UNTUNGNYA JADI ORANG KAYA?

UNTUNGNYA JADI ORANG KAYA?

Alangkah seronoknya jika kita mempunyai wang puluhan ribu ringgit di dalam bank. Banyak barang boleh dibeli. Pakaian baru. Makan yang enak-enak. Simpan sebahagian untuk masa depan.

Enak lagi kalau kita jutawan. Boleh beli apa yang dimahu. Rumah agam yang lebih besar daripada orang kebanyakan. Kereta mewah ratusan ribu ringgit. Isteri pun boleh ditambah seorang atau dua orang lagi.

Tapi itu masih belum enak. Sebab, enak lagi menjadi seorang bilionaire. Boleh punya jet peribadi. Banglo di merata tempat. Bercuti keliling dunia. Cakap apa saja, hanya petik jari saja. 

Ya, mungkin itu yang kita bayangkan. Namun bukan semua bilionaire berfikiran begitu. Sampai ke satu tahap, akan timbul rasa kekosongan. Jiwa terasa bosan bermain dengan kekayaan dan harta dunia.

Wang sudah tidak bermakna lagi. Ia tidak mahu disimpan, tapi mahu diberikan kepada orang lain. Mereka mahu mencari bahagia dengan melihat orang lain bahagia. Aneh bukan?

Itulah yang dirasai oleh Putera Al-Waleed bin Talal, keluarga diraja  dan bilionaire terkenal dari Arab Saudi. Bayangkan, dua minggu sebelum kita berpuasa baru-baru ini, Putera Al-Waleed mengumumkan mahu menderma semua hartanya yang berjumlah RM120 bilion untuk membantu orang yag memerlukan.

Wang itu kata Al-Waleed, akan diagih-agihkan oleh pertubuhan kebajikannya, Al-Waleed Phylantropies kepada badan-badan dan aktiviti yang bertujuan memupuk pemahaman budaya, memperkasakan kaum wanita serta penyediaan bantuan bagi mangsa bencana.

Selain itu, derma itu juga diharapkan dapat membantu membangunkan potensi golongan muda dan menjadikan masyarakat dunia lebih hormat menghormati serta saling memahami antara satu sama lain.

Sifat dermawan Al-Waleed ini sesungguhnya menjulang reputasi Islam di mata dunia. Di saat Islam dicaci, dihina dan dilabelkan sebagai pengganas serta kolot, Al-Waleed tampil dengan sifat terpuji.

Tidak kiralah, biarpun Al-Waleed mengatakan tindakannya itu mendapat inspirasi daripada pengasas syarikat perisian komputer, Microsoft, iaitu Bill Gates (yang mendermakan sebahagian besar kekayaannya kepada Bill & Melinda Gates Foundations), tindakan beliau tentu sekali menaikkan imej Islam sebagai agama rahmatan lil alamin.

Siapa Al-Waleed? Beliau lahir pada 1955 dan merupakan anak kepada Mona al-Solh, iaitu anak perempuan Riad al-Solh, Perdana Menteri Lebanon yang pertama. Bapanya pula adalah Putera Talal, Menteri Kewangan Arab Saudi pada 1960an.

Al-Waleed menceburkan diri dalam dunia perniagaan selepas menamatkan pelajaran di Menlo College, California pada 1979 dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, kemudian Sarjana Sains Sosial dari Syracuse University pada 1985.

Perniagaan terawal beliau adalah dalam bidang fabrik. Ia kemudian berkembang kepada perniagaan hartanah, perbankan dan seterusnya pelaburan. 

Kini Al-Waleed merupakan Ketua Pegawai Operasi Kingdom Holding Company yang merupakan konglomerat gergasi dalam perniagaan perhotelan, pelaburan, hartanah, perbankan, media massa, hiburan, peruncitan, pertanian, petrokimia, penerbangan dan teknologi.

Majalah peniagaan terkenal dunia, Forbes dalam keluarannya pada tahun 2008 telah membariskan Al-Waleed sebagai antara 100 orang manusia paling berpengaruh di dunia. Pada Jun 2015, Forbes menyenaraikan pula Al-Waleed sebagai manusia ke-34 paling kaya di dunia dengan nilai kekayaan AS$28 bilion.

SEPERTI YANG disebutkan tadi, manusia ini ketika tiada wang, mereka sanggup melakukan apa saja cara untuk menjadi kaya. Apabila sudah kaya, mereka mahu menambahnya lagi. Namun sampai satu masa, kekayaan itu sudah tidak menjadi keutamaan lagi.

Mereka berasa insaf dan mahu merasai kehidupan orang miskin. Mahu mengembalikan semula wang itu  kepada manusia yang memerlukan. Begitulah Al-Waleed, sejak bergelar jutawan, beliau sering menghulurkan derma. 

Bidang yang menjadi keutamaan hartawan ini adalah meningkatkan hubungan antara masyarakat Timur dan Barat, agar lebih harmoni dan adil. Untuk itu Al-Waleed sanggup menaja berjuta-juta dolar bagi penubuhan pusat-pusat pengajian timur dan barat di universiti-universiti di Eropah dan Asia Barat.

