ERTI ‘KEBENARAN SEJATI’ DAN MAKNA ‘KELEMAHAN DIRI’ -PART 2 (AKHIR)

ERTI ‘KEBENARAN SEJATI’ DAN MAKNA ‘KELEMAHAN DIRI’ -PART 2 (AKHIR)

..............

Akibat desakan dan tekanan yang berlaku, maka bermulalah Perang Sifffin, iaitu antara tentera pimpinan Ali dengan tentera yang menyokong Muawiyah. Bagaimanapun, kesudahannya akibat kelicikan Amr bin al-Ash yang mengepalai pasukan Muawiyah, ia berakhir dengan satu rundingan damai (gencatan senjata), termasuk mengenai timbang tara isu pembunuhan Usman. Di pihak Ali, ada juga kelompok yang tidak bersetuju dengan gencatan senjata itu. Kesempatan itu kemudiannya diambil oleh Abdul Rahman bin Muljam untuk melancarkan kempen membunuh – Ali bin Abi Thalib, Muawiyah bin Abu Sufyan dan Amr bin al-Ash. Namun, yang berjaya dibunuh ialah Ali bin Abi Thalib. Ali meninggal pada 29 Januari 661, dua hari selepas ditikam oleh Abdul Rahman Muljam di Masjid Kufah.

Selepas itu muncul pula kelompok yang lebih radikal, iaitu Syi’ah yang hanya mengiktiraf Ali dan keturunannya sahaja sebagai pemimpin Islam. Hal ini membawa kepada persengketaan selanjutnya sehingga Muawiyyah melakukan tindakan tegas. Kelompok Syi’ah ini kemudiannya berkembang sebagai gerakan politik yang cukup berbahaya dan radikal di mana sepanjang sejarah peradaban Islam mereka telah berjaya membunuh sesiapa sahaja yang tidak sealiran pandangan politiknya.  

Sebahagiannya dirasai sendiri oleh al-Ghazali semasa hayatnya, termasuk pembunuhan ke atas Nizam al-Muluk, Perdana Menteri Dinasti Saljuk yang berjaya mengangkat akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai benteng umat Islam menerusi pembangunan institusi-institusi Nizamiyyah hampir ke seluruh banda di Irak, Al-Ghazali adalah salah seorang produk daripada institusi pendidikan Nizamiyyah dan seterusnya menjadi seorang tenaga pengajar yang cukup cemerlang.

Dalam menangani persoalan akidah berdasarkan kerangka ilmu kalam, al-Ghazali dalam bukunya Ilmu Kalam: Tegahan Kepada Orang Awam (IKTOA) berbincang mengenai “hadis-hadis yang boleh menimbulkan sangkaan tasybih (yakni penyerupaan Allah dengan makhluk-Nya’ yang mungkin ada kaitan penghujahan sebelum ini, iaitu terhadap pandangan ahli falsafah mengenai kekadiman Allah SWT. Akibat terpengaruh dengan aliran falsafah neoplatonisme (Yunani), ada sebilangan ahli falsafah cuba memahami Alllah SWT dalam bentuk jisim, di mana bagi al-Ghazali, ia adalah jelas membawa kepada kekufuran. (Dr Abdul Rahman Haji Abdullah, Pemikiran Islam Klasik: Pengaruh Falsafah Yunani dan Kebangkitan Gerakan Tajdid, Kuala Lumpur: al-Hidayah Publishers, 2004, hal.119-126).
Usaha untuk menyelamatkan orang awam daripada kesilapan ilmu kalam dan falsafah, al-Ghazali menulis buku terakhir ini untuk menjawab “persoalan…dengan menzahirkan kebenaran yang jelas tanpa basa-basi, berat sebelah mahupun taksub kepada mana-mana mazhab” dan hal ini memang menjadi kelaziman orientasi penulisan dalam hampir kesemua kitab-kitabnya, walaupun diketahu bahawa beliau adalah pendokong mazhab Syafi’e dan pengamal Ahli Sunnah Wal Jamaah, terutama pandangan-pandangan Imam Abu Hassan as-Sya’ari, yang pengikut-pengikutnya dikenali sebagai asl-Asy’ariyyah (Ash’arisme).  

