RAMADAN BULAN AL-QURAN

RAMADAN BULAN AL-QURAN

Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan. Al-Quran yang secara harfiah bermaksud ”bacaan sempurna” merupakan nama pilihan Allah yang sungguh tepat, kerana tiada satu bacaan pun sejak manusia mengenal tulisan lima ribu tahun yang lalu yang dapat menandingi Al-Quran.

Al-Quran yang diturunkan pertama kali kepada Nabi Muhammad saw inilah yang menjadi panduan dan petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang palsu selamanya, sepanjang masa dan usia manusia. (lihat Surah Al-Baqarah ayat 185)

Betapa pentingnya ,bulan ini juga disebut sebagai bulan Al-Quran. Diceritakan dalam satu Hadis bahawa Jibril sering datang kepada Nabi saw pada setiap Ramadhan bagi tujuan memantapkan ayat-ayat yang telah diturunkan. Ibnu Katsir mengatakan bahawa Allah  SWT menyanjung bulan Ramadhan dibandingkan bulan-bulan yang lain iaitu dengan memilihnya sebagai bulan di mana Al-Quran diturunkan.

Orang yang berpuasa dan membaca Al-Quran bererti ia telah menyatukan Ramadhan dengan Al-Quran. Al-Quran yang sering kita peringati nuzulnya ini diturunkan pada bulan Ramadhan juga sebagai isyarat menggalakan umat Islam lebih banyak membaca dan menpelajari Al-Quran dengan harapan akan menperolehi petunjuk darinya. Ini kerana orang yang berpuasa itu pada hakikatnya telah menyiapkan wadah hatinya yang sudah disucikan melalui proses puasa bagi menerima petunjuk Ilahi itu.

Al-Quran juga menghimpunkan segala hakikat  kebenaran yang diseru oleh seluruh para Nabi dan Rasul sejak Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa (as.). Sekiranya mereka semua dihidupkan pada masa ini tentu mereka akan menjadi orang pertama menerima dan mengikutinya, kerana itulah bayangan  ajaran risalah mereka yang terpancar dari skrin ajaran  terakhir (syaria’t Islam yang maha suci) .

Dari hakikat ini umat Islam harus kembali menghayati dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran serta menciptakan tradisi untuk bersaing dalam menerapkan ayat-ayat tersebut didalam realiti kehidupan. Apa yang berlaku dikalangan umat Islam sendiri hari ini hanya memuliakan atau mentaqdiskan huruf dan lagu lagu al-Quran sahaja. Mereka membacanya dengan penuh bertajwid, sedangkan makna dan sebahagian ajarannya dilupakan sama sekali. Dalam hal ini Allah SWT berfirman dalam surah Muhammad ayat 24 yang bermaksud, ”Adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran?Atau telah ada diatas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)? ”Bagaimana Al-Quran dapat dijadikan sebagai petunjuk, penjelasan dan pembeza antara yang makruf dan mungkar jika pintu hati kita sentiasa tertutup untuknya.

Hati yang beku dan tertutup  inilah juga yang dinyatakan dalam Al-Quran surah Al-Araf ayat 179 yang bermaksud: ”Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanan itu banyak jin dan manusia yang mempunyai hati (tetap) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya, dan yang menpunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat”.

Sebab lain yang menjadikan mereka tertutup terhadap ajaran Al-Quran ialah kerana,’ terlalu cintakan dunia’ dan ‘takut mati’. Dunia ini menpesona dan terlalu menarik untuk ditinggalkan sehingga ada orang yang ingin ”hidup seribu tahun lagi”

Akibat kebekuan hati manusia kita dapat lihat dalam bentuk tindakannya yang sangat rakus sehingga menbawa manusia kepada kebinasaan dan kehancuran. Pembunuhan yang berlaku sesama manusia adalah manifestasi dari hati yang tertutup oleh keimanan dan kebenaran. Ingatlah orang yang selama hidupnya tidak mengetahui makna kasih sayang terhadap orang lain, tidak akan masuk kedalam hatinya cahaya keimanan. Sifat perikemanusiaan telah hilang, yang lahir adalah sifat kebinatangan yang tanpa batas. Semuanya itu mencerminkan lunturnya nilai-nilai kemanusiaan yang seharusnya menjadi amalan dan pegangan semua umat Islam.

Malangnya hari ini banyak sekali manusia tidak mampu melihat bencana yang mungkin ditimbulkan oleh watak-watak manusia yang rakus ini kerana ia sudah ditutupi dengan kemewahan duniawi yang melampaui batas.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

020584
Hari ini: 248
Minggu Ini: 623
Bulan Ini: 5,726
Tahun Ini: 20,584
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.