Persoalan gender (jantina), khususnya yang berkaitan dengan pengubahan struktur masyarakat ke arah yang lebih adil, telah menjadi isu di dunia Islam sejak awal abad ke-20. Isu gender ini menjadi penting kerana sering kali penafsiran tertentu atas ayat al-Quran serta hadis merugikan kedudukan serta peranan wanita yang sebenar. Misalnya salah satu isu gender dalam Islam ialah bolehkah perempuan menjadi pemimpin?
Di kalangan yang menolak perempuan sebagai pemimpin biasanya ia bersandarkan pada firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 34 yang bermaksud: Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita. Demikian juga dalam beberapa hadis seperti yang bermaksud: Tidak akan berbahagia suatu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada perempuan. Alasan ini sering kali digunakan untuk menolak perempuan sebagai pemimpin.
Persoalan peranan wanita dalam kepimpinan politik menjadi isu penting yang mengundang kontroversi. Berlatarbelakangkan kepentingan, dimulai daripada politik, agama hingga tradisi masyarakat, semua mewarnai semaraknya perdebatan tentang peranan politik perempuan terutama dalam bidang kepimpinan. Dalil-dalil agama sering dijadikan dalih untuk mempertahankan status quo, di mana laki-laki diberi peranan dominan dalam masyarakat, sedangkan perempuan hanya diberi peranan domestik seperti mengurus keluarga sahaja.
Sejarah mencatat tidak sedikit para pemimpin perempuan (sulthanah) harus berhenti di tengah jalan kerana isu agama. Antaranya sulthanah yang pernah memerintah secara berkesinambungan di Acheh pada abad ke-14 iaitu Sultanah Khadijah, Maryam dan Fatimah akhirnya terputus kerana fatwa Kadi Mekah. Alasan fatwa itu perempuan tidak ditunjuki menjadi pemimpin (sulthanah) kerana dianggap menyalahi kudratnya sebagai perempuan.
Kalau kita mengkaji secara utuh dan mendalam semangat al-Quran dan kecenderungan umum Rasulullah s.a.w. maka sesungguhnya Allah s.w.t. memberikan peluang yang sama kepada hamba-Nya tanpa membezakan laki-laki atau perempuan, baik sebagai khalifah mahupun sebagai hamba. Yang paling mulia di antara kamu di sisi Tuhan ialah orang-orang yang paling bertakwa. (Maksud al-Quran surah al-Hujurat ayat 13). Ketakwaan adalah syarat kualitatif, bukan syarat kuantitatif atau syarat simbolik.
Tampilnya Balqis dan Sulaiman menggambarkan kepemimpinan ratu dan raja dalam al-Quran. Balqis digambarkan sebagai pemilik takhta kerajaan paling berkuasa (al-Quran surat al-Naml ayat 23). Dalam menghadapi kekuatan Balqis, Sulaiman terpaksa harus mengerahkan segenap potensi kekuatannya. Kisah tentang kebesaran Ratu Balqis dihuraikan tidak kurang dari dua surah (al-Naml dan al-Anbiya). Kisah panjang tentang penguasa Saba yang makmur tentu bukan sekadar cerita pengulit tidur, tetapi sarat dengan makna dalam kehidupan umat manusia. Setidak-tidaknya, al-Quran mengisyaratkan dan sekali gus mengakui kewujudan perempuan sebagai pemimpin politik tertinggi.
Kita diingatkan bahawa di dalam al-Quran pernah ada tokoh perempuan yang mengendalikan kekuasaan besar dan di sekelilingnya banyak tokoh laki-laki. Orang yang pertama masuk Islam dari umat Nabi Muhammad adalah wanita, iaitu Khadijah. Orang yang pertama kali mati syahid dalam Islam juga seorang wanita iaitu Sumayyah, ibunda Ammar bin Yasir. Sejarah Islam juga mencatat wanita turut hijrah ke Habsyah dan Madinah. Bahkan ada di antara mereka yang hijrah dalam keadaan hamil tua. Asma binti Abu Bakar, adalah wanita yang menghantar makanan untuk Nabi dan Abu Bakar selama mereka bersembunyi di Gua Tsur, dalam perjalanan hijrahnya. Di antara kaum Ansar yang menyaksikan baiat Aqabah, terdapat juga kaum wanita. Kaum wanita juga turut berjihad bersama Rasulullah s.a.w. dalam beberapa peperangan yang diikuti beliau.
Demikian juga Sayidah Aisyah r.a. dalam peranan politiknya. Ini adalah contoh yang paling nyata tentang peranan politik wanita yang sebenarnya. Terlepas daripada pro-kontra dalam keputusan, Aisyah bersama dengan pasukan yang besar menuju ke Basrah untuk menuntut darah Uthman yang pasti adalah betapa seorang wanita juga mampu melakukan apa yang boleh dilakukan seorang laki-laki. Meskipun orang tersebut adalah Aisyah Ummul Mukminin!
Mengenai hadis, tidak beruntung satu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada perempuan, perlu dinyatakan bahawa hadis ini tidak bersifat umum. Ini terbukti daripada redaksi hadis tersebut secara utuh, seperti diriwayatkan Bukhari, Ahmad, An-NasaI dan At-Tirmidzi, melalui Abu Bakrah.
Ketika Rasulullah s.a.w. mengetahui bahawa masyarakat Persia mengangkat Puteri Kisra sebagai penguasa mereka, beliau bersabda, Tidak akan beruntung satu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada perempuan. (Diriwayatkan oleh Bukhari, An-NasaI, dan Ahmad melalui Abu Bakrah).
Jadi sekali lagi hadis tersebut ditujukan kepada masyarakat Persia ketika itu, bukan terhadap semua masyarakat dan dalam semua urusan. Tidak ditemukan satu ketentuan agama pun yang dapat difahami sebagai larangan keterlibatan perempuan dalam bidang politik, atau ketentuan agama yang membatasi bidang tersebut hanya untuk kaum lelaki. Di sisi lain, cukup banyak ayat dan hadis yang dapat dijadikan dasar pemahaman untuk menetapkan adanya hak-hak tersebut.
Salah satu ayat yang sering dikemukakan oleh para pemikir Islam berkaitan dengan hak-hak politik kaum perempuan adalah surah at-Taubah ayat 71.
Secara umum ayat itu difahami sebagai gambaran tentang kewajipan melakukan kerjasama antara lelaki dan perempuan untuk pelbagai bidang kehidupan yang ditunjukkan dengan kalimat menyuruh mengerjakan yang makruf dan mencegah yang munkar.
Pengertian awlia di dalam ayat itu mencakupi kerjasama, bantuan dan penguasaan; sedangkan pengertian yang terkandung dalam frasa menyuruh mengerjakan yang makruf - mencakup segala segi kebaikan dan pembaikan kehidupan, termasuk memberikan nasihat atau kritik kepada penguasa, sehingga setiap lelaki dan perempuan Muslim hendaknya mengikuti perkembangan masyarakat agar masing-masing mampu melihat dan memberi saranan atau nasihat untuk pelbagai bidang kehidupan.
Di sisi lain, al-Quran juga mengajak umatnya (lelaki dan perempuan) agar bermusyawarah, (surah al-Syura ayat 38). Ayat ini dijadikan dasar oleh banyak ulama untuk membuktikan adanya hak berpolitik bagi setiap lelaki dan perempuan.
