TOK SELEHOR PELOPOR SAMBUTAN MAULID NABI

TOK SELEHOR PELOPOR SAMBUTAN MAULID NABI

Sambutan Maulid Nabi yang diadakan julung kalinya secara besar-besaran oleh Tok Selehor sebenarnya telah dilakukan oleh para ulama terdahulu sama ada di dunia Arab mahupun dunia Melayu sejak zaman berzaman. Ulama terdahulu meraikan hari kelahiran Nabi s.a.w dengan pelbagai aktiviti sama ada melalui bacaan Barzanji, Burdah dan sebagainya. 
 
Barzanji adalah satu bentuk seni suara Islam yang mengandungi bacaan yang dikaitkan dengan peribadi dan sejarah hidup Rasulullah SAW yang dimulai dengan bacaan surah al-Fatihah, puji-pujian terhadap Nabi, selawat dan diakhiri dengan doa. Barzanji bukanlah nama sebenar bacaan tersebut, tetapi ia adalah sandaran kepada nama pengarangnya iaitu Syeikh Jaafar al-Barzanji yang berasal dari Madinah. Beliau merupakan seorang ulama, khatib di Masjid Nabawi, sasterawan dan penyair pada zamannya telah menghasilkan himpunan kisah kelahiran dan riwayat hidup Rasulullah SAW secara bernazam bagi menanamkan perasaan cinta kepada Nabi Muhammad SAW dan disampaikan dalam bentuk gaya suara dan irama tertentu.
 
Maulidur Rasul tidak pernah disambut oleh Rasulullah SAW walaupun sekali. Begitu juga para sahabat, tidak pernah menyambut hari kelahiran Rasulullah sewaktu hayat Baginda. Malah sahabat-sahabat sendiri pada zaman itu tidak pernah menyambut hari kelahiran mereka. Hal ini kerana sambutan itu belum menjadi budaya mereka pada waktu itu.
 
Pada zaman awal Islam belum ada keperluan untuk mereka menyambut hari kelahiran kerana mereka tidak mahu memikirkan usia mereka. Mereka juga tiada keperluan untuk menyambut hari kelahiran Rasulullah kerana setiap hari mereka boleh bertemu Rasulullah terutama apabila berasa rindu. Mereka ini meskipun tiada berkesempatan untuk bertemu Rasulullah, sekurang-kurangnya selawat akan meniti pada bibir mereka. Tetapi pada zaman tabiin, umat Islam sudah berselerakan ke seluruh dunia dan dalam keadaan itu mereka semakin jauh dengan Makkah dan Madinah. 
 
Tidak dinafikan, sebahagian mereka (umat Islam zaman mutaakhir) telah mula lupa sejarah dan roh perjuangan Rasulullah SAW. Mujurlah ulama masih ada lalu mengambil inisiatif untuk membimbing orang ramai ke jalan benar. Di celah-celah itu lahirlah sebuah karya yang diberi nama al-Barzanji nukilan Syeikh Jaafar al-Barzanji. Di dalamnya mengandungi kisah Rasulullah SAW semasa kelahiran sehingga wafatnya. Kemudian kisah itu dibacakan kepada orang ramai yang dipersembahkan dengan cara yang menarik bagi membangkitkan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya.
 
Namun untuk membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dalam jumlah yang lebih ramai, maka diadakan majlis itu pada hari kelahiran Rasulullah SAW. Di sinilah bermulanya sambutan Maulidur Rasul dalam sejarah Islam. Hari itu dipilih bukan semata-mata untuk sambutan hari lahir, tetapi satu taktik untuk mengumpul orang bagi memperdengarkan kisah Rasulullah SAW yang semakin dilupakan. Semoga umat boleh kembali kepada ajaran Rasulullah seperti zaman sahabat dahulu. Berdasarkan sejarah itu, maka sambutan Maulidur Rasul yang dilaksanakan pada hari ini seharusnya bukan semata-mata untuk meraikan hari kelahiran Rasul. Itu bukanlah matlamat asal sambutan, tetapi lebih kepada usaha mengingatkan kembali umat Islam kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya.
 
Mengikut hukum asal, upacara sambutan Maulidur Rasul adalah harus selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur pembaziran dan tiada aktiviti yang melanggar syariat. Malah jika perisian sambutan itu ada unsur ilmu dan ibadah ia tetap diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu Wa Taala. Adalah tidak tepat pendapat yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul adalah bidah dhalalah dan bertentangan dengan syariat.
 
Upacara memperingati hari kelahiran Rasulullah Shalallahu alaihi wasalam ini telah dilakukan sejak 300 tahun sesudah Rasulullah wafat. Antara pembesar yang menganjurkan sambutan ini ialah Raja Al-Mudhaffar Abu Said Kaukabri ibn Zainuddin Ali bin Baktakin (549H-630H),  penguasa Irbil, Iraq. Dan seterusnya ia terus berkembang sehinggalah sekarang.
 
