BILA SELEBRITI BERCERAI, RAMAI PULA SIBUK MENGATA?

BILA SELEBRITI BERCERAI, RAMAI PULA SIBUK MENGATA?

Belum reda isu penceraian Syamsul Yusuf dan Ira Kazar, tiba-tiba muncul pula kisah Fazura (Nur Fazura Sharifuddin) memfailkan proses cerai terhadap suaminya, Fattah Amin. Fazura pernah dinobatkan sebagai artis wanita tercantik di Malaysia, berkahwin dengan Fattah Amin tahun 2017. Setelah hidup bersama hampir menyambut ulang tahun perkahwinan ketujuh, meletup pula kisah rumah tangga. Walaupun sebelumnya, pasangan itu cuba menafikan rumah tangga sedang retak.


Mereka di saat-saat fasa bulan madu pernah mengucapkan rasa rindu yang ‘parah’ sehingga jika berpisah untuk ke tandas terasa cukup mencengkam. Mungkin rencana penceraian muncul setelah perasaan kecewa tidak dapat dibendung lagi. Apa puncanya, tidak ramai yang tahu; mereka simpan kemas buat masa ini. 


Tetapi netizen nampaknya tidak sabar menunggu, maka banyaklah komen, telahan dibuat sehingga ada yang ‘cukup menyakitkan’ dan ada yang memberikan semangat agar mereka tabah menghadapi situasi yang getir itu.
Pasangan selebriti yang dikatakan sama cantik dianugerahkan seorang cahayamata perempuan, Nur Fatimah Aisya, yang kini berusia empat tahun. Dan, muncul dalam video, Fatima mengucapkan selamat hari lahir kepada ayahnya, Fattah Amin yang mencecah usia 34 tahun semalam (lahir 14 September 1990).  


Fattah diingati di atas peranannya sebagai Adrian dalam drama Playboy Itu Suami Aku dan sebagai Kapten Ejaz Fakhri dalam Suri Hatiku Mr Pilot bersama Neelofa. Fazura dan Fattah pernah digandingkan dalam drama Hero Seorang Cinderella (April 2017) dan keserasaian antara mereka di dalam drama tersebut telah menimbulkan fenomena,  dan dikenali sebagai Fattzura (gandingan nama Fattah dan Fazura). Fazura lebih tua daripada Fattah Amin, dengan jarak sekitar 13 tahun. Fazura lahir pada 27 September 1983 manakala Fattah pada 14 September 1990. 


Mereka berkahwin pada 27 November 2017 di sebuah hotel di Kuala Lumpur, yang hanya dihadiri oleh kawan rapat dan ahli keluarga. Mereka berkahwin selepas dua minggu bertunang (13 November 2017) dan empat hari selepas mereka itu mengesahkan telah bertunang (23 November 2017) kepada umum. 


Saya tidak tahu, apakah penceraian itu ada kaitannya dengan proses pertunangan dan perkahwinan yang mereka jalani itu ‘terlalu cepat’. Tetapi, menurut pandangan lain, cepat berkahwin setelah bersetuju adalah lebih baik daripada bertunang lama-lama, lebih banyak godaannya, terutama bagi pasangan yang hidup dalam fenomena selebriti, dipenuhi peminat dan glamor.


Tidak siapa tahu dengan tepat apa puncanya mereka nak bercerai. Tetapi, banyak pula yang memberikan komen (netizen) sehingga ramai yang bersimpati kepada Fazura berbanding Fattah Amin. Ramai juga golongan wanita memberikan semangat, dan tidak kurang pula yang menyalahkan Fattah Amin di atas permohonan penceraian yang dibuat oleh Fazura melalui peguamnya.


Dalam hal ini, Fattah cuba dipersalahkan dengan tohmahan kononnya ada ‘affair’ dengan perempuan lain apabila Fazura memuatkan ungkapan cantik (bait puisi) Maulana Jalaludin Rumi (Muhammad bin Muhammad al-Husayn al-Khatibi al-Bakhi al-Bakri, 1207-1273) seorang ulama, ahli sufi yang terkenal dengan tarian berpusing-pusing (darwish), pengasas tarekat Maulawiyyah (Mevlevi Order) di Konya ibu kota Kesultanan Rum dan seorang agamawan yang cukup terkenal di Parsi pada Abad ke-13. 


