Berkata Sheikh Sa’di: “Tidak mungkin tertegak urusan agama dan urusan dunia manusia kecuali dengan memberikan ketaatan kepada penguasa.” Antara dalil-dali yang bersumberkan al-Quran dan Hadis yang mengisyaratkan perintah wajib mentaati pemerintah adalah seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu)." (An-Nisa’:83)
Allah berfirman;
“Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantah, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”-( al-Anfal: 46)
"Hai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad itu.” (al-Maidah:1)
“Dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti dimintai pertanggungjawabannya.” (Al-Isra’: 34)
"Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah (mu) itu, sesudah meneguhkannya, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpah itu). Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat." (al-Nahl: 91)
Manakala perintah taat daripada hadis pula:
“Wajib atas seorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) pada perkara yang ia sukai dan tidak ia sukai, kecuali jika diperintahkan berbuat maksiat, jika diperintahkan berbuat maksiat, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh taat.” (HR Bukhari dan Muslim)
“Barangsiapa taat kepadaku beerti ia telah taat kepada Allah s.w.t, dan barangsiapa yang bermaksiat kepadaku beerti ia telah bermaksiat kepada Allah. Dan barangsiapa yang taat kepada amir (yang Muslim) maka ia taat kepadaku dan barangsiapa yang bermaksiat kepada amir, maka ia bermaksiat kepadaku,” (Muttafaq Alaih)
“Akan ada nanti pemimpin-pemimpin yang kamu suka amalan mereka dan ada yang kamu benci (kerana maksiat), sesiapa yang mengenal pasti maksiat yang dilakukan maka dia terlepas, sesiapa yang ingkar dia selamat, tetapi (yang binasa) adalah yang reda dan mengikut”. Para Sahabat berkata: ‘Apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Kata baginda: “Tidak boleh selagi mereka bersolat”.
Sabda Baginda lagi bermaksud,
“Sesiapa yang menarik kesetiaan terhadap pemerintah, ia menemui Allah s.w.t tanpa sebarang hujah. Sesiapa mati tanpa kesetiaan terhadap pemerintah, matinya seperti kematian dalam jahiliah (maksiat),” (Riwayat Muslim).
Begitu juga dari Ibnu Abbas r.a dari Nabi Shallallahu alaihi wasallam,
“Sesiapapun yang melihat sesuatu dari pemimpinnya yang tidak disukainya, hendaklah ia bersabar terhadapnya, sebab siapa yang memisahkan dirinya sejengkal dari Jemaah lalu ia mati, kecuali mati seperti mati jahiliyyah.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Ibnu Hajar menyifatkan maksud mati jahiliyyah di sini adalah mati di dalam keadaan sesat dan maksiat. Manakala perkataan “jamaah” pula merujuk kepada jemaah pemerintah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Ya’la:
“Dan sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada tujuh puluh dua puak semuanya dalam neraka kecuali satu puak. Kami bertanya: Wahai Nabi Allah, puak manakah itu? Baginda bersabda : “al-Jamaah”. Yazid al-Raqasyi berkata: Aku berkata pada Anas, “Wahai Abu Hamzah, di manakah Jamaah itu? Berkata Anas,: Bersama dengan pemerintah-pemerintah kamu.”
Ketaatan kepada pemimpin merupakan perkara usul dalam manhaj Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah. Ini berdasarkan pendapat dan tulisan daripada para ulama’ salaf yang ditulis dalam kitab-kitab akidah Ahlussunnah. Imam Ahmad rahimahullah berkata dalam risalah Usul Al-Sunnah, “Wajib untuk mendengar dan taat kepada para pemimpin dan amirul mukminin, baik dia orang yang baik maupun orang yang jahat.”
Imam Ath-Thahawi berkata dalam kitab Al-Aqidah Ath-Thahawiah, “Kami memandang bahawa mentaati penguasa merupakan sebahagian dari ketaatan kepada Allah Azz wa Jalla. Taat kepada pemerintah adalah suatu kewajipan, selama mereka tidak memerintahkan kepada kemaksiatan. Kami mendoakan mereka agar mendapatkan kesalehan dan kebaikan.”
