Ada kumpulan-kumpulan wanita tertentu yang mengunakan nama Islam cuba melancarkan kempen monogami-satu suami satu isteri. Kini mereka menidakkan secara halus kepentingan institusi perkahwinan. Keadaan ini perlu diperbetulkan kerana beranggapan punca wanita berpendidikan tinggi enggan berkahwin kerana disebabkan lelaki berfikiran kolot dan inginkan isteri memainkan peranan tradisi mengurus semua keperluan keluarga.
Sewajarnya mereka seharusnya terlebih dahulu membuat kajian penyelidikan berasaskan prosedur dan metodologi penyelidikan yang sistematik yang diamalkan oleh para ilmuan dan penyelidik sosial.
Janganlah terlalu bersikap emosi dan prejudis dengan membuat sweeping statement (kenyataan secara umum) kerana ia akan menjatuhkan maruah wanita dan juga akan menyebabkan pandangan serong terhadap agama suci Islam.
Berapa ramaikah lelaki zalim yang sanggup membebani isterinya dengan segala kerja rumah tangga tanpa langsung dibantu.
Keletihan kerana dibebani dengan tanggungjawab mengurus rumah tangga sebenarnya suatu kepuasan bagi pihak isteri apabila melihat anak-anak mereka besar, hasil daripada penat lelah mereka mendidiknya.
Kualiti hidup seseorang itu bukan bergantung kepada wang dan pendidikan tinggi, tetapi kualiti hidup yang sebenar hanya dapat dicapai melalui perkahwinan. Ini kerana pernikahan akan memberikan kedamaian hidup (kualiti hidup sebenar) kerana terdapat rasa cinta yang sejati dan kasih sayang yang mendalam di antara pasangan suami isteri.
Kenyataan Kumpulan ini menggambarkan sikap tidak ilmuan dan suatu penyakit jiwa yang perlu diubati segera. Apatah lagi kenyataan ini datangnya daripada seorang yang tidak pernah melalui alam perkahwinan. Sedangkan Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud: ``Tidak ada bangunan yang lebih dicintai Allah dibandingkan dengan bangunan pernikahan.''
Tuduhan lelaki kolot merupakan satu escapism bagi menyorot sikap dan tingkah laku yang terlalu memilih (jodoh), akhirnya wanita yang berpendidikan tinggi terpaksa melupakan pernikahan dan menumpukan kepada kerjayanya.
Anggapan perkahwinan sebagai satu yang membebankan bertentangan dengan ajaran Islam kerana perkahwinan adalah sunah Allah s.w.t. yang berlaku umum bagi semua makhlukNya. Allah s.w.t berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
``Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah. - Surah Adz Dzaariyaat: Ayat 49
``Dan di antara kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. - Surah Ar Ruum: Ayat 21
Islam sangat menganjurkan pernikahan kerana dengan pernikahan manusia akan berkembang biak sehingga kehidupan umat manusia dapat dilestarikan. Tanpa pernikahan regenerasi akan terhenti, kehidupan manusia akan terputus, dunia akan menjadi sepi dan tidak bererti. Malah dari segi umur, orang yang berkahwin pada umumnya lebih panjang umur daripada mereka yang tidak berkahwin.
Perkahwinan bukanlah sebuah penjara yang akan membatasi kebebasan, keinginan dan kehidupannya. Hanya mereka yang jahil menilai perkahwinan sebagai musibah dan seksaan dan bukannya anugerah dan rahmat.
Semuanya ini dipengaruhi oleh fahaman feminisme yang telah menusuk masuk dalam satu Gerakan yang mahu mengubah kedudukan masyarakat. Mencacatkan fitrah yang lurus yang dimainkan oleh keluarga. Bagi mereka perkahwinan adalah asas yang lebih banyak disorok dan dianggap menghancurkan.
Frederich Angles seorang sosialis Jerman menulis disertasi yang terkenal Pemaksaan Perempuan pada tahun 1869 yang memuatkan aturan berhubung dengan pergerakan wanita. Pada 1884, Angles mengumumkan secara rasmi bahawa perkahwinan adalah bentuk penyimpangan yang menyedihkan daripada penghambaan. Ia sentiasa melaungkan tuntutan untuk menghilangkan perkahwinan ini dan mengusulkan agar negara memainkan peranan kedua orang tua dalam mendidik dan memelihara anak-anak.
Peristiwa yang terpenting tentang pergerakan feminisme di Amerika adalah menandatangani suatu deklarasi pada 1848 yang mengakui hak wanita untuk menceraikan suaminya, memegang urusan pernikahan dan bebas memberi wasiat kepada anak-anaknya, serta menghilangkan perbezaan berdasarkan jenis kelamin dalam tugas-tugas lelaki. Terakhir, wanita bebas dari segala bentuk ikatan sosial kemasyarakatan yang diwajibkan dari suami.
Kemudian gerakan ini terus berpengaruh dan pada 1970 apabila ribuan perempuan berkumpul dan berteriak keras di jalan-jalan di New York. Mereka membawa sepanduk-sepanduk yang bertulis - Pengasuh rumah tangga adalah profesion penghinaan; Kami tidak akan memasak lagi; Malam ini tidak ada lagi layanan keperluan biologis; Janganlah bersuami wahai pemudi; Bolehkan pengguguran; dan Patuh pada suami adalah hidup yang tidak mulia!
Apabila hati telah diresapi dengan satu sikap bahawa dirinya yang paling pintar dan paling memahami daripada orang lain maka apabila ia menyatu dengan penyakit gemar mengkritik orang lain, maka orang yang menghidapnya akan menjadi manusia narcissistic yang tidak mengenal siapa pun kecuali dirinya sendiri.
