RENUNGAN TRAGEDI: KESABARAN DAN KASIH SAYANG

RENUNGAN TRAGEDI: KESABARAN DAN KASIH SAYANG

Umat Islam berkewajipan dan berperanan menyatakan kasih sayang mereka terhadap anak-anak yatim sepertimana yang dituntut oleh agama. Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

”Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama? Orang itu ialah yang membiarkan serta berlaku zalim kepada anak yatim, dan tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.” (Maksud al-Quran Surah Al-Ma'uun, ayat 1-3)

Dalam ayat ini, mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap anak yatim disebut sebagai pendusta agama.

Berbanding dengan mereka yang mengambil berat terhadap anak-anak yatim dianggap sebagai jiran Rasulullah SAW di syurga nanti. Ini ditegaskan dalam hadis baginda yang bermaksud, Dari Sahl bin Sa'ad r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda, ”Saya dan orang yang memelihara anak yatim itu dalam syurga seperti ini.” Baginda mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengahnya dan merenggangkan antara keduanya itu." (Hadis riwayat Bukhari)

Demikian juga dalam firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 215 yang bermaksud:

”Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad, apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah, ’Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada kedua-dua ibu bapa, dan kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan.” Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).”

Antara nilai kasih sayang ini, emosi kita ikut terbuai dengan kesedihan betapa malangnya anak-anak tersebut; bukankah mereka mempunyai saudara terdekat, malah masih mempunyai ayah dan ibu dalam takrif keluarga yang lengkap. Ketika itu mungkin sebahagian daripada kita berfikir, apakah sebab sebenar mereka melepaskan anak-anak tersebut hidup menumpang kasih bersama-sama anak-anak yatim yang lain? Mungkinkah atas alasan kemiskinan atau ada sebab-sebab lain yang hanya sekadar spekulasi?

Walau apa pun, tragedi tersebut telahpun berlaku. Tragedi kebakaran rumah anak yatim atau tahfiz al-quran yang lalu bukanlah perkara baharu tetapi sebahagian daripada kita hanya ingat-ingat lupa pengajaran daripada pelbagai malapetaka yang berpunca daripada kelalaian manusia sendiri.

Ketika kita berhadapan dengan musibah, agama amat menekankan amalan kesabaran dengan tidak membuat spekulasi menyalahkan pihak-pihak tertentu sebagaimana yang lazim berlaku setiap kali musibah melanda. Atas usaha untuk menutup kelemahan sendiri, biasanya ahli keluarga mangsa atau masyarakat memberikan gambaran buruk bahawa yang bersalah ialah agensi kerajaan.

Kesalahan kerana tidak memberikan pengawasan yang teliti kepada lokasi premis mula kedengaran, manakala agensi bertanggungjawab pula cuba melepaskan masalah kepada tuan punya premis. Tuan punya premis dipersalahkan kerana membina bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa manakala orang awam mempersoalkan agensi kerajaan kerana tidak melakukan tindakan tegas ke atas pihak yang mendirikannya.

Bencana atau musibah yang melanda pada hakikatnya memiliki peranan yang besar dalam mendidik hati dan perasaan kita. Meskipun bencana tersebut merupakan suatu tragedi yang menyayat hati dan melahirkan emosi sedih yang mendalam, kita wajib menerimanya sebagai satu ketentuan daripada Allah SWT yang ingin menguji kesabaran kita.

Allah SWT juga ingin menguji tindakan kita yang kadangkala lupa kepada pertimbangan yang wajar sebelum melakukan sesuatu usaha. Kita lupa memikirkan langkah-langkah keselamatan dan belajar daripada kealpaan diri sendiri. Inilah cara Allah SWT mendidik kita kerana tidak waspada terhadap persekitaran.

Musibah, memang akan selalu mengekori umat manusia kerana dunia adalah tempat ujian dan cubaan. Tujuan Allah SWT menurunkan semua musibah adalah untuk memperbaiki ketakwaan dan kesabaran hamba-Nya dan akan memilih siapa yang berjaya menerima ujian tersebut dengan penuh kesabaran.

Segala ujian itu seharusnya ditempuh dengan penuh kesabaran kerana ini akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama orang yang sabar. Bukan bererti orang yang sabar itu akan bergembira apabila ditimpa kesusahan dan ujian; mereka tetap sedih dan berdukacita. Namun, mereka tidak akan bertindak di luar batasan agama.

Kesabaran yang tinggi amat dituntut dalam Islam kerana dengan memiliki jiwa yang sedemikian, umat Islam akan menjadi umat yang teguh peribadi dan kukuh jati diri, tidak gentar berhadapan dengan segala dugaan atau bencana. Umat Islam terus memperkuatkan keyakinan dalam diri bahawa, di sebalik bencana terselindung pelbagai rahmat yang sengaja diadakan oleh Allah SWT untuk menguji keteguhan iman dalam mencari keredaan-Nya.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

010755
Hari ini: 64
Minggu Ini: 2,157
Bulan Ini: 4,004
Tahun Ini: 10,755
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.