Beliau dikenali sebagai Jalaludin Rumi yang bererti: Jalal ad-Din sebagai “kemenangan agama, glory of faith” dan Rumi, disandarkan kepada sebuah nama tempat, iaitu Rum,  dalam wilayah Kesultanan Rum di Anatolia (sekarang dikenali sebagai Asia Kecil, dalam wilayah Turki). Dalam sejarah, Anatolia (secara geografinya merupakan kawasan yang bergunung-ganang)  adalah wilayah yang dikuasai oleh Byzantium (sejak tahun 395), atau kerajaan Rum di Timur. 


Anatolia sedikit demi sedikit berjaya ditawan oleh orang-orang Turki pada akhir kurun ke-11, dan  seterusnya menjadi wilayah Islam apabila memenangi Perang Manzikert yang dipimpin oleh Alp Arsalan pada tahun 1071. Di Anatolia inilah terletaknya Hagia Sophia, yang asalnya adalah  sebuah gereja (katedral Katholik) dan kemudian ditukar menjadi sebuah masjid oleh Kerajaan Utsmaniah, apabila Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menakluki Constantinapole (1453). Constantinapole kemudiannya ditukar nama kepada Istanbul. 


Istanbul kemudian menjadi pusat pemerintahan dan petadbiran Empayar Utsmaniyah, empayar terakhir Islam yang menjadi batu tanda penjajahan setelah Sultan Abdul Hamid II dikenakan tahanan rumah selepas Perang Dunia I (28 Julai 1914 – 11 November 1918). Kekalahan Utsmaniah itu menunjukkan usaha-usaha yang dirintis oleh Theodore Herzyl (1860-1904) untuk menjadikan Palestin sebagai sebuah negara haram Yahudi mula dibuat dan British memberikan sokongan yang cukup besar, termasuk memberikan kuasa dan persetujuan dalam sekeping surat yang kemudiannya dikenali sebagai Deklarasi Balfour (1917). 


Israel benar-benar menjadi kenyataan pada 14 Mei 1948 apabila PBB mengisytiharkan penubuhannya dengan dokongan kuat Amerika Syarikat selepas negara itu muncul sebagai pemenang Perang Dunia II (1 September 1939 - 2 September 1945), apabila  Jepun menyerah kalah. Jepun bersekutu dengan Jerman dan Itali, mengaku kalah selepas dua butir bom atom digugurkan di dua buah bandar, iaitu  Hiroshima (6 Ogos 1945)  dan Nagasaki (9 Ogos 1945). 


Bom atom yang digugurkan di Hiroshima dikenali sebagai “little boy” dan di Nagasaki dikenali sebagai “fatt man”. Menurut anggaran, seramai 237,000 orang  di Hiroshima dan 135,000 orang di Nagasaki terkorban manakala beratus ribu orang lagi mengalami kecacatan kekal. Ia merupakan bom nuklear pertama yang pernah digunakan dalam peperangan, dan dalam serangan ke atas Gaza selepas kemenangan Hamas dalam pilihan raya Palestin (2006), Israel menggunakan serbuk putih (posforus) mengebom Semenanjung Gaza.


Serangan itu dilihat sebagai bantahan apabila keputusan tersebut tidak menepati dengan keinginannya, mahukan Fatah memenanginya. Fatah merupakan sayap politik kepada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) manakala Hamas adalah sayap politik sebuah pertubuhan yang diasaskan oleh Syeikh Ahmad Yassin yang tidak bersetuju PLO menandatangani Perjanjian Oslo pada tahun 1993.


Bait-bait puisi Rumi yang dikutip oleh Fazura berbunyi: Ini adalah jalanmu dan milikmu seorang. Orang lain boleh berjalan bersamamu, namun, tiada siapa yang boleh berjalan untukmu.” Kita tahu, ungkapan Rumi itu bukan bermaksud haluan hidup orang yang bercinta (manusia biasa) kerana jalan yang dimakudkan ialah ‘jalan mencari Tuhan’.


Tak mengapa, tidak salah Fazura menggunakan bait-bait tersebut untuk menggambarkan jalan yang dipilih oleh Fattah Amin (jalanmu) yang menjadi “milikmu” atau ‘pilihanmu’; juga pilihan Fazura, yakni jalan berpisah dan masing-masing hidup berasingan. Bagi Fazura, orang lain hanya boleh ‘berjalan bersamamu’, tetapi tidak boleh ‘berjalan untukmu’. Benarkah itu yang dimaksudkan. 


