MEMBUMIKAN PRINSIP HISBAH DALAM POLITIK DAN PENTADBIRAN NEGARA

MEMBUMIKAN PRINSIP HISBAH DALAM POLITIK DAN PENTADBIRAN NEGARA

Sebuah negara mapan, progresif, dinamik dan mampu bersaing seiring negara maju yang lain mestilah ditunjangi oleh kecekapan sistem pentadbiran dan kedudukan politik yang stabil. Kestabilan politik pula dilihat mampu menjadi pemangkin kepada kelestarian ekonomi yang lebih utuh dan seimbang.

 

Melihat akan kepentingan kestabilan politik dalam menjamin kemapanan sesebuah negara, tentunya banyak negara yang cuba menuju ke arah itu. Dalam kesibukan negara-negara maju dan membangun mempertingkat kualiti sistem politik negara mereka, terdapat juga negara yang terpaksa menghadapi pelbagai krisis politik. Tahun belakangan ini, masyarakat dunia acap kali digegarkan dengan krisis politik yang merisaukan semua pihak. Lihat sahaja mutakhir ini, kita sering dikejutkan dengan revolusi politik misalnya di dunia Arab dan pergolakan wilayah timur tengah. Gelombang politik khususnya di Malaysia pada masa kini juga tidak kurang hebatnya. Buktinya, di dada-dada akhbar dan media elektronik acap kali mendedahkan masalah dalaman dan luaran sistem politik negara misalnya berlakunya tuduh-menuduh dalam kalangan ahli dan parti politik, berpolitik demi kepentingan peribadi, wujud ahli politik yang menganggap rasuah dan sogokan itu perkara biasa dalam berpolitik, masyarakat sudah tidak lagi takut dan hanya memandang enteng terhadap undang-undang negara dan banyak lagi kemelut lain yang akhirnya hanya mencacatkan kedudukan dan imej pentadbiran negara. 

 

Keadaan ini menimbulkan banyak tanda tanya. Apakah punca sebenar kepada ketidakstabilan dan kemelut sistem politik masa kini? Apakah keadaan ini disebabkan para pemimpin negara dan masyarakat sudah hilang nilai moraliti dan tandus norma hidup beragama? Atau situasi ini sebenarnya berpunca daripada sikap dan corak kepimpinan ahli politik yang tidak lagi berpegang kepada agama bahkan pula menjadikan nafsu dan kuasa sebagai raja kehidupan?

 

Umumnya, menjadi ahli politik dan pemegang tampuk kepimpinan negara merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu digalas dengan sempurna, bukan hanya menjadikannya alat untuk merealisasi kepentingan diri dan keluarga. Setiap tanggungjawab yang dipikul akan dipersoalkan di akhirat kelak. Jika dilihat, realiti politik negara sangat berbeza dengan politik pada zaman Rasulullah SAW, khalifah al-Rasyidin dan zaman kegemilangan Islam yang lainnya. Mereka mentadbir negara dengan menyemai semangat jihad yang kuat demi untuk menegakkan agama Allah SWT. Mereka membangun pemerintahan dengan keimanan yang tinggi kepada Allah SWT, mereka membangun dengan semangat Islam yang menyala-nyala, mereka pertahankan negeri itu dengan darah dan air mata, dengan jihad harta dan jiwa. Empayar Uthmaniah misalnya di bangun atas semangat untuk menegakkan syariah, semangat untuk menegakkan kalimah Allah SWT dan menghancurkan kemungkaran. Pemimpinnya sentiasa menanam semangat juang yang tinggi, fikiran yang cerdas dan keinginan yang kuat untuk menegakkan syiar Islam.

 

Meneladani Islam sebagai pelerai konflik

Untuk meleraikan konflik semasa ini, sudah tiba masanya untuk kita kembali menghayati dan meneladani ajaran Islam yang sebenar. Salah satu cara untuk mencapai hasrat ini adalah dengan menggunakan pendekatan Hisbah. Hisbah merupakan antara khazanah ilmu yang lahir daripada acuan Islam dan berfungsi untuk mengawal aktiviti kemanusiaan supaya setiap yang dilaksanakan sentiasa terarah kepada pematuhan syariat Islam. Dengan erti kata lain, manusia sesama manusia sentiasa saling nasihat menasihati, tegur-menegur dan berusaha untuk mengajak antara satu sama lain supaya melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran daripada terus berleluasa. Pelaksanaan Hisbah adalah bertitik tolak daripada suruhan Allah SWT supaya melakukan amar makruf nahi mungkar.

