Kepelbagaian merupakan satu kejadian alam yang membuktikan tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Tiada sesuatu yang ada di muka bumi ini melainkan semuanya ditunjukkan dalam pelbagai bentuk, rupa dan pilihan. Kerencaman ini menandakan kejadian alam serta kejadian pada alam haiwan dan pada diri manusia sendiri.
Oleh kerana kepelbagaian adalah satu realiti, maka kita tidak berupaya menolaknya malah ia menjadi sebahagian daripada kehidupan kita yang kita saksikan setiap hari dan kita rasai setiap masa. Demikianlah tanda kebesaran Allah seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Al Quran;
“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahwa Al Quran itu adalah benar. Tidakkah cukup bahawa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?” (Al Fussilat: 53)
Adalah menjadi sesuatu yang kurang bijak untuk menidakkan reality kepelbagaian sebagai satu fitrah kejadian. Apa yang boleh kita lakukan ialah memahami dan hidup dalam kepelbagaian ini dengan cara yang diajar oleh Islam bagi mencapai kehidupan yang bermakna. Apabila kita memilih untuk menolak kewujudan kepelbagaian dalam kehidupan kita, kita seolah-olah menolak kejadian yang ditetapkan sebagai fitrah. Alangkah benarnya kata-kata Imam Hasan al Banna (1906-1949),
“…..janganlah sekali-kali kamu bertembung dengan rahsia kejadian (fitrah) ini kerana kelak ia akan mengalahkan kamu, tetapi hendaklah kamu menguasainya dan gunakanlah keadaan ini dan gunakanlah keadaan ini dan alihkan arusnya untuk dikuasai dan mohonlah pertolongan antara satu sama lain….”
Sebenarnya kejelasan hidup yang penuh dengan kepelbagaian sebagai satu tabiat semulajadi kejadian disebut oleh Allah SWT dalam surah Al Fathir ayat 27 dan 28;
“Tidakkah kamu melihat bahawasanya Allah menurunkan hujan dari langit lalu kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat. Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang- binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamban-Nya, hanyalah ulama (orang mengetahui). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.“ (Al Fathir : 27-28)
Pra syarat untuk memahami erti kepelbagaian dalam Islam dan bagaimana menguruskannya dengan penuh limpahan rahmat bermula dengan penerimaan fakta penting bahawa “kepelbagaian adalah satu reality dan satu kepastian” dan dari sini kita akan menghuraikan perincian bagaimana fakta ini memberi kesan dalam kehidupan kita dan bagaimana seharusnya kita berhadapan dengannya dengan tenang dan menghindari segala keraguan dan kebimbangan.
Bagi faedah mendalami rahsia kepelbagaian dan kerencaman kejadian, dicatatkan dengan ringkas beberapa ayat tentang kejadian ini yang meliputi setiap kejadian Tuhan.
1. Kepelbagaian dalam ciptaan
Kejadian siang dan malam serta matahari dan bulan adalah tanda kebesaran-Nya dalam kepelbagaian yang kita sering saksikan supaya manusia akur dengan kejadian ini dan mengembalikan segala kebesaran ini kepada Allah SWT sebagai penciptanya. Firman Allah SWT dalam surah Fussilat;
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam,siang, matahari dan bulan. janganlah sembah matahari maupun bulan,tapi sembahlah Allah yang menciptakannya, jika ialah yang kamu hendak sembah” (Fussilat : 37)
2. Kepelbagaian dalam bahasa dan bangsa
Dalam surah Al Rum, Allah SWT menceritakan tentang kepelbagaian Bahasa dan keturunan yang ada pada kejadian manusia semuannya berada pada satu Bahasa, satu warna dan satu bentuk.
“Dan yang memahami kepelbagaian kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berbeza-beza bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui” (Al Rum :22)
Mereka yang memahami kepelbagaian kejadian dalam diri manusia sendiri disifatkan oleh Allah SWT sebagai orang yang mengetahui yakni dapat menerima hakikat kepelbagaian.
3. Kepelbagaian agama dan kepercayaan
Satu hakikat yang seiring dengan kejadian dalam kepelbagaian ini ialah wujudnya kepelbagaian agama dan kepercayaan dalam sejarah manusia yang panjang. Tidak ada pada sesuatu masa itu manusia berada pada satu agama kecualilah pada saat Adam diturunkan Allah SWT ke atas muka bumi manusia , namun dalam generasi seterusnya kesesatan keturunan generasi Adam melahirkan kepelbagaian dalam memahami keperluan untuk beragama. Hakikat kepelbagaian ini disebut oleh Al Quran masing-masing dalam surah Yunus;
“Dan jikalau Tuhanmu mengkhendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?. Dan tidak ada seorangpun akan beriman kecuali dengan izin Allah; dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya” (Yunus : 99-100)
Ayat di atas walaupun tema utamanya ialah melarang Nabi Muhammad SAW memaksa orang lain memeluk Islam namun hakikatnya ialah wujudnya agama lain selain Islam adalah satu bentuk kepelbagaian yang menjadi satu realiti.
Mungkin ayat dalam Surah Hud lebih jelas menerangkan bahawa sepanjang masa akan ada agama lain yang wujud selain Islam, dalam firman-Nya;
“Jikalau Tuhanmu mengkhendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu (agama yang satu), tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahanam dengan jin dan manusia (yang durhaka) semuanya” (Hud : 118-119)
Perkataan ‘ummatan wahidatan’ dalam kedua-dua ayat dari surah Yunus dan Hud bermakna satu agama sahaja kerana dalam Bahasa Arab ‘ummah’ boleh membawa maksud kesepakatan sesuatu kelompok ke atas agama lalu dijadikan makna kesepakatan itu sebagai ‘satu agama’.
Kehendak Allah SWT mengatasi segala-galanya, namun dalam hal menjadikan hanya satu agama daripada sudut kewujudan, Allah SWT tidak mengkehendakinya walaupun daripada satu sudut kebenaran hanya satu sahaja agama yang diterima oleh Allah SWT dan dalam hal ini umat Islam menyakini bahawa agama itu adalah Islam.
Justeru itu, atas kebenaran Islam ini maka menjadi sesuatu yang pasti supaya Islam menurunkan rahmatnya terhadap kepelbagaian agama yang ada dihadapannya. Kenyataan bahawa Islam adalah satu kebenaran bukan memberi lessen untuk Islam menghina kewujudan agama lain, bahkan Islam menuntut penganutnya menerima kepelbagaian dan hidup dengannya seperti yang digariskan oleh konsep Rahmatan lil ‘Alamin.
