LGBT BUKAN HAK – UNDANG-UNDANG DAN HUKUMNYA JELAS -PART 1

LGBT BUKAN HAK – UNDANG-UNDANG DAN HUKUMNYA JELAS -PART 1

Hak golongan lesbian, gay, bisexual, transgender (LGBT) menjadi isu hangat di Malaysia sedikit masa ini. LGBT ini seolah semakin lantang diperjuang dan didengari. Atas dasar hak asasi dan hak kebebasan, penyokong kepada segmen LGBT mahukan masyarakat menerima dan memberi pengiktirafan kepada mereka; sama dengan menghilangkan stigma atau membenarkannya melalui perundangan. Dengan kata lain kumpulan ini bukan sahaja mahukan pengeculian daripada amalan diskriminasi, tetapi mereka mahukan pengkiktirafan dari sudut undang-undang negara dan sekiranya boleh undang-undang jenayah terhadap kumpulan ini mahu dimansuhkan. 

Bagi golongan ini hak kebebasan dan hak asasi haruslah diberikan dan seterusnya dijamin ke atas kepada semua golongan tanpa mengambil kira orientasi jantina atau identiti gender (sexual orientation or gender identity) mereka. 

Walaupun perkara ini bukanlah sesuatu yang baharu di negara ini, ia menjadi isu kerana sesetengah pihak membuat tuntutan penerimaan dan pengiktirafan dibuat secara terbuka.

Di peringkat antarabangsa pula pada Disember 2008 Belanda dan Perancis membuat cadangan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meluluskan satu deklarasi pengiktirafan orientasi jantina dan identiti gender. Usaha ini mendapat sokongan Eropah dan telah ditentang oleh negara-negara liga Arab. Sebelum itu, pada tahun 2006, The Yogyakarta Principles telah diisytiharkan, antara bagi menjadikan LGBT sebagai satu aspek pengecualian daripada diskriminasi.

Cadangan tersebut antara lain, mengutuk sebarang bentuk kekejaman, gangguan, diskriminasi, penyisihan, pencelaan dan prejudis terhadap golongan LGBT. Cadangan itu juga mengutuk sebarang pembunuhan, pendakwaaan, penganiayaan, tangkapan secara melulu dan juga halangan atau pelucutan hak ekonomi, sosial dan kebudayaan terhadap golongan ini. Cadangan ini mendapat pujian banyak pihak kerana ia dikatakan sebagai pembuka tirai kepada perbincangan mengenai hak-hak golongan LGBT yang dianggap taboo oleh masyarakat PBB. Mereka yang menentang mengkritik cadangan ini menggunakan hujah agama dan sekatan terhadap hak kebebasan peribadi. Sehingga kini cadangan tersebut belum lagi mendapat pengiktirafan PBB.

Bagi negara kita Malaysia, persoalan yang perlu kita sama-sama jawab ialah, adakah kemodenan, hak kebebasan dan hak asasi memberi kita tiket untuk menerima idea hak asasi liberal Barat seperti LGBT ini? Adakah Malaysia patut mengutamakan dasar internationalization hak asasi dan hak kebebasan sebagaimana acuan Barat? Adakah masyarakat Malaysia harus mengorbankan nilai moral, budaya dan agama yang telah sekian lama berakar umbi di tanah ini? 

Sekiranya kita rujuk kepada salasilah undang-undang yang menjenayahkan perlakuan hubungan sejenis ia bukan sahaja berasal daripada agama Islam, malah ajaran agama lain juga pada asalnya tidak mengiktiraf hubungan sejenis. Lihat saja debat Hart and Devlin berkaitan Laporan Wolfendon. Cendikiawan Barat pada masa itu bertelagah sesama sendiri mengenai sama ada mereka harus menolak atau menerima saja nilai-nilai moral di dalam masyarakat mereka. Hakikatnya, walaupun ada negara-negara di dunia yang membenarkan atau mengiktiraf LGBT, masih ada golongan tertentu yang tidak berasa senang dengan keadaan tersebut. Ia tidak disokong sepenuhnya oleh semua ahli masyarakat.

Kanun Keseksaan dan Kesalahan Luar Tabii

Dalam perundangan Malaysia, melalui peruntukan dalam Kanun Keseksaan, kita lihat pada Bab XVI, dalam peruntukan berkaitan Kesalahan-Kesalahan Luar Tabii, bermula dari seksyen 377 sehingga 377E menyenaraikan beberapa kesalahan dan hukuman berkaitan perbuatan seksual luar tabii. Berkaitan di sini, antara lain, seksyen 377A dan 377B yang dimasukkan ke dalam Kanun Keseksaan ini melalui pindaan pada tahun 1989 menyatakan bahawa perbuatan melakukan hubungan seks melalui cara luar tabii boleh dihukum sehingga 20 tahun penjara dan juga boleh dihukum sebat. Seksyen 377C pula menyatakan bahawa sekiranya perbuatan tersebut dilakukan tanpa kerelaan, sekiranya seseorang itu didapati bersalah, hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah ialah antara 5 sehingga 20 tahun; tidak boleh kurang daripada 5 tahun dan tidak boleh melebihi 20 tahun.

