Rabitah al-Alam al-Islami (ringkasnya dikenali sebagai ‘Rabitah’) merupakan sebuah pertubuhan Islam, merentasi sempadan negara dan bangsa yang bertujuan mengembangkan dakwah Islam dan menentang kegiatan atau fahaman yang merugikan ummah.
Pertubuhan ini juga dikenali sebagai Liga Dunia Islam. Pertubuhan ini ditubuhkan pada 1962 dalam satu pertemuan intelektual Muslim di Mekah (pada musim haji). Mereka mengkaji pelbagai persoalan di dunia Islam, terutama ancaman komunisme secara umum dan ideologi “Nasserisme” yang berkembang di Mesir secara khusus.
Pada 18 Mei 1962, peserta pertemuan tersebut telah mengumumkan penubuhan Rabitah. Namun dalam perkembangannya, Rabitah dianggap lebih banyak berperanan sebagai “jurucakap” pemerintah Arab Saudi (yang ketika itu bermusuh dengan Mesir) daripada sebagai pertubuhan bebas.
Setelah permusuhan antara Arab Saudi dengan Mesir berakhir, Rabitah berkembang menjadi pertubuhan Islam antarabangsa yang aktif dalam bidang dakwah dan rangkaian Islam.
Sejak tamatnya perang dingin di antara Arab Saudi dengan Mesir (1957-1967), Rabitah perlahan-lahan mengubah sasarannya. Selepas pembentukan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Rabitah mula menonjol identitinya sebagai pertubuhan Islam yang menjangkaui sempadan dan bebas, selain OIC.
Pertubuhan ini kemudian lebih menumpukan perhatian pada usaha membangunkan rangkaian politik Islam. Sejak 1970-an, kegiatannya lebih tertumpu pada bidang penyelarasan dakwah dan kesejahteraan sosial.
Rabitah juga mengembangkan kegiatan dalam kemampuan masyarakat dam kesejahteraan sosial, khususnya masyarakat Islam. badan yang menangani bidang ini ialah Pertubuhan Bantuan Islam (Islamic Relief Organization). Bersama-sama pelbagai universiti Islam di Arab Saudi, Mesir dan negara Teluk, pusat latihan pendakwah yang dibentuk oleh Rabitah mengadakan pendidikan para pekerja sosial Islam yang sekali gus berfungsi sebagai pendakwah.
Pada 1975, Rabitah membentuk Majlis Masjid Sedunia (World Council of Mosques), yang menumpukan perhatian pada penyelarasan kegiatan dakwah. Badan ini mengawas pelbagai majlis masjid I peingkat rantau dan tempatan.
Semasa Rabitah dibentuk, Arab Audi sedang bermusuh dengan Mesir yang menganuti ideologi “Nasserisme” suatu fahaman sekular yang berasal daripada gerakan pan-Arabisme yang dikembangkan oleh Gamal Abdel Nasser (Presiden Mesir ketika itu) untuk membebaskan bangsa Arab dan Afro-Asia daripada penjajah Barat.
Dalam permusuhan ini, Rabitah diarahkan supaya menyokong politik perpaduan Islam seperti yang dikembangkan oleh Raja Fahd (raja ke-5 Arab Saudi sejak tahun 1982) di Arab Saudi.
Dalam rangka memperkuat rangkaiannya, Rabitah mengembangkan program penerbitan. Pada 1963, Rabitah mula menerbitkan majalah bulanan Majallat Rabitah al- ‘Alam al-Islami, yang sejak 1987 disebut sebagai al-Rabitah.
Selain itu, pada 1973 Rabitah mula menerbitkan majalah berbahasa Inggeris Journal of the Muslim World League dan akhbar mingguan, Akhbar Al-‘Alam al-Islami, yang sejak 1991 ditukar namanya menjadi Al-‘Alam al-Islami sahaja.
Rabitah seringkali dianggap sebagai pertubuhan kebudayaan Islam, pertubuhan masyarakat Islam dan pertubuhan yang ingin mengabdi kepada kepentingan masyarakat dan tidak bertindak sebagai agen pemerintah.
Pada peringkat awal, pertubuhan ini lebih menonjol sebagai “jurucakap” pemerintah Arab Saudi, pemilik dana yang utama. Kuatnya pengaruh Arab Saudi dalam Rabitah juga dapat dilihat dalam jabatan Setiausaha Agungnya yang biasanya dipegang oleh orang Arab Saudi. Mereka ialah Muhammad Surur al-Sabban (1962-1972), Muhammad Salih al-Qazzaz (1972-1976), Muhammad Ali al-Harkan (1976-1983) dan ‘Abd Allah ‘Umar Nasif (sejak 1983).