Kitab atau buku ini dibahagikan kepada tiga bab: (1) pendirian mazhab Salaf terhadap hadis-hadis yang dikategorikan sebagai mutashabihat; (2) kebenaran mazhab Salaf; dan (3) beberapa persoalan mengenai mazhab Salaf. Mazhab Salaf diyakini sebagai kebenaran sejati perlu diterima berdasarkan tujuh syarat, iaitu: (1) taqdis (yakni menyucikan Allah); (2) tasdiq (yakni beriman); (3) mengakui kelemahan diri; (4) berdiam diri daripada bertanya; (5) menahan diri daripada  mengubah lafaz-lafaz ayat mutashabihat; (6) menahan batin diri selepas zahirnya; dan (7) menyerahkan urusan kepada Ahli Makrifat (mereka yang berpengetahuan atau pakar).

Mutashabihat bermaksud ayat-ayat (al-Qur’an) dan hadis-hadis yang mengandungi makna yang kurang atau tidak jelas. Bagi ayat-ayat (al-Qur’an) dan hadis-hadis yang mengandung maksud yang jelas dipanggil muhkamat. Ayat-ayat (al-Qur’an) dan hadis yang digolongkan sebagai mutashabihat adalah yang hadir dalam bentuk metafora, alegori dan sebagainya sehingga memungkinkan diperlambangkan pula sifat-sifat Allah SWT dalam bentuk jisim dan menyerupai maklumat. Golongan yang mentafsirkan ayat-ayat terbabit sebagai perlambangan jisim dikenali sebagai mujassimah manakala yang mengandaikan seperti makhluk dipanggil musyabbihah. Kelompok Salaf ialah generasi pertama Islam, yakni mereka yang hidup dalam tempoh tiga abad pertama Islam. Mereka beriman kepada Allah SWT dan menyerahkan makna hakiki dan tujuannya kepada Allah SWT (tafwidz) dan disertai dengan iktikad (keyakinan dalam hati)  tanzih (menghindari daripada menyifatkan Tuhan menyerupai makhluk dan sifat manusia).

Mengenai taqdis, al-Ghazali seseorang itu tidak wajar memahami bahasa perlambangan seperti ‘tangan” dan ‘jari” yang terkandung dalam hadis :Sesungguhnya Allah menapaikan tanah liat Adam dengan tangan-Nya selama empat puluh hari” dan hadis :Sesungguhnya hati orang yang beriman itu di antara dua daripada jari-jemari al-Rahman”, menyerupai “tangan” dan ‘jari” makhluk atau manusia.  Ini kerana, “anggota badan yang terdiri daripada daging, tulang dan saraf” adalah “ungkapan bagi ukuran tertentu” dan digunakan ‘bagi membawa makna lain yang tiada kaitan dengan apa-apa jisim.” (IKTOA, hal.17). Secara mudah, perlambangan yang digunakan untuk memudahkan pemahaman akal manusia, bukan menyifatkan sifat-sifat Allah SWT menyerupai makhluk, jisim atau manusia. Begitu juga beberapa istilah lain seperti ‘turun dari langit (nuzul)’ dan ‘atas (fauq),

Syarat kedua ialah tasdiq ialah mengetahui dengan pasti bahawa ‘makna-makna yang dikehendaki daripada lafaz-lafaz sedemikian (mutashabihat) layak dengan keagungan dan kebesaran Allah” dan dengan keyakinan mendalam bahawa: “Rasullullah SAW jujur dalam menyatakan sifat-sifat Allah SWT dengan menggunakan lafaz-lafaz tersebut. Jadi, seseorang mukmin perlu beriman dengannya dan meyakini bahawa apa sahaja diberitahu oleh Rasullullah daripada Allah itu benar, tiada keraguan padanya.”  (IKTOA, hal.24).

