Sekali lagi persoalan tentang Tabung Haji dibangkitkan di Parlimen, dan seperti biasa, ia masih berkisar tentang penjenamaan atau peremajaan jenama TH. Kali ini, ahli parlimen pembangkang mendakwa bahawa beliau telah menerima “dokumen sulit”, yang meletakkan perbelanjaan TH bagi penjenamaan semula pada RM18 juta, tidak termasuk kos lain.
Dokumen sulit itu dijadikan bukti untuk menuduh bahawa jawapan menteri tentang isu TH adalah salah. Beliau masih menegakkan bahawa TH telah membelanjakan sekitar RM 20 juta, seperti kenyataannya terdahulu.
Di samping itu, ahli parlimen pembangkang juga menegaskan bahawa kenyataan menteri bahawa 23 syarikat bukan bumiputera telah dianugerahkan kontrak semasa beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama adalah salah. Beliau menimbulkan beberapa syarikat bumiputera dalam senarai yang dikemukakan oleh Menteri Agama di parlimen tempoh hari.
Menjawab kenyataan ini, polisi Tabung Haji mengambil kira status syarikat sebagai Bumiputera jika lebih daripada 51% saham syarikat itu dimiliki oleh Bumiputera. Tambahan juga, jika lebih dari 51% ahli Lembaga Pengarah syarikat itu adalah Bumiputera.
Di sini terdapat beberapa pembetulan fakta tentang syarikat yang didakwa milik Bumiputera seperti yang dinyatakan oleh ahli parlimen tersebut. Syarikat Heitech Padu tidak dianggap syarikat Bumiputera oleh TH oleh kerana pemilik sahamnya berbilang bangsa. Manakala syarikat XNarum hanya bertukar status kepada 100% Bumiputera pada Disember 2023.
Tentang isu nilai kontrak RM 18 juta pula, ia sebenarnya merujuk kepada kos penukaran logo secara fizikal. Ini bermaksud menukar logo TH kepada yang baharu di papan tanda, bangunan TH, billboard dan sebagainya. Kerja-kerja penukaran ini merangkumi semua logo TH yang ada di seluruh negara.
Tambahan pula, kos RM 18 juta itu hanya anggaran kos yang dicadangkan oleh pihak syarikat, bukan nilai kontrak sebenar. RM 18 juta diluluskan sebagai anggaran kos sahaja dan tiada kontrak dikeluarkan untuk jumlah itu. Kontrak sebenar hanyalah RM 5.9 juta selama 3 tahun, seperti yang diterangkan di dewan oleh YB Menteri Agama.
Namun isu yang lebih besar yang harus diketengahkan adalah tentang integriti. Bagaimana dokumen sulit disalurkan maklumatnya kepada pihak luar yang tiada kaitan dengan Tabung Haji? Sepatutnya jika berlaku sesuatu yang tidak normal dalam rundingan, dokumen sulit hanya boleh disalurkan kepada pihak berkuasa seperti SPRM atau PDRM untuk siasatan lanjutnya. Apabila ia diberikan kepada ahli politik, maka perkara ini akan mencetuskan kekeliruan dan kebimbangan masyarakat umum.
Dokumen sulit yang tidak diiringi dengan maklumat yang tepat hanya akan membawa kepada spekulasi dan kontroversi, apatah lagi di zaman media sosial ini. Mendedahkan dokumen sulit syarikat merupakan satu jenayah yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara mengikut undang-undang Malaysia.
Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Rahsia Rasmi (Pindaan) 1986 ialah peruntukan undang-undang Malaysia yang berkaitan dengan perlindungan rahsia kerajaan. Tujuan utamanya adalah untuk melarang penyebaran maklumat sulit.
Undang-undang mentakrifkan Rahsia Rasmi sebagai apa-apa dokumen, maklumat, atau bahan yang diklasifikasikan oleh Menteri, Ketua Menteri, atau penjawat awam yang dilantik di bawah akta tersebut. Dokumen dikelaskan kepada empat peringkat: Rahsia Besar, Rahsia, Sulit, dan Terhad.
Hukuman di bawah Akta Rahsia Rasmi boleh merangkumi penjara, denda besar, atau kedua-duanya, bergantung pada tahap dan sensitiviti maklumat yang terlibat. Penjawat awam yang melanggar akta ini juga boleh dikenakan tindakan tatatertib, seperti penggantungan atau pemberhentian kerja.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat pula mengingatkan bahawa walaupun setiap ahli parlimen dilindungi imuniti Parlimen ketika berada dalam Dewan Rakyat, mereka masih boleh disiasat pihak polis di luar dewan. Pihak berkuasa PDRM boleh menjalankan siasatan di bawah Akta Rahsia Rasmi seperti yang diterangkan.
Mencemarkan imej Tabung Haji, menghasut masyarakat dengan maklumat tidak tepat dan mementingkan agenda politik adalah langkah-langkah yang sangat negatif dan hanya membawa kerugian kepada umat Islam. Janganlah kita membakar kelambu, sedangkan tiada nyamuk untuk dimarah.