Malah, sejurus selepas berlakunya 9/11, Al-Waleed telah menyerahkan sekeping cek bernilai AS$10 juta kepada Datuk Bandar New York, Rudy Guliani, berserta sebuah kenyataan bertulis yang agak pedas, tetapi penuh pengharapan.

Dalam nota pendek itu Al-Waleed menyatakan bahawa kerajaan AS perlu memikirkan sebab mengapa peristiwa itu terjadi. “Saya percaya, anda perlu memeriksa kembali dasar-dasar luarnya di Asia Barat dengan melaksanakan pendirian yang lebih seimbang dan adil kepada Palestin.”

Guliani menolak sumbangan Al-Waleed, namun keberanian beliau itu terus dipertahankan. Kata Al-Waleed, “Mereka tidak sukakannya sebab mendapat tekanan daripada warga Yahudi.”

Al-Waleed pernah mendermakan sebanyak 18 juta pound kepada keluarga-keluarga mangsa serangan rejim Zionis di bandar Jenin, Tebing Barat. Selain itu, beliau menderma AS$17 juta kepada mangsa bencana tsunami pada 2004 serta menaja perbelanjaan kelas penerbangan Hanadi Zakaria Al-Hindi, untuk menjadikannya wanita pertama menjadi juruterbang di Arab Saudi, dan banyak lagi.

Pencapaian Al-Waleed ini sebenarnya menambahkan lagi bilangan dermawan Islam dalam kalangan para dermawan terkemuka dunia, yang sejak dahulu dikuasai oleh hartawan-hartawan Barat dan Yahudi.

Pada 2014,  daripada 20 orang dermawan terbesar dunia, sebahagiannya adalah berbangsa Yahudi dan beragama Islam. Antara mereka ialah Warren Buffet (Yahudi, dengan sumbangan sebanyak AS$25 bilion daripada AS$52 bilion hartanya). Buffet berada di tangga kedua selepas Bill Gates (AS$28).

Di posisi keempat ialah Sulaiman Abdul Aziz Al-Rajhi, pengasas Bank Al-Rajhi, dengan derma sebanyak AS$5 bilion, atau 76 peratus daripada seluruh hartanya. Beliau berada di belakang seorang hartawan Yahudi, George Soros.

Dermawan Muslim yang lain ialah Azim Premji (AS$2.1 bilion) di tempat kesepuluh, Pierre Omidyar (AS$1.2 bilion) di tempat ke-19 dan Iskander Makhmudov (AS$1 bilion) di tempat ke-20. Sumbangan Omidyar meliputi 11 peratus daripada kekayaannya, manakala Makhmudov, 14 peratus.

KEJAYAAN AL-WALEED patut kita banggakan. Selain itu, umat islam juga patut berasa bangga kerana bilangan hartawan Muslim kian meningkat di seluruh dunia. Sebagai contoh, orang paling kaya di Rusia pada 2014 sebenarnya adalah seorang Muslim, iaitu Alisher Usmanov.

Pada 2009, harta Usmanov dianggarkan  bernilai AS$1.6 bilion. Bagaimanapun, jumlah itu meningkat dengan begitu pantas menjadi AS$17.6 bilion pada 2014. Sebahagian besar kekayaan itu diraih melalui syarikat Metalloinvest yang terlibat dalam bidang perlombongan dan perusahaan keluli.

Selain itu, Usmanov menuai kekayaannya melalui perniagaan telekomunikasi dan multimedia. Untuk pengetahuan anda, Usmanov dan sahabatnya Farhad Moshiri adalah pemegang saham terbesar kelab bola sepak terkenal di England, Arsenal.

Siapa lagi hartawan-hartawan Muslim yang disenaraikan sebagai antara manusia terkaya di dunia? Mereka ialah Mohammed al-Amoudi, iaitu pemilik Corral Petroleum Holding dan MIDROC.

Ahli perniagaan keturunan Arab/Ethiopia ini pada peringkat awalnya terlibat dalam bidang pembinaan dan hartanah, kemudian melebarkan sayapnya ke bidang petroleum di Sweden dan Maghribi. Amoudi juga terlibat dalam perusahaan emas serta simen.

Seorang lagi hartawan Muslim yang terkaya di dunia ialah Suleiman Kerimov (AS$6.2 bilion), iaitu usahawan perbankan dan penerbangan Rusia. Najib Makiti, lelaki terkaya di Lebanon (AS$3.2 bilion), taikun telekomunikasi. Tidak ketinggalan ialah hartawan terkenal negara, Syed Mokhtar Al-Bukhari (AS$2.75 pada 2013). Syed Bukhari juga adalah seorang dermawan yang sangat merendah diri.

Subhanallah... beruntunglah mereka yang berharta ini. Pertama, mereka mendapat pahala yang besar kerana mengikut jejak langkah Rasulullah yang menyeru umatnya supaya berniaga. Kedua, semakin besar kekayaan yang dimiliki, semakin besar pula sumbangan dan derma mereka kepada masyarakat.

Tidak mahukah anda menjadi seperti mereka?

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

049195
Hari ini: 117
Minggu Ini: 625
Bulan Ini: 4,657
Tahun Ini: 49,195
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.