Pindaan pada tahun 1989 ini menunjukkan keseriusan perundangan kita dalam menanganai gejala perlakuan seksual yang bercanggah dengan ajaran agama walaupun ia tidak semestinya dibuat dengan berhujahkan agama. Fitrah kemanusiaan boleh juga menjadi asas kepada peruntukan undang-undang kerana fitrah manusia tidak dapat dinafikan.

Mungkin ada yang berhujah bahawa undang-undang kita harus berubah. Undang-undang harus menjadi dinamik dan mengikut peredaran global. Oleh itu undang-undang harus mengiktiraf LGBT, sebagaimana negara-negara lain. Hujah sebegini tidak tepat di dalam konteks negara ini.

Kita mempunyai Islam sebagai agama negara. Kita juga mempunyai institusi-institusi agama yang tidak dipisahkan daripada negara. Undang-undang kita berasaskan agama. Falsafah negara kita juga mengutamakan kesopanan dan kesusilaan. Wawasan negara, antara lain, ialah untuk membina masyarakat yang bermoral dan berpegang teguh dalam nilai agama dan rohani yang paling tinggi.

Negara kita tidak seperti negara-negara barat yang memisahkan antara agama dan negara. Sekiranya mereka meletakkan agama sebagai perkara peribadi, itu tidak benar di dalam Islam dan ia tidak benar di negara ini. Islam bukan sahaja menjelaskan hubungan peribadi seorang manusia dengan Pencipta, Islam juga menggariskan cara hidup tertentu kepada penganutnya. Perbuatan menolak agama dan menutup telinga terhadap hujah agama menjadi masalah utama.

Perundangan Negara tidak boleh Mengiktiraf LGBT

Saya tidak fikir ini harus diterima di Malaysia kerana ia amat bertentangan dengan nilai moral, budaya dan agama negara ini. Walaupun LGBT sebenarnya wujud dan merebak di sini, ia tidak bermakna Malaysia harus mengiktirafnya secara terbuka atau juga mengesahkannya melalui perundangan negara.

Kita perlu megekalkan nilai moral, budaya dan agama dalam alam sosial masyarakat kerana ia memainkan peranan penting dalam menyediakan satu tanda aras kepada kualiti dan kredibiliti masyarakat. Prinsip moral, budaya dan agama hendaklah dijadikan penanda aras atau piawaian kepada prinsip-prinsip hak asasi. Kita juga hendaklah menegaskan bahawa prinsip hak asasi di Malaysia ini amat berbeza dengan falsafah hak asasi yang dibawa dari Barat. Apa yang dipentingkan di dalam falsafah hak asasi tajaan barat ialah kehendak manusia yang disandarkan kepada logik akal atas tiket kebebasan tanpa sempadan. Di Malaysia, prinsip-prinsip moral, budaya dan agama bukan sahaja mendapat perhatian undang-undang, termasuk undang-undang tertinggi negara, malah juga ciri-ciri hidup asal masyarakat negara ini.

Semua pihak, terutama pihak-pihak yang terlibat secara langsung mengenai isu LGBT di negara ini harus mengambil perhatian terhadap banyak perkara selain daripada aspek moral, budaya dan agama.

Sensitiviti masyarakat secara keseluruhan harus diambil kira. Ini kerana apa jua tindakan pihak-pihak berkenaan, sama ada mahu atau pun tidak, akan secara terus melibatkan masyarakat keseluruhannya, bukan sahaja golongan LGBT. Ini kerana ia lumrah kehidupan yang setiap individu di dalam satu masyarakat tidak dapat lari daripada terlibat dan berurusan dengan individu yang lain di dalam masyarakat tersebut. Ia adalah sifat egois sekiranya seseorang itu menolak kehidupan bermasyarakat kerana manusia secara semulajadi perlu hidup bermasyarakat.

Pihak-pihak berkenaan juga harus mengambil perhatian terhadap kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tidak keterlaluan jika saya katakan masyarakat Islam yang  mempercayai dan beramal dengan cara hidup Islam sepenuhnya tidak akan merelakan perkara seperti ini diiktiraf oleh undang-undang negara. Cukuplah sudah dengan masalah-masalah sosial lain yang sedang dihadapi umat Islam dan masyarakat Malaysia. 

Selain daripada itu, ideologi negara juga perlu direalisasikan. Begitu juga dengan prinsip-prinsip kepercayaan kepada Tuhan dan kesopanan dan kesusilaan yang ada di dalam rukun negara harus juga diambil peringatan yang sewajarnya walaupun ia bukanlah dasar perundangan negara.  

Bersambung..

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

010755
Hari ini: 64
Minggu Ini: 2,157
Bulan Ini: 4,004
Tahun Ini: 10,755
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.