yang diperdebatkan. Ia turut melihat sisi luaran termasuklah penampilan pendebat ataupun kepintarannya dalam membina diksi (kaedah berdebat), intonasi (cara melanggamkan kata dan kalimat), lontaran kata-kata (explatif, tanpa makna), vociferacy (kata-kata yang diucapkan secara riuh) pengucapan kata (enunciacy), atau eufonia (kata-kata yang enak didengar).
Dalam hal ini, walaupun al-Ghazali sebagai ilmuan yang menolak falsafah sehingga menjadi punca kemunduran pemikiran umat Islam selama 700 tahun lamanya (HAMKA, Falsafah Hidup, 1995, hal.12). Al-Ghazali menyanggah falsafah yang dibawa masuk ke dalam pemikiran umat Islam bukan atasan ilmu tersebut, tetapi sikap dan pendirian mereka yang mengagungkan fikiran rasional, Neo-Platonisme.
“Bagi al-Ghazali ilmu yang diperoleh menerusi inderia (sense) ‘tidak dapat dipercayai, maka berdasarkan analogi pengetahuan proposi-proposi wajib atau aksioma-aksioma juga tidak dapat dipercayai. Kerana inderia…Apa ia berhak untuk berfikir bahawa keyakinannya kepada proposi-proposi akal yang wajib berbeza dengan kepercayaannya kepada pengetahuan inderia?...adanya jalan di mana kelompok-kelompok kecil pemikir bebas terdorong untuk menanggalkan keyakinan-keyakinan Islam dan mengabaikan dasar-dasar pemujaan ritual dengan menganggapnya sebagai tidak berguna bagi pencapaian intelektual mereka.” (Majid Fakhry, Sejarah Falsafah Islam, edisi terjemahan, 1995, hal. 265-269).
Atas penolakan metod yang digunakan oleh ahli falsafah dan dua puluh isu yang berkaitan dengan pemikiran mereka al-Ghazali cenderung menolaknya, bukan bererti menolak falsafah secara total walaupun didakwa “Kemenangan yang malang al-Ghazali dan Penyah-Yunanian Islam” oleh Robert R Reilly, Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin, (edisi terjemahan 2017, hal. 165-173).
Berkenaan ilmu kalam, jelas bahawa al-Ghazali menggunakan metod itu untuk memperjelaskan persoalan teologi, dan ini telah diakuinya sendiri. Antara tulisannya dalam kaedah ilmu kalam ialah Qawaid Al-Aqaid (Teologi al-Ghazali, edisi terjemahan bahasa Indonesia, Forum, 2020), Risalah Qudsiyyah (belum saya temui edisi terjemahan yang dicetak secara berasingan daripada koleksi Majmu’ah Rasail Iman al-Ghazali), Al-Iqtishad fil I’tiqad (Perihal Kesederhanaan Dalam Islam, edisi terjemahan, IBDE, 2018) dan Iljamu ‘l-Awaam an-Ilmi ‘l-Kalam (Ilmu Kalam: Tegahan Buat Orang Awam (IKTOA), edisi terjemahan, IBDE, 2021).
IKTOA menurut catatan dan penelitian para pengkaji kitab-kitab karangan al-Ghazali dikatakan sebagai buku terakhir tulisannya, yang disiapkan dua minggu sebelum meninggal pada selepas subuh hari Isnin, 14 Jamadil Akhir 505H (18 Disember 1111). Kebetulan pula saya menulis ulasan IKTOA ialah 18 Disember 2021, yakni hari ulangtahun kematiannya yang ke-910. Semoga Allah memberkati al-Ghazali di atas usahanya yang gigih membangkit dan menyegarkan ‘jiwa agama’.
Daripada pemahaman saya, al-Ghazali memperagakan suatu bayangan bahawa rasional membawa kepada kaedah falsafah, instuisi melahirkan kaedah tasawuf (mistik) manakala ilmu kalam dibina berdasarkan dialektik antara teks dan nalar (lojik). Kerana itu ilmu kalam difahami sebagai kaedah teologi defensive (membela atau mempertahankan agama) dan juga seni polemik yang membela sesuatu doktrin. Ini kerana ilmu kalam lebih menekankan kepada sifat teks itu sendiri (teks secara zahir).
Sebenarnya, al-Ghazali tidak mengakui keunggulan metod ini, kalam tidak dapat dipercayai sepenuhnya dan tidak dapat memuaskan pencarian intelektualnya. Sebagaimana ditulis oleh al-Ghazali dalam PDK:
Tetapi Allah Ta’ala melahirkan golongan mutakallimun dan menggerakkan dakwah mereka untuk membela Sunnah dengan bersenjatakan perdebatan yang sistematik dan ungkapan-ungkapan yang tersusun hingga dapat mendedahkan kepalsuan ahli bidaah yang jelas menyalahi Sunnah. Dari sinilah lahirnya ilmu kalam dan ahli kalam.
