Media dakwah perlu diperluaskan selaras dengan perkembangan teknologi maklumat bagi merealisasikan ajaran Islam terlaksana dalam kenyataan hidup harian, baik dalam kehidupan perseorangan dan keluarga mahupun dalam kehidupan masyarakat dan negara.
Lebih-lebih lagi golongan remaja lebih berminat menonton program yang berbentuk hiburan seperti filem, drama, muzik dan sebagainya. Program-program ini khalayak yang paling ramai dan semua golongan. Bahkan pendakwah-pendakwah sendiri secara fitrahnya pun tidak dapat memisahkan diri mereka dengan dunia hiburan.
Ramai antara pendakwah lebih terdorong untuk meletakkan segala aktiviti berhubung dengan TV sebagai aktiviti yang tidak diingini. Mereka memandang dari kaca mata yang negatif. Lalu dihurai dan ditafsir sebagai rupa sehingga menampakkan semuanya tidak betul belaka. Bahkan tidak ada ruang langsung yang boleh dimasuki oleh nilai-nilai positif.
Sikap seumpama ini merupakan satu sikap mengalah yang menunjukkan kemunduran secara total. Bahkan bercanggah dan bertentangan dengan kenyataan yang ada, iaitu kenyataan naluri manusia dan kenyataan penguasaan teknologi maklumat terhadap kehidupan manusia sejagat.
Kita tidak menafikan bahawa pihak pemerintah sering kali memberi peringatan supaya media hendaklah lebih bertanggungjawab untuk membuktikan komitmen mereka dalam bidang pendidikan dengan tidak menyiarkan rancangan-rancangan yang boleh mendorong diri remaja melakukan kejahatan dan keganasan.
Masalah sekarang bukan semata-mata masalah media atau stesen penyiaran, tetapi masalahnya ialah tidak mempunyai tenaga manusia untuk menyediakan rancangan-rancangan yang dikehendaki. Di kalangan pendakwah pula masih belum bersedia secara positif untuk mengambil manfaat daripada kemajuan teknologi maklumat yang berkembang sekarang ini.
Mungkin kerana tidak ramai mempunyai kepakaran ataupun mereka khuatir hilang populariti di kalangan pendakwah dan orang agama yang berfikiran tradisi. Yang dimaksudkan dengan tenaga manusia dalam penerbitan drama ialah penulis skrip, pelakon, pengarah dan penerbit. Walaupun kejayaan penghasilan sesebuah drama itu tidak bergantung semata-mata kepada skrip, kerana ada unsur-unsur lain yang berperanan seperti pelakon, pengarah, gerak kerja kamera dan lain-lain.
Sehingga hari ini kita tidak mampu melahirkan kejayaan yang diraih oleh Pedar (The Father) dari Iran yang berjaya menggondol filem terbaik, pelakon terbaik dalam Festival dan TV Asia Timur 97. Ataupun filem Tjut Nyat Dien (dari tetangga Indonesia). Ia mengisahkan seorang pejuang Islam wanita yang gigih membina kekuatan sendiri memperjuangkan Islam.
Persoalan yang digarap di TV kita banyak menyentuh perkara-perkara yang remeh dan mempunyai gesaan yang keterlaluan. Kadang-kadang diselit pula hukum-hukum yang berbentuk negatif dan menakutkan semacam menghukum pula. Ada kalanya bertali semacam berkhutbah.
Slot seperti ini dapat diperhatikan ketika memperingati hari-hari penting dalam kalendar Islam dan disiarkan oleh stesen-stesen TV. Pendekatan yang berbentuk psikologi dengan isu-isu yang menggembirakan kurang sekali ditekankan. Dakwah seharusnya dilihat sebagai tumpuan yang menghiburkan selaras dengan ajaran silam dan selaras dengan persekitaran masyarakat.
Di samping itu tokoh-tokoh yang membawa watak tersebut mampu menghidupkan perjuangan yang sebenar tanpa keraguan dan tidak menampilkan percanggahan. Tingkah laku yang ditunjukkan adalah tingkah laku yang beretika baik selaras dengan wataknya di luar drama.
Jika seseorang pelakon yang menyempurnakan wataknya sebagai seorang yang beragama maka di luar lingkungan lakonannya pelakon tersebut pula mempunyai kecenderungan yang sama kerana keberkesanan sesuatu drama itu bergantung kepada pelakon yang berkenaan.
Lebih-lebih lagi masyarakat Islam secara peribadinya menilai seseorang pelakon itu dari kaca mata sebenar dan bukannya menurut ruang lingkup drama semata-mata. Penonton tidak akan mendapat kesan yang baik jika para pelakon yang membawa watak-watak dakwah melibatkan diri dalam situasi yang menggemparkan, misalnya persoalan cerai-berai, skandal dan sebagainya.
