JAGA HATI UMAT ISLAM

JAGA HATI UMAT ISLAM

Mutakhir ini, kita melihat satu trend yang semakin menjadi-jadi dalam pentas politik negara. Ahli  politik bukan Islam, tidak kira dari blok Kerajaan atau Pembangkang, semakin fasih berbahasa Arab. Dengan tanpa memikir panjang, mereka mengucapkan Alhamdulillah, Insya-Allah dan kalimah-kalimah lain. Malah, ada yang lebih berani dengan memetik ayat Al-Quran dan Hadis di pentas ceramah untuk menyerang seteru politik, sambil meraih sorakan dari penyokong mereka.Ayat-ayat al-Qur’an dipetik dalam konteks tertentu tanpa melihat kesesuaian konteksnya dan tidak ditegur oleh pemimpin-pemimpin Islam dan juga para mufti yang mendengar.Demikian juga ahli-ahli politik yang beragama Islam hanya tersenyum dan cuba memberikan sokongan, kononnya pemimpin politik bukan Islam itu sedang berjinak-jinak untuk memeluk Islam.

Jika dilihat secara luaran, penggunaan istilah Islam akibat terlalu inginkan kuasa, pimpinan politik sanggup menghalalkan penggunaan istilah ini oleh bukan Islam hanya untuk menarik perhatian pengundi Islam semata-mata. Kerana itulah semakin ramai ahli politik bukan Islam berani memperkatakan mengenai kandungan al-Qur’an bila berhadapan dengan pengundi Melayu, kerana mereka sedar bukan semua khalayak sasarannya mengetahui kontek ayat tersebut dengan tepat.

Pemimpin politik yang beragama Islam, yang berada sebaris dengan bukan Melayu tidak berani membuat sebarang teguran. Kesucian istilah-istilah yang digunakan oleh orang Islam perlu dijaga dan untuk membacanya, umat Islam diwajibkan membersihkan diri dari segala kekotoran. Seperti al-Quran contohnya mereka yang ingin menyentuhnya perlu dalam keadaan berwudhuk, maka apabila bukan Islam mengusung al-Qur’an, maka ia akan tetap dilihat sebagai satu percubaan menghina al-Qur’an. Menghina la-Qur’an bermakna menghina Islam.

Kalimah-kalimah Islam mungkin dilaungkan sebagai memupuk semangat perpaduan atau meraikan kepelbagaian. Satu kaedah untuk mendekati masyarakat Melayu-Islam. Namun hakikatnya, bagi Muslim yang mempunyai sekelumit pengetahuan agama, ia menjadi amalan yang janggal dan sensitif. Adakah menggunakan kalimah Islam ini satu penghormatan ikhlas, atau  untuk menyakitkan hati umat Islam.

Secara asasnya, agama Islam tidak melarang orang bukan Islam menyebut nama Allah SWT. Bahasa Arab itu bahasa komunikasi, dan Allah telah mengangkat bahasa ini dengan turunnya Al-Quran. Di Timur Tengah, orang Arab Kristian menggunakan kalimah-kalimah yang sama, untuk amalan keagamaan mereka.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memaklumkan, dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, fenomena penggunaan kalimah Islam oleh sebahagian bukan Muslim adalah sesuatu yang normal dan berlaku hasil pergaulan antara budaya serta agama. Ia juga tertakluk kepada adab dan konteks, serta tidak berniat untuk menghina agama atau orang Islam. Bagaimanapun, Pejabat Mufti juga menegaskan bahawa tidak dibenarkan untuk memohon keampunan atau rahmat ALLAH kepada orang kafir kerana rahmat tersebut adalah khusus untuk orang beriman.

Namun konteks politik adalah sangat berbeza. Apabila seorang ahli politik memetik ayat Quran semata-mata untuk menyerang parti lawan, sedangkan dia sendiri tidak beriman dengan Al-Quran, ia bukan lagi satu permainan bahasa. Ia menjurus kepada manipulasi sentimen orang Islam. Ia adalah satu percubaan untuk membenarkan agenda politik. Agenda ini dipanggil sebagai "Religious Rent-Seeking", iaitu menunggang kesucian agama orang lain untuk keuntungan peribadi atau politik.

