Platform media sosial telah menjadi alat utama dalam penyebaran agama Islam, dan menjadi arena perbincangan mengenai pelbagai tajuk yang berkenaan. Umat Islam menggunakan platform-platform yang tersedia untuk berkongsi ayat-ayat Al-Quran, Hadis, kuliah dan ceramah Islam, termasuk juga renungan peribadi tentang Iman dan Islam. Bentuk dakwah digital ini mencapai khalayak yang luas, seterusnya meluaskan skop dan impak usaha dakwah.
Media sosial juga telah melahirkan ramai para pendakwah serta pempengaruh yang berusaha untuk mencerdaskan orang awam dalam arena agama. Tidak mustahil pada hari ini, untuk saksikan seorang pendakwah atau pakar motivasi yang mempunyai 100,000 pengikut atau peminat, malah ada yang mempunyai berjuta pengikut di media sosial.
Tetapi timbul pula kekeliruan hari ini, di mana orang awam mula terlalu menghormati para pendakwah media sosial, hingga memberi gelaran ulama’ kepada mereka yang giat menyebarkan agama Islam di platform-platform itu. Maka di sini wujud keperluan untuk tentukan maksud ulama’ itu kepada orang awam, berdasarkan Al-Quran.
Secara umumnya, ulama’ merupakan orang-orang yang berilmu. Istilah ulama’ adalah kata jamak kepada perkataan ‘alim, iaitu seorang yang berilmu. Maka lebih dari seorang ‘alim dipanggil sebagai ulama’. Pentingnya para ulama’ kepada ummah adalah sebagaimana di dalam hadith Nabi SAW yang bermaksud: Daripada Abi al-Darda’ RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda; “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.” - [HR Abu Daud (3641), Status Hassan]
Maka untuk mengenal pasti siapakah para ulama’ ini, kita harus kembali kepada Al-Quran, di mana Allah SWT berfirman di dalam surah Faatir ayat 28 dan 29 yang bermaksud;
“Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian;” - (Surah Faatir, ayat 28-29)
Di sini, kita diberitahu bahawa sifat yang paling utama bagi seorang ‘alim, adalah sifat Khashiyah, iaitu rasa takut yang dalam kepada Allah SWT. Sifat ini lebih dominan daripada kepintaran seseorang yang berilmu, kefasihan berbicara dan keupayaan untuk memenangi hujah.
Justeru bagaimana untuk menilai seseorang itu mempunyai rasa takut yang dalam kepada Allah SWT, di samping beliau berilmu dalam agama? Seorang ‘alim seharusnya tidak boleh sembarangan di media sosial. Rasa takut kepada Allah ini dizahirkan di dalam percakapan dan penulisannya, dengan niat sama ada perbuatannya itu diredhai oleh Allah SWT atau sebaliknya. Begitu juga apabila seorang ‘alim perlu mengeluarkan fatwa, beliau akan sangat berhati-hati, dan sentiasa mengharapkan keredhaan. Keilmuan yang tinggi dan rasa takut yang mendalam kepada Allah, membentuk ciri-ciri para ulama’.
Seorang ‘alim, tanggungjawabnya sangat besar dan berat, bukan sahaja mengajar dan membantu manusia menjalani kehidupan beradab, juga meningkatkan rasa taqwa kepada Allah SWT, berasaskan makna dan nilai-nilai
tauhid.
Sebaliknya, kata-kata yang selalunya kontroversial, tindakan yang selalu mengelirukan orang awam, bukan ciri-ciri ulama’ seperti mana diterangkandalam agama. Keilmuan orang-orang seperti ini dipandu oleh egosentrisme, dan sifat hendak menang dengan apa cara sekalipun. Ditambah pula taksub serta jumud dengan pegangan sendiri, dan ingin dianggap hebat di mata peminat dan pengikut. Mereka lebih cenderung kepada sikap keberpihakan, menggariskan antara kita dan mereka, walaupun sesama Islam. Kelakuan sektarianisme begini membawa kepada kehancuran, konflik dan sengketa, yang kini kita saksikan di arena media sosial.
Sektarianisme ini disambut pula oleh para pengikut, maka hilang segala adab apabila berinteraksi sesama muslim. Keluarlah jenama-jenama dan gelaran dari satu kelompok kepada kelompok seberang, dan sebaliknya.
Malaysia dan Asia Tenggara secara amnya, dikurniakan ramai para ulama’ yang berwibawa, yang hanya fokus kepada penyatuan ummah, serta bertujuan untuk menguatkan kembali pegangan kepada tali tauhid serta akhlak masyarakat awam. Namun apabila orang awam seperti kita mahu isbatkan seseorang itu sebagai ‘alim, kita perlu fahami maksud ‘alim itu dahulu. Kemudian perlu cerminkan diri sendiri, sama ada ilmu yang kita ambil daripada orang itu, telah menjadikan kita lebih beradab dan berakhlak daripada sebelumnya. Atau sebaliknya menjadikan kita lebih keras, tidak cermat dalam penulisan dan komentar media sosial, hilang akhlak sesama muslim, dan cenderung kepada ejekkan dan hinaan.
Renungkan hadits Rasulullah SAW yang bermaksud; Dari Abu Hurairah RA dia berkata; Nabi SAW pernah ditanya; “Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk syurga?” Baginda menjawab: “Taqwa kepada Allah dan akhlak yang mulia. ”Baginda di tanya lagi; “Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk neraka?” Baginda menjawab: “Dua rongga yang terbuka iaitu mulut dan kemaluan.” (HR Ibnu Majah: 4236)
