Perpecahan sudah berlaku, ia berlaku sejak Islam muncul lagi, namun dapat disatukan pada zaman Nabi Muhammad SAW dengan berkesan ketika di Madinah.
Bila nabi wafat, perpecahan mula bergeser pada agama dan seterusnya bersifat politik. Ia menjadi semakin membesar pada zaman Khalifah Uthman dan seterusnya bergelut dengan krisis, sengketa, perang pada zaman Khalifah Ali, akhirnya memunculkan permulaan berbentuk dinasti, monarki, autokrasi dan kuku besi.
Maknanya, dalam sejarah Islam perpecahan sudah membentuk budaya biarpun pada hakikatnya Islam adalah penyatuan, kesatuan dan perpaduan. Kita melihat, Islam secara agama dan cara hidup yang ditentukan; dan dalam masa yang sama, kita kurang beramal dengannya sehingga perpecahan menjadi semakin besar.
Hari ini, walaupun kiblat, kitab, syahadah setiap umat Islam adalah sama (satu arah kepada mencari keredhaan-Nya), perpecahan terus menjerat masuk atas pelbagai aspek, sehinggalah umat Islam cukup mudah untuk dicaturkan, terselut dan berselumbar ....wajah yang cantik dan anggun pada pandangan mata, kotak fikir, tetapi hilang adab dalam melihat nilai diri, orang lain dan komuniti.
Syeikh Mustafa Mansur pernah menulis:
"Orang Islam yang mengiltizamkan dirinya dengan akhlak Islam yang terpuji, memberikan citra Muslim sejati bagi dirinya dan dapat menarik simpati dan penghormatan dari pihak lawan.
"Teladan amali sangat berpengaruh terhadap orang-orang yang ada di sekelilingnya. Dengan bergaul secara baik dengan mereka, akhlak terpuji yang ada pada dirinya banyak mempengaruhi mereka secara nyata
"Namun realiti yang menyedihkan dewasa ini dalam kalangan umat Islam telah memperburukkan citra Islam. Apabila mereka tidak beriltizam dengan akhlak Islam, akibatnya hanya orang bukan Islam semakin hari semakin lari dari Islam.( Syakhsiyah al-Muslim,.K.Lumpur: Sarjana Media, 2007, hal.100).
Itu antara Islam dan bukan Islam. Bagaimana pula kitaran perpecahan dalam kalangan sesama Islam?
