MENGENALI KERAJAAN GOA

MENGENALI KERAJAAN GOA

Salah satu kerajaan paling tua dan paling besar di Sulawesi Selatan, selain kerajaan Luwu dan Bone, adalah Kerajaan Goa. Kerajaan ini diasaskan sejak awal ke-13, namun agama Islam hanya menjadi agama rasmi kerajaan itu pada akhir abad ke-16, iaitu pada masa pemerintahan Sultan Alauddin (1593-1639). Ibu kotanya sejak mula bernama Somba Opu, lalu berubah menjadi Makassar. Di puncak kejayaannya, wilayah Kerajaan Goa samapi ke daerah Manado, Sumbawa, Gorontalo dan Tomini. Kerajaan ini juga memiliki hubungan antarabangsa yang luas kerana pelabuhannya menjadi Bandar perdagangan antarabangsa. Namun, kejayaan Goa mulai merosot ketika kerajaan itu sering berperang dengan Belanda. Peperangan besar terjadi pada masa pemerintahan Sultan Hasanuddin yang berlangsung selama tiga tahun iaitu 1666-1669. Perang itu kerap disebut Perang Makassar. Dalam perang itulah Kerajaan Goa dipaksa menyerah dan menandatangani Perjanjian Bongaya. Sejak itu, Goa diperintah oleh Belanda.

GOA DAN TALLO

Kerajaa Goa dan Tallo adalah kerajaan kembar. Ceritanya bermula ketika raja Goa VI, Tunatangka’lopi, mempunyai dua orang putera. Yang sulung bernama Batara Gowa. Baginda menggantikan ayahandanya menjadi raja Goa. Adindanya pula menjadi raja Tallo. Rakyat di kedua-dua buah kerajaan itu berasa seolah-olah berada di bawah satu pemerintahan. Sejak raja Tallo ketiga, raja-raja Tallo selanjutnya menjadi mengkubumi Kerajaan Goa. Pelaksanaan pemerintahan sehari-hari berada di bawah pengawasan mangkubumi atas nama raja.

AGAMA KERAJAAN

Sultan Alauddin (1593-1639) adalah raja Islam pertama kerajaan Goa. Baginda memeluk Islam pada September 1605, setelah menerima dakwah Dato’ ri Bandung (ulama terkemuka Minangkabau). Agama itu ditetapkannya sebagai agama kerajaan pada 9 November 1607. Sebagai kesannya rakyat di bawah pemerintahannya pun turut memeluk agama Islam.

MUSU SELLENG

Setelah Sultan Alaudin mengumumkan perintah yang mengharuskan rakyat Goa dan Tallo memeluk Islam, baginda menyeru kerajaan tetangganya di Sulawesi (Bone, Soppeng, dan Wajo) agar memeluk Islam. Namun, ketiga-tiga kerajaan itu menolak. Akhirnya meletuslah perang Musu Selleng, yakni perang Islam. Daripada ketiga-tiga kerajaan tersebut , raja Bonelah yang terakhir memeluk Islam (1611). Sejak itu, sebahagian besar penduduk Sulawesi beragama Islam.

PERJANJIAN BONGAYA

Termeterainya Perjanjian Bongaya pada 18 November 1667 di Bongaya mengakibatkan perubahan politik di kawasan timur Indonesia. Belanda memperoleh hak berdagang di pelabuhan  Makassar; Orang Eropah kecuali orang Belanda dipaksa meninggalkan pelabuhan Makassar; wang Belanda ditetapkan sebagai wang rasmi; Belanda dibenarkan mendirikan Kota Fort Rotterdam; dan hampir seluruh wilayah Goa diserahkan kepada musuhnya, Aru Palaka, dari kerajaan Bone. Namun perjanjian itu tidak mampu memadam konflik antara Goa dengan VOC (Vereenigde Oost Indische Compagnie – Syarikat Hindia Timur Belanda) kerana peperangan tetap berlangsung. Karaeng Karunrung, bangsawan Goa, bersekutu dengan Turatea, Bantaeng, Bulukumba, Luwu, Sumbawa dan orang Melayu di Makassar untuk melawan VOC. April 1668 perang kembali meletus dan berakhir ketika Somba Opu, ibu kota Goa, jatuh ke tangan Belanda pada 24 Jun 1669. Sultan Hasanuddin lalu berundur dan digantikan oleh puteranya, Sultan Amir Hamzah.

  • Pasukan Goa terkenal berani dan memiliki persenjataan moden pada zaman itu, seperti meriam yang diperoleh dari Eropah.
  • Bekas istana sultan Goa terakhir yang sekarang dijadikan muzium.
  • Salah satu kesan Perjanjian Bongaya adalah terdirinya Kota Fort Rotterdam. Kota itu dibina oleh Belanda pada 1670-an di Makassar. Jika kita memandang kota Makassar dari arah selatan, maka kota tersebut merupakan permandangan terjauh yang dapat dilihat. Oleh sebab itulah, kota ini disebut pula Kota Ujung Pandang.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

016910
Hari ini: 6
Minggu Ini: 1,715
Bulan Ini: 2,051
Tahun Ini: 16,910
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.