Kalau begitu, Fazura juga telah memilih ‘jalannya’ untuk berpisah, kerana itu mungkin pilihan atau solusi yang difikirkan sebagai ‘jalan terbaik’. Semoga ada sinar dan hikmahnya daripada keputusan itu nanti. Dan, diharap tidak berlaku kecam mengecam di media sosial sehingga boleh menyebabkan aib sendiri dan bekas suami/isteri yang pernah hidup bahagia menyulam kasih walaupun tidak kesampaian hingga ke Jannah. 


Dalam konflik itu, kita dikhabarkan oleh Fattah Amin, tidak ada orang ketiga (sebagaimana ditelah oleh netizen berdasarkan tafsiran makna kata-kata yang dimuatnaik oleh Fazura) dalam sepanjang kehidupan rumah tangga mereka. Fattah mengakui, dirinya masih sayangkan Fazura, “tiada wanita lain dalam hidup saya”, dan Fattah hanya tahu bahawa proses permohonan cerai itu melalui media sosial (https://lobakmerah.com/tiada-wanita-lain-dalam-hidup-saya-fattah-amin-hanya-tahu-permohonan-cerai-fazura-melalui=media-sosial/, 14 September 2024).

 
Saya tidak pasti apakah sebelum proses penceraian itu difailkan apakah mereka sudah tidak hidup sebumbung lagi kerana mencari ‘privasi’ dan bermuhasabah atas kesilapan masing-masing agar ‘kerumitan’ dapat diselesaikan. Saya juga tidak tahu, apakah mereka melakukan sembahyang istikarah dan berdoa kepada Allah SWT untuk menunjuk jalan terbaik bagi penyelesaian kemelut yang dihadapi? Itu hanya persoalan yang muncul, tapi ia bukan kecaman untuk pasangan tersebut.


Ada yang mengecam sinis Fattah Amin kerana tidak tahu menjaga isteri yang cantik sehingga menyebabkan Fazura memfailkan penceraian mereka melalui peguamnya, Jumaat lalu (13 September 2024) di Mahkamah Syariah Petaling Jaya,  Subang Bestari, Shah Alam, Selangor. 


Sebelumnya, pasangan selebriti itu beberapa kali menafikan rumah tangga bergolak dan mengakui mereka masih hidup bahagia, tetapi enggan mengepos gambar-gambar yang menunjukkan momen bahagia yang pernah mereka kecapi bersama. Ia sebagai ‘rasa hormat’ pasangan itu terhadap kesedihan yang menimpa rakyat Palestin sejak diserang balas oleh tentera negara haram Israel. 


Kata Fazura: Saya faham peminat ambil berat sebab sudah lama tak nampak kami bersama. Jujurnya, saya memang hadkan ‘posting’ mempamerkan kemesraan dalam media sosial. 


“Saya sangat terkesan melihat penderitaan rakyat Palestin. Adalah tidak adil untuk tunjukkan kebahagiaan dengan suami, sedangkan rakyat Palestin sedang menderita ketika ini.


“Bukan setakat gambar bersama Fattah, malah gambar bersama anak, Fatima pun saya fikir panjang sebelum kongsi dalam media sosial. 


“Jadi, kalau ada spekulasi mengatakan rumah tangga bermasalah, itu memang tidak betul. Saya dan Fattah okay sahaja.” (Berita Harian, 13 September 2024). Itu adalah imbasan kata-kata Fazura sebelum memfailkan permohonan penceraian, yang diimbas kembali oleh wartawan Fariha Shalla Mahmud. . 


“Entahlah”, kata salah seseorang netizen,  mungkin kerana pukulan drama bersiri (24 siri) lakonan Fattah Amin dan Wanna Ali agaknya, Lelaki Melayu Terakhir. Drama itu yang sedang hangat diperkatakan dan belum sampai ke episod terakhir. Drama itu mula ditayangkan pada 5 Ogos, iaitu setiap jam 10 malam, Isnin hingga Khamis di TV3. 


