KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)

KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)

SERUAN SOLAT HAJAT DAN DOA MUNAJAT UNTUK KESELAMATAN MASJID AL AQSA DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT PALESTIN
 
Saya menzahirkan rasa dukacita dan bimbang terhadap laporan terbaharu di media berhubung keadaan Masjid Al-Aqsa yang kini berdepan risiko keruntuhan akibat kerja penggalian agresif yang dijalankan oleh rejim Zionis Israel di sekitar dan bawah kawasan Kota Lama Baitulmaqdis.
 
Sesungguhnya, Masjid Al-Aqsa bukan sekadar bangunan bersejarah ia adalah kiblat pertama umat Islam dan antara tiga masjid suci yang dimuliakan dalam Islam. Setiap inci tanahnya adalah simbol tauhid, kesatuan dan maruah umat Islam sedunia. Oleh itu, keselamatan dan kesejahteraannya mesti dipelihara dan dipertahankan.
 
Sehubungan itu, sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan dan kesejahteraan Masjid Al Aqsa dan rakyat Palestin, saya mengarahkan semua masjid dan surau di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengadakan Solat Hajat secara serentak bagi memohon perlindungan Allah SWT terhadap rakyat Palestin yang kini berdepan dengan pelbagai ujian dan musibah.
 
Saya juga menyeru semua Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) agar mengambil inisiatif yang sama dengan mengarahkan masjid dan surau di seluruh negara untuk turut sama mengadakan Solat Hajat dan doa munajat demi keselamatan Masjid Al-Aqsa serta rakyat Palestin yang terus ditindas.
 
Marilah kita seluruh umat Islam memperkukuh doa, solidariti dan sokongan moral terhadap perjuangan mempertahankan Masjid Al-Aqsa lambang maruah dan kesucian umat Islam sejagat.
"Ya Allah, peliharalah Masjid Al-Aqsa dan penduduk Palestin daripada kezaliman musuh, serta kurniakan kepada mereka kemenangan yang nyata.”
 
SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
 
23 Oktober 2025

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

040862
Hari ini: 42
Minggu Ini: 299
Bulan Ini: 5,144
Tahun Ini: 40,862
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.