MENGHINA RASULULLAH SAW BOLEH TERKELUAR DARIPADA ISLAM

MENGHINA RASULULLAH SAW BOLEH TERKELUAR DARIPADA ISLAM

Menuduh Rasulullah S.A.W mengamalkan nepotisme adalah satu penghinaan terhadap Baginda. Dalam ayat 57 surah Al-Ahzab, Allah Taala berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang menghina Allah dan Rasulnya mereka dilaknat oleh Allah di dunia dan di akhirat”.

Nepotisme adalah kata pinjaman daripada Bahasa Inggeris “nepotism”. Kelahiran istilah ini mempunyai kaitan dengan perkembangan yang berlaku dalam sistem gereja Katolik sekitar kurun ke 15 masihi. “Nepotism” berasal daripada kata “nepos” dalam Bahasa Latin yang membawa maksud nephew (anak saudara), dan juga daripada kata “nipote” dalam Bahasa Itali yang merujuk kepada mereka yang mempunyai pertalian keluarga. Pada kurun ke 11 Masihi, Pop Gregory VII mengeluarkan dikri membenarkan padri berkahwin dan mempunyai anak. Pada kebiasannya anak-anak padri mewarisi aset dan perjawatan dalam pentadbiran gereja.

Di akhir kurun ke 15, Pop Sixtus IV dalam tempoh perjawatannya telah memberikan banyak kedudukan istimewa kepada anggota keluarganya, terutamanya kepada anak-anak saudara. Amalan ini diteruskan oleh pengganti-pengganti selepasnya.

Perkataan “nepotism” mula memasuki perbendaharaan kata Bahasa Inggeris pada akhir kurun ke 16 melalui buku yang ditulis oleh seorang sejarawan Perancis Gregorio Leti berjudul “Nepotismo di Roma” (The History of The Pope’s Nephews). Buku ini membahas amalan nepotisme yang dilakukan oleh Pope Sixtus IV dalam tempoh perjawatannya. Memandangkan perkataan nepotisme memasuki perbendaharaan kata Bahasa Melayu melalui Bahasa Inggeris kita perlu melihat pengertiannya dalam kamus-kamus Bahasa Inggeris. Menurut American Dictionary, “nepotism” ialah “the activity of unfairly giving good jobs or advantages to members of your family”. Longman Dictionary mentakrifkan nepotism sebagai, “giving unfair advantages to your own family”. Manakala Cambridge Dictionary mentakrifkannya sebagai, “the act of using your power of influence to get good jobs or unfair advantages for members of your own family”.

Takrif-takrif di atas menunjukkan bahawa perkara pokok dalam amalan nepotisme ialah “unfair” atau ketidakadilan. Menuduh Rasulullah mengamalkan nepotisme bermakna menuduh Baginda berlaku tidak adil yang membawa makna melakukan kezaliman. Ini adalah satu penghinaan yang sangat besar terhadap Nabi S.A.W. Ayat 57 daripada surah Al-Ahzab menyatakan bahawa orang yang menghina Allah dan Rasulnya dilaknat oleh Allah di dunia dan di akhirat. Laknat membawa maksud dijauhkan daripada Rahmat Allah. Al-Quran menggunakan perkataan ini terhadap iblis seperti yang tersebut dalam surah Al-Hijr ayat 35 yang bermaksud, “Dan ke atas kamu laknat hingga ke hari kiamat”. Para Ulama sepakat menghukum kafir terhadap sesiapa yang menghina Rasulullah. Daripada segi taubat, sebahagian ulama berpendapat taubatnya tidak diterima seperti kafir zendik, manakala sebahagian yang lain berpendapat taubat diterima jika ia melakukan taubat nasuha yang bersifat istiqamah dan tidak mengulangi perbuatannya.

Persoalan yang berbangkit di sini ialah; bagaimanakah seorang Melayu Muslim secara tiba- tiba bertindak sedemikian? Kerana bangsa Melayu terkenal dengan budi bahasa yang tinggi serta sangat menghormati ibu bapa, orang tua, tok guru, lebih-lebih lagi seorang Nabi. Apakah “angin” yang membuatkan pokok bergoyang? Menurut pepatah Melayu, “kalau tidak ada angin, mana mungkin pokok bergoyang?”. Daripada segi Sejarah, orang pertama yang menghina Rasulullah S.A.W ialah Harqus Bin Zuhair yang dipanggil “Zulkhuwaisirah”. Dia menuduh Rasulullah tidak berlaku adil dalam pembahagiaan ghanimah. Para sahabat ingin mengambil tindakan terhadapnya namun Baginda tidak membenarkannya. Daripada peristiwa ini baginda memperingatkan ummah tentang kelahiran golongan penderhaka daripada benih yang disemaikan oleh Zulkhuwaisirah yang kemudiannya dikenali dengan Khawarij. Dalam Hadis dijelaskan beberapa ciri Khawarij, antaranya ; mereka membaca Al-Quran tetapi hanya sekadar bunyi bacaan yang keluar dari halqum sahaja. Maksudnya, mereka tidak memahami hukum dan tuntutannya kerana tidak memenuhi syarat-syarat untuk berijtihad. Daripada sinilah pentingnya bermazhab kerana ia bermaksud mengamalkan agama berasaskan hukum-hukum yang difahami oleh ulama mujtahid. Ia adalah wajib kerana firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 43 yang bermaksud:

“Maka hendaklah kamu bertanya kepada orang-orang yang berpengetahuan agama (ulama mujtahid) jika sekiranya kamu bukan ahli ilmu”.

Daripada segi fakta, tiada seorang pun daripada kalangan sahabat yang didapati menyertai puak Khawarij yang menderhaka terhadap Sayyidina Ali R.A. Orang-orang Khawarij menggunakan ayat-ayat Al-Quran untuk menegakkan fahaman mereka yang sesat dan mengkafirkan orang Islam yang tidak menyertai mereka.

Ulama ahli Sunnah sepakat mengatakan bahawa puak yang mewarisi pemikiran Khawarij di zaman ini ialah golongan wahabi. Sheikh Ahmad Zaini Dahlan (M1304H) Mufti Mekah menyatakan dalam kitabnya "اﻟﻮﻫﺎﺑﻴﺔ ﻓﺘﻨﺔ” bahawa golongan wahabi adalah merupakan

“Khawarijulasri”, yakni Khawarij zaman ini. Sheikh Al-Sowi dalam kitabnya menyatakan bahawa Muhammad Bin Abdul Wahhab dan pengikutnya adalah (Khawarij) zaman kini.

Pada hakikatnya pemikiran liberal yang mengenepikan ulama dalam kalangan umat Islam seperti yang dibawa oleh golongan Wahabi bertunjangkan pemikiran Khawarij. Ciri-ciri liberal dalam menentukan hukum dapat diperhatikan dengan jelas daripada fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh tokoh Wahabi semasa, antaranya; fatwa haram mengadakan sambutan maulud, fatwa haram berkumpul membaca rawatib Al-Haddad dan fatwa haram perempuan memandu kereta. Raja Salman dalam satu ketetapan yang dikeluarkan pada 26 September 2017 telah membatalkan fatwa ulama wahabi yang mengharamkan kaum wanita memandu kereta dan mengarahkan supaya lesen memandu dikeluarkan kepada mereka.

Golongan Khawarij pada era kini pada hakikatnya lebih berbahaya terhadap akidah dan perpaduan ummah kerana kegiatan mereka ditaja oleh pihak-pihak yang memusuhi Islam. Dr. Muhammad Said Ramadan Al-Buti dalam satu kenyataan mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati terhadap para pendakwah Wahabi kerana mereka adalah orang-orang yang menyeru kepada fitnah dan dipergunakan oleh pihak penjajah dan mubaligh Kristian untuk memecah belahkan umat Islam. Kegiatan mereka di negara-negara Islam adalah berdasarkan arahan sulit yang datang daripada kerajaan Amerika Syarikat. Perkara ini diakui oleh Putra Mahkota Mohamad bin Salman dalam temu bual dengan “The Washington Post” pada 22 Mac 2018:

(The Saudi funded of wahabism began as a result of Western countries asking Riyadh to help counter the Soviet Union during The Cold War).

“Penyebaran fahaman Wahabi yang dibiayai oleh Riyadh bermula ekoran permintaan negara-negara Barat bagi tujuan membantu dalam melancarkan serangan balas terhadap Soviet Union ketika era Perang Dingin”.

Dalam konteks ini juga, Askar H.Enazy dalam MEA Web menulis:

(The newly re-emerging Wahabi movement under Ibn Saud would, with British political and military support, effectively serve British Military and political objectives in the Arabian Peninsula Saudi Islam (Wahabism) in particular became an effective tool in US foreign policy in combating pro-Soviet and anti-western secular and nationalistic ideologies in the Middle East and the Muslim world at large).