Saya tidaklah menontonnya, jam 10 atau 10.30 malam saya bersiap-siap untuk tidur bagi elakkan vertigo kembali menyerang. Saya amalkan itu sebagai petua kawalan semulajadi setelah mendapat tahu, vertigo (deingan dalam telinga sehingga menyebabkan badan tidak seimbang akibat kekurangan oksijen dan pengaliran darah yang tidak stabil) akan mudah dihadapi oleh seseorang yang suka tidur lewat malam dalam jangka masa panjang.  


Ada yang mengatakan, salah tafsir apabila Wanna Ali mengepos gambar ‘perkahwinan mereka’. Saya tidak pasti, apakah gambar itu adalah salah satu adegan dalam drama atau benar-benar terjadi yang menyebabkan Fazura kecewa. Kata seorang isteri dalam sebuah iklan radia mengenai satu jenama kosmetik:  baik-baik bang, ini musim menyondol, mula-mula kesian, kemudian….ehm,ehm (dialog sebenar saya tidak ingat, tapi saya pindahkan maksudnya). 


Sebaik sahaja mereka berkahwin, pasangan itu dikenali dengan Fattzura, yakni gandingan dua nama yang disatukan, Fattah dan Fazura. Gandingan nama sebegini mengingatkan saya pada pasangan Hollywod, Brangelina (Brad Pitt dan Angelina Jolie). Pasangan terkenal Hollywood itu hidup bersama selama 11 tahun (2005-2016) dan akhirnya bercerai.  


Penceraian disebabkan Brad dikatakan menghina (kata-kata kesat, abusive) terhadap Angelina (yang dianggap seksi kerana berbibir tebal, dan pernah menjadi ikutan salah seorang model Indonesia, yang dikenali sebagai Andina Julie walaupun nama sebenarnya ialah Andina Yulianti; dan artis  Malaysia, Shiqin Kamal berhasrat nak jadi Angelina Jolie dengan memilih lakonan lasak) ketika berlaku  kemalangan kapal terbang pada tahun 2016. 


Brad Pitt sebelumnya telah berasmara dengan Gwyneth Paltrow (1995) dan kemudian mengikat tali pertunangan, tapi putus bulan Jun 1997. Bagaimanapun, dalam bulan Jun 2022, Brad Pitt berkata: It’s lovely to have you as a friend now.” Kenapa setelah lama putus tunang (25 tahun), ada keinginan untuk berkawan semula? Itu juga merupakan misteri.


Setakat ini, tidak pula ada cerita ‘sondol menyondol’ seperti berlaku dalam rumah tangga pasangan Bella Astillah dan Aliff Aziz sehingga mereka bercerai. Episod penceraian itu juga menarik minat awam, sehingga ada yang memerli Ruhanies kerana ‘menyondol’. Saya tidak pasti, khabarnya Bella sedia memberikan ruang kembali kepada Aliff Aziz untuk hidup sebagai pasangan semula. Itulah yang dikhabarkan dalam media sosial, sejauh mana kebenaran, tidak dapat dipastikan.  


Ketidaktahuan itu (punca konflik Fattzura) disebabkan tiada berita yang tersebar, termasuk kejelasan mengenai ada orang ketiga.  Ramai juga netizen cuba menjawab teka-teki itu, yang menyebabkan Fazura yang cantik itu membuat permohonan bercerai melalui peguam yang dilantik sebagai penyebab utama. 


Kenapa berita penceraian selebriti menjadi gempita begitu? Saya bertanya seorang diri, kerana saya tidaklah menjadi diri saya yang lain (seperti enigma), yang sangat mengidolakan selebriti bagi mencapai sesuatu impian (khayali). Saya hanya memikirkan bagaimana untuk mengekalkan kehidupan rumah tangga kami, setelah masing-masing daripada kami dalam usia senja. 


Masing-masing sudah melalui banyak suka duka setelah mengharunginya lebih 40 tahun. Semoga lembayung senja itu tidak cepat tenggelam dan hilang meruntun kesepian (empty nest syndrome) sehingga meninggal keseorangan (godoksa dalam istilah Korea Selatan dan kodokoshi di Jepun).  


