KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)

KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)

KENYATAAN MEDIA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)
MENGECAM PENYALAHGUNAAN GAMBAR KANAK-KANAK DAN REMAJA DI MEDIA SOSIAL: TINDAKAN TEGAS PERLU DIAMBIL
13 Jun 2025
 
Saya memandang serius pendedahan oleh pempengaruh saudari Mek Yun berhubung penyebaran gambarnya ketika masih bersekolah dalam sebuah kumpulan Facebook yang didakwa mempromosikan kandungan tidak bermoral melibatkan kanak-kanak. Lebih mengejutkan, terdapat pengakuan terbuka daripada seorang ahli kumpulan tersebut yang mendakwa telah melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak. Ini adalah satu bentuk jenayah yang sangat keji dan menjijikkan, yang bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga batas-batas kemanusiaan serta nilai moral masyarakat.
 
Perlindungan terhadap kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama yang wajib dipikul oleh setiap lapisan masyarakat. Justeru, saya menyeru agar pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu-individu terbabit, termasuk pentadbir kumpulan media sosial tersebut. Perbuatan seperti ini tidak boleh dibiarkan berleluasa dan mesti dihentikan serta-merta. Kita tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang bentuk gangguan seksual, apatah lagi melibatkan kanak-kanak.
 
Saya juga ingin menasihati orang dewasa agar menjaga adab dan pertuturan terhadap kanak-kanak, sama ada secara bersemuka mahupun di alam maya. Penggunaan bahasa yang kotor, jijik dan berunsur seksual terhadap kanak-kanak adalah perbuatan yang sangat tidak bermoral dan boleh memberi kesan psikologi yang mendalam kepada mangsa. Jangan sesekali normalisasikan gangguan secara lisan atau seksual dalam apa jua bentuk. Dalam hal ini, firman Allah SWT memberikan panduan yang sangat jelas:
 
Maksudnya: “Allah tidak menyukai ucapan yang buruk (yang diucapkan) secara terang-terangan kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah An-Nisa’: 148). Begitu juga peringatan Rasulullah SAW terhadap hak golongan lemah:
 
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku menimpakan dosa terhadap orang yang mensia-siakan hak dua golongan yang lemah: anak yatim dan wanita.” (Riwayat Ibn Majah – dinilai sahih oleh al-Albani).
 
Kanak-kanak termasuk dalam kategori lemah yang wajib dilindungi dan dihormati hak mereka, bukannya dieksploitasi atau menjadi mangsa kerakusan hawa nafsu yang hina. Saya turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau penggunaan media sosial anak-anak serta mendidik mereka tentang keselamatan digital. Dalam masa yang sama, pihak berwajib perlu memperhebatkan usaha memperkasa undang-undang dan mekanisme pemantauan terhadap jenayah seksual dalam talian.
 
Kerajaan MADANI komited untuk memastikan keselamatan anak-anak dan remaja sebagai amanah yang mesti dipertahankan.
 
Sekian, terima kasih.
 
Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

017897
Hari ini: 149
Minggu Ini: 492
Bulan Ini: 3,038
Tahun Ini: 17,897
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.