TIADA MAAF BAGI MU

TIADA MAAF BAGI MU

Demi sebuah perjuangan, seseorang itu tidak mudah luntur semangat, akan terus dipertahankan atas nama perjuangan biarpun natijahnya silap dan tidak benar.

Dalam dunia semangat, kebenaran bukan lagi menjadi paksi perjuangan. Sebab itulah ada pihak yang melihat pengakuan seseorang yang telah berbuat silap atau memfitnah memohon maaf dilihat sebagai "patahnya semangat sebuah perjuangan". Itulah suguhan yang cuba dibuat oleh Amir Talha dalam entri terbaharunya di facebook, yang mengatakan Hafiz Sahidi melakukan kesilapan besar bila memohon maaf kepada Menteri Agama. 

Sepatutnya, semangat itu wajib kental dan dipertahankan kerana sesungguhnya ada pihak sedia membantu, katanya, yang boleh membayar jumlah saman berjumlah 10 juta yang difailkan oleh Menteri di JPM, Datuk Seri Dr Mohd Na'im Mokhtar. Kenapa saman itu dibuat? 

Menurut Dr Mohd Na'im, ia adalah satu tuduhan yang berat, dan ada sama sekali arahan untuk menutupi mana-mana institusi agama sebaliknya kerajaan berusaha memperbaiki dan membantu institusi agama agar menjadi lebih baik sama ada dari segi pengurusan mahupun kualitinya.

Nampaknya budaya politik yang berhaluan nyah kebenaran dan tikaman dakyah semakin diperjuangkan, walaupun dalam Islam, pembinaan siasah dan sahsiah wajib berlandaskan syariat. Syariat dalam pengertian lengkap ialah menegakkan kebenaran, dan dalam usaha itu, sebarang bentuk kepalsuan serta kebohongan wajib ditentang.

Amir Talha semakin terperangkap dengan idealisme politik, kerana politik baginya bukan lagi satu wahana membentuk etika kehidupan yang beradab, ia adalah rukun yang perlu dibingkaikan dengan perilaku tidak beradab. Hafiz Sahidi sudah memohon maaf secara terbuka, bahkan mengakui kesilapan pemikirannya dalam menghujahkan hubungan kebejatan sosial dengan persepsi bakal menyebabkan seolah-sekolah pondok terancam tutup.Mudahnya memohon maaf.

Pendidikan agama mampu membina sahsiah dan mengatasi kebejatan sosial kerana pendidikan itu menzahirkan amalan mulia sebagaimana dikehendaki oleh Islam. Namun, kerana institusi itu kadangkala mengetepikan keselamatan, keselesaan dan piawaian pendidikan yang seragam, kerajaan pusat berusaha menyelaras, membina piawaian dan memperkemaskan pola pengurusannya, termasuk membantu dari segi kewangan. 

Jadi, untuk memudahkan penyaluran bantuan institusi-institusi terbabit seharusnya didaftarkan secara sah dengan pihak berkuasa agama negeri, yang diberikan peruntukan undang-undang sebagai pengawal selia dan keabsahannya sebagai institusi pendidikan Islam yang mapan dan menepati peranannya sebagai institusi keilmuan Islam terbaik.

Hafiz Suhidi membuat spekulasi, seolah-olah institusi yang ada di Kelantan atau Kedah akan dimansuhkan atas hubungan kepentingan politik semata-mata, sedangkan tidak pernah muncul dalam cadangan di peringkat pusat. Ia dibuat setelah adanya pendedahan terhadap insiden jenayah, peningkatan masalah sosial dan keruntuhan sahsiah golongan muda yang didedahkan pihak berkuasa, berdasarkan rekod jenayah oleh PDRM.

Itu adalah persepsi, bukan realiti. Hafiz Suhidi berhujah dalam konteks hubungan emosi, bukan realiti undang-undang dan keputusan yang adil, tanpa melihat kepada kuasa yang akan menentukan kelangsungan sesebuah sekolah agama, pondok atau tahfiz. Institusi itu bukan secara langsung ditadbir atau tanggungjawab vital Menteri Agama, kerana kuasa itu berada di pihak negeri, iaitu berdasarkan peruntukan yang jelas dalam Perlembagaan negara.