Setiap dari kita sangat memahami bahawa kita mempunyai pelbagai kelemahan: kemampuan otak, kecerdasan berfikir, kecerdasan merasai dan keupayaan mengilustrasikan sesuatu, dan kelemahan-kelemahan itu wajar difahami secara mendalam dan fungsional. Ada perkara-perkara yang kita mampu untuk berfikir sejelas-jelasnya, tetapi kepada semua perkara. Atas sifat dan kekurangan tersebutlah al-Ghazali berkata “wajib mengakui kelemahan diri’ dan kerana ‘mendakwa mengetahuinya, maka dia telah berdusta.” Maksudnya, dalam kehidupan nyata, kita mempunyai banyak perkara yang tidak kita ketahui” termasuk mentafsirkan sesuatu makna atau petunjuk. Meskipun kita belajar dalam banyak perkara, misalnya, mengenai bidang semiotik, tidak bermakna kita boleh mentafsir ‘cuaca mendung’ itu benar-benar menumpahkan hujan, kita hanya sekadar boleh menjangkakan ‘hujan bakal turun’.

Sama ada lebat ataupun renyai-renyai hanya disahkan bila sukatan taburan hujan itu diukur. Itu dalam situasi fizikal, dalam perspektif bukan verbal adalah sukar untuk kita menebak dengan tepat ‘darjah kemarahan seseorang’ hanya berdasarkan intonasi percakapannya. Ada orang bila marah tahap maksimum akan menunjukkan tanda-tanda agresif, represif mahupun ‘cabut lari’. Ini dalam perhubungan antara makhluk, manakala ‘kemarahan Allah SWT’ tidak dapat kita gambarkan bagaimana dahsyatnya. Jelas al-Ghazali, ‘permulaan mengenali hakikat makna-makna ini buat orang awam selari dengan hujung kefahaman buat para khawass [mukmin yang beramal semata-mata kerana Allah SWT]. Justeru, mana mungkin tidak wajib buat mereka untuk mengakui kelemahan diri sendiri?” (IKTOA, hal. 30).

Hakikat bertanya ialah mesti diajukan kepada orang yang mengetahui. Jika kita bertanya kepada orang yang tidak mengetahui (jahil), maka jawapannya “menambahkan lagi kejahilan” dan ‘boleh jadi dia akan dibelitkan kekufuran melalui arah yang tidak disedari.” (IKTOA, hal.30). Ini bermakna, jika tidak ada orang yang benar-benar mengetahui, al-Ghazali mencadangkan ‘berdiam diri’. Mendiamkan diri dapat mengelakkan ‘terdedah kepada sesuatu di luar kemampuan’, semakin dipersulitkan dan yang lebih dahsyat ialah boleh memesongkan akidah. Solusinya, ialah berdiam diri sehingga bertemu dengan orang yang benar-benar berpengetahuan (ahli makrifat).

Contoh yang mudah ialah apabila kita ingin mengetahui mengenai jenis dan gejala penyakit. Orang yang tepat memberikan kita jawapan doktor pakar dalam bidang penyakit yang kita hadapi. Ertinya, bila kita bertanya kepada seorang bomoh, ia boleh menimbulkan reaksi negative apabila penyakit itu didakwa ‘buatan orang’. Orang yang melakukannya ialah saudara kita sendiri. Bomoh hanya bersilat berdasarkan apa keterangan atau maklumat yang disampaikan kepadanya, dia tidak mempunyai pengetahuan yang tepat, dia hanya membuat ramalan dan telahan. Itulah sebabnya dalam masyarakat lebih ramai yang percayakan bomoh berbanding mereka yang dilatih dan belajar mengenai penyakit tersebut. Mereka sanggup berhabis wang untuk melepaskan ‘buatan orang’ dan yang dahsyatnya, dua saudara akan berkelahi malah berkonfrontasi sampai bergenerasi.

