Mesej ini khas buat Yang Berhormat Dato' Seri Tiong King Sing
Menteri Pelancongan,
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia
Maafkan saya kerana menggunakan medium ini, saya khuatir surat rasmi saya tidak sampai kepada pihak Datuk Seri.
Saya menulis mesej ini sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan negara, prihatin terhadap hala tuju pelancongan negara, serta bimbang terhadap kesan jangka panjang sesuatu dasar yang diluluskan tanpa penelitian nilai, budaya dan realiti masyarakat Malaysia.
Dengan penuh rasa hormat, saya ingin merujuk kepada pengumuman penganjuran Water Musical Festival selama tiga hari di Bukit Bintang bermula 1 Mei 2026, yang dikaitkan sebagai sebahagian daripada promosi Visit Malaysia 2026.
Izinkan saya mengemukakan beberapa persoalan besar yang saya sangat yakin sedang bermain dalam fikiran ramai rakyat.
Dengan penuh hormat saya bertanya,
1. Adakah negara Malaysia kini berada pada tahap ketiadaan identiti, sehingga terpaksa meniru secara hampir keseluruhan budaya negara Thailand bagi menarik kehadiran pelancong?
Thailand mempunyai Songkran kerana ia lahir daripada sejarah, budaya, keagamaan mereka. Sedangkan Malaysia mempunyai identiti yang jauh lebih kaya.
Mungkin saya boleh ingatkan semula Datuk Seri,
Kita mempunyai pelbagai keistimewaan warisan Islam dan Melayu, seni budaya pelbagai kaum, sejarah Kesultanan, khazanah alam semula jadi, keunikan masyarakat berbilang bangsa yang harmoni.
2. Persoalannya saya, mengapa kita memilih untuk meniru budaya asing, sedangkan kita mempunyai ratusan elemen tempatan yang lebih bermaruah dan berkelas?
Apakah nilai Malaysia sudah terlalu murah sehingga perlu dijual melalui pesta air dan muzik tanpa batas?
Apakah signifikan sebenar acara ini kepada negara?
Sebagai rakyat saya ingin tahu secara jujur, apakah pulangan sebenar kepada ekonomi rakyat tempatan? Bukankah terlalu banyak pembaziran? Berapa banyak peluang pekerjaan jangka panjang yang dicipta? Apakah impaknya kepada pembinaan sahsiah generasi muda? Apakah nilai tambah yang memartabatkan imej Malaysia di mata dunia? Atau adakah ia sekadar hiburan sementara yang memberi keuntungan jangka pendek kepada penganjur tetapi meninggalkan kesan sosial jangka panjang kepada masyarakat?
3. Kenapa saya bersuara? Malaysia hari ini sedang berdepan dengan peningkatan kes yang sangat perlu kita semua fikirkan punca dan solusi.
Hari ini, jenayah seksual yang sangat tinggi, keruntuhan institusi keluarga, masalah kesihatan mental remaja, budaya hedonisme yang semakin menular. Dan banyak lagi masalah yang sangat membimbangkan.
Adakah acara seperti ini membantu menyelesaikan masalah tersebut atau menambah parahnya?
Berdasarkan visual promosi yang tular, acara ini jelas menunjukkan percampuran bebas lelaki dan wanita
bersesak-sesak tanpa kawalan. Adakah Datuk Seri fikir percampuran lelaki perempuan dengan pakaian basah yang menampakkan bentuk tubuh? Tidak kah bakal mewujudkan suasana yang menghilangkan rasa malu? Adakah ini wajah tamadun Malaysia yang ingin dipertontonkan kepada dunia? Bukankah negara bertamadun itu diukur melalui adab masyarakatnya, susunan sosialnya, nilai kesopanan rakyatnya? Bukan melalui keramaian yang tidak terkawal sehingga menyerupai pesta liar tanpa sempadan yang langsung tidak selari dengan kesopanan dan kesusilaan dalam Rukun Negara kita.
4. Adakah suara majoriti Muslim langsung tidak dipertimbangkan?
Malaysia merupakan negara majoriti Muslim. Walaupun Perlembagaan menjamin kebebasan semua kaum, ia tidak pernah memberi mandat untuk Datuk Seri menormalisasikan maksiat, mengangkat budaya hedonisme sebagai imej negara. Ramai umat Islam tidak membantah pelancongan. Namun mereka membantah pelancongan yang mengorbankan maruah, adab dan nilai agama.
5. Malaysia sepatutnya mengeksport nilai, bukan mengimport masuk kerosakan.
Negara ini sepatutnya dikenali sebagai negara yang menjadi pelopor pelancongan yang berkelas dan bermaruah. Bukan sebagai negara yang berlumba-lumba meniru pesta Barat dan Asia lain demi perhatian dan secebis keuntungan.
Yang Berhormat Datuk Seri,
Mesej ini bukan bertujuan menyerang mana-mana pihak, tetapi sebagai suara rakyat yang masih percaya bahawa kemajuan negara tidak boleh dibina dengan menggadaikan nilai. Rakyat tidak menolak pelancongan. Tetapi rakyat menolak hiburan tanpa sempadan yang akhirnya meruntuhkan jati diri bangsa.
Kami mengharapkan pihak kementerian dapat menilai semula kesesuaian acara ini dengan membuka ruang dialog awam. Mohon untuk mempertimbangkan sensitiviti agama dan budaya serta memastikan Malaysia tidak hilang wajah dan maruahnya sendiri.
Sekian, terima kasih atas perhatian dan pertimbangan pihak Yang Berhormat.
Yang benar,