HAMBA: YANG DIMILIKI

HAMBA: YANG DIMILIKI

Perkataan “HAMBA” (Ar: al-‘abd) bermakna “yang dimiliki.” Bentuk jamaknya adalah ‘abid dan ‘ibad. Bentuk pertama membawa makna “hamba” dan yang kedua “hamba Tuhan”. Daripada makna yang kedua inilah asalnya perkataan ‘abada ya ‘budu ‘ibadah yang secara leksikal bermakna tunduk dan merendahkan diri di hadapan Allah S.W.T. Makna ini sejajar dengan doktrin agama. Sebagai hamba Allah S.W.T., manusia hendaklah mengakui bahawa dirinya adalah milik Allah S.W.T. Oleh itu manusia hendaklah mengabdikan diri kepada-Nya atau menyembah-Nya (Q.19:65). Dari sudut antropologi, perkataan “hamba” memiliki pengertian orang yang tidak memiliki diri sendiri, melainkan dimiliki oleh tuannya. Dalam pengertian agama, istilah “hamba” berkonotasi dengan sifat hubungan antara manusia dengan Allah S.W.T., Maha Pencipta. Manusia adalah hamba Allah S.W.T., yang bererti bahawa manusia adalah makhluk ciptaan Allah S.W.T., maka wajib patuh kepada-Nya, mengerjakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

PEMBEBASAN

Dengan menghambakan diri hanya kepada Allah S.W.T., manusia telah membebaskan dirinya daripada segala bentuk perhambaan manusia oleh manusia, atau manusia oleh benda yang membelenggu. Al-Quran menyebut bahawa membebaskan manusia daripada perhambaan ini termasuk salah satu pekerjaan yang sangat sulit. Namun orang yang mengaku beriman hendaklah berusaha untuk memperjuangkannya (Q.90:11-17).

KEMULIAAN HAMBA ALLAH

Dalam hubungan sesama manusia, perkataan “hamba” selalunya mempunyai konotasi negative, iaitu manusia sebagai hamba kepada manusia lain, misalnya dalam struktur masyarakat feudal. Dalam pengertian agama, perkataan “hamba” mempunyai konotasi positif dan membawa maksud kemuliaan (Q.89:27-30). Nabi Muhammad s.a.w. sendiri disebut oleh Allah S.W.T. dengan sapaan hamba, iaitu dalam konteks hamba yang diberi wahyu al-Quran (Q.2:23) dan hamba yang digerakkan pada suatu malam dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa (Q.17:1).

FUNGSI KEHAMBAAN

Disebabkan manusia dicipta dengan kudrat sebagai hamba atau makhluk yang tunduk kepada Allah S.W.T., maka manusia melaksanakan fungsi ubudiyah atau fungsi kehambaan, iaitu hakikat bahawa dia dicipta semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. (Q.51:56). Manusia mestilah menjalankan semua perintah Allah S.W.T. dan menjauhi semua larangan-Nya. Manusia yang tidak mengabdikan diri kepada-Nya bererti berada di luar fungsinya sebagai hamba Allah S.W.T.

EMPAT JENIS HAMBA

Ulama membezakan empat jenis hamba:

Hamba kerana hukum, iaitu hamba abdi

Hamba kerana penciptaan, iaitu manusia dan seluruh makhluk ciptaan

Hamba kerana pengabdian kepada Allah S.W.T., iaitu orang yang beriman kepada-Nya dengan ikhlas

Hamba kerana memburu dunia dan kesenangannya yang akan dalam kerugian jika terus seperti itu dan melupakan ibadat. Hal ini dikatakan Rasulullah s.a.w, “Rugilah hamba-hamba dirham, dan rugilah hamba-hamba dinar” (H.R. Bukhari dari Abu Hurairah)

  • Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w., orang kafir Quraisy sering menyeksa hamba mereka. Oleh sebab itu, para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang memiliki banyak harta tidak takut mengeluarkan harta mereka untuk menebus hamba tersebut dan membebaskannya kerana menurut ajaran Islam, manusia hanya menjadi hamba kepada Allah S.W.T. yang menciptakannya.
  • Manusia, haiwan dan alam, semuanya adalah hamba Allah S.W.T. Semua dicipta oleh Allah S.W.T., oleh itu semuanya mesti taat kepada Allah S.W.T. dan menyembah-Nya.
  • Ketundukan, kepatuhan dan kecintaan yang utuh ke hadrat Allah S.W.T. merupakan prinsip ibadat. Hal ini dapat dilihat pada gerak-geri badan dalam solat.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

040873
Hari ini: 53
Minggu Ini: 310
Bulan Ini: 5,155
Tahun Ini: 40,873
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.