….Mereka berjaya memelihara Sunnah sebaik-baiknya, dan mempertahankan akidah yang diterima dari misi kenabian, Mereka berjaya memperbetulkan kembali kepalsuan yang direka-reka oleh ahli bidaah.
Tapi dalam melaksanakan tugas suci ini mereka juga berpandukan kepada mukadimah-mukadimah (premises) yang mereka ambil daripada pihak musuh. Mereka terpaksa mengakuinya sama ada taklik, ijmak, atau semata-mata kerana diterima daripada al-Qur’an dan Sunnah. Mereka banyak terlibat dalam usaha hendak menunjukkan kelemahan musuh dengan jalan menunjukkan kenyataan-kenyataan yang bercanggah yang dikeluarkan oleh musuh itu. Mereka menunjukkan kelemahan dan kesalahan musuh yang mengakui menerima mukadimah-mukadimah atau premis tertentu. Tapi, perdebatan seperti ini amat sedikit faedahnya bagi mereka yang tidak menerima apa-apa selain daripada perkara-perkara dari segi logiknya pasti benar (dharuriyyat). Setelah itulah ilmu kalam masih belum memuaskan aku dan masih belum cukup menbubati penderitaanku.” (PDK, hal. 27-28)
Walau bagaimanapun, al-Ghazali bersetuju sekiranya kalam itu bersumberkan dari al-Qur’an. Hal ini disebabkan dalam beberapa keadaan, metodoloji kalam yang terdiri dari kepercayaan (iman) sebahagiannya dicemari oleh silogisme palsu.
Pada satu sisi al-Ghazali membenarkan bahawa kalam yang bersumber dan berlandaskan al-Qur’an, yakni metodologi kalam terdiri dari kepercayaan (iman) yang tidak dicemari oleh silogisme (analisis yang membawa kepada rumusan secara deduktif) palsu. Ini bermakna al-Ghazali sangat berhati-hati dalam menggunakan metodologi kalam kerana beliau takut boleh menggelongsorkan akidah walaupun tujuan asalnya ialah untuk mempertahankan sesuatu doktrin. Apa yang dikesali ialah kerana kalam itu merupakan sebahagian daripada falsafah, maka kalam pula digunakan untuk menimbulkan pelbagai keraguan menerusi penggunaan hujah atau premis yang salah, yang sangat cenderung rasional tanpa dibingkai oleh keautentikan wahyu.
Dalam IKTOA, al-Ghazali menyatakan bahawa ‘kebenaran sejati’ , yang ‘secara jelasnya dipegang secara bersepakat oleh orang-orang yang mata hatinya’, iaitu mazhab Salaf (para Sahabat dan Tabi’in). Ini bermakna arus sejarah telah membangkitkan pelbagai pengalaman terhadap isu-isu politik yang membawa kepada pemesongan akidah dan agama. Tentunya, bila kita mengkaji sejarah Islam, selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW muncul persoalan politik di sekitar menentukan keabsahan seseorang pemimpin sebagai pengganti Rasullullah SAW. Ia bermula ketika para sahabat dan ahli keluarga sedang menguruskan pengkebumian Rasullullah SAW, kaum Ansar berkumpul di Saqifah Bani Sa’idah yang terletak sekitar 500 meter daripada Masjid Nabawi di Madinah.
Mereka berkumpul untuk membincangkan siapakah yang berhak menggantikan Nabi Muhammad SAW. Ini diamati sebagai titik awal perpecahan umat Islam biarpun kemudiannya dapat ditangani dengan baik oleh Abu Bakar as-Siddek dan Umar al-Khattab. (Omar Hashem, Saqifah: Awal Perselisihan Umat, Jakarta: al-Muntazhar, 1994). Pada zaman Usman bin Affan, krisis tersebut menjadi semakin membuak-buak dan memuncaknya ialah terbunuhnya khalifah di tangan puak Khawarij, yang mula terbentuk di selatan Irak pada Abad ke-7 M.
Apabila Ali diangkat sebagai khalifah selepas kematian Usman, krisis menjadi semakin meruncing di mana puak Khawarij yang pada awalnya hanya mengiktiraf Ali sebagai pewaris kepimpinan Islam menerima tekanan daripada Muawiyah bin Abi Sufyan, yakni waris terdekat Usman yang mahukan Ali menghukum mereka yang terbabit dengan pembunuhan tersebut. Isunya tidak selesai di situ, Ali hanya berpendirian mereka yang wajib dihukum ialah pembunuh manakala yang lainnya tidak dihukum. Khawarij berlindung di bawah kepimpinan Ali, tetapi kemudiannya keluar mengasingkan diri.
...BERSAMBUNG: ERTI ‘KEBENARAN SEJATI’ DAN MAKNA ‘KELEMAHAN DIRI’ -PART 2
