TRADISI ILMU ISLAM

TRADISI ILMU ISLAM

Cara berfikir umat Islam semakin berubah. Setelah runtuhnya empayar-empayar Islam sebaik sahaja berakhirnya kerajaan Uthmaniyah dengan pengsekularan negara Turki oleh Mustapha Kamal Atartuk, tradisi keilmuan Islam semakin membentuk corak berasaskan kerangka barat sehingga menimbulkan ghairah baharu, sesuatu yang berasaskan kerangka kebebasan, sama ada kebebasan nilai dan perspektif terpisah dari nilai agama menjadi suatu pendekatan ilmiah semakin menarik minat.

Usaha untuk membangunkan semula tradisi pendidikan Islam yang meletakkan asas ketuhanan sebagai kedudukan tertinggi semakin digugat, bahkan dalam beberapa keadaan telah mengakhirkan pula asas yang kuat dengan keluasan ilmu-ilmu Islam sehingga mempengaruhi ramai cendekiawan Islam sanggup menukarkan prinsipnya apabila menjadi begitu mudah percaya, ilmu yang paling ilmiah ialah ilmu yang bersandarkan rasional pemikiran, walaupun asasnya boleh dipersoalkan.

Kemunculan buku Misykat: Refleksi Tentang Westernisasi, Liberalisasi, dan Islam menjadi suatu petunjuk betapa goyahnya sebahagian besar dengan asas utama Islam, kerana begitu ramai amat terpengaruh dengan nilai-nilai ilmu yang dikembangkan oleh barat, sedangkan barat sebenarnya sudah melakukan perubahan besar konsep ilmu yang mereka warisi daripada Islam.

Penulisnya, Dr Hamid Fahmy Zarkasyi, pernah mendapat pendidikan di persekitaran pondok moden Gontor; bergaul dengan pengagum orientalis di Birmingham, England; percampuran kerangka ilmiah di Pakistan; dan terakhir, kembali menekuni bidang pemikiran Islam di INSTAC, Kuala Lumpur berjaya mengungkapkan suatu pandangan yang dijadikan jalan pencerahan untuk kembali melihat kerangka ilmiah Islam sebenarnya lebih besar daripada sifat dan penataran ilmiah barat, cuma yang menjadi masalah ialah tidak ramai umat Islam yang berupaya menyusun hujah dengan bernas dan berbahas secara jelas.

Buku Misykat ini sebenarnya merupakan kumpulan tulisan yang cuba menilai kembali keupayaan kaedah ilmu dan pengaruh pemikiran ilmiah barat yang sudah sekian banyak merosakkan asas falsafah budaya, nilai dan hakikat keilmiahan ilmu-ilmu Islam sehingga menjadi racun peradaban, yang sedang merusak peradaban Islam. Ia tidak lain daripada sikap umat Islam itu sendiri, mudah leka dan kurang cekap mengesan sepak terajang cara barat mengkhianati Islam. Bagi barat, tidak ada yang paling menarik untuk dikupas, diterjah dan ditumbangkan malah dihancurkan secara total walaupun mengambil masa yang panjang, kerana keruntuhan pemikiran umat Islam adalah kemuncak sebuah petualangan akademik dan peradaban terhebat.

Cetakan pertama buku ini pada tahun 2012 habis, sedangkan cetakan kedua terus mendapat sambutan daripada mereka yang berusaha mencari kejernihan, yang tentunya mengakarkan kembali kerangka falsafah ilmu-ilmu Islam, yang sewajarnya menuju ke tahap berkat dan peningkatan keimanan, dan kerana itulah Dr Hamid berusaha dengan baik membumikan banyak perkara yang sedang berusaha mengkaburkan pemikiran umat Islam, sebuah perjuangan intelektual yang wajar dipuji dan disambut, suatu usaha pemahaman dalam bahasa yang segar, mudah dan jelas.

