PENAMPILAN MUFTI DITEGUR

PENAMPILAN MUFTI DITEGUR

Dalam program mendekati masyarakat melalui pendekatan "Street Dakwah", Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan tampil di Bukit Bintang dengan imej yang casual, bert-shirt, bertopi, dan bercelana jeans.

Walaupun naratif popular meraikannya sebagai sikap tawadhu dan mesra rakyat, namun perlu diteliti impaknya. Adakah ini satu bentuk kemesraan yang harus dipuji, atau satu manifestasi hilangnya kesucian institusi agama tertinggi negara?

Pakaian Adalah Syiar, Bukan Sekadar Penutup

Adab berpakaian dalam Islam melangkaui sekadar menutup aurat. Ia membawa mesej maruah, kedudukan, dan yang paling utama Syiar Islam itu sendiri.

Seorang Mufti bukan hadir sebagai individu, tetapi sebagai Simbol Autoriti Agama negara. Dalam semiotika sosial, pakaian seragam rasmi atau jubah keilmuan bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi untuk membezakan antara Al-Alim iaitu Orang Berilmu dan orang awam.

Apabila seorang Mufti menanggalkan jubah keilmuannya dan menyarung t-shirt serta topi demi kelihatan sporting, beliau secara tidak sedar telah meruntuhkan tembok Haibah atau kewibawaan. Ini kerana visual dan imej seorang Mufti merupakan dakwah secara tidak langsung. Jika visual pemimpin agama tiada bezanya orang awam, di mana letaknya Izzah ilmu yang digalasnya? Tidaklah bermakna seorang Mufti itu wajib berpakaian rasmi sepenuh masa, namun di dalam program di mana beliau memegang kapasiti Mufti, seharusnya adab pemakaiannya mencerminkan institusi dan pejabat Mufti. Jika beliau hadir atas kapasiti peribadi, maka sudah tentu beliau bebas untuk mengenakan pakaian yang beliau selesa.

Qudwah

Tokoh agama berada pada kedudukan Qudwah iaitu menjadi ikutan orang awam. Masyarakat mengharapkan standard adab dan tertib yang lebih tinggi daripada mereka. Penampilan yang kemas, sopan, dan bercirikan identiti keilmuan Islam sebenarnya tidak menghalang pendekatan mesra. Sebaliknya, ia mengekalkan keseimbangan kritikal antara hikmah dakwah dan maruah jawatan.

Tidak dinafikan program dakwah secara terus atau direct seperti program Street Dakwah di Bukit Bintang ini adalah sangat positif. Ia dapat menonjolkan imej dakwah yang terbuka dan disenangi masyarakat. Malah konsep 'Dakwah Jalanan' ini sebenarnya telah sekian lama dipraktikkan oleh gerakan mubaligh Kristian sebagai strategi untuk mendekati golongan muda. Justeru, tindakan mengadaptasi pendekatan mereka seperti penggunaan elemen muzik sebagai daya penarik, mungkin dianggap mampu membuahkan hasil dakwah yang lebih berkesan.

Penjara Algoritma & Budaya Views

Di sebalik isu pakaian dan pendekatan, wujud satu barah yang jauh lebih kronik yang sedang membusuk di dunia zaman ini. Manusia sedang hidup dalam era "Budaya Views atau Tontonan", di mana segala-galanya termasuk ibadah dan dakwah, mesti dirakam, ditayang, dan dijadikan konten demi mengejar views, clout, dan reach.

Ini adalah satu realiti masa depan yang menakutkan. Kita sedang melangkah ke satu fasa di mana keberkesanan dakwah tidak lagi dinilai melalui keberkatan atau perubahan akhlak yang sebenar, sebaliknya ia diadili melalui neraca media sosial: Berapa banyak Share? Berapa tinggi Engagement? Adakah ia viral? Maka hari demi hari, semakin terhakis nilai dakwah itu sendiri, kerana daripada mencari keredhaan Allah dalam tindakan kita berdakwah, kita membentuk program dakwah itu agar sesuai dengan algoritma media sosial. 

Fenomena ini membawa kita kepada satu persoalan reflektif yang sangat berat untuk diteliti. Jika hari ini, kayu ukur untuk menilai kejayaan program dakwah atau pemimpin agama, adalah berdasarkan keupayaan mereka untuk menjadi viral dan meraih perhatian di alam maya, bagaimanakah rupa kepimpinan Islam pada masa hadapan?

Adakah satu hari nanti, kriteria pelantikan seorang Menteri Agama atau Mufti tidak lagi berpaksikan kepada ketinggian ilmu, ketajaman akal, dan keluhuran adab? Sebaliknya, adakah kita akan sampai ke tahap di mana pemimpin agama dipilih berdasarkan jumlah pengikut atau followers di TikTok atau Facebook dan pengaruh media sosial semata-mata?

Jika itu berlaku di masa hadapan, maka kita bukan lagi melantik Ulama sebagai pewaris Nabi, tetapi kita sedang melantik Pempengaruh atau Influencer untuk menentukan halatuju institusi agama negara. Maka kembalikanlah kemuliaan ilmu di tempatnya yang tertinggi, jauh di atas permainan likes dan views yang bersifat sementara.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

010755
Hari ini: 64
Minggu Ini: 2,157
Bulan Ini: 4,004
Tahun Ini: 10,755
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.