Fikiran saya terbayangkan mengenai kerangka mayat seorang lelaki warga emas (74 tahun) yang ditemui mati keseorangan (tanpa diketahui oleh jiran-jiran dan sanak saudara) pada 5 September 2024. Kematian itu dikatakan berlaku sekitar tiga atau empat tahun lalu, sebelum seorang anak datang untuk mencari ayahnya yang lama tidak mendengar khabar berita.  Saya terasa kejadian itu cukup dekat dengan saya, kerana lokasinya ialah sama-sama di kawasan Kepong, Kuala Lumpur. Jarak antara rumah saya dengan pangsapuri Mutiara Magna kurang dua kilometer. 


Namun, saya membaca pelbagai komen yang dilontar dalam media sosial untuk melihat sejauhmanakah sibuknya seseorang mengambil tahu persoalan rumah tangga selebriti, sedangkan rumah tangga sendiri pun ada yang sedang dilanda masalah. Antara jawapan yang saya peroleh ialah ramai yang berusaha menjadikan kisah rumah tangga selebriti sebagai pautan (model). Mereka merasakan sangat dekat dengan hati dan perasaan, mengenali mereka dalam jarak yang jauh, hanya sekadar membaca gossip dan menonton lakonan atau nyanyian mereka. Tidak mengenalinya secara peribadi dan mungkin tidak pernah bertemu atau berbual-bual.


Jika sesekali bertemu (secara kebetulan atau terserempak), rasa megah seolah-olah hati segera berbunga-bunga dan terus mekar. Bahkan seorang nenek pun sangat teruja untuk bergambar atau berselfie. Kemudian, memuatkannya dalam platform sosial, seolah-olah cukup bertuah dapat bergambar bersama selebriti popular itu.

 
Kalau cerita dalam akhbar atau televisyen muncul selebriti itu, akan ditontonnya sampai habis. Jika terlepas, merasakan ada sesuatu yang cukup ‘missing’. Sesekali timbul sebuah harapan dalam hati: “Bestnya kalau aku jadi mereka”. Berhari-hari bercerita. Ada juga yang mencetak gambar itu untuk dijadikan hiasan dinding. Kadangkala boleh tersenyum dan kadangkala muncul ‘bahasa sindiran’. 


Lainlah kalau selebriti itu adalah agamawan, hati terasa sedikit sejuk kerana kita faham, jika berkawan dengan para ulama dan mendekati mereka, kita sebenarnya sedang mencari jalan untuk membaiki amal, meningkatkan pengetahuan sebagai persiapan menuju sebuah kematian. Ini mengingatkan saya kepada sebuah buku kecil tulisan Imam al-Ghazali, al-Durah al-Fakhirah fi Kashf ‘Ulum al-Akhirah.


Edisi (terjemahan) bahasa Melayu pun sudah ada, Mutiara Ilmu Akhirat, diterjemahkan oleh Muhammad Yusra Hulaimi, dan diterbitkan oleh Biblio Press bulan Februari lalu (2024).  Menurut Mahbub Djamaludin, kitab itu disenaraikan sebagai salah sebuah kitab yang ditulis antara tahun 503-505H (1110-1111M), yakni sebelum meninggal (505H/1111M). (Mahbud Djamaludin, Al-Ghazali: Sang Ensiklopedi Zaman, 2015, hal, 140). 


Tetapi, sayangnya tidak mereka ketahui jadi selebriti, tidak selalunya indah. Di Malaysia, ia tidak menjanjikan kemewahan untuk selama-lamanya. Setelah suam-suam kuku, peluang berlakon atau berkarya juga semakin kurang. Begitu juga jika seseorang itu sudah berkahwin (wanita) dan mula bertudung, semakin kurang mendapat tawaran berlakun kecuali sedia mengubah penampilannya demi meraih pendapatan atau populariti. 


Itulah sebabnya drama di Malaysia dilihat cukup kurang mengambil tema bagaimana membentuk sebuah keluarga yang bahagia melalui perkahwinan dan suntikan kerohanian yang praktis, kalau ada pun sekadar seruan-seruan atau petikan ayat al-Qur’an di awal atau penghujung cerita. Belum lahir lebih banyak karya yang baik seperti siri Opah, Ayahanda, walaupun pernah ada siri Nur (19 episod) dan Nur II (15 episod) yang kemudiannya diadaptasi oleh sebuah stesen tv swasta Indonesia sebagai sinetron Bismillah Cinta sepanjang 49 episod. 