Fahaman bid’ah yang lahir daripada kalangan umat Islam seperti ini lebih berbahaya terhadap akidah umat Islam berbanding dengan fahaman sesat yang diimport daripada Barat seperti liberalisme dan pluralisme. Ini kerana mereka menggunakan slogan yang diadaptasi daripada Al-Quran  dan  Sunnah  yang  boleh  mengelirukan  orang  awam.  Golongan  Khawarij menggunakan slogan 'yang berhak menghukum hanyalah Allah'.

Dengan slogan ini, mereka menghukum kafir terhadap Saidina Ali R.A. dan pengikutnya kerana menerima hukuman yang diputuskan oleh juru damai. Sementara golongan Khawarij masa kini menggunakan slogan Sunnah untuk menyesatkan amalan yang tidak sesuai dengan fahaman mereka. Penggunaan Sunnah tanpa ilmu yang mendalam dalam bidang fiqah boleh membawa kepada kesesatan seperti kaum Khawarij yang menggunakan Al-Quran tanpa memenuhi syarat- syarat keilmuan sebagai ahli ijtihad. Imam Ibnu Uyainah (M198H) menyatakan:

“Penggunaan hadis boleh menyesatkan kecuali bagi mereka yang mahir dalam bidang ilmu fiqah”.

Sementara Ibnu Wahb (M197H) pula menyatakan:

“Setiap orang yang berpegang dengan hadis tanpa berpandukan kepada mana-mana imam dalam bidang fiqah, maka ia adalah orang yang sesat”.

Menurut Imam Ahmad (M241H):

“Sesiapa yang berpendapat tidak perlu bertaklid, dan ia sendiri tidak bertaklid dalam amalan agamanya kepada mana-mana Imam, maka kata-kata sedemikian merupakan kata-kata orang yang fasik di sisi Allah dan Rasul-Nya”.

Oleh yang demikian, usaha melindungi ummah daripada fahaman seperti ini merupakan satu tanggungjawab besar yang dipikulkan ke atas ahli ilmu seperti yang tersebut dalam Hadis riwayat al-Khatib al-Baghdadi yang bermaksud:

“Apabila timbul ajaran bid‘ah dan sahabat-sahabatku dimaki, maka wajiblah bagi sesiapa yang berilmu menggunakan ilmunya, (bagi menolak bid‘ah tersebut). Sesiapa yang tidak berbuat demikian, ia akan mendapat laknat daripada Allah, Malaikat serta orang-orang soleh sekaliannya. Allah tidak akan menerima daripadanya amalan fardu mahupun sunat”.

Adapun tuduhan bahawa Baginda S.A.W melantik kaum kerabatnya adalah merupakan tuduhan yang jauh daripada kebenaran kerana tidak pernah ada pelantikan sepertimana yang disebutkan. Pelantikan Sayyidina Abu Bakar R.A. dibuat dalam perundingan antara Muhajirin dan Ansar di Thaqifah Bani Sa‘adah ekoran daripada kewafatan Baginda S.A.W manakala pelantikan Sayyidina Umar pula dibuat melalui perundingan antara khalifah pertama dengan para sahabat utama. Dalam perundingan ini dipersetujui bahawa Sayyidina Umar R.A. akan menggantikan Sayyidina Abu Bakar R.A. selepas kewafatannya.

Islam tidak mengenal konsep nepotisme sepertimana yang difahami oleh Barat Kristian. Pelantikan ke jawatan awam adalah satu amanah yang ditujukan untuk mencapai maqasid syariah dan kepentingan ummah. Oleh sebab itu, yang diambil kira dalam sebarang pelantikan ialah kemampuan melaksanakan tugas yang diamanahkan tanpa mengira sama ada seseorang itu mempunyai pertalian keluarga atau tidak. Dengan sebab itu, ketika Rasulullah ditanya bilakah sesuatu amanah dianggap telah diabaikan? Baginda menjawab: “Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang tidak berkelayakan untuk melaksanakannya.” Peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang sejarah umat Islam membuktikan keberkesanan konsep yang bertunjangkan maqasid syariah ini.

Kerajaan Bani Umayyah menggunakan sistem warisan yang diasaskan oleh Mu‘awiyah bin Abi Sufyan (602–680M), seorang sahabat yang pernah diberi perkhabaran gembira dalamnsebuah hadis sebagai seorang yang akan menjadi pemerintah umat Islam. Bani Umayyah yang memerintah dari tahun 661 hingga 750 Masihi adalah merupakan sebuah empayar terbesar yang pernah wujud sepanjang sejarah. Garis sempadannya bermula daripada sempadan Perancis hingga ke Tembok Besar China. Pada era inilah Islam berjaya disebarkan ke Afrika, Andalusia dan Subbenua India.

