KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)
ISU DAKWAAN PENYELEWENGAN DANA ZAKAT
Saya mengambil maklum laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pengurusan bantuan dana zakat di bawah salah satu agensi agama.
Sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama, saya menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi sama sekali terhadap sebarang bentuk salah laku, rasuah atau penyalahgunaan kuasa. Dana yang diamanahkan untuk kebajikan umat Islam mesti diuruskan dengan penuh integriti, amanah dan ketelusan.
Saya dimaklumkan bahawa siasatan dalaman telah dimulakan dan laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas dan menyeluruh. Tiada sebarang usaha ‘cover up’ akan berlaku, dan mana-mana pegawai atau staf yang terlibat akan diambil tindakan tegas mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pengadu dan masyarakat awam yang berani tampil ke hadapan untuk melaporkan salah laku ini. Keberanian sebegini amat dihargai dan menjadi contoh kepada warga kerja lain serta masyarakat bahawa integriti adalah tanggungjawab bersama.
Pada masa yang sama, saya menggalakkan orang ramai agar segera membuat aduan kepada pihak berkuasa atau agensi agama sekiranya mengetahui sebarang bentuk penyelewengan, salah guna kuasa atau rasuah. Setiap laporan akan diteliti dan disiasat dengan serius, tanpa sebarang kompromi.
Saya juga ingin menegaskan bahawa peringatan dan teguran telah berulang kali diberikan kepada semua agensi di bawah portfolio Hal Ehwal Agama agar tidak sesekali mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan. Kegagalan menjaga integriti bukan sahaja mencemar nama baik institusi, malah mengkhianati kepercayaan umat Islam.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus bekerjasama rapat dengan SPRM dan agensi penguat kuasa lain dalam memastikan setiap bentuk salah laku ditangani dengan tegas dan telus.
Tiada kompromi terhadap integriti. Tiada perlindungan terhadap salah laku.
Sekian, terima kasih.
Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
20 Oktober 2025
Hubungi Kami
Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor
Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com
Jumlah Pengunjung

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,
Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.