Menurut Imam Al-Suyuthi tercatat sebagai raja pertama yang memperingati hari kelahiran Rasulullah Shalallahu alaihi wasalam ini dengan perayaan yang meriah luar biasa. Tidak kurang dari 300,000 dinar beliau keluarkan dengan ikhlas untuk bersedekah pada hari peringatan maulid Nabi atau juga disebut milad Nabi.
 
Imam Al-Hafidz Ibnu Wajih menyusun kitab maulid yang berjudul Al-Tanwir fi Maulidi al-Basyir al-Nadzir. Dikatakan bahawa kitab ini adalah kitab maulid pertama yang disusun oleh seorang ulama.
 
Oleh sebab itu, upacara dan acara yang boleh dipersembahkan pada hari itu boleh dipelbagaikan, asalkan menjurus ke arah menyedarkan umat Islam ke arah mengingati Rasulullah SAW dan perjuangannya. Kalau dahulunya dibacakan barzanji sahaja, tentunya sekarang ini tidak salah dimasukkan dalam aturcara majlis mauled program ceramah di samping pembacaan sejarah Rasulullah, bernazam, bernasyid, membaca al-Quran dan banyak lagi yang boleh diselutkan bersama. Yang penting semua itu boleh menyedarkan umat Islam kepada mengingati perjuangan Rasulullah yang kelak menimbulakan semangat untuk mengamalkan sunah RAsulallah SAW mengikut bidang masing-masing. Dengan itu tidak timbul lagi isu bidaah seperti yang selalu kita dengar didakwa oleh pihak tertentu pada hari ini kerana semua aktiviti itu pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan baginda tidak pula melarangnya.
 
Pada hari ini kita tambahkan lagi aktiviti dengan perarakan sepanduk sambil berselawat dan niatnya juga untuk membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW. Amalan berarak ini pernah dilakukan para sahabat ketika menyambut ketibaan Rasulullah SAW di Madinah dari Makkah. Ternyata perbuatan sahabat itu tidak dilarang oleh Baginda. Sempena sambutan itu juga, ditambahkan acara memberi anugerah dan penghargaan kepada orang tertentu. Amalan ini juga dilihat baik dan boleh membawa kepada rasa minat seseorang untuk mencontohi cara hidup Rasulullah SAW yang digambarkan dalam bacaan sejarahnya atau ceramah yang sampaikan dalam majlis tersebut.
 
Upacara mauliddin Nabi SAW yang disertai dengan perarakan baru sahaja dilakukan oleh Negara kita setelah merdeka (1957), sedangkan cara itu telah dilakukan oleh Tok Selehor semasa beliau masih hidup sekitar 1920an lagi. Inilah suatu tranformasi berani dilakukan oleh Tok Selehor sebagai menduplikasi sejarah sambutan para kaum ansar dan muhajirin di Madinah ketika mereka berarak menyambut kedatangan Rasulallah SAW pada hari pertama sampainya beliau SAW menjejaki kami di tanah Madinah. Walaupun hari itu bukan hari kelahiran baginda SAW, tetapi atas dasar terlalu gembira dengan kedatangan Rasulallah SAW, mereka keluar daripada rumah dan berkumpul beramai-ramai menyambut beliau SAW. Apatah lagi jika kita melahirkan kegembiran dengan terutusnya Nabi Muhammad SAW kepada kita oleh Allah tentu sekali hal ini selari dengan naluri kita, dan ia tidak pula terdapat larangan dalam syariat, kecuali majlis itu bercampur dengan aturcara-aturcara haram dan maksiat. Namun, bukan upacara itu yang haram, cuma ada terselit perkara haram. Bila dihapuskan perkara haram itu, maka jadilah majlis itu bersih dan berpahala mengada dan menyertainya.   
 
Menurut al-Marhum Wan Mohd. Shaghir Abdullah, penulis Khazanah Fathaniyah, terdapat beberapa ulama Melayu yang mensyarahkan kitab Maulid Barzanji antaranya ialah Syeikh Nawawi al-Bantani yang telah menghasilkan karya maulud yang berjudul Targhibul Musytaqin li Bayani Manzhumatis Saiyid Barzanji Zainal `Abidin fi Maulidil Awwalin wal Akhirin, yang diselesaikan pada hari Jumaat, 13 Jumadilakhir 1284 H. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 23 Rejab 1311 H. Semua karya Syeikh Nawawi al-Bantani dengan judul-judul yang lain adalah ditulis kemudian daripada kitab mengenai Maulid Nabi yang tersebut. 
 
Syeikh Ahmad al-Fathani juga memulakan penulisannya mengenai Maulid Nabi ketika beliau berusia 15 tahun, ditulis dalam bentuk puisi. Karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang pertama itu diberi judul Nazham Nuril Anam, diselesaikan pada hari Rabu, 15 Syaaban 1287 H/10 Oktober 1870 M. 
 