Atas sebab itulah kita mendengar berita, ada selebriti yang pernah gah pada suatu masa, tinggal di kondo mewah, pakai kereta berjenama besar, akhirnya menetap di rumah pangsa atau PPRT. Ada juga cerita, selebriti yang cukup terkenal pada suatu ketika, menjadi gelandangan dan hidup dalam kesusahan. Saya tidak menghina para artis (selebriti) yang berubah cara hidupnya, tetapi itu adalah kenyataan yang tidak dapat kita pertikaikan di Malaysia. 


Mengenai Fazura yang cantik itu, ada pula kata-kata nakal dalam wall  atai page facebook, Instagram dan sebagainya, sedang memikirkan sama ada ‘memilih’ Fazura atau Nora Danish,  mana satu yang akan ‘disunting’ sebagai ‘suri hati’. Sebabnya semakin ramai artis cantik sedang ‘kosong’. Mimpi betul sebahagian netizen, walhal, belum cukup bulan dah pokai. Secara sinil, saya juga memberikan komen nakal, ada hati nak pilih selebriti sedangkan sudah punya isteri dan modal pun tidaklah tebal. Setiap hari pergi kerja naik kapcai. Kalau pun naik MyVi, sebahagian mereka ‘tak pandang’. 


Saya tidak tahu apakah rumah tangga orang yang ‘berkhayal’ itu masih utuh atau juga turut bergolak, kerana “orang sekarang tidaklah cekal dengan semangat dan emosi”. Kalau yang banyak berkhayal itu adalah lelaki bukan sahaja ‘mata keranjang’ tetapi juga seorang lelaki yang kurang bahagia. Jika bahagia dengan pasangan, kata orang tidak akan cari lain. 


Ada ungkapan: Kunci untuk hidup bahagia adalah menghargai apa yang kamu miliki, bukan menginginkan  apa yang kamu tidak miliki.” Sebab, bahagia itu ada diri, bukan di luar diri atau pada orang lain. Bermusahabahlah, tidak malu untuk kembali ke pangkal jalan, asalkan pangkal jalan itu tidak membawa kita ke kubangan dan kejelekan. 


Orang sekarang, ada sikit sahaja masalah, luahkan dalam media sosial, membuat hantaran yang boleh menyebabkan orang lain boleh menduga, dirinya juga sedang bermasalah. Sebab itu ada yang kata, apabila terlalu kerap mengepos gambar berdua dalam ‘lakonan mesra’ dan ‘bahagia’, ia adalah sesuatu yang pura-pura dan sebenarnya ‘tidak bahagia’. Seolah-olah menunjuk-nunjuk, sebab itulah kehadiran media sosial cukup menyentak emosi, dan kadangkala mengganggu privasi. 


Itulah perangai manusia Rumah tangga sendiri kadangkala ‘kacau bilau’ tetapi tetap mengharapkan rumah tangga idola tegak dengan kebahagiaan. Saya khuatir, apa makna bahagia yang dimaksudkan itu? Apakah memiliki isteri yang cantik sudah cukup bahagia? 


Kata sebuah ungkapan yang saya dapati di media sosial: Don’t love the person who looks beautiful. Love the person who make your life beautiful. Lainnya: The moon taught me, there is a beauty in the darkness too. Sebabnya, kata Lucius Annaeus Seneca, ahli falsafah yang lahir di Cordova (Sepanyol, 4SM) dan meninggal di Rom (Itali, 65M): We suffer more often in imagination than in reality. 


Adakah mempunyai suami yang popular dan menjadi pujaan peminat hati isteri cukup bahagia? Apakah kerana ada wang banyak, bayaran lakonan yang besar akan dapat hidup bahagia? Apakah kerana mempunyai nama besar (selebriti) akan menjamin hidup bahagia? Ada benar, ada tidak. Ia tergantung bagaimana kita memula dan mengharunginya, kerana pada andaian fikiran: Manusia itu seperti buku, ada yang menipu kita dengan kulitnya, dan ada yang membuat kagum dengan isinya. 


Jadi, untuk tidak tertipu, baca dan fahamilah apa yang ada dalam buku itu, yakni jalanilah kehidupan bukan secara tergesa-gesa dan dengan cara yang paling sederhana seperti tumbuhnya sepohon anggerik yang berbunga cantik, subur dan segar sepanjang hayatnya, adalah kerana benihnya yang baik, dan perawatannya yang bukan sekadar “fill in the blanks” atau dibiarkan dengan hanya mengharapkan akan berbunga indah dan cantik. 