Biarpun buku ini asalnya kumpulan rencana yang disiarkan dalam pelbagai platform media, termasuk wawancara, kolum dan perbahasan ilmiah, Dr Hamid tetap mampu memudahkan kita memahami apa sebenarnya yang dimahukan oleh barat dalam gerakan pembaratan, liberalisasi dan keilmiahan terpisah dengan agama, sehingga saya memahami, tugas itu sebenarnya bukanlah suatu perkara yang mudah, kerana semakin lama semakin hebat gegarannya malah kadangkala kita mudah percaya, apa sahaja yang dicetuskan oleh proses pembaratan itu adalah yang terbaik, termasuk kecanggihan teknologi dan rasional pemikiran.

Asas falsafah ilmu Islam sudah berubah, bahkan dalam kesedaran sesetengah cendekiawan untuk mengislamisasikan ilmu juga terasa sudah semakin sukar difahami, kerana proses itu tidak berusaha menukarkan akar dan asasnya, hanya sekadar proses penyesuaian secara literal, bukan mencipta kehebatan ilmuan Islam secara tepat dan cerdas sebagaimana Imam Al-Ghazali yang berjaya mengolah semula falsafah ilmu daripada Yunani sehingga terasa, sudut pandangan itu adalah salah dan bukan membawa kepada asas kebenaran.

Hasil sekularisasi melahirkan liberalisasi, sebuah projek besar yang tersusun dan penuh strategik, akhirnya berjaya melahirkan suatu ketumbukan merosak Islam dari dalam, melahirkan pemikiran Islam liberal dan pluralisme agama. Ia sebenarnya membawa acuan, dengan berusaha menggugat asas falsafah ilmu Islam dari dalam, ia adalah suatu perjuangan yang berjaya menerjah “jihad pemikiran” dari amar makruf nahi mungkar kepada amar mungkar nahi makruf.

Contohnya jelas, bagaimana penerimaan umat Islam di Malaysia dalam prinsip kebebasan, sehingga ada dalam kalangan Islam melihat apa pun tidak salah selagi kebebasan itu tidak disekat. Semasa undangan penyertaan awam terhadap pelbagai fahaman dan pemikiran, pengajurnya tidak lagi meletakkan konteksnya berteraskan nilai agama dan kehendak Allah SWT. Apa yang diperjuangkan ialah manusia bebas membuat pilihan, kerana baik buruknya sesuatu pilihan itu adalah kesan daripada pilihan manusia sendiri. Setiap orang tidak wajar disekat, kerana sekatan itu adalah suatu bentuk tirani.

Bahkan ketika mempersoalkan kewajiban dalam agama, ada yang sanggup menentang peraturan yang cuba mengekang kesyirikan, percaturan matlamat dan pandangan sesat. Bahkan, ketika ada sekatan perhimpunan kumpulan orientasi seks sejenis, sebahagian pegagumnya melihat ia adalah satu hakikat kebebasan, kebebasan tanpa nilai agama dan agama adalah milik seseorang secara personal, bukannya menjadi pusat asas tindakan dan berfikir. Penentangan bermula, kerana pandangan agama sudah dianggap tidak lagi boleh dipaksakan, kerana agama bukan lagi berada dalam jiwa sedar dan dalam tahap keyakinan tinggi, agama hanyalah sebagai ritual dan persoalan budaya.

Membaca keseluruhan buku setebal 332 halaman (termasuk testimonial, rujukan dan indeks) ini terasa begitu cepat, kerana begitu mudah difahami walaupun perbahasannya adalah dalam kerangka ilmiah, penuh hujahan dan penyangkalan kesilapan besar sebahagian daripada cendekiawan Islam yang sudah larut dalam kerangka falsafah pendidikan Barat, dan prejudis barat mengatur kehancuran Islam. Suatu bentuk penulisan yang jelas, mudah dan tidak berbelit-belit sebagaimana beberapa buku yang pernah saya temui, yang ditulis oleh para cendekiawan muslim sendiri, yang berusaha menolak optimisme ilmu-ilmu moden dan dalam masa yang sama melahirkan sikap skeptik, tetapi tidak saya temui dalam huraian Dr Hamid Fahmy dalam buku ini.

