GSF: 23 SUKARELAWAN MALAYSIA DIBEBASKAN, TERBANG KE ISTANBUL - PM

GSF: 23 SUKARELAWAN MALAYSIA DIBEBASKAN, TERBANG KE ISTANBUL - PM

PUTRAJAYA - Seramai 23 rakyat Malaysia yang terbabit dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) kini dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Ramon, Israel menuju ke Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka diterbangkan menggunakan pesawat khas ke Turkiye selepas rundingan diplomatik pelbagai hala dan mendapat persetujuan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip untuk menguruskannya.

Menurutnya, kesemua peserta kini sedang diselaraskan untuk transit di Istanbul bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan akibat trauma semasa dalam tahanan.

"Lebih baik mereka itu menginap di Istanbul antara satu hingga satu setengah hari untuk pemeriksaan kesihatan akibat trauma dan tekanan rejim zalim dan tentera Israel yang telah bertindak agak keras terhadap mereka.

"Saya setuju dan mereka akan berlepas pulang mungkin esok malam ataupun lusa, itu kita sedang atur," katanya dalam taklimat usaha pembebasan aktivis dan sukarelawan Malaysia serta Pelan Damai Gaza menerusi siaran langsung di Facebook pada Sabtu.

Anwar menyifatkan perkembangan terkini misi kemanusiaan itu sebagai sesuatu yang amat menyenangkan dan membanggakan rakyat Malaysia.

Menurut beliau, hasil rundingan dijalankan bukan sahaja tertumpu kepada keselamatan rakyat Malaysia, tetapi turut melibatkan negara-negara lain yang menyertai misi tersebut.

"Dari sudut ini mereka tahu tidak begitu mudah untuk sampai di bawah rejim penjajahan Israel, tetapi mereka telah memberikan sumbangan yang besar, kesedaran kepada ratusan juta rakyat di dunia bahawa rejim ini tidak hanya menentang apa yang mereka ungkapkan sebagai kelompok ganas walaupun bagi kita ini gerakan pembebasan Palestin dan Gaza.

"Tetapi mereka juga melarang, menghindar dengan keras apa juga bantuan kemanusiaan," ujarnya.

Katanya, usaha itu turut memperlihatkan solidariti antarabangsa terhadap perjuangan kemanusiaan untuk membela nasib rakyat Palestin yang terus ditindas.

Anwar berkata, negara yang bertamadun sekurang-kurangnya akan memberi ruang untuk bantuan kemanusiaan.

"Ini pengajaran yang tersebar di seluruh dunia dan saya percaya rundingan terakhir yang digagaskan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump itu juga berhasil sebahagiannya kerana sentimen yang menyeluruh dalam kalangan seluruh rakyat dunia.

"Mengenai perjanjian itu, saya menyatakan dukungan terbatas kerana kita masih mahu melihat jaminan kebebasan kemerdekaan Palestin," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, keputusan kerajaan Malaysia Madani ini tentunya terikat dengan keputusan negara-negara Arab, Islam dan keputusan Hamas sendiri.

Menurut beliau, fokus utama kini tertumpu kepada memastikan keselamatan dan kepulangan semua rakyat Malaysia dalam misi berkenaan.

"Setakat ini, saya pusatkan sepenuh perhatian untuk membebaskan rakyat Malaysia.

"Alhamdulillah, kita doakan ALLAH SWT, mudah-mudahan perjalanan mereka itu selamat, sukses sampai ke Istanbul dan dibawa ke Kuala Lumpur, Insya-ALLAH," katanya.

Sumber: sinarharian.com.my

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

040862
Hari ini: 42
Minggu Ini: 299
Bulan Ini: 5,144
Tahun Ini: 40,862
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.