Persoalan-persoalan tersebut terus menjentik minda, sehingga saya membuat kesimpulan bahawa kebahagiaan itu bukan kerana memilik isteri yang cantik, suami yang benama besar, pendapatan puluhan ribu ringgit setiap kali berlakon, dikenali ramai dan sebagainya. 


Aldous Huxley (1894-1963), seorang ahli falsafah dan penulis novel British yang terkenal dengan novel  New Brave World (1932) mengungkapkan: Beauty in worse than wine, it intoxicates both the holder and beholder. [Kecantikan lebih teruk daripada arak, memabukkan kedua-duanya, orang yang memegang (pemilik)  dan orang yang memerhatikan (mendambakan)]


Tak tahulah, betul atau tidak. Terkesima atau tersungkur dalam kecantikan. Ada cerita orang cantik lebih ramai tidak bahagia, kenapa? Marilyn Monroe. Amber Heard. Prince Diana. Tagmo Nida. Christina Rowe. Atau baca sahaja kisah anak beranak cantik yang hidupnya berakhir dengan tragedi dalam novel Eka Kurniawan, Cantik Itu Luka (2002).  Salah satu jawapannya, kerana: Manusia lebih senang hancur dengan sanjungan (pujian) daripada selamat melalui kritikan” (Norman Vincent Peale, 1898-1993). 


Kebahagiaan itu ialah apa sahaja yang menyebabkan hati kita menjadi tenang: pulang ke rumah isteri menyambut dengan senyuman dan menghuluskan secangkir kopi. Terasa ingin cepat pulang, tidak membuang masa selepas habis kerja. Ada sesuatu yang menarik dan senang apabila isteri dan anak-anak menunggu, kerana kebahagiaan itu hadir bersama-sama dengan ornag yang kita cintai. (Imam al-Ghazali, Rindu Tanpa Akhir, terjemahan dari al-Mahabbah wal al-Syawq wa al-Uns wa al-Ridha, Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta, cetakan ke-3, 2007). 


Kebahagiaan itu terjadi apabila setiap daripada pasangan saling hormat menghormati, memahami dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing, juga tanggungjawab bersama, saling berkomunikasi dan bergurau senda, di kelilingi anak-anak yang sihat dan cerdik, suasana rumah yang kemas (walaupun kecil), kecukupan rezeki, dan paling utama ialah saling tidak meninggalkan kewajipan beriabadah (sembahyang berjemaah). 


Kata para ulama, kebahagiaan itu tidak ada di luar diri, ia hanya ada dalam diri masing-masing. Ia terpulanglah cara dan bagaimana kebahagiaan itu diraih, dibentuk dan diperkuatkan sehingga rumah tangga benar-benar berada dalam situasi mawaddah (tidak mempermasalahkan kekurangan pasangan), wa rahmah (kekurangan pasangan diperbaiki dan ditampal dengan kelebihan salah seorang) dan  keluarga sakinah (ketenangan rohani dan jasmani).


Sebab itu kita tidak perlu meroyan apabila mendengar rumah tangga selebriti goyah, berantakan dan antara mereka rancak berperang di media sosial. Saya fikir, cara begitu bukan menyelesaikan masalah (saya tolak pandangan, buat apa pun asal bahagia). Sebaliknya akan menimbulkan masalah baharu, lebih terbuka dan boleh jadi bahan ejekan orang lain. Kalau nak bercerai, bercerailah sebab itu adalah pilihan masing-masing, jika penceraian itu adalah jalan terbaik. Tidak wajar meroyan sana meroyan sini, keluar cerita suami salah dan isteri, mahu menang sendiri.


Itu adalah kegagalan bersama. Seorang suami gagal kerana tidak dapat mendidik isteri. Apatah lagi jika suami isteri itu melupakan kewajiban yang dituntut oleh agama, dan hidup dalam situasi ‘happy go lucky’. Kita akan merasa jemu, akhirnya membenci kerana cara hidup sedemikian tidak membantu meraih ketenangan dan mengumpul pahala.