Terasa begitu jelas, apakah sebenarnya yang kita laksanakan bagi menjernihkan semula pola pemikiran umat Islam, kalau umat Islam itu benar-benar memahami kenapa Islam dipanggil ad-din, bukannya agama sebagaimana difahami dalam istilah moden yang dibaratkan, termasuk keghairan melabelkan seseorang pemikir Islam sebagai moderat, toleransi dan liberal, ataupun fundamentalis, kerana Barat tidak pernah jemu menggelapkan secercah sinar agama yang masih tersisa dalam kalangan umat Islam, selagi al-Qur’an dan Sunnah dipertahankan kesuciannya.

Barat sudah berjaya mengubah dan menyesuaikan kandungan Injil dan Taurat, ertinya, barat juga boleh mengubah isi kandungan ajaran Islam dengan memulakan seruan, Islam perlu menyesuaikan ajarannya dengan perubahan baharu, termasuk melakukan semula tafsiran maksud ajaran sehingga asas keimanannya sebagai pilihan, seperti sikap barat sendiri terhadap agama, ibadat hanya suatu bentuk ritual, bukan lagi kewajipan seperti sikap setengah umat Islam sendiri terhadap sembahyang lima waktu sehari semalam, pergaulan bebas bukan mahram, penyebaran fitnah dan lebih dahsyat lagi ialah mengambil peranan Allah dengan menghukum mereka yang tidak sealiran sebagai penghuni neraka sedangkan penentuanya adalah hak mutlak Allah SWT.

Itulah sebahagian kejayaan sekularisasi, walaupun barat sendiri mengakui sekularisasi telah gagal. Kini barat menggantikan istilah itu dengan prinsip kebebasan, demokrasi, kesetaraan gender, kesaksamaan dan hak asasi, kerana semuanya berdasarkan rasional, bukannya berdasarkan kerangka agama dan hukum Allah. Buku ini bukan sahaja mampu membantu meluruskan pola pemikiran kita, bahkan mampu membentengi kerangka falsafah Islam agar kita kembali sedar, hanyalah kita yang mampu mempertahankan Islam sebagai ad-din, kesucian dan kebenaran ajaran-Nya, bukan barat dan bukan juga cendekiawan yang sudah mabuk membina epistimologi dan mencipta sejarah gemilang dengan berpandukan nilai individualistik, kebendaan. Mereka tidak lagi berpegang kepada ilmu yang dicari untuk mendekatkan diri dengan kebenaran, kebenaran yang mutlaknya milik Allah SWT, menggunakan ilmu untuk membina peradaban dengan roh dan keimanan, bukan bebas bebas dan menjauhi ajaran agama.

Syabas Dr Hamid Fahmy Zarkasi dan selamat membaca bagi mereka yang gemar mencari langkah proses pembetulan diri agar cahaya yang masih menembusi lubang-lubang kecil dalam rumah kehidupan kita akan berkembang menerangi keseluruhannya, kerana Islam itu tidak diturunkan oleh Allah kalau bukan kerana ehsan-Nya, untuk manusia merasai nikmat dan keramahan-Nya. Manusia sentiasa rugi apabila mudah hanyut dan tidak mampu meningkatkan tahap keimanannya, sedangkan Allah SWT berjanji, setiap kebaikan akan dibalas dengan pahala sedangkan setiap kelalaian itu adalah dosa, termasuk dosa bila tidak mampu menangkis rempuhan pemikiran yang jelas berakhir dengan kesesatan dan jauh daripada keberkatan. Umat Islam semakin terperosok kerana tidak mahu kembali mengikat kerangka pemikiran dengan memahami secara mendalam apa yang disuruh dan menolak apa yang ditegah oleh Allah SWT.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

020465
Hari ini: 129
Minggu Ini: 504
Bulan Ini: 5,607
Tahun Ini: 20,465
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.