Secara langsung, sesebuah institusi pendidikan agama yang ditubuhkan sama ada dengan kebenaran atau tanpa kebenaran di sesebuah negeri, ia menjadi tanggungjawab pihak berkuasa negeri, kecuali institusi itu berada dalam kawalan kerajaan pusat. Jadi, struktur dakwaan itu secara jelasnya sudah menjadi satu kesilapan dan apabila dikaitkan akan ditutup oleh Menteri yang bertanggungjawab di peringkat pusat, ia merupakan satu bentuk dakyah.Besar angkara fitnah ini dan seharusnya tiada maaf bagi beliau setelah membuat fitnah.

Jadi, Amir Talha sedang "mengapi-apikan" satu penentangan di atas kesedaran ikhlas Hafiz Suhaidi untuk mengakui kesilapannya. Sepatutnya, bagi seorang yang berfikiran rasional, matang dan dengan semangat kebijaksanaan, yakni beradab dan penuh keadaban  memberikan motivasi untuk menegakkan kebenaran, bukan nyahkebenaran. Inilah bibit-bibit anarkisme yang merosakkan, yang menyebabkan kebenaran bukan lagi kebenaran, ia adalah persepsi yang terhasil daripada kebohongan dan kebiadaban.

Apa guna seseorang itu menolong mereka yang berbuat salah, dengan bersedia membantu mengumpul dana untuk mempertahankan dakyah. Islam bukan sahaja melarang keras tindakan nyah kebenaran, bahkan menentang keras mereka yang bersubahat. Perbuatan sebeginilah  yang sepatutnya  dielak, kerana menzahirkan dunia pascakebenaran, seolah-olah ingin kembali kepada budaya jauhilah, yang berjaya digantikan sebalik Islam dizahirkan sebagai satu cara hidup, ad-din.

Ungkap Iman al-Ghazali (1058-1111), manusia menjadi mulia kerana ilmunya, bukan kerana gagah perkasa dengan kekuatan fizikal dan sebagainya. Dengan memetik sebuah madah dari Ali bin Abi Talib RA:

"Kemegahan itu selayaknya bagi ahli ilmu;
Dengan petunjuk memandu mereka yang memerlukan; 
Nilai insan itu ilmu yang dikuasainya; 
Malah si jahil pula memusuh dirinya.
Tuntutlah ilmu maka abadilah hidupmu; 
Manusia akan mati sedangkan ahli ilmu terus hidup.
.....

"Ibnu al-Mubarak menganggap hanya orang yang berilmu termasuk dalam kalangan manusia, kerana ilmu membezakan antara manusia dengan binatang ternakan. Manusia itu mulia kerana ilmu yang dimilikinya, bukan kerana kekuatan yang ada padanya,, bahkan unta lebih kuat daripada manusia. Bukan kerana saiznya, malah gajah lebih besar daripada manusia. Bukan kerana sifat beraninya, kerana singa ternyata lebih berani daripada manusia. Bukan kerana kuat makannya, kerana perut seladang lebih besar daripada manusia. Malah bukan juga  kerana kekuatan nafsunya, kerana sekecil-kecil burung pun lebih kuat mengawan daripada manusia. Bahkan manusia dicipta kerana sifat berilmunya."  (Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (Iman al-Ghazali),  Ihya' Ulumuddin: Menghidupkan Ilmu Agama, Jilid 1, Kitab Ilmu, terjemahan Mohamad Hilmi Marjunit dan Zahid M Naser, Kuala Lumpur: IBDE Ilham Sdn. Bhd, cetakan kedua, Disember 2023,  hal.21-22).

Kerajaan pusat tetap yakin dan percaya, melalui pendidikanlah kerosakan dapat diperbaiki dan kebiadapan dapat dikekang yang pada akhirnya lahir masyarakat yang beradab. Sebab itulah kerajaan pusat bersedia memperuntukkan bantuan kewangan, bukan sebagai satu bentuk untuk mengawal, tetapi sebagai langkah penambahbaikan atas nama adab dan keadaban ummah. 

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

040881
Hari ini: 61
Minggu Ini: 318
Bulan Ini: 5,163
Tahun Ini: 40,881
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.