Namun, apabila muncul situasi isteri memfailkan penceraian, secara langsung ramai yang membuat kesimpulan, ada sesuatu yang tidak kena, yang dilakukan oleh si suami sehingga isteri berbuat demikian. Mesti laki dia yang jahat. Sebaliknya, bila si suami memfailkan penceraian, maka ada yang berkata: Perempuan itulah yang jahat. Toksid ataupun narsis. 


Saya tidak pasti apa sebenarnya yang membuatkan Syamsul Yusuf failkan penceraian dengan Ira Kazar, biarlah mereka berdua sahaja yang memendamnya. Ira Kazar pula tidaklah perlu menyindir-nyindir: Saya dah lepaskan, sekarang pujuklah Syamsul. Syamsul tak ceraikan saya, tapi saya lepaskan Syamsul. Nampak sangat meroyan, jika kata-kata yang tular itu benar-benar diucapkan oleh Ira Kazar. 


Begitu juga tatkala Nora memberitahu punca penceraiannya, kerana dipaksa oleh seseorang,  ssedangkan antara dia dan suami tidak ada perselisihan faham. Sudah-sudahlah Datuk Nora, perceraian sudah pun berlaku, hadapilah kenyataan dan tidak perlu ungkit mengungkit. Ungkit mengungkit itu akan menyebabkan jiwa tidak tenang, fikiran bercelaru sedangkan hidup mesti diteruskan walaupun bersendirian. Syukur, dapat perkhabaran, Datuk Nora dan Dr Rushdi sudah rujuk. Kemelut antara mereka selesai. Tidak perlu ungkit lagi. 


Netizen janganlah pula cuba membentuk circle yang akan kelihatan semakin rumit dan berpintal-pintal (spiral) seumpama gasing yang sedang berpusing-pusing (spinning gasing). Tidak ada kesudahannya. Biarpun gasing sudah berhenti, ia akan berpusing-pusing lagi apabila kita sendiri yang memutarkannya. Tak perlu bertindak sebagai ‘play victim’ sebaliknya fokuslah bagaimana hidup berdikari, tenteram dan meniti harapan untuk capai  kebahagiaan peribadi.


Pesan Rabiatul Adawiyyah (penyair sufi wanita Parsi yang hidup dalam kemiskinan dan zuhud antara tahun 713-801M: Ketahuilah bahawa apa sahaja yang kamu boleh buat, ikan pun boleh buat dan inikan aku yang boleh terbang, lalat pun boleh terbang. Buatlah sesuatu yang lebih dari perkara luar biasa itu. Carilah ianya dalam ketaatan dan sopan santun terhadap Allah. 


“Aku malu meminta perkara dunia dari sesiapa pun yang bukan milik mereka kerana  perkara-perkara itu adalah amanah Allah kepada mereka dan Allah jua memiliki segala-galanya. Bahkan aku lebih senang hidup dalam keadaan begini tanpa sibuk memikirkan soal-soal dunia yang bersifat sementara.”


Dan ketika berdoa Rabiatul Adawiyyah berbisik: “Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada satupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu” dengan mengharapkan: Kekasihku, tidak menyamai kekasih lain biar bagaimanapun, dalam hati tiada yang lain melainkan Dia. Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan diriku tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun. 


Semasa menjawab satu pertanyaan, Rabiatul Adawiyyah berkata: Jangan salah faham, aku juga memohon syurga dan mohon perlindungan dari neraka seperti Rasulullah mohonkan, namun jika syurga  dan neraka tidak diciptakan, bukankah Allah itu masih berhak disembah? Bukankah kita sebagai hamba-Nya wajib menyembah-Nya semata-mata walau di sana tiada syurga dan neraka?!”


Akhirnya, usah campur tangan dan membuat telahan yang bukan-bukan. Kalau nak tahu dan nak ambil tahu, cukuplah sekadar memerhati dan mendoakan, semoga selebriti yang rumah tangganya berantakan akan menemui bahagia biarpun di “hujung terowong:, Jangan menambahkan dosa: dosa kering dan juga dosa basah. Semoga Allah memberikan mereka petunjuk dan membuka lorong yang terbaik kepada mereka, dan keluarga kita.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

049170
Hari ini: 92
Minggu Ini: 600
Bulan Ini: 4,632
Tahun Ini: 49,170
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.