Dalam pemetaan pemikiran al-Ghazali, jika kita tidak memperoleh makna daripada apa yang kita cerap, selain berdiam diri sebelum menemui dan bertanyakan mereka yang berpengetahuna, turut disarankan agar mengekalkan lafaz ayat-ayat mutashabihat. Ini penting kerana kita ketahui, sesuatu makna perkataan ia sangat tertakluk bagaimana ianya dieja, dilafaz dan konteksnya. Jika kita mengubahnya untuk disesuaikan dengan ‘kebahasan’ tertentu termasuk penyebutannya, ia akan mengakibat makna dan maksud yang berbeza. Hal ini sangat diakui oleh para pengkaji ilmu semantik (makna bahasa) kerana makna sesuatu perkataan bersifat konotatif (menurut kefahaman dan pengetahuan seseorang) dan denotatif (tetap seperti terdapat dalam kamus).

Hal itu sangat memudaratkan jika istilah-istilah berkaitan agama disalahtafsirkan. Ia bukan sahaja menimbulkan ‘prejudis’ bahkan boleh membawa kepada perbalahan, sengketa dan perseteruan yang sangat membunuh sebagaimana fahaman sunni dan syi’ah. Perbezaan yang jelas ialah sunni menerima sesiapa sahaja yang mengikut petunjuk al-Qur’an, sunnah, hadis dan keputusan ijtihad pada pakar. Ia berbeza dengan pendirian syi’ah, bagi mereka sesiapa pun tidak diterima sebagai pemimpin kecuali kelompok yang ditafsirkan sebagai keturunan imam dua belas. Atas perbezaan tersebut, walaupun lebih 70 peratus umat Islam adalah pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah, sekte Syi’ah tidak pernah berhenti menggoncang, mengancam, mengugut dan melakukan pelbagai tindakan agresif untuk membenarkan ideologinya. Ia sangat merugikan Islam, dan sangat mengecewakan dari perspektif bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa dibingkaikan oleh etnik, kaum, firqah, kabilah dan sebagainya.

Meskipun buku IKTOA ini merupakan sumbangan terakhir al-Ghazali, penyajiannya dalam bingkai ilmu kalam, saya merasakan ia cukup kuat untuk membentuk semula pemikiran umat Islam agar kembali kepada fitrah kehidupan dan tradisi beragama berpedomankan al-Qur’an, hadis, sunnah dan ijtihad para alim ulama. Itu sahaja jalan penyelesaian yang boleh membantu menaikkan semula peradaban Islam, sebuah peradaban yang penuh nilai, harkat kemanusiaan dan penyatupaduan misi. Kita boleh terjemahkan kandungan buku ini dalam pelbagai aspek, bukan sahaja untuk membetulkan pemahaman terhadap kesyumulan Islam, mengawal tingkah laku, cara berfikir dan mengelakkan perpecahan lebih besar.

Seperti pernah digambarkan oleh Nabi Muhammad SAW, bahawa umat Yahudi berpecah kepada 71 kelompok, umat Yahudi kepada 72 kelompok, tetapi umat Islam 73 kelompok. Ertinya, perpecahan umat Islam lagi dahsyat. Itulah hakikat sebuah ‘kemunduran umat Islam’ yang berlaku dan kekal dalam arus sejarah sebagai “umat tercorok” walhal seruan al-Qur’an cukup kuat untuk muncul sebagai umat yang cemerlang. 
Secara halusnya, saya melihat itulah sumbangan terbesar al-Ghazali hingga kini iaitu membangunkan psikologi dan membina tradisi menerusi pemekaran dan kemantapan ‘jiwa agama’. Buku kecil ini cukup bermakna dan cukup menarik untuk dikupas serta diterjemahkan solusinya dalam tindakan seharian, membina sahsiah dan membangun pola pemikiran hakiki berteraskan makna al-Qur’an dan hadis, serta pendirian mazhab Salaf.

Nama Buku: Ilmu Kalam: Tegahan Buat Orang Awam.
Penerbit: Inisiatif Buku Darul Ehsan, 2021.
Penterjemah: Abdul Jabbar Md Salleh.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

048149
Hari ini: 97
Minggu Ini: 1,685
Bulan Ini: 3,611
Tahun Ini: 48,149
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.