Satu lagi negara Islam yang mengamalkan sistem warisan ialah Kerajaan Uthmaniyyah yang merupakan sebuah Empayar Islam terbesar pada zamannya dan memerintah selama lebih daripada 600 tahun. Salah satu perkhabaran masa hadapan yang disebut dalam Hadis ialah kejatuhan Konstantinopel ke tangan umat Islam. Perkhabaran ini terlaksana di tangan Sultan Muhammad al-Fatih (1432–1481M) pada tahun 1453M yang merupakan seorang pemerintah daripada sistem warisan Uthmaniyyah.

Khabar gembira mengenai pembukaan Subbenua India juga telah disebut dalam beberapa hadis yang diriwayatkan Imam Nasaei dan Abu Daud. Ia berjaya disempurnakan oleh seorang panglima muda Muhammad bin Al-Qasim di era seorang pemerintah terkemuka Bani Umayyah al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi. Ketika al-Hajjaj mempersiapkan pasukan terkuat untuk memerangi Keng Dahir yang memerintah Kingdom of Sindh ketika itu, beliau tidak nampak orang yang paling layak untuk memikul tugas tersebut kecuali anak saudaranya Muhammad bin al-Qasim yang baru berumur 17 tahun. Pasukan tentera yang dihantar sebelumnya gagal dalam melaksanakan misinya. Pilihan yang dibuat oleh al-Hajjaj itu tepat apabila panglima muda ini berjaya mengalahkan Raja Dahir pada tahun 711M. Kemenangan ini membuka jalan bagi penyebaran Islam ke seluruh Subbenua India.

Daripada apa yang dipaparkan di atas dapat dibuat kesimpulan bahawa sistem warisan dalam pemerintahan telah berjaya menyebarkan Islam dan memelihara kelangsungan ummah di sepanjang sejarahnya. Sistem ini telah memenuhi dua kriteria utama dalam kepimpinan ummah iaitu kemampuan melaksanakan tugas dan dapat mencapai maqasid syariah. Oleh yang demikian, para ulama sepakat atau ijmak mengatakan bahawa sistem warisan adalah harus diamalkan dalam pemerintahan. Di negara kita, Islam bermula disebar dan dipertahankan melalui sistem keramat ini iaitu Kesultanan Melayu sehingga ke hari ini.

Antara negara yang ditubuhkan dan berjalan tanpa sistem warisan ialah Amerika. Namun yang demikian itu hanyalah pada zahirnya sahaja, sedangkan pada hakikatnya wujud satu sistem warisan tersembunyi yang tidak diketahui oleh kebanyakkan orang. Dalam mata wang dollar Amerika terdapat simbol mata satu dalam segitiga yang dikenali dengan “All Seeing Eye” (Lampiran: A).

Ia adalah simbol bagi pertubuhan rahsia Yahudi, Freemason dan Illuminati yang bertujuan menguasai dunia. Para pengasas Amerika merupakan tokoh-tokoh Freemason seperti George Washington, Benjamin Franklin, Paul Rever dan John Hancock. Lambang ini adalah warisan yang membawa petunjuk penting bahawa kerajaan-kerajaan Amerika selepasnya pasti menyokong agenda Yahudi.

Islam yang disebar dan dipertahankan oleh para pemerintah yang mengamalkan sistem warisan ini telah berkembang ke seluruh dunia Timur dan Barat serta berjaya hadir di istana pemimpin- pemimpin kuasa besar dunia. Pada 27 Mac 2025, Presiden Donald Trump mengadakan majlis iftar di kediaman rasminya White House (Lampiran: B). Buat pertama kalinya suara azan berkumandang di Windsor Castle sempena majlis iftar yang dianjurkan oleh King Charl di kediaman rasminya (Lampiran: C). Dalam satu majlis pada 13 Dec 2024, Presiden Putin berdiri sepanjang ucapan yang disampaikan oleh mufti Am Rusia Sheikh Thal’at Sofa Tajuddin (Lampiran: D).

Telah disebutkan sebelum ini bahawa perpaduan ummah dan kekuatannya berjaya dijana melalui sistem warisan yang diasaskan oleh Mu‘awiyah bin Abi Sufyan R.A. yang berterusan menaungi umat Islam hingga ke hari ini. Maka mana-mana pihak yang berusaha meruntuhkan sistem ini, secara sedar atau tidak merupakan agen-agen Zionis yang diperalat untuk memecah belah perpaduan umat Islam dan melemahkan kekuatannya.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

020578
Hari ini: 242
Minggu Ini: 617
Bulan Ini: 5,720
Tahun Ini: 20,578
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.