Amat bertepatan pemilihan Dr Zulkifli Hasan sebagai Menteri Agama oleh Perdana Menteri mengantikan Dato Dr Naim Mokhtar. Memang sudah lama Dr Zulkifli menunggu dengan penuh kesabaran untuk menduduki jawatan tertinggi. Satu pilihan yang tepat oleh Perdana Menteri kerana beliau juga merupakan bekas kepimpinan tertinggi Abim yang banyak menyumbang kepada gerakan dakwah di negara ini.
Masyarakat tidaklah sebodoh itu untuk menilai siapa di antara yang paling wajar untuk dipilih. Apatah lagi al-Quran sendiri memberi petunjuk secara tersurat atau tersirat dalam pelbagai aspek kehidupan manusia termasuk dalam menjawab ``siapakah yang layak kita pilih"
Anda boleh menetapkan pertimbangan anda, tapi ingatlah selalu sabda Rasul saw: Siapa yang mengangkat seseorang untuk satu jabatan yang berkaitan dengan urusan masyarakat sedangkan dia mengetahui ada yang lebih tepat, maka sesungguhnya ia telah mengkianati Allah, Rasul dan kaum Muslim.
Ingat kerajaan Madani adalah kerajaan yang bersih dari melobi-lobi inginkan jawatan bersih dari membahagikan jawatan sesuka hati khususnya kepada kroni-kroni mereka. Mereka bersih bukan sekadar dari rasuah sahaja. Menjadi pemimpin tidak hanya dituntut tanggungjawab oleh rakyat, tetapi yang lebih tinggi lagi tanggungjawab disisi Allah s.w.t.
Pemimpin yang baik ialah yang berupaya iaitu yang mempunyai ilmu dan kemampuan. Setiap orang berhak menjadi pemimpin, tetapi tidak semua orang dapat mengembangkan tugas-tugas kepimpinan kecuali orang yang menpunyai kemampuan tinggi serta didukung ilmu pengetahuan yang luas, cerdik dan menpunyai wawasan.
Islam mewajibkan umatnya untuk memperdalami ilmu pengetahuan agama mahupun pengetahuan umum. Dengan pengetahuan umum, seseorang itu mampu memimpin sesuai dengan bidangnya dan dengan pengetahuan agama seseorang itu tidak akan melakukan pengkhianatan kepada Allah mahupun kepada masyarakat.
Kenapa Allah tidak memilih malaikat untuk menjadi khalifah? Rasul sendiri pun menolak permintaan Abu Zar Alghifari untuk menyandang sebarang jawatan. Sedangkan kita tahu malaikat dan Abu Zar adalah mereka yang terkenal warak, zahid, dan bertakwa. Tetapi jawatan itu tidak diserahkan kepada mereka yang tidak ada nafsu seperti malaikat atau orang yang masyhur waraknya seperti Abu Zar.
Pemimpin banyak memerlukan kemampuan dan pengurusan bukan soal warak atau lebih tegas juga soal baik buruk seseorang itu. Sebab itu Allah menyatakan Aku tahu apa yang kamu tidak tahu. Namun Allah buktikan segala cakap-cakap-Nya dengan memanggil Adam dan malaikat untuk menghadapi ujian. Setelah ujian itu dilaksanakan oleh Allah, ternyata Adam berjaya sedangkan Malaikat gagal dalam ujian berkenaan.
Adam telah dilantik sebagai khalifah di muka bumi ini. Antara pengajaran yang boleh dipetik, tidak salah kita memilih orang yang kurang baik pada pandangan kita untuk menjadi pemimpin sekiranya dia lebih mampu dan bijak mengendalikan pengurusan negara.
Soal warak, zuhud dan sebagainya adalah soal peribadi sedangkan soal kemampuan dalam pengurusan adalah soal kebajikan umum. Jadi kalau seseorang itu lebih mampu mengurus kepimpinan, maka dia yang lebih layak dilantik sebagai pemerintah sekalipun kurang warak dan ada juga yang melakukan kesalahan.
Hari ini kebanyakan orang ramai mungkin terkeliru apabila keadaan sebaliknya berlaku. Sejarah Adam pernah melalui beberapa kesilapan sebagai manusia sedangkan malaikat bersih dan tidak pernah melakukan kesilapan. Sudah pastilah pemikiran kita tertumpu kepada malaikat tetapi apabila persoalan ini dikemukakan kepada Allah, Allah dengan tegas memilih manusia, yang banyak mengerjakan dosa daripada malaikat yang banyak bertasbih.
Justeru Allah mengatakan Aku lebih tahu apa yang kamu tidak tahu. Sebab itulah muka bumi ini selamat sehingga hari kiamat. Oleh itu janganlah mudah terkeliru dengan cakap-cakap sesetengah golongan yang kononnya undi parti mereka akan masuk syurga dan sebagainya.
Kita kena tanya mereka adakah Nabi s.a.w. tidak masuk syurga kerana tidak melantik Abu Zar yang masyhur bertakwa atau tidak memilih mereka yang warak dan zuhud. Tidak ada orang yang warak dan zuhud seperti Abu Zar hari ini. Kenapa kita harus bagi jawatan kepada mereka sedangkan Nabi sendiri telah memilih untuk tidak menyerahkan sebarang jawatan kepadanya. Malah sabda Nabi kepada Abu Zar, jawatan itu suatu penyesalan di akhirat nanti.
Nabi s.a.w. pernah menegur sahabatnya Abdul Rahman bin Samurah jangan meminta jawatan dalam sabdanya yang bermaksud:
Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah kamu meminta kedudukan dalam pemerintahan. Sungguh, jika kau diserahi satu jawatan tanpa meminta, maka kamu akan ditolong oleh Allah. Tetapi jika kau diserahi jawatan itu kerana permintaanmu, maka (semua risiko) akan dipikul oleh kamu sendiri. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