Kitab Berzanji dapat dikategorikan dalam bidang sastera Arab, demikian juga Burdah Bushiri. Burdah Bushiri pernah diterjemah oleh Tok Kenali, sahabat Tok Selehor, yang diberi judul Risalatud Durril Mantsur, selesai beliau tulis pada bulan Jumadilakhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Meah, Jumadilakhir 1310 H. Selain itu juga oleh guru kedua-duanya, iaitu Syeikh Wan Ali Kutan yang diberi judul Risalah Majma al-Qashaid wa al-Awaid yang selesai ditulis pada bulan Zulkaedah 1320 H/ Februari 1903 M.
 
Syeikh Nawawi al-Bantani merupakan guru kepada Syeikh Wan Ahmad al-Fathani. Syeikh Wan Ahmad al-Fathani, guru kepada Tok Selehor juga turut menyumbangkan penulisan berkaitan dengan Barzanji yang dihasilkan dalam bentuk puisi. Selain itu, sahabat baik Tok Selehor iaitu Tok Kenali telah menterjemah kitab Burdah Imam Busiri yang diberi judul Risalah al-Durr al- Manthur. Jelas di sini bahawa ketiga-tiga ulama tersebut yang saling mempunyai perkaitan antara satu sama lain sangat menekankan berkenaan bacaan Barzanji dengan menghasilkan penulisan berkenaan maulid Nabi. Setiap kitab berkaitan maulid atau berzanji semuanya mengandungi pujian dan menyebut kisah atau perihidup Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan teladan. Ia menepati apa yang diisebutkan oleh Saidina Muadz Ibn Jabal, yang diriwayatkan oleh Imam al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus: Menyebut kisah nabi, termasuk (jadi) ibadat. Menyebut kisah orang soleh, penghapus dosa...
 
Namun tranformasi Maulid yang dilakukan Tok Selehor sedikit berbeza daripada guru dan sahabatnya yang mana beliau membawa pendekatan dengan memberi cara kefahaman kepada masyarakat tentang keharusan sambutan Maulidurrasul dengan cara serentak mengadakan perarakan dan bacaan Barzanji. Pendekatan berbeza yang dibawa oleh Tok Selehor tersebut telah menjadikan beliau ulama Kelantan yang pertama mengadakan majlis sambutan Maulidurrasul secara besar-besaran dengan upacara tersendiri. Dalam majlis tersebut, Tok Selehor membacakan Barzanji dengan penuh perasaan (dengan alunan suaranya yang merdu) dan mengadakan perarakan secara besar-besaran bagi menanam rasa cinta kepada Rasulullah SAW dalam kalangan masyarakat. Cara sambutan Maulidurrasul sedemikian pada mulanya telah mendapat kritikan daripada akhbar-akhbar tempatan(arus perdana) waktu itu namun, Tok Selehor tetap meneruskan perarakan dan bacaan Barzanji, kerana mengikut pertimbangan dengan ilmu, beliau yakin ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Hasilnya ribuan manusia menyertai majlis tersebut yang bukan sahaja datang dari sekitar Kelantan, malahan ada yang datang dari luar Kelantan.
 
Ustaz Ismail Awang menulis, “Tok Selehor pernah mengadakan Maulidan Nabi SAW secara besar-besaran dan dialah ulama Kelantan yang mempelopori perayaan itu. Berzanji dibaca dengan penuh perasaan. Perarakan besar-besaran di adakan. Pernah berpuluh-puluh ribu orang datang ke majlis perayaan Maulid Nabi anjurannya. Hal ini pernah dikritik oleh akhbar-akhbar pada zaman itu, tetapi beliau tidak juga berhenti kerana beliau berniat ingin menanam rasa cinta kepada Rasulullah s.a.w. yang penuh tenaganya berjuang menyebarkan Islam. Dengan cara itu anak-anak pondok lebih cepat bermesra dengan Rasulullah s.a.w. daripada hanya menyampaikan kisah tanpa diadakan gerak kerja.
 
Praktik memperingati Maulid Nabi SAW, secara membaca Barzanji, dan lain-lain sejenisnya, sama ada dalam dunia Arab sendiri, mahu pun dalam dunia Melayu telah berjalan sejak lama, oleh itu yang dilakukan oleh Tok Selehor seperti yang tercatat di atas adalah tidak dapat dimasukkan dalam klasifikasi bida’ah dhalalah seperti yang pernah dilemparkan oleh hanya sekelompok kecil orang yang berfahaman aliran dinamakan kaum muda. Bahkan, Kitab Berzanji yang disyarah dalam bahasa Arab banyak dilakukan oleh para ulama. Contohnya, ulama yang berasal dari dunia Melayu yang mensyarah kitab Maulid Nabi pernah dilakukan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani. Beliau termasuk salah seorang guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Yang bererti ada pertalian keilmuan dengan murid-murid Syeikh Ahmad al-Fathani termasuk Tok Kenali, Tok Selehor dan lain-lain. Ini bererti jika amalan maulid dianggap bidaah tentu para ulama ini tidak mempopularkan kisah maulid ini dalam kitab-kitab mereka, sekali gus mengadakan perayaan sempenanya

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019374
Hari ini: 224
Minggu Ini: 1,969
Bulan Ini: 4,515
Tahun Ini: 19,374
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.