 

Dalam konteks ini, ahli pentadbir dan parti politik negara khususnya dan masyarakat umumnya disarankan untuk menghayati prinsip Hisbah. Prinsip Hisbah bermula dengan pengawasan dalaman yang dikenali sebagai muhasabah al-nafs. Pengawasan dalaman merupakan pengawasan terhadap diri sendiri yang timbul daripada kesedaran bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi setiap manusia dan segala amalan yang dilakukan oleh manusia akan diperhitungkan di akhirat manakala pengawasan luaran merupakan komponen yang terdiri daripada masyarakat dan institusi rasmi daripada jentera kerajaan. Pengawasan ini bertindak secara praktikal kerana ia melibatkan pemerhatian dan pengawasan yang rasmi. Kedua-dua bentuk pengawasan ini juga dapat menjamin keadilan dan saling melengkapi antara bentuk pengawasan dalaman dan luaran.

 

Pengawasan dalaman dan luaran itu pula harus ditunjangi oleh lima prinsip Hisbah. Prinsip pertama ialah prinsip pengawasan Allah SWT. Ia bertitik tolak daripada Allah SWT sentiasa melihat tingkah laku manusia yang dilakukan secara tersurat mahupun tersirat dan setiap amalan yang dilakukan tidak akan terlepas daripada menerima balasan yang setimpal dengannya. Kedua ialah prinsip pembalasan yang setimpal. Ia merupakan satu prinsip di mana setiap manusia akan menerima balasan bagi setiap amalannya sama ada yang baik atau buruk walau sekecil mana sekalipun amalan itu. Ketiga, prinsip tanggungjawab ke atas perbuatan yang dilakukan. Ia dimanifestasikan sebagai satu prinsip di mana setiap manusia akan di tanya dan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT terhadap setiap amalannya. Keempat, prinsip kewajipan memikul amanah. Setiap tugasan harian seseorang dilihat sebagai amanah oleh Allah SWT yang tidak boleh dipandang ringan kerana ia sentiasa di bawah pengawasan Allah SWT. Prinsip kelima pula ialah prinsip kewajipan mencegah kemungkaran. Ini adalah satu prinsip yang diperintahkan Allah SWT kepada setiap hamba-Nya. Setiap kecuaian dan kelalaian dalam melaksanakan tugas pengawasan terhadap perkara-perkara mungkar adalah suatu perkara yang dikutuk oleh ajaran Islam.

 

Bagi merealisasikan pengawasan dalam Islam, elemen dalaman dan luaran perlu diselaraskan untuk menghasilkan natijah yang baik. Oleh yang demikian, pihak pentadbir negara dan individu yang terlibat dalam politik perlu menghayati dan mengingatkan diri akan prinsip-prinsip ini supaya tidak terjebak kepada perkara yang dilarang agama. Selain itu, muhasabah al-nafs juga perlu diterapkan sebagai satu proses menilai dan menghitung perlakuan agar kesilapan yang sama tidak dilakukan kembali. Ia akan dapat dilaksanakan apabila wujud rasa kesedaran dalaman melalui proses penghayatan bahawa mereka hanya memikul amanah dan tidak berhak bermaharajalela kan kuasa kerana akhirnya pelaksanaan amanah tersebut akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

 

Selain itu, pihak penjaga keamanan dan keselamatan negara yang memainkan peranan sebagai pengawasan luaran juga perlu untuk menghayati prinsip Hisbah. Penghayatan yang dilakukan dengan pelaksanaan akan menjadikan mereka sentiasa patuh kepada arahan ketua tanpa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan etika kerja yang telah ditetapkan apatah lagi melanggar undang-undang Allah SWT.

 

Kesimpulannya, gelombang yang berlaku khusus dalam arena politik dan pentadbiran negara hari ini dilihat mampu didamaikan sekiranya nilai-nilai Islam dan prinsip Hisbah dapat dihayati dan diterapkan secara istiqamah dalam diri setiap insan. Caranya adalah dengan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menghayati ajaran yang telah Islam anjurkan di samping tidak melihat kuasa sebagai agenda kehidupan. Sekiranya perkara ini dapat dipupuk dan disemai, maka tentunya kehidupan masyarakat dan negara akan lebih harmoni dan mendapat bimbingan daripada Allah SWT.

 

Wallahu a’lam.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

016900
Hari ini: 335
Minggu Ini: 1,705
Bulan Ini: 2,041
Tahun Ini: 16,900
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.