Bahaya yang lebih besar adalah apabila mereka mula menjadi Mufassir segera. Tidak salah orang bukan Islam membaca Quran untuk mempelajari dan menghayati isinya, tetapi ia menjadi masalah apabila mereka mula mentafsir mengikut selera politik sendiri. Ada sesetengah pihak yang memetik ayat "La Ikraha Fiddin" Tiada paksaan dalam agama - untuk menolak undang-undang Syariah atau kawalan moral ke atas orang Islam. Mereka menggunakan ayat Allah tanpa memahami sepenuhnya, untuk menyerang institusi Islam. Ini adalah satu bentuk kebiadaban intelektual. Al-Quran bukan buku cerita dongeng yang boleh dipotong-potong ayatnya (Cherry-picking) untuk menyokong agenda sekular. Al-Quran adalah Kalamullah yang ada disiplin tafsirnya, ada asbabun nuzul-nya, ada nasikh dan mansukh-nya.

Kemarahan masyarakat Islam timbul kerana kepura-puraan atau Hypocrisy golongan politik ini terserlah. Di depan pengundi Melayu-Islam, mulut manis berzikir, berbaju kurung, dan bersongkok. Namun di belakang, atau bila bercakap dengan pengundi bukan Melayu, mereka lantang mempertikaikan peruntukan JAKIM, mempertikaikan azan, atau memperlekehkan institusi Islam. Sikap sesumpah ini yang membuatkan penggunaan istilah Islam itu nampak jijik. Jika benar-benar menghormati Islam seperti yang ditunjukkan atas pentas, mengapa tindakan sering bercanggah dengan aspirasi Islam dalam negara? Jangan ingat orang Islam ini naif. Kami boleh beza antara hormat dan lakonan.  Hormat itu lahir dari tindakan yang menjaga sensitiviti. Lakonan itu datang dari skrip yang dibaca bila merayu meminta undi.

Orang Islam tidak memerlukan ahli politik bukan Islam untuk menghafal al-quran atau hadis. Kita tidak memerlukan taktik lapok iaitu permainan sentimen untuk meraih undi. Ia mungkin berkesan terhadap kaum lain, tetapi tidak untuk orang muslim dalam negara. Apa yang rakyat mahukan adalah sikap saling menghormati dan kompetensi dari ahli politik. Hormati agama Islam dengan tidak mencampuri urusannya. Hormati Al-Quran dengan tidak memetiknya sesuka hati demi political mileage. Jika ingin meraih undi, maka tunjukkan kompetensi dan prestasi kerja. Tunjukkan pelaksanaan dasar yang mampu mengangkat rakyat Malaysia kepada aras yang lebih baik. Hidupkan integriti dalam kerja, selaku pemimpin. Berhenti menunggang agama Islam yang suci ini, kerana istilah “Penunggang Agama” ini bukan eksklusif untuk orang Islam sahaja.

Orang bukan Islam yang merasakan diri bijak dengan menggunakan Islam demi kuasa, sebenarnya hanya menunjukkan kejahilan diri sendiri. Mereka sedang menempah bala jika apa yang dilakukan oleh mereka yang bukan Islam ini semata-mata bertujuan untuk menperolok-olokan atau menpermainkan agama Islam. Garis gelar yang diberi oleh Al-Qur'an adalah jelas. Orang beriman, orang taqwa, kafir, musyrik, kazib, munafik, fasiq, kaum harbi dan kaum zimmi dan lain-lain. Ini disertakan dengan sikap, sifat karektor dan tingkah laku masing-masing. Juga pesanan-pesanan Al Qur'an untuk beramal, waspada, larangan dan lain-lain berkaitan dengan gelaran tersebut. Sebagai muslim beriman kita sangat jelas dengan perangai kaum-kaum yang diberi gelaran dalam Al Qur'an kerana kita dididik olehnya. Allah Maha Mengetahui Apa yang ada di Hati mereka.

“Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu…” (Surah Al-Isra’ 17:25)

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

020584
Hari ini: 248
Minggu Ini: 623
Bulan Ini: 5,726
Tahun Ini: 20,584
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.